Tiada mana-mana pemain paling besar dalam
sejarah Manchester United selain Ryan Giggs. Kekal dengan satu kelab selama 23
tahun, bermain lebih 900 perlawanan untuk United, meraih 13 kejuaraan Liga
Perdana, empat Piala FA, dua kejuaraan Liga Juara-Juara serta beberapa lagi
trofi utama menjadikan Giggs pemain paling berjaya pernah disaksikan di Old
Trafford. Awal bulan ini Giggs menandatangani kontrak baru selama setahun lagi sekaligus
bakal menyaksikannya bermain buat musim ke-24 bersama United. Kemampuan Giggs
bermain di peringkat tertinggi untuk tempoh yang panjang, kesetiaannya bersama
United adalah sesuatu yang cukup luarbiasa. Tidak syak lagi, Giggs adalah
contoh pemain terbaik yang perlu dijadikan panduan oleh pemain-pemain muda
United jika mereka mahu menjadi pemain yang berjaya. November ini, usia Giggs
akan mencecah angka 40, dan lagenda itu dijangka mungkin bersara penghujung
musim depan atau setidak-tidaknya kekal selama semusim lagi (musim 2014/15).
Jika Giggs bersara, siapakah pemain Manchester United yang mampu mengikut jejak
langkahnya (dari segi pencapaian dan rekod penampilannya untuk United). Pilihan
pertama saya ialah Phil Jones yang dilihat memiliki potensi mengikut jejak
lagenda hidup Manchester United itu. Sepertimana Giggs, Jones pemain yang tidak
pernah kenal putus asa, bekerja keras, ghairah dan penuh semangat ketika di
atas padang. Dari semua pemain muda di Old Trafford, Jones memiliki kemungkinan
paling besar menamatkan kariernya di Old Trafford. Satu-satunya masalah yang
dihadapi Jones ialah fizikalnya. Jika dia mahu bermain hingga penghujung usia
30an, Jones perlu mengurangkan sedikit ‘keghairahannya’ ketika melakukan
terjahan ataupun hadangan terhadap pemain lawan. Sir Alex Ferguson sendiri menaruh
keyakinan pemain yang ditandatanganinya dari Blackburn Rovers itu berada di
landasan terbaik untuk menjadi lagenda United satu hari nanti. “Jones boleh
menjadi pemain terbaik satu hari nanti. Saya fikir dia juga mungkin menjadi
salah seorang pemain terbaik pernah kami miliki, tidak kira di mana kami
meletakkan posisinya dalam permainan”, kata Sir Alex ketika ditemuramah ESPN
bulan lalu. Saya percaya selepas ini David Moyes akan meneruskan kerja-kerja
Sir Alex membentuk Jones menjadi pemain yang jauh lebih bagus untuk United dan
skuad kebangsaan England. Pilihan kedua ialah pemain muda berbakat Nick Powell.
Selepas menyertai United dari Crewe Julai lalu, Powell jarang diberikan
kesempatan pada musim pertamanya di Old Trafford.
Powell tidak perlu menunggu lama untuk
mempamerkan bakatnya apabila menjaringkan gol pada penampilan pertamanya dalam
saingan liga. Ada yang mengatakan gol jaringannya ke gawang Wigan Athletic itu
mirip kepada jaringan yang sering dilakukan lagenda United, Paul Scholes. Dengan
bakat yang ada pada dirinya dan baru berusia 19 tahu, Powell bakal menunjukkan
potensinya selaku pemain tengah satu hari nanti. Seperti Jones, sukar untuk
meramalkan pemain muda seperti Powell mampu mengikut jejak Giggs, bermain hanya
untuk satu kelab sepanjang kerjayanya, tetapi berbaloi untuk meletakkan
pertaruhan ke atasnya. Chris Smalling adalah pilihan ketiga di belakang Jones
dan Powell. Smalling tampak seperti sedikit terabai jika diambilkira kenyataan
Sir Alex selepas perlawanan terakhir musim ini menentang West Bromwich. “Saya
ingin melihat Jonny Evans bermain bersama Phil Jones di benteng tengah kerana
mereka berdua adalah masa depan pasukan”, kata Sir Alex. Meskipun sering
dilanda kecederaan, bekas pemain Fulham berusia 23 tahun itu adalah antara pemain
yang diharapkan bakal menjadi tonggak utama pasukan di masa depan. Sama seperti
Jones, Smalling merupakan pemain versatil, boleh bertindak sebagai centre back mahupun sebagai bek kiri
atau kanan. Jika kariernya tidak diganggu masalah kecederaan berpanjangan,
Smalling adalah calon yang mampu mengikut jejak langkah Giggs. Selepas Jones,
Powell dan Smalling kini tibalah calon terakhir. Pilihan keempat saya ialah
pemain yang ditandatangani Sir Alex, Januari lalu, siapa lagi kalau bukan
Wilfried Zaha. Zaha menjadi pilihan terakhir kerana gaya permainannya. Zaha
baru berusia 20 tahun, dikenali dengan gaya larian-larian pantas di bahagian
sayap malah ada yang mengatakan permainannya mirip kepada bekas bintang di Old
Trafford, Cristiano Ronaldo. Corak permainan pantas Zaha mungkin menyebabkan
dia tidak mampu bermain di peringkat tertinggi buat tempoh yang panjang. Bakat
dan kebolehannya diakui ramai pihak dan pengurus Crystal Palace, Ian Holloway
mengatakan kemampuan yang ada pada Zaha membolehkannya bermain untuk kelab
besar seperti United. Paling menarik ialah ulasan Sir Bobby Charlton yang
mengatakan bahawa Zaha memang dilahirkan untuk bermain bersama The Red Devils. Jika Zaha bijak mengendalikan
permainan dan kariernya, tidak mustahil bintang muda ini mampu mengikut jejak
Giggs. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan