30 November 2009

Walau Menang Fergie Tetap Tak Puas Hati

Kevin-Prince Boateng of Portsmouth scores from the penalty spot
Walaupun pasukannya mencatat kemenangan, Sir Alex Ferguson tetap tidak berpuas hati dengan cara pasukan lawan memperolehi gol melalui sepakan penalti. United sendiri memperolehi dua sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Wayne Rooney. Pada perlawanan di Fratton Park Sabtu lalu, United mencatat kemenangan bergaya 4-1 mengatasi Portsmouth dengan Rooney mencatat hatrik manakala satu lagi gol United disumbangkan pemain veteran Ryan Giggs. `Pesta' penalti bermula diminit ke 25 apabila Michael Brown menjatuhkan Rooney dan Mike Dean tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti buat United. Rooney mudah menyempurnakan sepakan itu untuk meletakkan United mendahului di depan. Tujuh minit berselang, giliran Portsmouth pula dihadiahkan sepakan penalti selepas pengadil mendapati tarik menarik berlaku antara Nemanja Vidic dan Frederic Piquionne. Kevin Prince Boateng mudah menewaskan Tomasz Kuszczak untuk pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan. United kembali berada di depan diminit ke 48 apabila Rooney yang menerima hantaran Ryan Giggs mudah menolak masuk menewaskan Asmir Begovic di gawang lawan.
Frederic Piquionne of Portsmouth goes for a high ball collected by Tomasz Kuszczak of Manchester United
Diminit ke 54, United terus melebarkan kedudukan apabila sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Giggs dijatuhkan oleh Piquionne. Rooney merakamkan hatrik pertamanya sejak tahun 2006 apabila mudah menewaskan Begovic untuk meletakkan United selesa mendahului 3-1. United menamatkan malam cemerlang buat mereka apabila sempat mencetak gol keempat melalui sepakan percuma oleh Ryan Giggs diminit ke 87. Gol ini merupakan gol ke 100 Giggs dalam kancah Liga Perdana Inggeris buat United. "Amat mengecewakan apabila kami dikenakan penalti atas situasi itu. Pengadil seharusnya mendapatkan pandangan dari penjaga garisan sebelum membuat keputusan. Anda akan melihat insiden ini setiap minggu dan jika anda dapati perebutan bola atau tarik menarik akibat sepakan penjuru adalah penalti, kami terpaksa menerimanya", kata Ferguson. "Penjaga garisan seharusnya dilibatkan dalam sebarang keputusan dan mereka boleh menjadi panduan kepada pengadil perlawanan sebelum sesuatu keputusan diambil. Perkara ini tidak berlaku dan kami kecewa melihat lawan mendapat penalti dalam situasi ini. Gol kedua hadir tepat pada waktunya dan adalah penting selepas itu kami tetap berdisiplin, tenang dan bermain mengikut gaya kami", tambah Ferguson lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan