30 Mei 2013

SI MATA HELANG


Sejak Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraannya, ini merupakan kali kedua saya menulis tentang lagenda hidup Manchester United itu. Musim 2012/13 sudahpun berakhir di mana musim ini juga merupakan musim terakhir Sir Alex mengendalikan United. Agak pelik rasanya ketika sepak mula musim baru nanti tiada lagi kelibat beliau di tepi padang memberikan arahan-arahan kepada pemain-pemainnya. Bagi penyokong-penyokong United dari era 80an, rasa ‘pelik’ yang lebih mendalam pasti dirasai mereka berbanding penyokong-penyokong dari generasi 90an dan era millennium kerana di era 80an lah (1986) Sir Alex memulakan kariernya bersama United. Keputusan yang diambil Sir Alex untuk bersara memang mengejutkan ramai pihak termasuklah saya. Pada mulanya saya jangkakan Sir Alex akan bersama United semusim lagi, tetapi tanda-tanda persaraan beliau sebenarnya sudah terlihat, terutamanya apabila tugu beliau didirikan di perkarangan Theatre of Dreams, 23 November lalu. Ada yang menganggap La Liga merupakan liga terbaik di dunia, tetapi bagi saya Liga Perdana England jauh lebih menarik berikutan persaingan ‘ketat’ yang disajikan setiap musim. Setiap kali musim baru bermula sekurang-kurangnya ada lima pasukan yang berpotensi keluar sebagai juara, bebeza dengan La Liga yang hampir setiap musim di dominasi Barcelona dan Real Madrid. Kemunculan bintang-bintang muda yang saban tahun berjaya diketengahkan juga antara faktor mengapa Liga Perdana England begitu menarik. Bintang-bintang muda ini bukan hanya dilahirkan melalui akademi tetapi ramai juga yang dibeli dari luar dengan harga yang tinggi. Jadi apa kaitannya dengan persaraan Sir Alex? Tanpa memperkecilkan kewibawaan pengurus-pengurus lain, bagi saya Sir Alex memiliki naluri tajam dalam mengesan bakat-bakat muda untuk diketengahkan. Kemampuan hebatnya itu bolehlah saya ibaratkan setajam mata helang. Bukan sedikit pemain muda yang berjaya digilapnya menjadi bintang, dari era Class of 92 hinggalah kini di mana Danny Welbeck dan Tom Cleverley pula menghiasi kesebelasan utama.  Kemampuan Sir Alex menggilap bakat-bakat muda sudah lama teruji. Beliaulah yang mencipta Class of 92, juga dikenali dengan gelaran Fergie Babes kerana mereka (David Beckham, Paul Scholes, Ryan Giggs, Nicky Butt, Gary Neville & Phil Neville) diketengahkan secara langsung oleh Sir Alex dalam kesebelasan utama meskipun usia mereka masih terlalu muda ketika itu. Sir Alex berani melakukannya kerana pengamatan beliau terhadap potensi yang ada dalam diri pemain muda setajam mata helang. Bukan saja hebat dalam melahirkan bakat muda dari Akademi Manchester United, tetapi Sir Alex juga jarang melakukan kesilapan ketika membeli pemain muda dari luar. Ada antara mereka muncul pemain muda termahal di Liga Perdana, contoh terbaik ialah pembelian Cristiano Ronaldo dari Sporting Lisbon dengan nilai 17.7 juta Euro, Wayne Rooney dari Everton dengan nilai 37 juta Euro manakala Phil Jones pula dibeli dari Blackburn Rovers dengan nilai mencecah 17 juta Euro. Meskipun terpaksa berbelanja besar (membeli pemain-pemain muda ini) pembelian ini adalah satu keputusan tepat dan berbaloi untuk pasukan.

Lihat di mana kedudukan Ronaldo sekarang, begitu juga dengan Rooney dan Jones. Ketika Sir Alex menandatangani Rooney pada 2004, bintang England itu muncul pemain muda termahal di England ketika itu. Sir Alex tidak berhenti setakat itu apabila beliau kemudiannya menandatangani Nani dan Anderson dengan nilai 25.5 juta Euro dan 31.5 juta Euro pada 2007. Pembelian Ronaldo, Rooney, Nani dan Anderson menjadikan United muncul pasukan yang mencatat rekod pembelian pemain muda termahal setiap musim. Di penghujung kariernya, Sir Alex mendapatkan Javier Hernandez pula dari kelab Mexico, Chivas de Guadalajara dan Chris Smalling dari Fulham pada 2010, Phil Jones dari Blackburn Rovers pada 2011, Nick Powell dari Crewe Alexandra pada 2012 dan terakhir Wilfried Zaha dari Crystal Palace Januari lalu. Bagaimanapun kebolehan Sir Alex menggilap bakat muda tidak mungkin dapat diterjemahkan di atas padang jika tidak mendapat sokongan pihak pengurusan United. Sir Alex beruntung kerana pihak pengurusan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada beliau dalam urusan pembelian pemain, terutamanya dari kalangan bakat-bakat muda. Hal yang serupa tidak dinikmati Kenny Dalglish semasa beliau mengendalikan Blackburn Rovers pada tahun 1995. Ketika itu, King Kenny begitu terpikat dengan penampilan Zinedine Zidane yang beraksi untuk Girondins de Bordeaux. Disebabkan yakin dengan kemampuan Zindane yang pada pengamatan beliau boleh memberikan pengaruh besar dalam permainan Rovers, King Kenny menyampaikan keinginannya kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan khidmat pemain Perancis itu. Bagaimanapun Dalglish terpaksa gigit jari kerana pengerusi kelab ketika itu, Jack Walker tidak meluluskan pembelian Zidane. Walker sebaliknya bertanyakan pula kepada Dalglish, “Mengapa anda mahu membeli Zidane? Bukankah kita sudahpun memiliki Tim Sherwood?”. Akhirnya Zidane berhijrah ke Juventus pada 1996 dan meraih berbagai kejayaan bersama kelab Itali itu. Prestasi Rovers sebalik semakin menurun saban tahun dan Walker akhirnya menyesali keputusan beliau enggan membeli Zidane kerana masih percaya dengan kemampuan Sherwood mengemudi bahagian tengah. Rekod Sir Alex dalam menggilap pemain muda memang cukup cemerlang, hanya Arsene Wenger satu-satunya pengurus yang mampu menandingi pencapaian beliau. Walau bagaimanapun Sir Alex tetap manusia biasa, di mana beliau juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Sepanjang tempoh 27 tahun di Old Trafford ada beberapa kesilapan yang dilakukannya ketika membeli pemain (terutamanya pemain-pemain muda). Bagaimanapun kesilapan yang dilakukannya ditebus dengan rekod cemerlang mengemudi United meraih 38 trofi sepanjang kariernya. Jujurnya, ketika lagenda itu mengumumkan persaraannya, saya tertanya-tanya mampukah David Moyes meneruskan kecemerlang Sir Alex dalam kerja-kerja menggilap dan mengesan bakat-bakat muda untuk diketengahkan. Pemain muda pertama manakah yang akan ditandatangani Moyes sebaik beliau mengambil alih sepenuhnya tugas dari Sir Alex? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Artikel Berkaitan Sir Alex:

Terima Kasih Sir Alex...Atas Segalanya

29 Mei 2013

FELLAINI PILIHAN TEPAT?


Fellaini
Kehadiran David Moyes yang bakal menduduki kerusi pengurus di Old Trafford musim panas ini menimbulkan persoalan pemain mana yang akan dijual dan pemain manakah pula yang akan dibawa masuk. Satu nama yang sering disebut-sebut dari deretan pemain yang dikatakan bakal ditandatangani Moyes ialah bekas anak didiknya di Goodison Park, Marouane Fellaini. Dalam tempoh dua musim terakhir, nama pemain tengah antarabangsa Belgium itu memang sudah dikaitkan dengan minat United terhadapnya. Dengan Paul Scholes sudah mengumumkan persaraan, terdapat ruang kosong yang cukup besar ditinggalkan lagenda United itu di mana Moyes perlu mencari pengganti yang betul-betul bagus bagi menggantikan tempat Scholes. Masalah kesihatan berpanjangan yang dialami Darren Fletcher serta prestasi turun naik yang dipamerkan Anderson jelas menjadi masalah besar buat Sir Alex Ferguson selaku pengurus sebelum ini. Ketika ini tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Moyes hanya memiliki trio Michael Carrick, Shinji Kagawa dan Tom Cleverley yang boleh dijadikan sandaran utama di bahagian tengah musim hadapan. Jika ingin meningkatkan kualiti pasukan terutamanya di bahagian tengah, Moyes wajib mendapatkan seorang midfielder yang bagus, dan Fellaini adalah pilihan yang tepat terutamanya selepas melihat mereka (Moyes dan Fellani) bekerjasama dengan baik ketika di Everton dalam tempoh beberapa tahun terakhir. Musim lalu Fellaini diletakkan di berbagai posisi oleh Moyes dan pastinya beliau arif tentang di mana kekuatan dan kelemahan yang ada pada pemain itu. Dalam tempoh 12 bulan terakhir, Fellaini diletakkan di posisi yang lebih offensive oleh Moyes tetapi dia juga pernah memainkan peranan sebagai pemain tengah bertahan, di bahagian sayap malah pernah menggalas tugas selaku penyerang. 

Bebe
Ketika mendapatkan Fellaini dari Standard Leige, Moyes berjaya memaksa pihak pengurusan Everton mengeluarkan dana yang besar disebabkan beliau percaya, pemain itu bakal memberikan impak kepada skuad The Toffees kendaliannya. Kepercayaan merupakan faktor utama tetapi hubungan akrab antara Moyes dan Fellaini selama empat tahun juga dilihat bakal mendorong pengendali itu berusaha membawa bekas anak didiknya itu ke Old Trafford. Fellaini memiliki ketinggian hampir 1.9 meter hinggakan kadangkala dilihat pemain paling tinggi di dalam padang. Ketinggian Fellaini turut mempengaruhi kualitinya di udara di mana dia mencatatkan statistik 77% memenangi perebutan bola dalam situasi tersebut. Jadi tidak hairanlah jika kebanyakkan gol-gol yang dihasilkannya adalah menerusi tandukan. Kelebihan milik Fellaini bukan hanya setakat di udara kerana dia juga memiliki keseimbangan dan kekuatan untuk menyambut hantaran-hantaran lintang serta melakukan body charge ketika bersaing untuk merebut bola. Musim 2011/12, Fellaini muncul pemain kedua yang melakukan terjahan terbanyak di Liga Perdana selain mencatat penguasaan bola selama 190 minit. United sebelum ini sudah beberapa kali melakukan kesilapan ketika membeli pemain dalam beberapa tahun terakhir. Pembelian Bebe dengan harga hampir 8 juta Pound adalah bukti terbaik, begitu juga Anderson yang di beli dengan harga 20 juta Pound. Pembelian Bebe jelas satu kesilapan manakala Anderson pula gagal menyinar selepas enam tahun berada di Old Trafford walaupun dia pada mulanya diletakkan harapan sebagai pengganti Roy Keane. Jadi apakah Marouane Fellaini pemain tengah paling sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Scholes sekaligus memberikan lebih kekuatan di bahagian tengah Manchester United musim hadapan? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

27 Mei 2013

PEMAIN MUDA UNITED MANAKAH MAMPU IKUT JEJAK GIGGSY


Tiada mana-mana pemain paling besar dalam sejarah Manchester United selain Ryan Giggs. Kekal dengan satu kelab selama 23 tahun, bermain lebih 900 perlawanan untuk United, meraih 13 kejuaraan Liga Perdana, empat Piala FA, dua kejuaraan Liga Juara-Juara serta beberapa lagi trofi utama menjadikan Giggs pemain paling berjaya pernah disaksikan di Old Trafford. Awal bulan ini Giggs menandatangani kontrak baru selama setahun lagi sekaligus bakal menyaksikannya bermain buat musim ke-24 bersama United. Kemampuan Giggs bermain di peringkat tertinggi untuk tempoh yang panjang, kesetiaannya bersama United adalah sesuatu yang cukup luarbiasa. Tidak syak lagi, Giggs adalah contoh pemain terbaik yang perlu dijadikan panduan oleh pemain-pemain muda United jika mereka mahu menjadi pemain yang berjaya. November ini, usia Giggs akan mencecah angka 40, dan lagenda itu dijangka mungkin bersara penghujung musim depan atau setidak-tidaknya kekal selama semusim lagi (musim 2014/15). Jika Giggs bersara, siapakah pemain Manchester United yang mampu mengikut jejak langkahnya (dari segi pencapaian dan rekod penampilannya untuk United). Pilihan pertama saya ialah Phil Jones yang dilihat memiliki potensi mengikut jejak lagenda hidup Manchester United itu. Sepertimana Giggs, Jones pemain yang tidak pernah kenal putus asa, bekerja keras, ghairah dan penuh semangat ketika di atas padang. Dari semua pemain muda di Old Trafford, Jones memiliki kemungkinan paling besar menamatkan kariernya di Old Trafford. Satu-satunya masalah yang dihadapi Jones ialah fizikalnya. Jika dia mahu bermain hingga penghujung usia 30an, Jones perlu mengurangkan sedikit ‘keghairahannya’ ketika melakukan terjahan ataupun hadangan terhadap pemain lawan. Sir Alex Ferguson sendiri menaruh keyakinan pemain yang ditandatanganinya dari Blackburn Rovers itu berada di landasan terbaik untuk menjadi lagenda United satu hari nanti. “Jones boleh menjadi pemain terbaik satu hari nanti. Saya fikir dia juga mungkin menjadi salah seorang pemain terbaik pernah kami miliki, tidak kira di mana kami meletakkan posisinya dalam permainan”, kata Sir Alex ketika ditemuramah ESPN bulan lalu. Saya percaya selepas ini David Moyes akan meneruskan kerja-kerja Sir Alex membentuk Jones menjadi pemain yang jauh lebih bagus untuk United dan skuad kebangsaan England. Pilihan kedua ialah pemain muda berbakat Nick Powell. Selepas menyertai United dari Crewe Julai lalu, Powell jarang diberikan kesempatan pada musim pertamanya di Old Trafford.

Powell tidak perlu menunggu lama untuk mempamerkan bakatnya apabila menjaringkan gol pada penampilan pertamanya dalam saingan liga. Ada yang mengatakan gol jaringannya ke gawang Wigan Athletic itu mirip kepada jaringan yang sering dilakukan lagenda United, Paul Scholes. Dengan bakat yang ada pada dirinya dan baru berusia 19 tahu, Powell bakal menunjukkan potensinya selaku pemain tengah satu hari nanti. Seperti Jones, sukar untuk meramalkan pemain muda seperti Powell mampu mengikut jejak Giggs, bermain hanya untuk satu kelab sepanjang kerjayanya, tetapi berbaloi untuk meletakkan pertaruhan ke atasnya. Chris Smalling adalah pilihan ketiga di belakang Jones dan Powell. Smalling tampak seperti sedikit terabai jika diambilkira kenyataan Sir Alex selepas perlawanan terakhir musim ini menentang West Bromwich. “Saya ingin melihat Jonny Evans bermain bersama Phil Jones di benteng tengah kerana mereka berdua adalah masa depan pasukan”, kata Sir Alex. Meskipun sering dilanda kecederaan, bekas pemain Fulham berusia 23 tahun itu adalah antara pemain yang diharapkan bakal menjadi tonggak utama pasukan di masa depan. Sama seperti Jones, Smalling merupakan pemain versatil, boleh bertindak sebagai centre back mahupun sebagai bek kiri atau kanan. Jika kariernya tidak diganggu masalah kecederaan berpanjangan, Smalling adalah calon yang mampu mengikut jejak langkah Giggs. Selepas Jones, Powell dan Smalling kini tibalah calon terakhir. Pilihan keempat saya ialah pemain yang ditandatangani Sir Alex, Januari lalu, siapa lagi kalau bukan Wilfried Zaha. Zaha menjadi pilihan terakhir kerana gaya permainannya. Zaha baru berusia 20 tahun, dikenali dengan gaya larian-larian pantas di bahagian sayap malah ada yang mengatakan permainannya mirip kepada bekas bintang di Old Trafford, Cristiano Ronaldo. Corak permainan pantas Zaha mungkin menyebabkan dia tidak mampu bermain di peringkat tertinggi buat tempoh yang panjang. Bakat dan kebolehannya diakui ramai pihak dan pengurus Crystal Palace, Ian Holloway mengatakan kemampuan yang ada pada Zaha membolehkannya bermain untuk kelab besar seperti United. Paling menarik ialah ulasan Sir Bobby Charlton yang mengatakan bahawa Zaha memang dilahirkan untuk bermain bersama The Red Devils. Jika Zaha bijak mengendalikan permainan dan kariernya, tidak mustahil bintang muda ini mampu mengikut jejak Giggs. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

25 Mei 2013

LEIGHTON BAINES ATAU LUKE SHAW?


Ramai yang berteka teki siapakah pemain pertama yang bakal ditandatangani David Moyes musim panas ini. Dari Jerman, Sepanyol, Portugal hinggalah di England sendiri, beberapa nama sudah dikaitkan berada dalam radar United. Moyes menghabiskan tempoh 11 tahun di Goodison Park, diberikan peruntukkan kecil tetapi berjaya mengubah Everton menjadi antara pasukan yang digeruni dan konsisten dalam saingan domestik. Perjalanan karier Moyes ibarat cerita dongeng, umpama si miskin tetapi tiba-tiba menjadi kaya raya. Selepas 11 tahun, Moyes akhirnya dipilih selaku pengurus bolasepak untuk kelab terbesar di dunia dan dilimpahi dengan wang yang berlipat kali ganda banyaknya untuk membeli pemain yang dihajatinya. Dengan peruntukkan kewangan yang lebih besar, pastinya tanggungjawab pun menjadi lebih besar kerana Moyes kini berada di kelab yang jauh lebih besar. Diberikan peruntukkan kewangan yang besar menyebabkan Moyes tidak terlepas dari spekulasi yang mengaitkannya dengan beberapa pemain kelas dunia. Menurut The Daily Mirror, Marouane Fellaini dan Leighton Baines akan mengikut jejak langkah Moyes ke Old Trafford, manakala akhbar Sepanyol, Marca pula menyebut United sudah menyediakan tawaran berjumlah 18 juta Euro bagi mendapatkan Thiago Alcantara dari Barcelona. Tidak terhenti setakat itu, The Daily Express melaporkan bahawa pemain tengah PSV Eindhoven, Kevin Strootman turut berada dalam senarai pembelian Moyes. United ketika ini diakui amat memerlukan seorang pemain tengah agresif bagi menggantikan tempat Paul Scholes yang sudah bersara, tetapi Moyes perlu melakukan pertimbangan bijak sebelum membuat keputusan membeli mana-mana pemain yang dihajatinya. Musim lalu, United dikaitkan dengan beberapa nama sebagai pengganti Scholes, dan Moyes tidak boleh membiarkan spekulasi-spekulasi ini mempengaruhi dirinya dalam membuat keputusan. Sebagai pengendali berpengalaman, Moyes tentunya punya idea-idea sendiri dan pilihan gaya permainan yang dimahukannya. Ketika ramai pihak yang meramalkan Moyes akan memberikan lebih tumpuan kepada bahagian tengah, tiba-tiba muncul laporan yang mengaitkan United dengan bek kiri Southampton, Luke Shaw. The Daily Mail melaporkan bahawa Moyes sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan tandatangan pemain berusia 17 tahun yang juga mungkin pemain pertama ditandatanganinya selaku pengurus United yang baru. Sejak awal musim lalu lagi, United sudah dikaitkan dengan keinginan mendapatkan bek kiri sebagai pengganti jangka panjang Patrice Evra. Sejak 2011, (Leighton) Baines muncul pemain yang paling kerap dikaitkan dengan spekulasi berpindah ke Old Trafford tetapi pilihan terbaik ialah mendapatkan pemain muda berpotensi seperti Shaw.

Baines pemain yang bagus dan pasti menjadi aset kepada mana-mana pasukan yang diwakilinya tetapi pada usia 28 tahun, dia bukanlah pengganti jangka panjang Evra. Jika United terpaksa membayar 18 juta Pound untuk khidmat Baines, itu bukanlah satu keputusan yang tepat kerana nilai pemain itu akan jatuh menjunam apabila usianya mencecah ke angka 30 dua tahun lagi, kecualilah Baines mampu mengekalkan prestasi terbaik hingga ke penghujung kariernya. Evra masih diakui antara key player United hingga berjaya membantu The Red Devils menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Statistiknya musim lalu (2012/13) sudah cukup untuk menceritakan betapa besarnya sumbangan Evra kepada pasukan. Evra menghasilkan lima assist, menjaringkan empat gol dari 32 penampilan liga musim lalu dan merupakan tokoh besar dalam kesebelasan utama United. Bagaimanapun Evra kini sudah berusia 32 tahun dan mencari penggantinya merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar bagi Moyes. Mungkin ada penyokong-penyokong berpendapat bahawa United sudah memiliki Alexander Buttner dan pemain itu sudah bersedia menggantikan tempat Evra. Bek berusia 24 tahun itu memang diakui memiliki tackle yang bagus dan menawarkan tenaga tidak terbatas di sebelah kiri tetapi dia tidak memiliki kualiti menyerang sebagus Evra. Realitinya adalah bekas pemain Vittese Arnhem itu bukanlah jawapan terbaik untuk menggantikan posisi Evra suatu hari nanti. Satu lagi opsyen ialah Fabio da Silva, tetapi pemain yang dipinjamkan ke Queens Park Rangers itu perlukan waktu untuk berkembang menjadi pemain yang lebih bagus. Untuk itu, keputusan terbaik buat Moyes ialah cuba membawa keluar Shaw dari Stadium St Mary musim panas ini. Apa yang menariknya tentang Shaw? Pada usia 17 tahun, Shaw sudah bemain sebanyak 25 perlawanan untuk Southampton dalam saingan liga musim lalu. Dia bermain dengan cukup cemerlang ketika berdepan kelab gergasi seperti Arsenal, Chelsea dan Liverpool, memiliki kepantasan ketika menyerang mahupun bertahan, kawalan bola yang menarik serta memiliki kualiti hantaran-hantaran lintang yang bagus. Sebagai pemain pertahanan, kemampuan Shaw tidak terbatas ketika bertahan kerana dia juga mampu membuka peluang buat rakan-rakan ketika menyerang. Dengan bakat dan umur yang masih muda, masih banyak yang mampu dilakukan Shaw di masa hadapan, jadi tidak hairanlah jika dia adalah antara pemain muda yang sedang diburu di England. Baines memang diakui seorang bek yang serba lengkap, tetapi melabur untuk seorang pemain muda berbakat seperti Shaw merupakan satu tindakan yang bijak. Baines atau Shaw? Terserah pada pertimbangan Moyes…GLORY GLORY MANCHESTER UNITED! – A.J

23 Mei 2013

ADAKAH FABREGAS PENGGANTI TERBAIK BUAT PAUL SCHOLES?


David Moyes akan mula mengambilalih jawatan pengurus Manchester United sepenuhnya dari Sir Alex Ferguson Julai ini. Bekas pengendali Everton itu dijangka membangunkan pasukan mengikut acuannya sendiri, jadi ketika pasaran perpindahan pemain dibuka musim panas ini, Moyes boleh menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan pemain yang beliau fikirkan sesuai dengan taktikal yang bakal digunakannya nanti. Sebaik jendela perpindahan pemain dibuka, perkara pertama yang perlu dilakukan Moyes ialah cuba mendapatkan tandatangan Cesc Fabregas dari Barcelona. Kejayaan mendapatkan khidmat Fabregas adalah langkah awal yang sempurna buat Moyes sebagai pengurus baru United. Simon Johnson dari London Evening News melaporkan bahawa United akan menawarkan sekurang-kurangnya 20 juta Pound kepada Barca bagi membawa Fabrages pulang semula beraksi di England selepas dua musim bersama kelab Catalan itu. Tambah menarik tentang spekulasi masa depan Fabregas ialah kemungkinan bekas kelabnya, Arsenal akan turut bersaing bagi mendapatkan kembali khidmat pemain tengah itu. Jika benar seperti apa yang diperkatakan, United berdepan rintangan dalam usaha mereka mencari pengganti Paul Scholes di bahagian tengah. Jika memang benar United serius mahu mendapatkan Fabregas, itu merupakan satu langkah besar buat permulaan kerjaya Moyes di Old Trafford. Fabregas merupakan pemain tengah berpengaruh dan dia sudah membuktikannya selama tujuh tahun menyarung jersi The Gunners. Bagaimanapun selepas pulang semula ke Sepanyol dan menyertai Barca, Fabregas berdepan detik tidak menentu dalam kerjayanya. Musim ini Fabregas tenggelam dalam formasi 4-1-2-3 yang digunakan Tito Vilanova di mana pengendali itu lebih gemar menggunakan kombinasi Sergio Busquets, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta. Tiada lagi kelibat Paul Scholes di bahagian tengah selepas pemain veteran itu mengumumkan persaraannya bermakna pemain seperti Fabregas antara opsyen terbaik sebagai pengganti untuk memberikan kestabilan di bahagian tersebut. Dengan kemungkinan Anderson juga bakal meninggalkan Old Trafford selepas dikhabarkan akan kembali semula ke FC Porto, United akan kekurangan seorang lagi midfielder bagi menggerakkan jentera tengah. Faktor ini menjadikan keperluan mendapatkan Fabregas perlu diberikan keutamaan oleh Moyes apatah lagi pemain tengah berusia 26 tahun itu dilihat agak terdesak untuk memulihkan semula kariernya.

Keputusan kembali semula ke Liga Perdana dipercayai boleh menghidupkan semula peluang Fabregas disenaraikan dalam skuad kebangsaan ke pusingan akhir Piala Dunia 2014. Bersama Arsenal di mana Arsene Wenger berjaya menggilap namanya hingga muncul antara bintang utama di Liga Perdana, Fabregas bertindak selaku playmaker yang merencanakan gerakan-gerakan menyerang The Gunners hingga pernah diiktiraf antara pasukan yang mengamalkan corak permainan menarik selain Barcelona dengan tiki takanya. Jodoh Fabregas bersama Arsenal berakhir selepas dia mengambil keputusan meninggalkan kelab itu untuk menyertai Barca pada 2011 bagi memenuhi impiannya kembali semula ke kelab yang pernah mencungkil bakatnya menerusi Akademi La Masia. Bersama Barca, Fabregas berjaya mengakhiri kemarau kejuaraannya apabila berjaya menjulang trofi La Liga, Copa del Rey, Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Kejuaraan Kelab-kelab Dunia. Bagaimanapun kejayaan Fabregas memenangi pelbagai trofi di peringkat domestik dan Eropah bersama Barca terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila dia mendapati dirinya kini bukan lagi pilihan membarisi kesebelasan utama berbanding apa yang dinikmatinya ketika bersama Arsenal. Barca memiliki begitu banyak bakat-bakat hebat di bahagian tengah mereka hingga menyebabkan Fabregas sekadar menjadi pilihan keempat di belakang Iniesta, Xavi dan Sergio Busquets selain adanya Alex Song serta Thiago Alcantara yang turut memberikan saingan sengit bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama. Jika Fabregas mahu kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama dan bermain setiap minggu, dia hanya punya satu pilihan iaitu pulang semula ke England. Jika dia mahu menyertai semula Arsenal atau memang benar United mahukan khidmatnya, Fabregas boleh memainkan peranan penting di bahagian tengah kedua-dua kelab ini. Jika dia mahu menyertai United, Fabregas akan bekerjasama semula dengan Robin Van Persie dan dia boleh kembali memainkan peranannya sebagai pengumpan buat bekas rakan sepasukannya itu ketika bersama Arsenal dulu. Apa yang lebih utama buat Fabregas ialah, dia akan mendapati dirinya kembali menjadi pemain penting di atas padang berbanding peranan yang dimainkannya sekarang. Dipihak United pula, kehadiran Fabregas bakal memberikan kekuatan di bahagian tengah selepas Paul Scholes mengumumkan persaraannya. Apakah Fabregas bakal menjadi pemain pertama ditandatangani Moyes bagi menghadapi musim depan? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

21 Mei 2013

KERJA-KERJA AWAL YANG PERLU DILAKUKAN MOYES


David Moyes sudah menjejakkan kakinya di Carrington, pusat latihan Manchester United semalam meskipun beliau masih mempunyai kira-kira 41 hari lagi sebelum mengambilalih secara rasmi tugas dari Sir Alex Ferguson. Moyes mengakui dalam beberapa minggu ini, beliau akan berhadapan dengan tugas berat dan banyak kerja yang perlu dilakukannya. Tugas mengendalikan kelab besar seperti Manchester United bukanlah satu tugas yang mudah, situasi yang mungkin jauh berbeza dengan apa yang sudah dilaluinya di Goodison Park. Di samping terpaksa menyesuaikan dengan suasana kerja yang baru, Moyes juga dijangka berdepan dengan beberapa isu yang menantinya di Old Trafford. Perkara pertama yang perlu ditangani Moyes sebaik beliau mengambilalih tugas sepenuhnya dari Sir Alex ialah menentukan barisan kejurulatihannya. Lazimnya, apabila seorang pengurus meninggalkan sesebuah kelab, mereka akan membawa bersama barisan jurulatihnya bagi menggantikan staf kejurulatihan di kelab baru, tetapi perkara itu nampaknya tidak akan berlaku di Old Trafford. Pembantu Sir Alex dalam skuad utama, Rene Meulensteen sendiri sudah bertemu Moyes di Carrington bagi membincangkan hala tuju pasukan seterusnya. Tugas pertama Moyes ialah menggandingkan bekas pembantunya di Goodison Park, Jimmy Lumsden yang dijangka akan dibawa bersamanya dengan staf sedia ada di Old Trafford. Selain Lumsden, bekas pemain United, Phil Neville juga diberitakan akan dibawa Moyes bagi menyertai staf kejurulatihan United musim depan. Sementara itu, Sir Alex sudah mengesahkan bahawa Ryan Giggs, Paul Scholes dan Nicky Butt akan diberikan peranan sebagai jurulatih di Carrington. Untuk itu, Moyes harus merencanakan dengan teliti apa yang perlu dilakukannya dengan barisan kejurulatihannya nanti. Jika isu menentukan barisan staf yang akan membantunya musim depan selesai, barulah Moyes boleh memikirkan barisan skuad yang akan dibentuknya. Moyes sudah tentu tidak mahu kehilangan pemain-pemain terbaiknya apabila saingan liga musim 2013/14 bermula nanti.

Tugas besar yang menanti Moyes ialah bagaimana beliau mahu mencari jalan terbaik menyelesaikan kemelut masa depan Wayne Rooney di Old Trafford. Rooney sudahpun meminta supaya dia dilepaskan dan Sir Alex mengatakan bahawa masalah itu menjadi perkara utama yang perlu diselesaikan Moyes. Dengan kata lainnya keputusan sama ada mahu mengekalkan atau menjual Rooney terletak di tangan Moyes sepenuhnya. Keputusan segera bakal menguntungkan kedua-dua belah pihak. Andai Moyes mahu menjual Rooney, beliau boleh menumpukan sepenuhnya fokus mendapatkan pemain-pemain yang diidamkan sebaik jendela perpindahan pemain dibuka musim panas ini. Selain Rooney, Moyes juga perlu memutuskan segera masa depan Nani kerana kontrak pemain antarabangsa Portugal itu akan berakhir pada Jun 2014. Sir Alex meninggalkan skuad juara untuk diwarisi Moyes tetapi menjelang musim baru, cabaran baru yang lebih hebat bakal di hadapi United. Selain Wilfried Zaha yang bakal tiba di Old Trafford selepas berjaya ditandatangani Sir Alex Januari lalu, Moyes dijangka membeli beberapa pemain lagi untuk memperkuatkan pasukan. Beliau dijangka mendapatkan seorang lagi penjaga gol baru bagi memberikan saingan kepada David de Gea selain bekas anak didiknya seperti Leighton Baines dan Marouane Fellaini yang turut dikaitkan dengan minat United sebelum ini. Sepertimana Sir Alex, Moyes juga merupakan seorang pengurus yang gemar memberikan peluang kepada pemain-pemain muda tampil dalam skuad utamanya. Di Goodison Park, Moyes berjaya menggilap bakat Rooney, Victor Anichebe dan Jack Rodwell hingga berjaya menembusi tempat dalam skuad utama, dan beliau pastinya melakukan perkara yang sama di Old Trafford. Akademi United akan menjadi fokus utama Moyes, kerana meskipun sudah melahirkan pemain-pemain berbakat seperti Tom Cleverley dan Danny Welbeck, ada kebimbangan sistem Akademi The Red Devils itu tidak produktif seperti dulu. Bagaimanapun Moyes pastinya lega selepas skuad U-21 United berjaya mengikut jejak senior-senior mereka dengan meraih kejuaraan liga. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

18 Mei 2013

PREVIEW: WEST BROM lwn MANCHESTER UTD



Sir Alex Ferguson akan memimpin Manchester United sebagai pengurus buat kali terakhir malam ini. Selepas tempoh 26 tahun menerajui United, pertembungan menentang West Bromwich Albion di The Hawthorns akan menjadi perlawanan perpisahan buat pengurus lagenda United itu. Pertembungan dengan anak-anak buah Steve Clarke dianggap istimewa bukan saja kerana ia merupakan perlawanan terakhir buat Sir Alex tetapi juga merupakan perlawanan ke-1500 sebelum beliau bersara sekaligus menutup tirai 26 tahun pengabdiannya selaku antara individu paling berkuasa di Old Trafford. Ada banyak sebab untuk pemain-pemain United menang perlawanan ini, bukan hanya sebagai hadiah perpisahan kepada bos mereka tetapi tiga mata yang dikutip memastikan mereka menyamai rekod 91 mata yang pernah dilakukan skuad juara treble musim 1998/99. United berpeluang cerah meraih tiga mata penuh malam ini bersandarkan rekod baik mereka ke atas The Baggies dalam 13 pertemuan terakhir. United hanya gagal memungut mata penuh sebanyak dua kali, selain menang enam perlawanan liga di The Hawthorns. Jika Steve Clarke dan anak-anak buahnya berhajat merosakkan perlawanan terakhir Sir Alex, mereka sepatutnya merenung kembali rekod United ketika beraksi di gelanggang lawan sejak November tahun lalu.

Untuk rekod United tidak tewas sejak November lalu setiap kali beraksi di gelanggang lawan dan bakal turun dalam perlawanan ini dengan kekuatan hampir penuh. Hanya Ashley Young, Darren Fletcher dan Rafael da Silva sahaja dipastikan berada dalam senarai kecederaan manakala lain-lain pemain sedia beraksi pada perlawanan terakhir liga musim ini. Sementara itu, tugas sukar bakal menanti tuan rumah selepas mengalami penurunan prestasi sebaik bermulanya tahun baru. Mereka gagal mengekalkan prestasi baik di awal musim yang menyaksikan barisan Steve Clarke pernah berada di kelompok empat teratas. Selepas meraih hanya satu kemenangan dari lapan perlawanan terakhir mereka, jelas ini bukanlah waktu terbaik buat skuad tuan rumah menyambut kunjungan United. Bukan hanya berdepan prestasi buruk, Clarke juga kemungkinan besar tidak dapat menurunkan pemain pertahanannya Steve Reid yang mengalami kecederaan lutut. Jika Reid gagal diturunkan, Clarke mungkin menggunakan Billy Jones sebagai pengganti. Selain itu Marc Antoine Fortune sudah boleh diturunkan selepas tamat menjalani penggantungan. Bagi penyokong-penyokong United anda sepatutnya tidak terlepas perlawanan ini dan saksikan buat kali terakhir Sir Alex berada di bangku pengurus United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan West Brom:

Ben Foster, Billy Jones, Gareth McAuley, Jonas Olsson, Liam Ridgewell, Youssouf Mulumbu, Claudio Yacob, Romelu Lukaku, James Morrisson, Chris Brunt & Shane Long

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Chris Smalling, Phil Jones, Jonny Evans, Alexander Buttner, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Robin Van Persie, Shinji Kagawa & Javier Hernandez

IMBAS KEMBALI MOMEN INDAH SI LAGENDA, DAVID BECKHAM


David Beckham merupakan individu yang cukup menarik perhatian, baik ketika beraksi di atas padang mahupun kehidupannya di luar padang. Sejak melakukan penampilan pertama sebagai pemain profesional pada tahun 1995, pemain yang memiliki kepakaran tendangan percuma ini meninggalkan banyak kenangan manis buat kita semuanya terutamanya penyokong-penyokong Manchester United. Memulakan karier dan membesar bersama Manchester United, Beckham berpindah ke Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan menamatkan kariernya bersama juara Ligue 1, Paris St Germain (PSG). Khamis lalu, Beckham secara rasmi mengumumkan persaraannya dari arena bolasepak sekaligus menamatkan impiannya untuk beraksi semula bersama United dan menamatkan kariernya di sini (Old Trafford). Sepanjang perjalanan kariernya, Beckham memenangi enam trofi Liga Perdana, dua Piala FA, satu Liga Juara-Juara, dua trofi MLS (Major League Soccer) dan terakhir menjuarai Ligue 1 bersama PSG. Hebat di atas padang menerusi sepakan percuma dan hantaran-hantaran silangnya, Beckham juga cukup terkenal di luar padang. Kehidupan Beckham di luar padang setaraf selebriti terkenal Hollywood terutamanya selepas dia berkahwin dengan bintang pop terkenal Victoria Adams. Nasib Beckham mungkin tidak sebaik Paul Scholes dan Gary Neville (rakan-rakannya dari Class of 92) yang kekal dan menamatkan kerjaya mereka di Old Trafford tetapi percayalah, Becks tetap diiktiraf sebagai lagenda Manchester United untuk sumbangan hebatnya sepanjang 10 tahun (1993 hingga 2003) menyarung jersi The Red Devils. Untuk itu marilah kita sama-sama mengimbas kembali momen-momen (dalam bentuk bergambar) yang ditinggalkan Beckham sepanjang 18 tahun karier profesionalnya yang penuh gemilang. Selamat Bersara Becks…GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J


1. Becks menjaringkan gol dari tengah padang ketika pertemuan menentang Wimbledon dalam saingan liga. Gol menakjubkan itu berlaku pada Ogos 1996. Menyedari penjaga gol lawan sudah terkeluar dari posisinya, Becks melepaskan tendangan lambung jarak jauh yang terus menerjah gawang The Dons. Gol ini diingati antara gol tercantik pernah dihasilkan dalam dunia bolasepak.


2. Prestasi cemerlangnya bersama United menyebabkan Becks dipilih menganggotai skuad kebangsaan England. Penampilan pertama Becks untuk skuad The Three Lions hadir pada 1 September 1996 ketika berdepan Moldova dalam saingan kelayakan Piala Dunia.


3. Becks dipilih memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik 1997. Penghargaan individu ini membuktikan kualiti Becks sebagai pemain bolasepak bukan sekadar bersandar pada populariti dan ketampanan wajahnya semata-mata.


4. Becks dan Victoria mengumumkan pertunangan mereka pada 1998.


5. Becks menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 1999. Musim 1998-99 jelas musim terbaik Becks sepanjang kariernya kerana dia berjaya membantu United menang kejuaraan treble (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara).


6. Becks menjaringkan gol penting menerusi sepakan percuma ke gawang Greece pada 2001. Gol itu juga memastikan England layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2002.


7. Bukan setakat menikmati puncak keriernya bersama United pada awal 2000, kerana saat itu juga Becks berada di puncak populariti. Becks bukan hanya dianggap sebagai pemain bolasepak tetapi juga selebriti.  


8. Selepas muncul wira dengan memastikan England layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2002, Becks mengalami kecederaan serius hingga menjejaskan peluangnya beraksi bersama skuad kebangsaan di Korea dan Jepun.


9. Konfrontasi di bilik persalinan menyebabkan kening Becks tercedera. Meskipun pada awalnya kedua-dua belah pihak (Becks & Sir Alex) cuba menyembunyikan sesuatu, namun akhirnya kebenaran terbongkar juga. Dalam keadaan marah, Sir Alex dilaporkan menendang boot hingga menyebabkan kening Becks tercedera. Insiden ini juga menyebabkan jodoh lagenda itu bersama United berakhir pada 2003.


10. Becks berhijrah ke Sepanyol dengan menyertai Real Madrid pada musim panas 2003.


11. Selepas empat tahun bersama Madrid, Becks akhir mengambil keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat dan bemain untuk LA Galaxy di MLS.


12. Sepanjang bersama LA Galaxy, Becks sempat beraksi bersama AC Milan sebanyak dua kali sebagai pemain pinjaman. Becks gembira dengan cabaran baru di Milan dan sedia menebus kontraknya namun tidak mendapat keizinan dari pihak pengurusan Galaxy.


13. Becks mengakhiri karier lima tahunnya bersama Galaxy dengan membantu kelab itu menjulang Piala MLS pada 2012.


14. Becks muncul pemain England pertama yang berjaya memenangi kejuaraan liga di empat negara berbeza. Kejuaraan Ligue 1 merupakan trofi terakhir yang dimenanginya sebelum mengumumkan persaraan bersama Paris St Germain. 

16 Mei 2013

ALASAN MENGAPA ROONEY HARUS PERGI


Mutakhir ini ramai yang meramalkan bahawa karier Wayne Rooney bersama Manchester United menuju penghujung jalan. Selepas Sir Alex mendedahkan bahawa Rooney meminta supaya United menjualnya musim panas ini, tiada apa yang boleh diharapkan penyokong-penyokong United kecuali menghitung hari-hari terakhir bekas pemain Everton itu di Old Trafford. Jika memang benar Rooney mahu meninggalkan United, apakah keputusan yang diambilnya itu tepat? Ini bukanlah kali pertama Rooney meminta untuk dijual kerana bintang England itu pernah melakukannya pada 2010. Selepas ditawarkan dengan kontrak baru yang lumayan, Rooney akhirnya melakukan  pusingan U dalam tempoh 24 jam dan kekal bersama United hingga sekarang. Walau bagaimanapun situasi kali ini tampak berbeza apatah lagi selepas Sir Alex sendiri mengumumkan pengundurannya dari kerusi pengurus United. Tambah memburukan keadaan buat Rooney, David Moyes yang memang diketahui pernah berkonfrontasi dengannya sebelum ini akan mengganti tempat Sir Alex. Mungkin anda beranggapan saya agak keterlaluan jika mengatakan inilah waktu yang tepat untuk Rooney meninggalkan United. Saya ada alasan untuk berkata begitu atas beberapa sebab yang saya fikirkan logik antaranya ialah faktor jaminan dalam kesebelasan utama, peranan yang dimainkan sejak tibanya Robin Van Persie, tekanan media, David Moyes dan hubungannya dengan penyokong-penyokong. Jika ada benar-benar penyokong setia United anda tentunya mengikuti perkembangan Rooney baik di dalam mahupun luar padang serta sikapnya. Rooney bukan seorang individu yang penyabar di mana nalurinya mudah terusik jika kehendaknya tidak dipenuhi dan salah satunya ialah tampil dalam kesebelasan utama. Musim ini, Rooney hanya tampil sebanyak 26 perlawanan dalam saingan liga dan menjaringkan 12 gol. Enam perlawanan Rooney masuk sebagai pemain gentian, manakala lima perlawanan lagi dia tidak berjaya menghabiskannya selama 90 minit. Atas alasan apa sekalipun, sejak akhir-akhir ini Rooney sudah mula tersisih, jadi adalah lebih baik jika dia mula mencari kelab baru yang memang memerlukan tenaganya, sekaligus memenuhi keinginannya bermain dalam setiap perlawanan. Di awal musim ketika Sir Alex menandatangani Robin Van Persie dari Arsenal, ramai pihak menjangkakan bahawa kombinasi Rooney dan Van Persie mampu mengulangi semula kehebatan gandingan maut Dwight Yorke dan Andy Cole dari skuad juara treble 1999. Walau bagaimanapun saya boleh katakan bahawa ramalan itu sebenarnya tidak menjadi kenyataan, bahkan kehadiran Van Persie sebenarnya membuatkan kedudukan Rooney sebagai penyerang utama semakin tersisih.

Musim ini Rooney lebih banyak bertindak sebagai pengumpan dengan kawasan permainannya lebih banyak berlegar di bahagian tengah. Dengan adanya Shinji Kagawa, kedudukan Rooney ketika ini benar-benar terancam dan jika Moyes menandatangani beberapa pemain baru musim panas ini, tiada jaminan untuk Rooney disenaraikan dalam kesebelasan utama. Untuk itu, Rooney harus mencari kelab baru yang mana persaingan tidak begitu sengit seperti Arsenal contohnya. Sejak menyertai United pada 2004, Rooney menjadi perhatian media-media di England, kebanyakkan laporan-laporan yang mereka terbitkan tentang Rooney lebih banyak berunsur negatif. Tekanan demi tekanan yang diberikan media di England sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi Rooney di atas padang. Hanya ada satu cara sahaja untuk Rooney keluar dari belenggu ini, iaitu berhijrah ke luar negara. Bermain dengan kelab luar akan menghindarkan Rooney dari perhatian media-media England yang cukup terkenal dengan “kekejaman” mereka. Tanpa tekanan keterlaluan dari media, pemain yang memiliki sikap panas baran tetapi berbakat besar seperti Rooney mampu menterjemahkan prestasi terbaiknya di atas padang dan menjadikan dia lebih matang. Faktor hubungan Rooney dengan pengurus baru United, David Moyes juga perlu diberikan perhatian sewajarnya. Meskipun kedua-duanya mengakui hubungan mereka kembali jernih selepas terjejas teruk berikutan penerbitan autobiografi Rooney, tetapi ramai yang percaya ikatan (hubungan) itu tidak skuat dulu. Kedatangan Moyes musim panas ini bagi menggantikan Sir Alex mungkin mencetuskan semula sengketa lama dan jalan terbaik buat kedua-duanya terutama Rooney ialah keluar dari Old Trafford bagi mengelakkan konfrontasi di bilik persalinan. Akhir sekali faktor yang boleh mendorong Rooney memilih jalan keluar ialah hubungannya dengan penyokong-penyokong United. Seperti yang sudah saya sebutkan di atas, ini adalah kali kedua Rooney meminta supaya dirinya dijual. Tindakan kali kedua yang dilakukan Rooney pasti mengundang perseteruan dengan penyokong-penyokong United dan bibit-bibit awal sudah kelihatan semasa upacara penyerahan trofi Liga Perdana, Ahad lalu. Rooney diejek penyokong-penyokong ketika dia menerima medal kejuaraan. Beberapa pemain senior United juga diberitakan kurang senang dengan tindakan terbaru Rooney hingga dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian pasukan. Jadi tindakan paling bijak yang boleh dilakukan Rooney ketika ini ialah dengan memilih jalan keluar, satu tindakan yang dilihat bagus buat pasukan dan juga kariernya sendiri. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

15 Mei 2013

WAZZA KELUAR...CR7 MASUK?


Sir Alex Ferguson sudahpun mengumumkan pengundurannya secara rasmi, dan kini tumpuan terarah pula kepada Wayne Rooney. Kelmarin Sir Alex mendedahkan keinginan Rooney meninggalkan Old Trafford sekaligus mengesahkan spekulasi yang bertiup kencang sebelum ini tentang masa depan penyerang antarabangsa England itu bersama United. Atas sebab itu jugalah mengapa Rooney tidak disenaraikan ketika United berdepan Swansea City kerana Sir Alex berpendapat Rooney “tiada hati” untuk bermain. Jika diambilkira reaksi penyokong-penyokong United terhadap Rooney semasa upacara penyampaian trofi Liga Perdana Ahad lalu, kita mungkin sudah boleh menjangkakan bahawa musim ini mungkin menjadi musim terakhirnya di Old Trafford. Pergolakan yang melanda karier Rooney sejak akhir-akhir ini mungkin berpunca dari peranan baru yang dimainkannya dalam kesebelasan utama sejak ketibaan Robin Van Persie musim panas lalu. Pada usia 27 tahun, Rooney sebenarnya berada dalam tempoh matang bagi seorang pemain dan dengan bakat yang dimilikinya tidak sukar untuk mencari kelab besar yang mahukan khidmatnya. Rooney boleh bermain di mana-mana liga terbaik sekitar Eropah dan jika dia benar-benar mahu keluar dari Old Trafford, namanya akan berada dalam senarai teratas pengurus-pengurus kelab besar untuk ditandatangani. Kontrak Rooney bersama United akan berakhir pada 2015 tetapi tiada tanda-tanda positif menunjukkan bekas penyerang Everton itu akan menghabiskan kontraknya di Old Trafford. Walaupun Sir Alex menegaskan United tidak akan membiarkan Rooney pergi manakala penggantinya, David Moyes pula melemparkan pujian dengan mengatakan bahawa Rooney antara pemain kelas dunia yang dimiliki United, itu semua tidak akan meredakan sebarang spekulasi tentang masa depan pemain itu. Jika Rooney mahu menamatkan kariernya di Old Trafford musim panas ini, David Moyes tidak perlu melihat terlalu jauh bagi mencari pengganti bekas anak didiknya itu semasa di Goodison Park.


Semua tumpuan kini sebenarnya sedang terarah kepada bintang yang lebih besar. Menurut laporan Neil Ashton dari Daily Mail, Manchester United ketika ini sangat yakin dapat membawa pulang superstar Portugal, Cristiano Ronaldo ke Old Trafford. Spekulasi tentang kepulangan Ronaldo sudah berleluasa hampir sepanjang musim ini, terutamanya selepas dia kembali semula ke Old Trafford buat pertama kali Mac lalu sejak berpindah ke Santiago Bernabeu pada 2009. Ketika itu Ronaldo berjaya membantu Real Madrid layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan United menerusi agregat 3-2. Biarpun menjaringkan gol kemenangan Madrid, Ronaldo diberikan sambutan hangat oleh penyokong-penyokong United dan dihadiahkan sehelai t-shirt khas penampilan ke-1000 Ryan Giggs yang ditandatangani pemain-pemain United. Ketepikan dahulu faktor keakraban Ronaldo dengan penyokong-penyokong United kerana bintang itu punya banyak sebab untuk mempertimbangkan hasratnya menyarung semula jersi United. Meskipun Sir Alex tidak lagi menguruskan United, tetapi lagenda itu boleh memainkan peranannya dalam lembaga pengarah untuk memancing Ronaldo. Jika Rooney dijual musim panas ini, United juga akan memiliki aliran wang masuk yang besar hasil dari penjualannya dan boleh digunakan bagi mendapatkan Ronaldo. Bukan sekali dua kita mendengar keluhan Ronaldo yang mengatakan bahawa dia tidak mendapat sokongan dari penyokong-penyokong Madrid ketika beraksi di Bernabeu. Di Old Trafford situasinya jauh berbeza apabila namanya sering dilaung-laungkan penyokong-penyokong United meskipun dia tidak lagi beraksi untuk United. Liga Perdana mempunyai tarikan dan kekuatan tersendiri terutama dari segi kewangan. Jika perpindahan Ronaldo (ke Old Trafford) berjaya dimuktamadkan ia pastinya melibatkan jumlah wang yang besar, dan sekiranya Ronaldo benar-benar mahu keluar dari Bernabeu, tiada tempat yang paling sesuai buatnya melainkan Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

13 Mei 2013

AMANAT TERAKHIR DARI SEORANG LAGENDA


Suasana penuh emosi mewarnai perpisahan Sir Alex Ferguson dan Paul Scholes di Old Trafford malam tadi. Selepas berjaya menewaskan Swansea City 2-1, yang juga merupakan perlawanan terakhir buat Sir Alex dan Scholes bersama United di Old Trafford, pengendali lagenda itu menyampaikan ucapan perpisahannya kepada pemain dan penonton-penonton yang membanjiri Theatre of Dreams. Sir Alex yang berjaya membawa United memenangi 38 trofi sepanjang lebih 26 tahun berkuasa di Old Trafford berkata, “Sebelum bercakap panjang lebar, saya ingin menyampaikan penghormatan untuk Paul Scholes yang akan bersara hari ini. Dia adalah salah seorang pemain hebat yang pernah dimiliki kelab ini. Saya juga mendoakan Darren Fletcher agar cepat sembuh dan kembali menyertai pasukan. Saya ingin memberitahu kepada anda semua bahawa selama kita berdepan saat-saat mengecewakan di sini, kelab sentiasa menyokong saya. Lembaga pengarah, staf dan semua pemain juga memberikan sokongan kepada saya. Tugas kalian sekarang ialah melakukan perkara yang sama kepada pengurus yang baru. Jika kalian mengingati gol-gol yang dramatik, kekecewaan dan waktu-waktu indah, itu sebenarnya adalah pengalaman yang luarbiasa. Saya sangat bertuah kerana berkesempatan bekerjasama dengan pemain-pemain terbaik di negara ini. Pemain-pemain ini telah memenangi liga dengan cara yang cukup fantastik. Jadi ucapan selamat untuk anda semua. Kepada Manchester United, terima kasih saya ucapakan. Bukan hanya kepada staf, tetapi anda semua. Anda semua adalah perkara paling hebat pernah terjadi dalam hidup saya. Terima kasih”. Begitulah amanat terakhir dari sang lagenda untuk semua yang menyokong beliau khasnya dan Manchester United secara keseluruhannya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: MALAM PENUH EMOSI...


Perlawanan terakhir buat Sir Alex Ferguson dan Paul Scholes di Old Trafford berakhir dengan cukup manis selepas Rio Ferdinand menyumbat gol kemenangan di penghujung permainan. Sepertimana lazimnya United di bawah kendalian Sir Alex (menghasilkan gol-gol di penghujung babak permainan), Rio memilih tempat dan detik yang tepat untuk memberikan hadiah paling berharga buat pengendali lagenda itu dan juga rakan sepasukannya, Scholes yang mengumumkan persaraan buat kali kedua hujung musim ini. Ramai di kalangan penyokong-penyokong United begitu teruja menanti perlawanan ini kerana ia merupakan perlawanan terakhir buat dua lagenda (Sir Alex dan Scholes) itu di Theatre of Dreams. Swansea hadir dengan misi mahu merosakkan pesta United dan menamatkan kemarau tanpa kemenangan ke atas The Red Devils sejak Januari 1982. Bagaimanapun misi anak-anak buah Michael Laudrup di Old Trafford tampak akan berakhir dengan kekecewaan selepas Javier Hernandez meletakkan United di hadapan menerusi tolakan mudah enam minit sebelum tamat babak pertama. Bagaimanapun Michu berjaya menyamakan kedudukan ketika permainan babak kedua baru berlangsung empat minit selepas memanfaatkan hantaran dari sebelah kanan Nathan Dyer. Tidak mahu pesta di Old Trafford dirosakkan oleh anak-anak buah Laudrup, Sir Alex melakukan sedikit perubahan dengan mengeluarkan Danny Welbeck, Herandez dan Paul Scholes. Kehadiran Antonio Valencia, Ryan Giggs dan Anderson nyata mengubah rentak permainan United apabila mereka mula memberikan tekanan lebih kuat kepada benteng pertahanan pelawat. Ketika ramai yang menjangkakan perlawanan ini akan berkesudahan dengan keputusan seri, Rio muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan ketika masa sebenar permainan berbaki tiga minit untuk ditamatkan. Gol kemenangan itu berpunca dari sepakan sudut Robin Van Persie yang tepat menuju ke arah Rio dan kemudiannya disudahkan pemain pertahanan itu menerusi satu sepakan voli kencang. Gol itu memang cukup bermakna buat Rio, bukan saja kerana ia gol kemenangan tetapi juga merupakan gol pertamanya dalam tempoh lima tahun. Akhirnya misi menghadiahkan kemenangan buat Sir Alex dan Scholes pada perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri berhasil dan pesta di Old Trafford berterusan apabila upacara penyampaian trofi Liga Perdana dilakukan selepas tamat perlawanan.

Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apabila menyaksikan ini adalah kali terakhir kita dapat menyaksikan kelibat Sir Alex dan Scholes di Theatre of Dreams. Musim depan kita tidak akan dapat menyaksikan lagi aksi-aksi dua lagenda itu di tengah dan tepi padang. Sir Alex akan menjalan tugas barunya dalam lembaga pengarah manakala Scholes pula akan menyaksikan aksi bekas rakan-rakan sepasukannya dari tempat duduk penonton. Sebaik selesai upacara penyampaian trofi, beberapa pemain United yang ditemuramah pemberita mengambil kesempatan merakamkan penghargaan buat Sir Alex dan antaranya ialah Michael Carrick dan Phil Jones. Menurut pemain tengah itu, tiada mana-mana individu yang mampu menggantikan tempat Sir Alex selepas lebih 26 tahun pengendali itu duduk di kerusi pengurus United. “Saya bersyukur kerana berkesempatan bermain di bawah kendalian Sir Alex dan kelab yang besar ini. Beliau adalah seorang pengurus dan lelaki yang luarbiasa. Pendekatannya untuk pasukan dan sikapnya yang sentiasa laparkan kejayaan membuatkan beliau tiada penggantinya. Hingga kini masih ramai orang yang memberitahu saya bahawa beliau akan pergi dan pengurus baru akan tiba. Ini adalah minggu yang cukup aneh”, kata Carrick. Bagi pemain pertahanan, Phil Jones pula, keputusan Sir Alex mengumumkan persaraannya Rabu lalu merupakan berita sedih buat dirinya. Jones yang dibeli Sir Alex dari Blackburn Rovers dua tahun lalu mengakui dia terhutang budi dengan pengendali itu. “Beliau pengurus yang fantastik. Anda boleh membicarakan perkara-perkara positif tentang dirinya tetapi tetap tidak akan cukup untuk menggambarkan apa yang beliau berikan kepada saya secara personal. Ucapan terima kasih dari saya pun tidak akan cukup untuk membalas budinya”, kata Jones. Malam semalam adalah malam yang cukup luarbiasa dan penuh emosi buat penyokong-penyokong United. Kita bergembira kerana kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20 tetapi dalam masa yang sama kita kehilangan dua tokoh berpengaruh, ikon dan lagenda serentak. Musim depan tiada lagi keriuhan suara Sir Alex dari tepi padang memberikan arahan kepada pemain-pemainnya selain aksi-aksi penuh emosinya terutama ketika membantah keputusan pegawai perlawanan. Di tengah padang pula, kita pasti merindui kelibat Scholes ketika menyusun gerakan-gerakan ke kubu lawan, percubaan-percubaanya dari luar kotak penalti dan terjahan-terjahan kerasnya bagi mematikan gerakan lawan. Selamat bersara Sir Alex Ferguson dan Paul Scholes…kami pasti merindui anda berdua. Glory Glory Manchester United!!! – A.J  

12 Mei 2013

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn SWANSEA CITY



Malam nanti, Manchester United akan bermain buat kali terakhir di gelanggang sendiri musim ini. Sebagai penyokong setia, kita sudah pasti menanti perlawanan ini dengan satu tujuan, iaitu mahu menyaksikan upacara penyerahan trofi Liga Perdana di akhir perlawanan. Selepas mengumumkan persaraannya Rabu lalu, perlawanan menentang Swansea City ini juga adalah perlawanan terakhir buat Sir Alex Ferguson di Old Trafford sebagai pengurus. Sebagai menghargai peranan besar yang telah dimainkannya selama 26 tahun, para pemain United sendiri meminta agar trofi itu diserahkan kepada Sir Alex, bukan kepada kapten pasukan sebagaimana lazimnya. Jangan lupa juga, ini merupakan perlawanan terakhir buat seorang lagi lagenda United, Paul Scholes yang sah akan bersara buat kali kedua hujung musim ini. Sebagai penghormatan buat pemain tengah itu, Scholes dijangka berada dalam kesebelasan utama United malam ini. Berbalik kepada pertemuan United dan Swansea malam ini, skuad The Red Devils sudah pasti mahu menghadiahkan kemenangan buat Sir Alex pada aksi terakhir di Old Trafford. 

United gagal meraih mata penuh pada dua perlawanan terakhir mereka apabila diikat Arsenal 1-1 (di Emirates) dan kemudiannya tewas kepada Chelsea 0-1 (di Old Trafford). Perlawanan ini tentunya menghadirkan emosi yang bukan sedikit buat penyokong-penyokong United dan pemain-pemain pula sudah pasti terdorong untuk menghadiahkan kemenangan buat dua lagenda itu (Sir Alex dan Scholes) di hadapan penyokong sendiri sebagai hadiah perpisahan. Bukan hanya faktor Sir Alex dan Scholes, kerana The Red Devils juga punya misi lain untuk dilaksanakan mereka. Jika menang dua perlawanan terakhir liga musim ini, United akan menyamai pencapaian memungut 91 mata yang dilakukan skuad musim 1999/00 ketika mereka menjulang trofi liga 13 tahun lalu. Skuad kendalian Michael Laudrup pula pincang selepas beberapa pemain mereka yang dibelenggu kecederaan. Michael Vorm, Chico Flores, Michu, Ronald Lamah dan Ki Sung-Yeung dijangka terlepas aksi malam ini manakala United pula kekal tanpa khidmat Ashley Young, Danny Welbeck dan Darren Fletcher, manakala Rafael da Silva pula digantung perlawanan kerana layangan kad merah yang diterimanya minggu lalu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Swansea tidak pernah menewaskan United dalam lima pertemuan terakhir mereka.

- Sejak 1931, kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak sembilan kali di Old Trafford. Dalam sembilan pertemuan itu, The Swans tidak pernah sekalipun meraih kemenangan di Theatre of Dreams.

- Kali terakhir Swansea menewaskan United ialah pada 30 Januari 1982 dengan keputusan 2-0.

- United hanya menang dua dari enam perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana.

- Semasa pertemuan menentang Chelsea, United gagal menjaringkan sebarang gol. Ini merupakan kali pertama United gagal menjaringkan gol dari 67 aksi terakhir Liga Perdana di Old Trafford.

- United menjaringkan lima gol hasil jaringan sendiri pemain lawan musim ini. Ini juga merupakan catatan tertinggi berbanding pasukan lain musim ini.

- Swasea cuma menang dua dari sembilan perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana.

- Kemenangan yang diraih Swansea ke atas Wigan minggu lalu mengakhiri kemarau tanpa kemenangan tujuh perlawanan mereka.

- Musim ini, skuad Michael Laudrup mencatat enam keputusan seri tanpa jaringan sekaligus catatat tertinggi berbanding pasukan lain.

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Phil Jones, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael Carrick, Paul Scholes, Shinji Kagawa, Robin Van Persie & Chicharito

Barisan Kemungkinan Swansea:

Gerhard Tremmel, Angel Rangel, Ashley Williams, Garry Monk, Ben Davies, Leon Britton, Jonathan de Guzman, Wayne Routledge, Pablo Hernandez, Nathan Dyer & Itay Shechter