Ramai yang berteka teki siapakah pemain
pertama yang bakal ditandatangani David Moyes musim panas ini. Dari Jerman, Sepanyol,
Portugal hinggalah di England sendiri, beberapa nama sudah dikaitkan berada
dalam radar United. Moyes menghabiskan tempoh 11 tahun di Goodison Park,
diberikan peruntukkan kecil tetapi berjaya mengubah Everton menjadi antara
pasukan yang digeruni dan konsisten dalam saingan domestik. Perjalanan karier
Moyes ibarat cerita dongeng, umpama si miskin tetapi tiba-tiba menjadi kaya raya.
Selepas 11 tahun, Moyes akhirnya dipilih selaku pengurus bolasepak untuk kelab
terbesar di dunia dan dilimpahi dengan wang yang berlipat kali ganda banyaknya
untuk membeli pemain yang dihajatinya. Dengan peruntukkan kewangan yang lebih
besar, pastinya tanggungjawab pun menjadi lebih besar kerana Moyes kini berada
di kelab yang jauh lebih besar. Diberikan peruntukkan kewangan yang besar
menyebabkan Moyes tidak terlepas dari spekulasi yang mengaitkannya dengan
beberapa pemain kelas dunia. Menurut The
Daily Mirror, Marouane Fellaini dan Leighton Baines akan mengikut jejak
langkah Moyes ke Old Trafford, manakala akhbar Sepanyol, Marca pula menyebut United sudah menyediakan tawaran berjumlah 18
juta Euro bagi mendapatkan Thiago Alcantara dari Barcelona. Tidak terhenti
setakat itu, The Daily Express
melaporkan bahawa pemain tengah PSV Eindhoven, Kevin Strootman turut berada
dalam senarai pembelian Moyes. United ketika ini diakui amat memerlukan seorang
pemain tengah agresif bagi menggantikan tempat Paul Scholes yang sudah bersara,
tetapi Moyes perlu melakukan pertimbangan bijak sebelum membuat keputusan
membeli mana-mana pemain yang dihajatinya. Musim lalu, United dikaitkan dengan
beberapa nama sebagai pengganti Scholes, dan Moyes tidak boleh membiarkan
spekulasi-spekulasi ini mempengaruhi dirinya dalam membuat keputusan. Sebagai
pengendali berpengalaman, Moyes tentunya punya idea-idea sendiri dan pilihan
gaya permainan yang dimahukannya. Ketika ramai pihak yang meramalkan Moyes akan
memberikan lebih tumpuan kepada bahagian tengah, tiba-tiba muncul laporan yang
mengaitkan United dengan bek kiri Southampton, Luke Shaw. The Daily Mail melaporkan bahawa Moyes sedang mempertimbangkan
untuk mendapatkan tandatangan pemain berusia 17 tahun yang juga mungkin pemain
pertama ditandatanganinya selaku pengurus United yang baru. Sejak awal musim
lalu lagi, United sudah dikaitkan dengan keinginan mendapatkan bek kiri sebagai
pengganti jangka panjang Patrice Evra. Sejak 2011, (Leighton) Baines muncul
pemain yang paling kerap dikaitkan dengan spekulasi berpindah ke Old Trafford
tetapi pilihan terbaik ialah mendapatkan pemain muda berpotensi seperti Shaw.
Baines pemain yang bagus dan pasti menjadi
aset kepada mana-mana pasukan yang diwakilinya tetapi pada usia 28 tahun, dia
bukanlah pengganti jangka panjang Evra. Jika United terpaksa membayar 18 juta
Pound untuk khidmat Baines, itu bukanlah satu keputusan yang tepat kerana nilai
pemain itu akan jatuh menjunam apabila usianya mencecah ke angka 30 dua tahun
lagi, kecualilah Baines mampu mengekalkan prestasi terbaik hingga ke penghujung
kariernya. Evra masih diakui antara key
player United hingga berjaya membantu The
Red Devils menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Statistiknya musim
lalu (2012/13) sudah cukup untuk menceritakan betapa besarnya sumbangan Evra
kepada pasukan. Evra menghasilkan lima assist,
menjaringkan empat gol dari 32 penampilan liga musim lalu dan merupakan tokoh
besar dalam kesebelasan utama United. Bagaimanapun Evra kini sudah berusia 32
tahun dan mencari penggantinya merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar
bagi Moyes. Mungkin ada penyokong-penyokong berpendapat bahawa United sudah
memiliki Alexander Buttner dan pemain itu sudah bersedia menggantikan tempat
Evra. Bek berusia 24 tahun itu memang diakui memiliki tackle yang bagus dan menawarkan tenaga tidak terbatas di sebelah
kiri tetapi dia tidak memiliki kualiti menyerang sebagus Evra. Realitinya
adalah bekas pemain Vittese Arnhem itu bukanlah jawapan terbaik untuk
menggantikan posisi Evra suatu hari nanti. Satu lagi opsyen ialah Fabio da
Silva, tetapi pemain yang dipinjamkan ke Queens Park Rangers itu perlukan waktu
untuk berkembang menjadi pemain yang lebih bagus. Untuk itu, keputusan terbaik
buat Moyes ialah cuba membawa keluar Shaw dari Stadium St Mary musim panas ini.
Apa yang menariknya tentang Shaw? Pada usia 17 tahun, Shaw sudah bemain
sebanyak 25 perlawanan untuk Southampton dalam saingan liga musim lalu. Dia
bermain dengan cukup cemerlang ketika berdepan kelab gergasi seperti Arsenal,
Chelsea dan Liverpool, memiliki kepantasan ketika menyerang mahupun bertahan,
kawalan bola yang menarik serta memiliki kualiti hantaran-hantaran lintang yang
bagus. Sebagai pemain pertahanan, kemampuan Shaw tidak terbatas ketika bertahan
kerana dia juga mampu membuka peluang buat rakan-rakan ketika menyerang. Dengan
bakat dan umur yang masih muda, masih banyak yang mampu dilakukan Shaw di masa
hadapan, jadi tidak hairanlah jika dia adalah antara pemain muda yang sedang
diburu di England. Baines memang diakui seorang bek yang serba lengkap, tetapi
melabur untuk seorang pemain muda berbakat seperti Shaw merupakan satu tindakan
yang bijak. Baines atau Shaw? Terserah pada pertimbangan Moyes…GLORY GLORY
MANCHESTER UNITED! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan