Tonggak pertahanan tengah Manchester United, Rio Ferdinand terpaksa direhatkan selama enam minggu kerana kecederaan punggung yang kembali menghantuinya. Ferdinand juga pastinya tidak akan diturunkan ketika United berdepan Chelsea di Stamford Bridge hujung minggu ini. Kecederaan yang dialami pertahanan antarabangsa England itu dikatakan menjadi penyebab utama kemerosoton prestasinya sejak kebelakangan ini. Perkara ini disahkan sendiri oleh rakan sepasukan Ferdinand di Manchester United, Wes Brown. "Dia mengalami kecederaan dan merasai kesakitannya sejak sekian lama. Jadi dia akan direhatkan mulai sekarang untuk memulihkan kembali kecederaannya", kata Brown kepada akhbar The Sun.
Prestasi tidak menentu Ferdinand sejak kebelakang ini sering menjadi tanda tanya buat penyokong Manchester United dan England. Ferdinand melakukan kesilapan tidak sepatutnya ketika England tewas kepada Ukraine dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia dan gagal menangani ancaman Fernando Torres ketika United tewas kepada Liverpool di Anfield dua minggu lalu. Dianggap sebagai pemain pertahanan terbaik pernah dilahirkan England, prestasi terkini Ferdinand mengundang kritikan pelbagai pihak tetapi Brown percaya, Ferdinand akan tampil lebih hebat setelah kecederaannya kembali pulih. "Percayalah dia akan kembali lebih kuat selepas pulih nanti. Memang amat sukar memberikan prestasi terbaik ketika anda tidak cergas sepenuhnya", kata Brown lagi membela Ferdinand.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan