14 November 2009

Juventus Dan Milan Bersaing Dapatkan Nani


Media-media di Itali melaporkan Juventus dan AC Milan sedang bersaing untuk mendapatkan khidmat Nani dari Manchester United. Kedua-dua gergasi Itali itu juga menawarkan tempat dalam kesebelasan utama buat sayap Portugal itu, sesuatu yang tidak dinikamatinya bersama United ketika ini. Keinginan kedua-dua kelab itu timbul selepas Nani mendedahkan kepada media bahawa dia kecewa dengan cara Sir Alex Ferguson melayan dirinya di United. Nani pada awal musim menyatakan bahawa dia sudah bersedia menggantikan tempat Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid. Walau bagaimanapun situasi Nani ketika ini tetap tidak berubah dan Ferguson nampaknya lebih senang menggunakan khidmat Ryan Giggs dan Luis Antonio Valencia di bahagian sayap United.

Akhir-akhir ini pula kemunculan Gabriel Obertan seakan-akan menenggelamkan terus nama Nani dari skuad utama United. Obertan diberi peluang oleh Ferguson membuat penampilan ketika United berhadapan dengan CSKA Moscow dalam Liga Juara-Juara dan kemudiannya ketika berdepan dengan Bolton Wanderers dan Chelsea dalam kempen Liga Perdana. Situasi ini amat meresahkan Nani yang merasakan kariernya di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan Portugal bakal terancam dan adalah tidak mustahil untuk dia memilih meninggalkan Old Trafford menjelang musim perpindahan pada Januari depan. Juventus ketika ini memang memerlukan seorang pemain sayap dan diberitakan sedia membelanjakan sebanyak 15 hingga 18 juta Pound bagi membawa Nani ke Turin.
Align Center

Tiada ulasan:

Catat Ulasan