Musim ini, Manchester City muncul sebagai antara kuasa baru dalam saingan Liga Perdana England. Situasi ini cukup berbeza jika dibandingkan dengan musim-musim sebelumnya di mana saingan merebut kejuaraan liga biasanya tertumpu antara Manchester United, Arsenal dan Chelsea. Dengan kekuatan kewangan yang dimiliki, City akhirnya berjaya memecah dominasi United, Chelsea dan Arsenal sekaligus muncul antara pasukan pilihan menjulang kejuaraan liga musim ini. Kelab bimbingan Roberto Mancini itu sebelumnya sempat menguasai puncak liga selama lebih separuh musim namun posisi mereka diambil alih United sejak bulan Mac lalu. Walaupun pernah ketinggalan dengan 8 mata, The Citizen kini berjaya merapatkan jurang di belakang United kepada 3 mata sahaja. Mengulas tentang situasi itu, Nani menyalahkan kecuaian pasukan dalam beberapa perlawanan terakhir sehingga menyebabkan perlumbaan mengejar kejuaraan kembali terbuka. "Kami melakukan kesilapan dalam beberapa perlawanan terakhir dan perlu menyalahkan diri sendiri. Kami sepatutnya berdepan City dengan kelebihan mata yang selesa tetapi kami memilih jalan sukar untuk perlawanan ini (menentang City). Mengakhiri musim tanpa sebarang gelaran buat pasukan seperti Manchester United adalah satu bencana", kata Nani. Nani dijangka menjadi pilihan Sir Alex Ferguson berbanding Ashley Young awal pagi nanti selepas dia mempamerkan prestasi cemerlang sejak pulih dari kecederaan. Nani menjaringkan gol pada penampilan pertamanya selepas pulih dari kecederaan ketika United menang 4-0 ke atas Aston Villa dan sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya apabila menyumbangkan satu gol ketika United seri 4-4 dengan Everton minggu lalu. Glory Glory Manchester United!!!
30 April 2012
28 April 2012
PREVIEW: MAN CITY lwn MANCHESTER UTD
Penyerang kontroversi Manchester City, Mario Balotelli sedia diturunkan pada pertembungan derby ke-139 Manchester awal pagi Selasa nanti selepas dia menamatkan penggantungan tiga perlawanan. Bagaimanapun Roberto Mancini mungkin menggunakan Carlos Tevez yang mempamerkan aksi cemerlang sejak ketiadaan penyerang Itali itu di bahagian hadapan bersama Sergio Aguero. City juga menerima khabar gembira berita kepulangan semula pertahanan mereka, Micah Richards yang pulih dari masalah hamstring selepas dia diketepikan pada perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers minggu lalu. Sementara itu, Sir Alex Ferguson pula harus memutuskan apakah dia akan melakukan sedikit rombakan di bahagian pertahanan selepas melihat kelalaian Rafael da Silva memberi ruang buat Steven Pienaar menjaringkan gol penyamaan Everton di Old Trafford. Phil Jones atau Chris Smalling besar kemungkinan mengambil alih tempat Rafael di sebelah kanan pertahanan selepas Ferguson secara terbuka mengakui dia agak kesal tidak mengeluarkan Rafael pada penghujung perlawanan United-Everton minggu lalu. Di bahagian tengah, Ferguson memiliki Ryan Giggs, Tom Cleverley dan Park Ji-Sung tetapi dijangka tetap mengekalkan gandingan Michael Carrick dan Paul Scholes manakala Luis Antonio Valencia dan Nani akan bergerak disebelah sayap kiri dan kanan. Nani membuktikan dia masih lagi pemain sayap yang digeruni walaupun berehat agak lama kerana masalah kecederaan apabila menjaringkan dua gol dari dua perlawanan dan bakal membuatkan Ashley Young terus berada di bangku simpanan United. Selepas menyaksikan dominasi City di gelanggang sendiri musim ini, timbul persoalan apakah United mampu melakukan sesuatu di Etihad nanti tambahan pula selepas mereka diaibkan jiran mereka itu dengan kekalahan 1-6 di Old Trafford, Oktober lalu. City menang 21 perlawanan mereka di gelanggang sendiri dan hanya Sunderland saja satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata di Etihad musim ini. Statistik mereka ketika bermain di gelanggang sendiri agak mengerunkan apabila rata-rata menjaringkan 3 gol dalam setiap perlawanan selain hanya bolos 10 gol setakat ini.
Meskipun tewas kepada Wigan Athletic di DW Stadium dan memerlukan dua jaringan lewat ketika menang ke atas Blackburn Rovers di Ewood Park, prestasi United di gelanggang lawan setakat ini cukup memuaskan. Statistik United ketika bertandang ke gelanggang lawan agak menyakinkan apabila mencatatkan purata jaringan 2.12 gol setiap perlawanan dan bolos 0.76 gol ketika beraksi di luar Old Trafford. United kekal tanpa khidmat Nemanja Vidic, Anderson, Darren Fletcher, Anders Lindegaard dan Michael Owen kerana masalah kecederaan jangka panjang manakala tiada sebarang pemain City yang berada dalam bilik rawatan pasukan. Sudah tentu City akan memulakan perlawanan nanti sebagai pasukan pilihan tetapi United di bawah bimbingan Ferguson adalah pasukan yang berpengalaman, faktor penting yang tidak dimiliki barisan Mancini. Sir Alex Ferguson terlibat dengan hampir semua perlumbaan merebut kejuaraan sepanjang kerjayanya bersama United dan beliau tahu apa yang perlu dilakukan setiap kali berdepan situasi getir seperti ini. Rekod United ketika bermain di luar Old Trafford juga tidak harus dipandang ringan apabila The Red Devils hanya tewas dua kali ketika bertandang ke gelanggang lawan. Jika United boleh memaksa City sekadar berkongsi mata dalam perlawanan ini, peluang buat skuad Ferguson untuk meraih kejuaraan liga ke-20 mereka semakin hampir. Beraksi di luar Old Trafford, United sebenarnya adalah sebuah pasukan yang cukup bagus ketika bertahan tetapi Ferguson tentunya tidak akan melakukan pendekatan dengan meletakkan `bas' di dalam kawasan penalti mereka. Kedua-dua pasukan dijangka tidak akan bermain secara terbuka bagi melindungi benteng pertahanan masing-masing tetapi dengan pengalaman dan kelas tersendiri yang dimiliki United, mereka mungkin akan pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata sekaligus meletakkan sebelah tangan mereka pada kejuaraan liga ke-20 mereka. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Chris Smalling, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Luis Antonio Valencia, Michael Carrick, Paul Scholes, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck.
27 April 2012
KENALI LAGENDA: BILL FOULKES
Bill Foulkes, pertahanan tengah
yang mula menyertai Manchester United pada 1 Mac 1950, muncul pemain ketiga di
belakang Ryan Giggs dan Bobby Charlton dalam senarai penampilan buat skuad The Red Devils itu.
18 musim dengan 688 penampilan, Foulkes adalah pemimpin sejati barisan
belakang United sehingga jarang diketepikan Sir Matt Busby dari kesebelasan
utama. Pada usia 19 tahun, Foulkes meninggalkan kerjaya sebagai pelombong
dan bermain secara profesional pada bulan Ogos 1951. Penampilan pertama
Foulkes buat United ialah ketika mereka menang 2-1 ke atas Liverpool di Anfield
pada 13 Disember 1952. 22 bulan selepas itu, Foulkes berjaya memperolehi caps pertamanya
bersama skuad kebangsaan England. Foulkes menjaringkan gol pertamanya buat
United semasa perlawanan menentang Newcastle United di St James Park pada 2
Januari 1954. United bagaimanapun sekadar menduduki tempat kelima liga
musim tersebut. Sepanjang kerjayanya bersama United, Foulkes berjaya
menjaringkan 9 gol, angka jaringan yang cukup bagus bagi seorang pemain
pertahanan.
Foulkes berjaya memenangi
kejuaraan liga pertamanya bersama United pada musim 1955/56, sekaligus
menyaksikan United muncul sebagai wakil pertama England yang bersaing di Piala
Eropah. Walaupun gagal membantu United memenangi Piala Eropah musim
tersebut (United tewas aggregat 3-5 kepada Real Madrid di separuh akhir), namun
rekod jaringan 10-0 ketika membantu United menang ke atas Anderlecht kekal
sebagai jaringan terbanyak kelab di peringkat Eropah hingga kini.
Kegagalan di Eropah tidak mematahkan semangat Foulkes dan musim
berikutnya, beliau sekali lagi berjaya membantu United memenangi kejuaraan liga
musim 1956/57. Foulkes juga berjaya menjulang Piala FA musim tersebut
apabila United berjaya menewaskan Aston Villa di perlawanan akhir pada 4 Mei
1957. Setahun selepas itu berlaku tragedi nahas udara di Munich yang
meragut nyawa lapan pemain United tetapi Foulkes antara yang bernasib
baik dan terselamat dari tragedi tersebut. Foulkes kemudiannya dilantik sebagai
kapten pasukan menggantikan Roger Byrne yang terbunuh dalam nahas itu, berjaya
memimpin United mara keperlawanan akhir Piala FA 1958. Walau bagaimanapun
United tewas kepada Bolton Wanderers dalam perlawanan akhir tersebut, keputusan
yang memang telah dijangka kerana United kehilangan sebahagian besar pemain
semasa tragedi di Munich.
Selepas nahas udara Munich,
Foulkes bertungkus lumus cuba pulih dari trauma tragedi tersebut dan kedudukan
United dalam saingan liga juga tidak konsisten. Posisi Foulkes dalam
formasi pasukan bertukar apabila dia diletakkan sebagai pertahanan kanan hingga
menyebabkan prestasinya juga semakin menurun. Pada 10 Oktober 1960, Sir
Matt Busby kembali meletakkan Foulkes di posisi asalnya sebagai pemain
pertahanan tengah. Musim 1963/64 menyaksikan prestasi pasukan semakin
baik apabila United berjaya menduduki tempat kedua liga dan kembali memenangi
kejuaraan liga pada musim 1964/65. Pada musim 1966/67, Foulkes sekali
lagi berjaya memenangi medal kejuaraan liga dan muncul satu-satunya pemain
United yang berjaya mengumpul empat kejuaraan liga ketika eranya. Musim
1967/68 United layak ke saingan Eropah sekali lagi, dan mereka berjaya mara ke
separuh akhir bertemu Real Madrid. Selepas menang 1-0 pada perlawanan
pertama, United pada satu ketika ketinggalan 1-3 pada perlawanan kedua di
Bernabeu sebelum David Sadler menjaringkan dua gol untuk menyamakan aggregat
kepada 3-3. Foulkes muncul wira apabila jaringan kemenangannya membawa United
ke perlawanan akhir bertemu Benfica di Wembley, dan gol itu juga merupakan
jaringan terakhir Foulkes buat United. United akhirnya berjaya memenangi
kejuaraan sulung Piala Eropah mereka pada edisi 1968 selepas menewaskan Benfica
dengan jaringan 4-1. Selepas 10 tahun tragedi Munich, Foulkes berjaya memenangi
medal Piala Eropah pada usia 36 tahun.
Selepas kejayaan memenangi Piala
Eropah, Foulkes berpendapat tiba masanya untuk beliau bersara tetapi Sir Matt
Busby berjaya memujuk tonggak pertahanannya itu supaya kekal untuk tempoh dua
tahun lagi. Pada musim 1969/70, Wilf McGuiness yang pernah bermain
bersama Foulkes di penghujung era 50an menggantikan Busby sebagai pengurus
United. Foulkes hanya bermain sebanyak tiga perlawanan di bawah kendalian
McGuiness dan perlawanan terakhirnya ialah ketika United tewas 1-4 kepada
Southampton di Old Trafford pada 16 Ogos 1969. Pada usia 37 tahun,
Foulkes adalah pemain tertua United ketika itu dan mengumumkan secara rasmi
persaraannya pada 1 Jun 1970. Dipenghujung kerjaya, pemain yang
dilahirkan pada 5 Januari 1932 di St Helens, England itu kekal bersama United selama
18 musim. Selepas bersara dari kerjaya sebagai pemain, Foulkes
kemudiannya melatih skuad remaja United selama lima tahun sebelum mengambil
keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat sebagai jurulatih Chichago Sting. Agak
mengejutkan apabila menyaksikan kerjaya Foulkes bersama skuad kebangsaan
England kurang berjaya biarpun dia adalah pemain penting di sebalik kejayaan
United muncul sebagai kuasa bolasepak England dan Eropah ketika itu.
Foulkes hanya mempunyai satu caps bersama skuad Three Lions dimana penampilan pertama dan terakhirnya ialah ketika England
menentang Ireland Utara pada Oktober 1954.
24 April 2012
CLASS OF 92 VERSI 2
Minat yang ditunjukkan Sir Alex Ferguson terhadap bintang-bintang muda sejak kebelakangan ini menguatkan lagi andaian bahawa bos United itu sedang cuba mengulangi pencapaiannya melahirkan kelompok pemain muda seperti versi Class of 92. Terbaru, Ferguson secara terbuka menyatakan dia amat tertarik dengan permainan bintang tengah LOSC Lille, Eden Hazard. Hazard memang sudah tidak asing lagi di kalangan penyokong United, apabila pemain antarabangsa Belgium itu sering dikaitkan dengan spekulasi bakal berpindah ke Old Trafford musim depan biarpun dia turut menarik minat Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Manchester City. Ferguson dikatakan bercita-cita mengulangi pencapaian meraih kejuaraan treble 1999 (Piala FA, Liga Perdana dan Liga Juara-Juara) yang pernah dikecapi United hasil kejayaan pembangunan pemain-pemain muda yang cukup dikenali dengan nama Class of 92 itu. Ketika itu kombinasi nama-nama seperti David Beckham, Gary Neville, Nicky Butt, Phil Neville, Ryan Giggs dan Paul Scholes dari Class of 92 menjadi tunjang kekuatan United pada era 90an hingga berjaya meraih pencapaian sepanjang zaman dengan memenangi kejuaraan treble pada tahun 1999. Selepas mempunyai `koleksi' beberapa pemain muda seperti Jonny Evans, Fabio, Rafael da Silva, Tom Cleverley dan Danny Welbeck dari akademi, Ferguson membawa masuk Chris Smalling (2010) serta Phil Jones dan David de Gea (2011). Dengan Nicolas Gaitan yang sudah digembar-gemburkan bakal menyarung jersi United musim depan, kini Ferguson hanya menunggu kehadiran Hazard untuk melengkapkan barisan muda United. Selepas 20 tahun penubuhan Class of 92, apakah akan ada lagi versi kedua atau lebih tepat lagi Class of 12 pula. Glory Glory Manchester United!!!
23 April 2012
JURANG SEMAKIN MENGECIL
Salahkan diri sendiri, itu saja perkataan paling sesuai buat kegagalan Manchester United meraih tiga mata penuh ketika menentang Everton selepas selesa mendahului 4-2, sekaligus menyaksikan jurang sebagai pendahulu kini mengecil kepada tiga mata. Selepas ketinggalan kepada gol jaringan Nikica Jelavic diminit ke-33, United bangkit menyamakan kedudukan lapan minit kemudian melalui tandukan jarak dekat Wayne Rooney. United hanya memerlukan 12 minit sebaik babak kedua bersambung apabila Danny Welbeck menjaringkan gol menarik sekaligus meletakkan United di hadapan sebelum Nani mengukuhkan kedudukan kepada 3-1 empat minit kemudian. Selesa mendahului dengan kelebihan dua gol, kelalaian benteng pertahanan United dihukum Marouane Fellaini diminit ke-67, apabila pemain tengah itu yang tidak dikawal mudah melepaskan rembatan volli menarik untuk menghidupkan kembali harapan pelawat mencuri mata di Old Trafford. Bagaimanapun dua minit kemudian, Rooney sekali lagi mempamerkan sentuhan berbisa di hadapan gawang apabila gerakan menarik satu duanya bersama Welbeck meletakkan United kembali selesa di hadapan. United dilihat bakal menamatkan perlawanan dengan tiga mata penuh namun kelalaian benteng pertahanan sekali lagi dihukum pelawat apabila Jelavic menjaringkan gol peribadi keduanya diminit ke-83 untuk kembali merapatkan kedudukan. Dua minit kemudian impian United untuk meraih tiga mata penuh musnah apabila giliran Steven Pienaar pula menghukum kerapuhan benteng tuan rumah apabila mudah menolak bola masuk dari jarak dekat. Meskipun melakukan asakan bertali arus untuk mencari gol kemenangan, namun skuad bimbingan David Moyes itu cekal bertahan untuk memaksa United sekadar berpuashati berkongsi satu mata.
Sementara itu, Sir Alex Ferguson ternyata agak terkejut dengan keputusan seri yang diraih pasukannya selepas pada satu ketika selesa mendahului dengan kelebihan dua gol. "Keputusan ini adalah kerugian buat kami. Kami cuma perlu menghabiskan baki permainan untuk menang. Ini benar-benar melucukan. Kami bermain dengan fantastik dan kami juga menjaringkan gol-gol yang menarik. Bolos empat gol di Old Trafford dalam perlawanan yang penting seperti ini membuatkan saya seperti tidak percaya", kata Ferguson. Ferguson jelas berang dengan kelalaian benteng pertahanannya sehingga menyaksikan Everton berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit. "Kelalaian pertahanan merugikan kami. Pada perlawanan sebelumnya, kami bertahan dengan baik tetapi pertahanan kami sangat buruk tadi. Ini cukup bahaya buat kami kerana Everton terlalu mudah membolosi gawang kami". Ferguson memang sepatutnya kecewa kerana keputusan perlawanan semalam bukan sahaja tidak memihak kepada pasukannya malah memberi peluang buat pencabar di tangga kedua, Manchester City merapatkan jurang mata. United akan hanya membawa kelebihan 3 mata ketika mereka terpaksa berkunjung ke gelanggang City pada perlawanan yang disifatkan sebagai final Liga Perdana minggu hadapan. Menurut Ferguson, kegagalan pasukannya meraih tiga mata penuh ke atas Everton semalam telah membuka kembali laluan buat City bersaing merebut kejuaraan liga musim ini. "Kami sendiri telah membuka laluan buat Manchester City meraih kejuaraan dan itu tak perlu diragukan lagi. Perlawanan di Etihad nanti akan menjadi sangat penting". Glory Glory Manchester United!!
Statistik Perlawanan United/Everton:
Sepakan Sudut: 5/2
Percubaan Tepat: 11/10
Percubaan Tersasar: 9/7
Kekasaran: 8/11
Kad Kuning: 1/2
Kad Merah: -/-
Offside: 2/1
Penguasaan Bola: 51%/49%
Statistik Perlawanan United/Everton:
Sepakan Sudut: 5/2
Percubaan Tepat: 11/10
Percubaan Tersasar: 9/7
Kekasaran: 8/11
Kad Kuning: 1/2
Kad Merah: -/-
Offside: 2/1
Penguasaan Bola: 51%/49%
22 April 2012
SPEKULASI PERPINDAHAN: 15 JUTA POUND UNTUK ALBA
Bintang pertahanan Valencia dan Sepanyol, Jordi Alba yang menarik minat Barcelona musim ini, kini turut menjadi sasaran Sir Alex Ferguson sebagai pengganti jangka panjang Patrice Evra. Alba menjadi perhatian United selepas aksi cemerlangnya untuk Valencia sehingga berjaya menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Sepanyol sejak September lalu. Alba dikatakan berada dalam radar Ferguson selepas bos United itu gembira dengan laporan positif yang diterima dari pasukan peninjaunya. Januari lalu, Alba turut menjadi sasaran Manchester City yang berhasrat mencari pengganti kepada Alexandar Kolarov namun skuad The Citizen itu kini dikhabarkan beralih arah kepada bintang remaja Lille, Lucas Digne. Alba adalah produk daripada Akademi La Masia, Barcelona tetapi menyertai Valencia pada usia 16 tahun dah terus berkembang di sana. Alba dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada pusingan kelayakan Euro 2012 menentang Scotland dan Republik Czech selain turut disenaraikan ketika Sepanyol tewas 0-1 kepada England dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Wembley, November lalu. Masalah kewangan meruncing yang melanda Los Che bermakna kelab Sepanyol itu mungkin bersedia mendengar tawaran dari mana-mana pasukan untuk Alba biarpun dia adalah aset pasukan ketika ini. Sumber dari pihak pengurusan United percaya, mereka boleh memperolehi khidmat Alba musim panas ini dengan nilai sekitar 15 juta Pound. Meskipun prestasi Evra masih berada di kemuncak apabila dia pernah bermain 33 perlawanan liga berturut-turut selain 11 perlawanan di peringkat Eropah, usia bek kiri Perancis itu yang akan menjangkau 31 tahun bulan hadapan menyebabkan United mempertimbangkan alternatif jangka panjang di posisi tersebut. Glory Glory Manchester United!!!
21 April 2012
PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn EVERTON
Hanya tiga mata penuh menjadi sasaran Sir Alex Ferguson menjelang pertembungan dengan pasukan di tangga ketujuh, Everton di Old Trafford esok. Kemenangan akan menyaksikan United mengekalkan kelebihan lima mata mereka berbanding pencabar terdekat, Manchester City (itupun jika City menang ke atas Wolves) sebelum berlangsung pertembungan antara kedua-dua kelab berjiran itu di Stadium Etihad minggu hadapan. United harus berhati-hati dengan ancaman di udara kerana Everton memiliki ramai pemain yang mampu menghukum pertahanan lawan terutamanya melalui gerakan set pieces. Untuk itu, Phil Jones dijangka diturunkan esok menggantikan Rafael da Silva selepas dia direhatkan minggu lalu bagi memberikan bantuan tambahan kepada Rio Ferdinand dan Jonny Evans menangani ancaman Maruone Fellaini, Tim Cahill dan Nikica Jelavic dalam situasi perebutan bola tinggi. Tugas Luis Antonio Valencia mungkin sedikit mudah selepas Leighton Baines disahkan terlepas perlawanan esok kerana masalah hamstring dan sesiapun yang menggantikan tempatnya bakal berdepan tugas rumit mengekang kelincahan sayap United itu. Gerakan dari bahagian sayap bakal menjadi kunci utama pada serangan United, apabila Valencia, Young atau Nani yang mempunyai keupayaan menewaskan lawan dalam situasi satu lawan satu bakal membuka pertahanan ketat Everton. Keberkesanan Patrice Evra membantu pasukan ketika menyerang juga bakal memberikan masalah tambahan kepada Tony Hibbert disebelah kanan pertahanan. Di barisan hadapan, Ferguson dijangka terus menggunakan Danny Welbeck bergandingan dengan Wayne Rooney selepas prestasi tidak menentu yang dipamerkan Javier Hernandez musim ini. Gandingan Rooney/Welbeck diharap mampu merobohkan pertahanan kental Everton yang mempunyai rekod ketiga terbaik dalam liga selepas City dan United.
Everton dijangka menghadirkan masalah buat barisan United selepas mereka mula mempamerkan prestasi cemerlang di penghujung musim. The Toffees berjaya mengutip 10 mata dari empat perlawanan terakhir sekaligus menyaksikan mereka memintas jiran Merseyside, Liverpool dan menduduki tangga ketujuh liga. Namun persoalan kini timbul, apakah mereka mampu meneruskan rentak cemerlang mereka dalam empat perlawanan terakhir tanpa kelibat Leighton Baines. Sebelum direhatkan ketika menentang Sunderland, Baines sudah bermain sebanyak 99 perlawanan liga berturut-turut untuk Everton. Baines merupakan kunci utama ketika mereka melakukan serangan selain mampu mencipta peluang jaringan melalui situasi bola mati. Pertahanan Everton dilihat agak goyah dan ketiadaan Baines bakal memburukan lagi keadaan. Luis Suarez mendedahkan kelemahan benteng Everton apabila dia berjaya memanfaatkan kesilapan mudah yang dilakukan Sylvain Distin untuk menyamakan kedudukan ketika pertembungan separuh akhir Piala FA minggu lalu. Phil Neville dijangka mengisi kekosongan Baines di sebelah kiri pertahanan, tetapi mampukah bekas pemain United itu memikul tanggungjawab yang ditinggalkan Baines? Everton sebenarnya sangat bergantung kepada gerakan-gerakan dari sebelah tepi ketika menyerang apabila 75% dari serangan mereka bermula dari bahagian tersebut, lebih dari mana-mana pasukan dalam Liga Perdana. Apakah mereka mampu meneruskan statistik itu tanpa Baines? Selepas kecewa gagal layak ke perlawanan akhir Piala FA apabila tewas kepada Liverpool 1-2, ramai yang menganggap kunjungan ke Old Trafford bukanlah waktu yang tepat buat skuad kendalian David Moyes, namun dengan kedudukan di tangga ketujuh liga, Everton bukanlah pasukan sebarangan dan mampu menghadirkan ancaman kepada mana-mana pasukan. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Phil Jones, Antonio Valencia, Michael Carrick, Paul Scholes, Nani, Danny Welbeck & Wayne Rooney
20 April 2012
UNITED SIAP UNTUK MUSIM PANAS YANG `MENARIK'
Ketua Eksekutif Manchester United, David Gill mengatakan bahawa pasukannya akan melakukan perubahan bagi menambah kekuatan untuk menghadapi cabaran musim hadapan. Untuk itu, menurut Gill, United akan meningkatkan aktiviti mereka pada pasaran perpindahan musim panas ini. Seperti biasa Gill adalah individu yang berperanan utama dalam rundingan perpindahan pemain dan juga beberapa isu penting lain terutamanya rundingan kontrak baru Paul Scholes. Gill akan menjadi individu paling sibuk sebaik Sir Alex Ferguson bercuti pada musim panas ini, kemungkinan selepas membawa United memenangi kejuaraan liga ke-20 mereka. United sejauh ini dikaitkan dengan perpindahan beberapa pemain bertaraf bintang seperti Eden Hazard, Wesley Sneijder dan Nicolas Gaitan selain Oscar de Marcos di Athletic Bilbao. "Kerja akan berjalan sepanjang tahun, tetapi apa yang pasti kami akan aktif dalam pasaran perpindahan pemain akhir musim ini. Ada beberapa kontrak yang perlu diselesaikan dan akan ada beberapa pemain yang akan datang dan pergi nanti. Ini adalah hal yang sangat menarik", kata Gill. Pemain-pemain yang dikatakan bakal menuju pintu keluar Old Trafford ialah Dimitar Berbatov, Michael Owen dan Bebe. Walaupun berjaya memujuk Paul Scholes keluar dari persaraan, penyokong-penyokong United tentunya mengharapkan Ferguson dapat membawa masuk sekurang-kurangnya seorang muka baru di bahagian tengah terutamanya selepas terdapat keraguan tentang masa depan Anderson. Prestasi hambar di pentas Eropah musim ini seharusnya tidak berulang lagi dan ramai yang mengatakan ketiadaan perancang tengah berkaliber adalah penyebab utama United tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara dan Liga Europa. Usaha sedang giat dilakukan untuk memujuk bintang muda Perancis, Paul Pogba supaya terus kekal dengan memberikannya kontrak jangka panjang. Dengan Fabio da Silva pula bakal menyertai Benfica secara pinjaman, United turut memerlukan seorang pelapis kepada Patrice Evra di sebelah kiri pertahanan. Mengulas tentang persaingan United/City merebut kejuaraan liga musim ini, Gill percaya skuad Ferguson mampu mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi sekaligus muncul juara buat kali ke-20. Glory Glory Manchester United!!!
19 April 2012
NEVILLE: GIGGS TERBAIK DI BRITAIN
Ryan Giggs berada di landasan tepat untuk mengumpul kejuaraan liga ke-13 bersama Manchester United sekaligus menjadi hadiah paling bernilai sempena ulang tahun ke-22 kariernya dalam saingan bolasepak England. Dengan kelebihan lima mata milik United ke atas pencabar terdekat, Manchester City, peluang Giggs untuk mengumpul koleksi pingat kejuaraan ke-13 kini semakin hampir. Warga Wales itu mengatasi rekod 8 kejuaraan liga milik lagenda Liverpool, Alan Hansen dan Phil Neal selepas membantu United muncul juara pada 2008 dan bekas kapten United, Gary Neville menegaskan tiada sesiapa selepas ini yang mampu mengatasi pencapaian Giggs. "Kita akan melihat perkara ini lagi (pencapaian Giggs)? Tentunya tidak", kata Neville. "Ryan Giggs adalah pemain bolasepak paling berjaya di Britain dan saya tidak dapat melihat sesiapa yang akan berjaya mengatasi pencapaiannya selepas ini. Dia di ambang kejuaraan liga ke-13. Semasa anda masih muda, anda sering mendengar pencapaian menakjubkan Alan Hansen menang lapan kejuaraan liga bersama Liverpool, tetapi apa yang kita saksikan pada hari ini adalah keajaiban di hadapan mata kita".
Neville melihat bekas rakan sepasukannya itu sebagai pemain yang sangat unik, kerana biarpun sudah mengatasi semua rekod dari segi pencapaian domestik namun masih mempunyai semangat dan keinginan tinggi untuk terus menang. Giggs, 38 tahun, baru-baru ini telah menandatangani perjanjian lanjutan kontrak selama setahun sekaligus bakal menyaksikan dia mengharungi musim ke-22 bersama United musim depan. Neville percaya, Giggs masih mampu bermain sehingga mencapai usia 42 tahun berdasarkan kecergasan fizikal, mental dan kualiti milik lagenda hidup United itu. "Pemain terbaik dalam sejarah Liga Perdana Inggeris? Tentunya milik Ryan Giggs, tiada keraguan tentang itu", kata Neville lagi. Neville juga mendedahkan faktor Giggs mampu bertahan ialah kebolehannya menyesuaikan diri dengan peredaran zaman selain Giggs sendiri adalah pemain yang versatile. Selain lebih dikenali sebagai pemain sayap, Giggs juga boleh mengemudi bahagian tengah dan adakalanya diletakkan di belakang penyerang utama dalam misi menggempur pertahanan lawan. "Ryan mempunyai bakat istimewa anugerah Tuhan. Ketika mula-mula bermain bersamanya ialah ketika usia saya 14 tahun. Dia pemain terbaik yang pernah saya lihat. Bola seolah-olah terikat pada kakinya dan dia mampu melakukan apa saja ketika di atas padang".
OVEIDO, SEQUEIRA DATANG MANAKALA ANDERSON, KUSZCZAK DAN FRYERS PERGI?
Bryan Oveido |
Selepas dilaporkan berjaya mendapatkan Nicolas Gaitan dari Benfica, Sir Alex Ferguson kini mengalih tumpuan untuk memperkuatkan bahagian lain skuadnya. Terdapat laporan mengatakan bahawa Ferguson kini sedang mengejar pertahanan kiri FC Copenhagen dari Costa Rica, Bryan Oveido sebagai pelapis kepada Patrice Evra. Menurut media di England, Ferguson telah menghantar pasukan peninjaunya untuk memantau aksi Oveido ketika membantu kelabnya menewaskan HB Koge 5-0 hujung minggu lalu. Copenhagen dilaporkan sedia menjual pemain antarabangsa Costa Rica berusia 22 tahun itu pada harga hanya 2 juta Pound. Selain Oveido, Ferguson turut mensasarkan pertahanan kiri dari kelab La Liga, Granada CF, Guilherme Siqueira. Siqueira dikatakan teruja selepas dia dikaitkan dengan minat yang ditunjukkan United terhadapnya. "Saya sangat senang dengan berita ini. Jika datang tawaran yang bagus, saya terbuka untuk berbincang", kata Siqueira. Mencari pertahanan baru terutamanya disebelah kiri menjadi keutamaan Ferguson musim hadapan selepas Fabio da Silva berkemungkinan besar dipinjamkan ke Benfica sebagai salah satu syarat untuk mendapatkan Gaitan. Seorang lagi pemain yang beraksi di La Liga, iaitu Oscar de Marcos turut dikatakan menjadi sasaran Ferguson. Pemain tengah Athletic Bilbao itu bagaimanapun mempunyai klausa `rumit' pada kontraknya yang mungkin menyukarkan Ferguson membawa masuk pemain itu ke Old Trafford.
Selain beberapa pemain baru yang dikatakan bakal dibawa masuk, terdapat juga beberapa pemain yang dilaporkan akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini. Pemain yang dibelenggu kecederaan, Anderson dikatakan menarik minat Sporting Lisbon. Selain dikaitkan dengan Sporting Lisbon, Anderson yang menyertai United dari FC Porto pada musim panas 2007 juga dikatakan bakal bersama-sama Fabio da Silva ke Benfica sebagai sebahagian dari perjanjian untuk membawa Gaitan ke Old Trafford. Namun langkah meminjam Anderson ke mana-mana kelab adalah lebih munasabah memandangkan selain memiliki bakat, Anderson seperti juga Wayne Rooney adalah antara pemain yang mempunyai tenaga luar biasa ketika beraksi di padang. Jika dia bebas dari kecederaan dan dapat bermain pada musim penuhnya, Anderson akan kembali semula ke Old Trafford sebagai pemain yang mampu memberikan kekuatan buat The Red Devils di bahagian tengah sepertimana yang dilakukannya pada awal musim. Tomasz Kuszczak adalah nama yang sudah tentu akan terkeluar dari percaturan Ferguson musim hadapan selepas dia hanya menjadi pilihan keempat di belakang David de Gea, Anders Lindegaard dan Ben Amos di gawang United. Ezekiel Fryers pula yang masih belum menandatangani sebarang lanjutan kontrak menjadi sasaran Harry Redknapp dan Ferguson dilaporkan sedia melepaskan pemain berusia 19 tahun itu. Glory Glory Manchester United!!!
18 April 2012
SINDROM MUSIM KEDUA DI OLD TRAFFORD?
Setahun yang lalu, kehadiran Javier `Chicharito' Hernandez dalam saingan Liga Perdana England mencetuskan fenomena di kalangan penyokong United berikutan prestasi gemilang yang dipamerkan bintang antarabangsa Mexico itu. Dalam musim pertamanya, Chicharito sudah mempamerkan sentuhan tajam sebagai penyerang hingga menyaksikan dia berjaya menghasilkan 20 gol hingga dilabel sebagai pengganti kepada lagenda United sendiri, Ole Gunnar Solskjaer. United ketika itu dilihat cukup bertuah memiliki penyerang seperti Hernandez yang diperolehi dengan harga murah tetapi memiliki bakat yang cukup besar ditambah pula dengan faktor umur yang masih muda. Chicharito adalah bakat besar dari zon CONCACAF selepas kehadiran Dwight Yorke (Trinidad & Tobago) yang menerima sanjungan sebagai wira di Old Trafford, dan dia juga dikatakan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hugo Sanchez sejak sekian lama sebagai peledak berbisa Mexico. Chicharito pantas menyesuaikan diri dengan saingan bolasepak England pada musim pertamanya dan menjadi gandingan tetap Wayne Rooney di barisan hadapan United. Gandingannya bersama Rooney musim lalu memperlihatkan keserasian seolah-olah mereka telah bergandingan sejak sekian lama hingga berjaya membantu United mengatasi rekod Liverpool sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga. Kehadiran Chicharito bukan saja menenggelamkan berita sensasi perpindahan 50 juta Pound Fernando Torres dari Liverpool ke Chelsea malah mengakibatkan Dimitar Berbatov menjadi pilihan ketiga Ferguson di barisan hadapan walaupun penyerang berpengalaman itu antara penyumbang gol paling produktif buat United musim lalu. Kepantasan adalah aset utama Chicharito yang dilihat begitu mudah melepasi perangkap offside pertahanan lawan terutamanya apabila Rooney yang bermain di belakangnya membekalkan umpanan untuk disudahkan. Contoh paling baik adalah gol minit awal jaringannya pada 8 Mei tahun lalu ke atas Chelsea di Old Trafford dalam perlawanan penting yang menjadi penentu kejuaraan liga musim lalu. Chicharito bijak melepasi benteng pertahanan Chelsea dan menggunakan kepantasannya untuk meninggalkan David Luiz jauh di belakang. Persis penyerang berpengalaman, Chicharito kemudiannya dengan tenang mudah menolak bola masuk melepasi hadangan Peter Cech untuk memberi gol pembukaan sekaligus menyaksikan United kemudiannya menang 2-1 dan mengesahkan kejuaraan liga ke-19 mereka.
Musim ini, Chicharito beraksi sebanyak 17 perlawanan dalam saingan liga, kurang lima perlawanan dari Danny Welbeck dan Ferguson musim ini nampaknya lebih senang menggandingkan pemain antarabangsa England itu bersama-sama Rooney di barisan hadapan. Chicharito menjaringkan 10 gol dari 26 penampilannya dalam mana-mana kejohanan musim ini, statistik yang masih cukup bagus buat seorang penyerang muda sepertinya tetapi kegagalan mengekalkan tempatnya bererti dia belum mampu membangun dan reputasinya juga sedikit menurun di mata media dan penyokong United sendiri. `Sindrom musim kedua' sering digunakan untuk menggambarkan prestasi pemain seperti Chicharito dalam saingan Liga Perdana walaupun penurunan prestasinya tidaklah seteruk Marouane Chamakh yang hadir dengan reputasi besar dari Bordeaux pada 2010 tetapi hanya beraksi sebanyak 9 kali dalam saingan liga dan menjaringkan satu gol buat Arsenal musim ini. Chicharito sendiri boleh terjebak dengan `sindrom musim kedua' sepertimana yang pernah dialami Theo Walcott, Andy Caroll dan Chamakh selepas melakukan impak besar dalam kempen sulungnya musim lalu. Hanya masa bakal menentukan sama ada `sweet little pea' boleh bangkit kembali untuk meletakkan semula nama dalam barisan kesebelasan utama United atau terus tenggelam dengan kebangkitan Danny Welbeck, permata yang lahir hasil dari program pembangunan pemain muda The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!
Berita-Berita Lain:
AGEN: VIDIC AKAN KEKAL DI OLD TRAFFORD
Agen Nemanja Vidic, Silvano Martina menegaskan kliennya itu akan kekal di Old Trafford biarpun terdapat khabar angin baru-baru ini mengatakan bahawa bintang antarabangsa Serbia itu akan menyertai Juventus musim depan. Vidic yang terlepas semua aksi pusingan kedua Liga Perdana musim ini turut dikaitkan dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid, namun Martina menegaskan Vidic ketika ini hanya fokus untuk pulih dari kecederaan dan menyertai kembali United pada perlawanan pra musim Julai nanti. "Apakah Vidic akan berpindah ke Itali? Saya berani mengatakan perkara itu tidak akan berlaku. Vidic sedang menjalani proses pemulihan dan semuanya berjalan lancar. Dia kini sedang berusaha keras untuk kembali berlatih bersama rakan-rakan sepasukan. Situasi dalam pasukan juga cukup baik dan dia masih terikat dengan kontrak hingga 2014, jadi dia sama sekali tidak memikirkan untuk berhijrah", kata Martina.
PARLOUR: SCHOLES LAYAK BERAKSI DI EURO 2012
Prestasi cemerlang Paul Scholes bersama United sejak kembali dari persaraan Januari lalu mendapat perhatian dari ramai penganalisis bolasepak. Terbaru, bekas pemain Arsenal, Ray Parlour berpendapat Scholes layak menyertai skuad England ke pusingan akhir Euro 2012 Jun nanti. Menurut Parlour, England amat memerlukan kreativiti pemain seperti Scholes di bahagian tengah pada kempen mereka di Ukraine dan Poland nanti. Bagi Parlour, skuad The Three Lions sudah boleh melupakan khidmat bintang tengah Arsenal, Jack Wilshere Jun nanti berikutan masalah kecederaan jangka panjang yang dialaminya. "Saya fikir agar sukar untuk Jack tampil pada Euro nanti kerana dia tidak bermain begitu lama. Jikapun pulih ia akan hanya berlaku bila musim ini berakhir. Ini merupakan tamparan buat skuad England namun Paul Scholes boleh menggantikan Jack. Scholes pemain yang hebat dan semakin hebat sejak kembali dari persaraan pada pertengahan musim ini. Jika Scholes berhajat kembali menyertai skuad England, dia memang layak mendapat tempat", kata Parlour.
17 April 2012
UNITED DAN BENFICA SEPAKAT HARGA GAITAN?
Nicolas Gaitan bakal menjadi pemain pertama yang ditandatangani The Red Devils musim panas ini selepas mereka dikatakan sudah mencapai kata sepakat dengan Benfica berkaitan soal perpindahan pemain tengah Argentina itu. Meskipun klausa pelepasan Gaitan mencapai 30 juta Pound, Benfica dilaporkan tetap bersetuju dengan tawaran United bernilai lebih 20 juta Pound. Untuk menampung baki dalam klausa pelepasan Gaitan, United akan meletakkan nama Fabio da Silva dan Federico Macheda dalam tawaran mereka. Fabio akan dipinjamkan selama setahun manakala Macheda akan berpindah secara tetap ke Benfica selepas prestasi tidak menentu yang dipamerkannya hingga menyebabkan dia pernah dipinjamkan ke Sampdoria dan Queens Park Rangers. Pihak United sendiri dikatakan tidak akan mengumumkan perkara ini secara rasmi dan akan hanya melakukannya pada jendela perpindahan musim panas Jun nanti. Sir Alex Ferguson sudah memantau perkembangan pemain berusia 24 tahun ini dalam beberapa bulan terakhir, terutama selepas United berdepan Benfica di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini. Perpindahan Gaitan ke United bakal menjadi kenyataan apatah lagi apabila agen pemain itu, Jorge Mendes memang sudah tidak asing lagi dengan pengurusan Old Trafford kerana beliau juga pernah terlibat membawa masuk Cristiano Ronaldo dan Luis Nani sebelum ini. Menurut perjanjian, Benfica akan membayar 20 peratus dari nilai perpindahan Gaitan kepada bekas kelabnya, Boca Juniors selepas mereka menandatangani pemain itu pada 2010. Glory Glory Manchester United!!!
16 April 2012
UNITED REDAKAN SEMULA TEKANAN
Manchester United mengukuhkan kembali cengkaman mereka di tangga teratas liga selepas membenam Aston Villa 4-0 di Old Trafford malam tadi. Dua jaringan Wayne Rooney dan masing-masing satu oleh Danny Welbeck dan Nani memastikan United meredakan semula tekanan selepas tewas mengejut kepada Wigan Athletic, Khamis lalu. Sebelum perlawanan, United hanya mendahului tangga teratas dengan kelebihan dua mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City yang turut mengutip tiga mata penuh di Carrow Road pada perlawanan hari Sabtu. Kemenangan ke atas Villa malam tadi memastikan United mengutip mata ke 82 mereka dengan baki hanya empat perlawanan yang perlu diharungi musim ini. United yang meletakkan misi meraih tiga mata penuh selepas tewas di DW Stadium mengasak sejak awal permainan dan memperolehi penalti diminit ke-7 selepas Ciaran Clark menjatuhkan Ashley Young dalam kawasan penalti. Rooney tidak menghadapi masalah menewaskan Shay Given untuk meletakkan United 1-0 di hadapan. Diminit ke-18, Rooney sekali lagi hampir membolosi gawang Villa namun rembatan jarak dekatnya berjaya ditepis keluar Given. Diminit ke-34, Given terpaksa mengerahkan aksi terbaiknya untuk menafikan percubaan Danny Welbeck biarpun penyerang muda England itu berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan. Meskipun beberapa kali berjaya menafikan peluang terbaik United, Given akhirnya tewas buat kali kedua diminit ke-43. Selepas beberapa kali tersasar, Welbeck akhirnya meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila mudah menolak masuk bola umpanan Ashley Young dari sebelah kiri.
Bersambung di babak kedua, United terus mendominasi permainan terutamanya melalui gerakan-gerakan Paul Scholes, Rooney, Antonio Valencia dan Welbeck, namun barisan pertahanan Villa yang diketuai Alan Hutton kebal bertahan. Selepas berterusan menerima tekanan, benteng Villa akhirnya roboh lagi apabila Rooney menjaringkan gol kedua peribadinya selepas mudah menolak masuk bola umpanan Valencia diminit ke-73. Di penghujung permainan, Nani berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan lawan sebelum mudah menolak bola masuk untuk gol keempat United sekaligus menutup pesta jaringan di gelanggang sendiri. Mengulas tentang penalti kontroversi yang diberikan kepada pasukannya oleh pengadil Mark Hasley di awal babak pertama, Sir Alex Ferguson mengakui Ashley Young memang sengaja mencari sepakan penalti namun mempertahankan pemainnya itu dari tuduhan menipu. Minggu lalu, Young turut terlibat dalam situasi sama apabila United dihadiahkan sepakan penalti manakala pemain tengah Queens Park Rangers, Shaun Derry pula dilayangkan kad merah. "Saya rasa dia (Young) memang mencari penalti. (Ciaran) Clark jelas melanggarnya walaupun Young memang menjatuhkan diri walaupun tampak sedikit berlebihan, tetapi itu jelas penalti. Tiada keraguan tentang hal itu. Clark tidak seharusnya melakukan bantahan kerana dia memang menjatuhkan Young", kata Ferguson. Glory Glory Manchester United!!!
Statistik Perlawanan United/Villa:
Sepakan Sudut: 11/4
Percubaan Tepat: 17/4
Percubaan Tersasar: 8/6
Kekasaran: 9/7
Kad Kuning: 3/3
Kad Merah: -/-
Offside: 1/0
Penguasaan Bola: 57%/43%
Statistik Perlawanan United/Villa:
Sepakan Sudut: 11/4
Percubaan Tepat: 17/4
Percubaan Tersasar: 8/6
Kekasaran: 9/7
Kad Kuning: 3/3
Kad Merah: -/-
Offside: 1/0
Penguasaan Bola: 57%/43%
14 April 2012
PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn ASTON VILLA
Manchester United mengintai tiga mata penuh dan cuba mengukuhkan kembali cengkaman mereka selaku pendahulu apabila menanti kunjungan Aston Villa di Old Trafford esok dalam perlawanan ke-34 mereka. Berkelebihan lima mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City dengan baki lima perlawanan, United perlu memastikan kelebihan gelanggang sendiri dimanfaatkan sepenuhnya untuk meraih tiga mata penuh selepas kekalahan 0-1 kepada Wigan Athletic Khamis lalu menyaksikan persaingan merebut kejuaraan kembali terbuka antara dua kelab berjiran itu. Menjelang derby hujung bulan ini, Ryan Giggs mengingatkan rakan-rakan sepasukannya betapa pentingnya United tidak mengugurkan sebarang mata pada dua perlawanan di gelanggang sendiri selepas ini (menentang Aston Villa dan Everton). Aston Villa hanya enam mata dari zon penyingkiran dan pengurus mereka, Alex McLeish menegaskan bahawa pasukannya tidak akan `berehat' pada baki perlawanan yang tinggal sehingga kedudukan mereka dalam liga musim hadapan terjamin. McLeish menurunkan tujuh pemain dari akademi mereka ketika menentang Stoke City dan nyata perjudiannya berbaloi apabila pemain-pemain muda mereka menunjukkan kesungguhan tinggi ketika mengikat skuad yang berada di tangga ke-12 itu. Kejayaan Villa mengikat Livepool di Anfield seharusnya memberikan amaran buat skuad The Red Devils agar tidak memandang mudah cabaran lawan biarpun mereka mungkin turun tanpa kelibat Stephen Warnock, Marc Albrighton, Ciaran Clark, Chris Herd, Darrent Bent, Richard Dunne dan Fabien Delph yang dibelenggu kecederaan manakala Stilyan Petrov pula masih dalam rawatan kerana menghidap leukemia. United menang empat dari enam pertemuan terakhir mereka menentang Villa dan kali terakhir pertembungan kedua-dua pasukan di Old Trafford ialah pada Februari 2011 dimana United menang 3-1 hasil dua jaringan Wayne Rooney dan Nemanja Vidic. Rekod Villa ketika bertandang ke Old Trafford juga tidak begitu baik apabila mereka cuma menang sekali dari 26 kunjungan mereka ke gelanggang keramat United itu. United hanya melepaskan tiga mata dari 10 perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri dan mencatat enam kemenangan berturut-turut di Old Trafford sejak kali terakhir tewas kepada Blackburn Rovers pada malam tahun baru. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Phil Jones, Antonio Valencia, Nani, Paul Scholes, Michael Carrick, Wayne Rooney & Danny Welbeck
13 April 2012
GIGGS TUNTUT UNITED BANGKIT KEMBALI
Ryan Giggs mencabar pasukannya untuk mendapatkan kembali cengkaman mereka di tangga teratas sebelum pertarungan menentang Manchester City akhir bulan ini yang juga dilabelkan sebagai `final' Liga Perdana musim ini. United dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Wigan Athletic di gelanggang lawan hingga menyaksikan kelebihan lapan mata mereka di tangga teratas sebelum perlawanan kini mengecil kepada lima mata. Kekalahan United kepada Wigan dilihat membuka kembali peluang City dalam perlumbaan mengejar kejuaraan, namun Giggs mahukan agar pasukannya menamatkan segera cabaran pesaing terdekat mereka itu. Lagenda Old Trafford itu meletakkan sasaran meraih mata maksimum ketika mereka menerima kunjungan Aston Villa di gelanggang sendiri hujung minggu ini dan Everton tujuh hari kemudian. Dua kemenangan di gelanggang sendiri (ke atas Aston Villa dan Everton) bakal memastikan United membawa kelebihan lima mata ketika kunjungan mereka ke Stadium Etihad hujung bulan ini (itupun jika City menang dua perlawanan mereka). "Adalah penting mendapatkan enam mata daripada dua perlawanan ini (Aston Villa dan Everton). Kami bermain di gelanggang sendiri dan kami akan mencari cara terbaik untuk memenangi kedua-dua perlawanan ini. Ada beberapa keputusan yang kurang bagus sepanjang musim ini tetapi kami sentiasa mampu bangkit semula", kata Giggs.
Menurut Giggs, adalah penting buat rakan-rakannya segera melupakan kekalahan di DW Stadium yang juga kekalahan pertama dari 13 perlawanan mereka sejak Januari lalu. Mengambil contoh kebangkitan semula United yang meraih 34 mata sejak mereka tewas kepada Newcastle United, 4 Januari lalu, Giggs berkata bahawa mereka mesti menunjukkan ciri-ciri yang sama ketika menentang Aston Villa pada Ahad ini. Giggs turut menegaskan tiada alasan tentang prestasi buruk mereka kelmarin hingga menyebabkan rekod 100% United ke atas skuad The Latics sebelum ini lebur. Tiada mana-mana bintang The Red Devils yang menonjol sepanjang perlawanan kelmarin hinggakan nama besar seperti Wayne Rooney terpaksa ditarik keluar di babak kedua untuk memberikan nafas baru kepada gerakan serangan United. "Kami gagal bermain dengan baik. Permainan kami kurang lancar dan sering melakukan hantaran jauh. Kami tidak mengawal bola seperti yang biasa kami lakukan. Anda perlu berikan kredit kepada Wigan. Mereka meletakkan kami di bawah tekanan dengan kerja keras mereka", kata Giggs lagi. United dinafikan sepakan penalti selepas bola jelas terkena tangan Maynor Figueroa dalam kawasan penalti namun pembantu pengadil Dave Richardson mendakwa tidak melihat insiden tersebut. November lalu, United turut berdepan keputusan merugikan dari pegawai perlawanan apabila Phil Dowd menghadiahkan sepakan penalti kontroversi kepada Newcastle United yang menyaksikan mereka sekadar berkongsi mata di Old Trafford.
Berita-Berita Lain:
UNITED SETUJU HARGA GAITAN
Manchester United dilaporkan tinggal selangkah lagi untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Benfica, Nicolas Gaitan. United dikatakan telah bersetuju dengan harga 45 juta Euro yang diletakkan Benfica ke atas Gaitan dan turut akan melepaskan dua pemainnya sebagai pertukaran kepada kelab Portugal itu. Menurut media-media Portugal, United akan membayar sebanyak 25 juta Euro dalam bentuk tunai dan nilai selebihnya membabitkan dua pemain yang akan dilepaskan kepada Benfica. Nama-nama seperti Kiko Macheda, David Petrucci dan Bebe disebut-sebut sebagai pemain yang bakal menjadi korban perjanjian tersebut. Perbincangan perjanjian diuruskan oleh agen terkenal, Jorge Mendes yang turut memiliki hubungan baik antara kedua-dua kelab. Gaitan yang sejak Disember lalu menjadi pemain yang disebut-sebut menjadi tarikan Sir Alex Ferguson untuk memperkuatkan jentera tengah United dikatakan bakal menandatangani kontrak selama lima tahun di Old Trafford.
MEULENSTEEN SAHKAN FERGUSON MINAT HAZARD
Pembantu Sir Alex Ferguson dalam skuad utama, Rene Meulensteen mengesahkan, bosnya itu menaruh minat yang tinggi terhadap gaya permainan bintang Belgium dan LOSC Lille, Eden Hazard. Bulan lalu, Ferguson hadir menyaksikan perlawanan antara Olympique Lyon dan Lille yang didakwa Meulensteen sengaja dilakukan Ferguson bagi memantau aksi Hazard. "Pengurus ingin menyaksikan sendiri penampilan Hazard. Itu tandanya dia berfikir bahawa Hazard adalah pemain yang menarik. Kami sering berbincang tentangnya (Hazard). Penting untuk sesebuah pasukan memberikan nafas baru kepada skuad. Hazard adalah pemain yang istimewa, tetapi kami memerlukan waktu. Contohnya ketika kami memantau David De Gea untuk tempoh yang lama sebelum mendapatkannya", kata Meulensteen. Selain Hazard, United turut dikaitkan dengan Kevin Strootman namun Meulensteen kurang yakin yang bintang PSV Eindhoven itu sesuai dengan saingan bolasepak England. "Kami tidak pernah berbincang tentang Strootman secara serius. Kami mengikuti perkembangan setiap pemain muda yang berpotensi. Itu pun berlaku untuk Christian Eriksen. Strootman pemain yang bagus namun saya tidak fikir dia sesuai untuk bolasepak England".
MANCINI: PELUANG CITY SUDAH TERTUTUP
Meskipun menyaksikan pasukannya mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas West Bromwich kelmarin, sekaligus berjaya merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Manchester United, Roberto Mancini mendakwa peluang pasukannya meraih gelaran liga musim ini sudah berakhir. Kekalahan United kepada Wigan Athletic membantu City menghidupkan semula harapan mereka dalam pemburuan kejuaraan liga dengan baki lima perlawanan yang perlu diharungi. Bagaimanapun Mancini begitu yakin bahawa perkara itu (memenangi kejuaraan liga) tidak akan berlaku. "Tidak, semuanya sudah berakhir. Memang penting kerana secara matematiknya kami berada di posisi yang lebih baik. Manchester United pasukan yang fantastik, mereka punya pengalaman dan saya fikir mereka akan keluar sebagai juara. Kami sudah memiliki 74 mata dan secara realistiknya akan bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan", kata Mancini.
12 April 2012
KEJUTAN BUAT UNITED
Shaun Maloney memberikan kesan yang besar kepada dua pasukan di tangga teratas liga apabila gol tunggal jaringannya memberikan tiga mata berharga buat Wigan Athletic sekaligus menghidupkan semula peluang Manchester City dalam perlumbaan merebut kejuaraan musim ini. Kekalahan ini adalah yang pertama buat United dalam 15 pertembungan mereka dengan The Latics, sekaligus menyaksikan jurang selaku pendahulu kini mengecil kepada lima mata. Ini juga adalah kekalahan pertama United dalam 13 perlawanan sejak kali terakhir mereka tewas kepada Newcastle United pada 4 Januari lalu. Perlawanan ini turut menyaksikan beberapa keputusan kontroversi yang dicetuskan oleh pembantu pengadil, Dave Richardson apabila dia menafikan jaringan Victor Moses di babak pertama dan tidak mengendahkan rayuan penalti United selepas bola jelas terkena tangan Maynor Figueroa dalam kawasan penalti di babak kedua. Selepas `bencana' yang menimpa pasukannya di Stamford Bridge, di mana mereka dibolosi dua jaringan yang jelas off side, Roberto Martinez tentunya berfikir situasi serupa akan berulang lagi selepas jaringan Moses dibatalkan hingga menyaksikan dia bertikam lidah dengan pegawai keempat perlawanan. Tiada kelihatan pemain United yang membantah jaringan itu biarpun ulang tayang menunjukkan Gary Caldwell menghalang David de Gea sebelum Moses melakukan tandukan.
Wigan jelas menguasai permainan sepanjang separuh masa pertama dengan beberapa percubaan bahaya yang dihasilkan mereka terutamanya menerusi gandingan James MacCarthy, Franco di Santo dan Moses. Skuad bimbingan Roberto Martinez itu sering diingati dengan gaya menyerang mereka, tetapi kehilangan mata penting akibat ketumpulan jentera serangan sendiri. Situasi tersebut tampak bakal berulang lagi apabila United hampir memanfaatkan kegagalan tuan rumah memburu gol menerusi peluang terbaik yang diperolehi oleh Javier Hernandez namun berjaya dihalang Caldwell. Selepas kedudukan terikat 0-0 sepanjang babak pertama, Maloney akhirnya muncul wira apabila rembatannya hasil gerakan bersama Jean Beausejour gagal diselamatkan De Gea. Jaringan Maloney diminit ke-49 itu ternyata mengejutkan United yang kemudiannya bangkit dan mengubah rentak permainan mereka bagi memburu gol penyamaan. Kegagalan memecah kebuntuan memaksa Ferguson melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Danny Welbeck (menggantikan Hernandez) dan Nani (menggantikan Rooney) namun tuan rumah tetap terus mendominasi permainan. Mereka hampir menggandakan jaringan namun percubaan Moses diminit ke-81 berjaya diselamatkan De Gea dan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat permainan. Glory Glory Manchester United!!
Statistik Perlawanan Wigan/United:
Sepakan Sudut: 7/3
Percubaan Tepat: 8/3
Percubaan Tersasar: 3/5
Kekasaran: 8/14
Kad Kuning: 1/2
Kad Merah: -/-
Offside: 2/2
Penguasaan Bola: 45%/55%
Statistik Perlawanan Wigan/United:
Sepakan Sudut: 7/3
Percubaan Tepat: 8/3
Percubaan Tersasar: 3/5
Kekasaran: 8/14
Kad Kuning: 1/2
Kad Merah: -/-
Offside: 2/2
Penguasaan Bola: 45%/55%
11 April 2012
FERDINAND INGIN AKHIRI KARIER BERSAMA UNITED DENGAN GEMILANG
Rio Ferdinand menghampiri tempoh sepuluh tahunnya bersama Manchester United, namun tonggak pertahanan itu masih laparkan kejayaan dan ingin mengumpul lebih banyak pingat kejuaraan bersama The Red Devils. Ketika melangkah masuk ke Old Trafford pada 2002 dari Leeds United dengan rekod perpindahan England ketika itu (29.1 juta Pound), Ferdinand berkata, kejayaan seseorang pemain bersama United akan hanya diukur dengan berapa banya mereka memenangi trofi. "Tidak ramai pemain yang meninggalkan kelab ini sesuai dengan keinginan mereka. Pastinya tidak bagus jika mengakhiri karier di sini (Old Trafford) tanpa memenangi sesuatu", kata Ferdinand. Ferdinand, 33 tahun mempunyai baki kontrak setahun bersama United dan pemain pertahanan itu dikatakan ingin menyambung kontraknya namun segalanya masih di peringkat perbincangan. Ferdinand turut mengakui dia masih belum memikirkan tentang persaraan dan ingin bermain di peringkat tertinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi. Bersama United, Ferdinand sudah memenangi Liga Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia, Piala Liga (2 kali) dan kejuaraan Liga Perdana keenam pula nampaknya dalam perjalanan selepas United selesa mendahului takhta liga dengan kelebihan lapan mata.
Terdapat khabar angin mengatakan Ferdinand akan mengakhiri kerjayanya dengan menyertai Liga Bolasepak Amerika (Major League Soccer) malah perkembangan bolasepak di timur turut dikatakan bakal membawa Ferdinand beraksi di rantau Asia. Kelab Liga Super China yang tidak lokek berbelanja besar, Shanghai Shenhua sedang berusaha mendapatkan khidmat Ferdinand selepas mereka berjaya membawa masuk Nicholas Anelka, Januari lalu. Gaji lumayan yang ditawarkan kelab tersebut juga mungkin boleh menyebabkan Ferdinand mengikut jejak Anelka dengan memilih China sebagai destinasinya selepas ini. Meskipun semakin berada di penghujung karier, Sir Alex Ferguson tetap yakin, Ferdinand masih boleh memainkan peranan penting buat United sebagai pemain senior dengan menjadikan Paul Scholes dan Ryan Giggs sebagai contoh terbaik. Setelah hampir sedekad di Old Trafford, Ferdinand muncul pertahanan England paling bergaya untuk generasinya dan menjadi tonggak pertahanan United sepanjang tempoh tersebut. Bekas pertahanan West Ham dan Leeds itu menegaskan, "Komitmen saya adalah bersama kelab dan akan berada di sana selamanya. Saya tidak pernah terfikir untuk berpindah. Saya ingin menjadi sebahagian dari sejarah kelab dan untuk itu saya harus berada di sini". Glory Glory Manchester United!!!
10 April 2012
PREVIEW: WIGAN lwn MANCHESTER UNITED
Manchester United mungkin cuma menghitung hari sebelum ditabalkan sebagai juara liga dan jika mereka terus mencatat kemenangan dalam kunjungan ke DW Stadium awal pagi Khamis nanti, sebelah tangan mereka mungkin sudah mengenggam trofi tersebut buat kali ke-20. United berada di landasan terbaik tatkala persaingan merebut kejuaraan liga semakin tiba di penghujung dan hanya melibatkan saingan dua penjuru bersama jiran setempat, Manchester City. Ketika tekanan perlumbaan merebut kejuaraan semakin memuncak, United sepertimana kebiasaannya mula mempamerkan kebangkitan di penghujung musim apabila mencatat 8 kemenangan berturut-turut, manakala City pula semakin goyah apabila hanya mengutip dua mata dari tiga perlawanan terakhir mereka. Berbekalkan motivasi yang cukup tinggi ketika ini, United dilihat tidak menghadapi masalah untuk terus merakamkan kemenangan kesembilan berturut-turut, tetapi cabaran skuad The Latics juga tidak harus dipandang remeh apatah lagi mereka bakal beraksi di gelanggang sendiri. Dalam usaha mereka untuk terus kekal bersaing dalam Liga Perdana musim depan, skuad bimbingan Roberto Martinez itu berjaya mengejutkan Liverpool di Anfield hasil kemenangan 2-1, menewaskan Stoke City di gelanggang sendiri, manakala hampir mengikat Chelsea di Stamford Bridge tetapi dinafikan oleh jaringan lewat permainan Juan Mata. Sebelum kecundang kepada Chelsea, Wigan tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir mereka.
Saingan sengit di zon penyingkiran memungkinkan pasukan seperti Wigan mengerah sepenuhnya kemampuan mereka dan kejayaan mengejutkan pasukan teratas seperti United adalah satu kemenangan moral cukup besar dalam usaha mereka kekal bersaing di liga elit. Ketiadaan Nemanja Vidic di bahagian belakang nampaknya tidak begitu dirasai ketika benteng United terus mempamerkan prestasi menakjubkan apabila mereka tidak dibolosi dalam lima perlawanan terakhir. Hanya Jermain Defoe berjaya menewaskan David de Gea lebih sebulan yang lalu manakala barisan hadapan West Bromwich, Wolves, Fulham, Blackburn dan QPR buntu memecah kekebalan pertahanan United. Sir Alex Ferguson dijangka terus mengekalkan kombinasi Rio Ferdinand dan Jonny Evans di bahagian tengah pertahanan manakala Patrice Evra dan Phil Jones di sebelah kiri dan kanan (pertahanan). Franco de Santo dan Shaun Maloney pastinya menjadi sandaran Martinez dalam usaha memburu gol berikutan ketiadaan Hugo Rodallega yang masih lagi dibelenggu kecederaan. Kunjungan terakhir United ke DW Stadium ialah pada 26 Februari 2011 yang menyaksikan mereka menang 4-0 di sini hasil dua jaringan Javier Hernandez dan masing-masing satu oleh Wayne Rooney dan Fabio da Silva. Untuk rekod, Wigan gagal mengutip sebarang mata dalam sejarah 13 pertembungan mereka di peringkat liga setakat ini. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Phil Jones, Ashley Young, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez
09 April 2012
UNITED SELESA DI TAKHTA LIGA
Meskipun berjaya menewaskan Queens Park Rangers 2-0 semalam sekaligus mengukuhkan cengkaman United di tangga teratas liga dengan kelebihan lapan mata, Sir Alex Ferguson menganggap persembahannya pasukannya sebagai mendatar. Pelawat kekurangan seorang pemain sejak minit ke-14 apabila Shaun Derry dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Lee Mason kerana mengasari Ashley Young di kawasan penalti. Layangan kad merah kepada Derry turut mencetuskan kontroversi selepas ulang tayang video menyaksikan Young sudahpun berada pada posisi off side, malah Ferguson sendiri turut mengakuinya. Berbekalkan momentum tujuh kemenangan berturut-turut yang dicatat sebelum ini, United menguasai permainan sejak minit pertama lagi dan berjaya mendahului pelawat melalui penalti Wayne Rooney selepas Young dikasari Derry. Rooney hampir menjaringkan gol peribadi keduanya diminit ke-34 namun rembatannya berjaya diselamatkan Patrick `Paddy' Kenny. Walaupun menguasai sepenuhnya permainan, United hanya berpuashati dengan jaringan tunggal Rooney sehingga tamat separuh masa pertama.
Danny Welbeck berjaya membolosi gawang tuan rumah diminit ke-47 namun gol itu dibatalkan selepas dia dikesan sudah berada dalam posisi off side. Diminit ke-59, Rafael da Silva sepatutnya menambah jaringan buat The Red Devils namun gagal memanfaatkan umpanan cantik Scholes biarpun hanya berdepan dengan Kenny di depan gawang. Scholes akhirnya berjaya mencatatkan namanya dalam senarai penjaring apabila rembatannya dari luar petak penalti diminit ke-67 gagal diselamatkan Kenny. Sepuluh minit selepas itu, giliran Michael Carrick pula menguji Kenny melalui percubaan jarak jauh namun bola sekadar singgah ditiang gol. United memperolehi beberapa peluang terbaik selepas itu terutamanya melalui Welbeck namun keputusan 2-0 tetap kekal hingga wisel penamat ditiupkan. Kemenangan ini juga menyaksikan United terus mengukuhkan cengkaman mereka di puncak takhta liga dengan kelebihan lapan mata selepas pencabar terdekat, Manchester City tewas 0-1 kepada Arsenal di gelanggang lawan menerusi jaringan Mikel Arteta. Glory Glory Manchester United!!!
Statistik Perlawanan Man Utd/QPR:
Tendangan Sudut: 11/5
Percubaan Tepat: 14/7
Percubaan Tersasar: 10/2
Kekasaran: 13/10
Offside: 3/0
Kad Kuning: 1/0
Kad Merah: 0/1
Penguasaan Bola: 65/35
07 April 2012
PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn QPR
Manchester United akan melayan kunjungan Queens Park Rangers di Old Trafford hanya beberapa jam sebelum pencabar terdekat mereka, Manchester City berdepan Arsenal di gelanggang lawan. Sir Alex Ferguson sedar, kemenangan ke atas Rangers yang kini sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran bakal memberikan tamparan psikologi ke atas jiran mereka itu dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga. United ketinggalan lapan mata di belakang skuad Roberto Mancini Disember lalu, tetapi kemenangan di Old Trafford esok bakal menyaksikan skuad The Red Devils pula memiliki kelebihan sama di hadapan jiran mereka itu. Rangers yang dibimbing Mark Hughes, bekas pemain United dan juga pernah menguruskan City dilihat terdesak dan memerlukan mata bagi menghidupkan peluang mereka untuk terus bersaing dalam Liga Perdana musim depan. Kemenangan ke atas Liverpool dan Arsenal di gelanggang sendiri melonjakkan mereka ke tangga 17 liga tetapi mereka juga harus memperbaiki prestasi ketika bertandang ke gelanggang lawan. Tiga mata penuh yang dikutip ke atas Wolverhampton Wanderers di Molineux pada bulan September lalu menjadi satu-satunya kemenangan mereka di luar Loftus Park dalam tempoh hampir tujuh bulan.
Hughes bakal berdepan bos lamanya di Old Trafford, tetapi Ferguson sudah tentu tidak akan bermurah hati tatkala pasukannya sedang dalam misi memburu kejuaraan liga ke-20 mereka. United masih kekal tanpa khidmat Anderson, Anders Lindegaard, Nemanja Vidic dan Darren Fletcher tetapi Nani dijangka menyertai semula pasukan selepas pulih dari kecederaan pergelangan kaki. Michael Owen juga dikatakan sudah pulih tapi nama penyerang veteran itu tidak mungkin disenaraikan dalam pasukan untuk perlawanan minggu ini. Kunjungan Rangers di Old Trafford tanpa kelibat penyerang mereka Djibril Cisse yang masih menjalani penggantungan empat perlawanan berikutan layangan kad merah kedua yang diterimanya musim ini ketika berdepan Sunderland. Walau bagaimanapun, Hughes sudah boleh menggunakan khidmat Heidar Helguson dan DJ Campbell untuk mengisi kekosongan Cisse di barisan hadapan selepas kedua-duanya pulih dari masalah hamstring. Meskipun bermain di gelanggang sendiri, United tidak harus memandang mudah cabaran pasukan seperti Rangers yang pastinya akan berusaha meneruskan kelangsungan mereka dalam saingan elit Liga Perdana musim depan. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Antonio Valencia, Michael Carrick, Ryan Giggs, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck
05 April 2012
FERGIE BERBELANJA DI BASQUE?
Oscar de Marcos |
Sir Alex Ferguson dikatakan bakal menjadikan Basque sebagai destinasi untuk berbelanja bagi mendapatkan pemain baru pada musim panas ini. Pemain yang menjadi sasaran Ferguson ialah bintang tengah Athletic Bilbao, Oscar De Marcos. De Marcos baru berusia 22 tahun dan muncul antara tonggak utama di sebalik kejayaan Bilbao mara ke peringkat suku akhir Liga Europa. Kejayaan Bilbao menyingkirkan United dengan aggregat 5-3 sebelum itu nyata menarik minat Ferguson terhadap beberapa bakat muda yang ada dalam skuad dari Basque itu. Selepas mengirim adiknya, Martin Ferguson ke Sepanyol untuk memantau aksi De Marcos minggu lalu, kini giliran Jim Lawlor yang juga merupakan ketua pencari bakat United memantau aksi De Marcos. Di bawah kendalian Marcelo Bielsa, De Marcos muncul watak utama yang boleh diletakkan di bahagian tengah atau hadapan pada formasi Bilbao. De Marcos berjaya menjaringkan satu gol ketika Bilbao menang 3-2 ke atas United di Old Trafford pada perlawanan pertama dan sekali lagi mengulangi sentuhan jaringannya pada perlawanan kedua di San Memes. Kehadiran Martin dan Lawlor ke Sepanyol meningkatkan lagi spekulasi tentang minat United terhadap bintang muda Bilbao itu pada musim panas ini. Walaupun berjaya memujuk Paul Scholes kembali dari persaraan Januari lalu, Ferguson tetap memerlukan tenaga baru di bahagian tengah United dan tidak boleh berterusan bergantung pada Scholes. De Marcos mempunyai klausa pelepasan bernilai 26 juta Pound dalam kontraknya dan faktor itu mungkin menjadi halangan buat United mendapatkan khidmatnya musim panas ini. Meskipun ada lagi beberapa pemain muda dalam skuad Bilbao yang menarik minat Ferguson, De Marcos dikatakan berada dalam senarai teratas pemain yang diinginkan bos United itu. Mungkin juga kali ini, Ferguson melihat 26 juta Pound adalah pelaburan berbaloi buat pemain muda berpotensi seperti De Marcos. Glory Glory Manchester United!!!
Berita-berita Lain:
UNITED JUARA SEBELUM DERBY
Kapten Everton, Phil Neville percaya aksi `final Liga Perdana' yang diramalkan akan berlaku antara Manchester United dan Manchester City pada 31 April ini tidak akan berlaku. Bekas pemain United itu sebaliknya mengatakan, bekas pasukannya itu akan mengesahkan kejuaraan liga ke-20 mereka sebelum pertembungan derby itu berlangsung. "Saya rasa, United akan memenangi gelaran sebelum mereka berkunjung ke Stadium Etihad. Bukan berlawanan derby yang akan menentukan kejuaraan United tapi sebaliknya perlawanan melibatkan pasukan-pasukan seperti Blackburn Rovers, Swansea City dan Sunderland", kata Neville. Neville melihat pada ketika ini United memiliki semangat dan kualiti untuk keluar sebagai juara, sesuatu yang tidak dimiliki pesaing meraka, City. Melihat kepada baki perlawanan musim ini, Neville berpendapat United memiliki kelebihan berbanding City yang terpaksa berdepan ujian getir menentang Arsenal di gelanggang lawan hujung minggu ini. "City bakal berkunjung ke gelanggang Arsenal. Perlawanan ini tentunya sukar untuk mereka. Semua kelebihan kini dimiliki United dan mereka memiliki pengalaman dalam perlumbaan mengejar kejuaraan". United kini mengumpul 76 mata di tangga teratas liga, lima mata unggul di hadapan City di tangga kedua.
ROONEY HAMPIRI REKOD PENJARING GOL UNITED
Selepas berjaya membantu United menduduki tangga teratas Liga Perdana England dan menghampiri gelaran ke-20 mereka musim ini, Wayne Rooney kini mempunyai misi peribadi memadamkan rekod penjaring gol terbanyak dalam sejarah kelab milik Sir Bobby Charlton. Selepas beraksi selama lapan tahun bersama United, Rooney kini mengumpul 171 gol, empat gol di belakang George Best dan Dennis Viollet yang berada di tangga ketiga. Meskipun masih jauh ketinggalan berbanding rekod jaringan Sir Bobby Charlton (249 gol) dan Denis Law (237 gol), Rooney optimis suatu hari nanti dia mampu memecahkan catatan kedua-dua lagenda United itu. "Saya melihat catatan rekod gol sepanjang zaman dan beberapa individu telah mengingatkan saya tentang hal itu. Bagaimanapun catatan saya masih jauh berbanding Sir Bobby dan Denis Law. Saya bangga berada dalam senarai dan semakin menghampiri rekod beberapa lagenda kelab. Semoga saya berjaya mengatasi rekod mereka", kata Rooney.
YOUNG: TIADA PEMAIN BERANI `MENENTANG' GIGGS DAN SCHOLES
Pemain sayap Manchester United, Ashley Young mengakui bahawa tidak ada satupun pemain United yang berani menetang Ryan Giggs dan Paul Scholes. Kedua-dua pemain itu adalah pemain paling senior dalam skuad The Red Devils ketika ini. Meskipun kini sudah agak berusia, Giggs dan Scholes menjadi contoh buat pemain-pemain muda dalam pasukan apatah lagi selepas mereka berdua mempamerkan aksi cemerlang ketika berdepan Blackburn Rovers Selasa lalu. Selain itu, Young turut mengakui, kedua-dua bintang veteran itu masih mampu menyumbang banyak perkara buat pasukan. "Para pemain muda mula mengambil alih kelab musim ini. Mereka sukakan muzik yang keras dan sesuai dengan jiwa muda mereka yang penuh semangat dan agresif. Tetapi apabila Ryan Giggs dan Paul Scholes mula bercakap, kami semua akan diam dan mendengar. Hal ini terjadi tanpa arahan dari sesiapapun. Sebelum datang ke sini, saya bertanya kepada rakan-rakan tentang Scholes. Mereka mengatakan bahawa Scholes individu yang sangat hebat, bukan saja ketika perlawanan tetapi juga ketika berlatih", kata Young.
BERBATOV SERTAI GALATASARAY?
Gergasi Turki, Galatasaray dikatakan berminat mendapatkan khidmat Dimitar Berbatov musim panas ini. Kelab itu memang diketahui sedang memburu nama-nama besar untuk memperkuatkan pasukan mereka musim depan dan Berbatov berada dalam senarai pemburuan mereka. Berbatov yang memang sudah diketahui bakal meninggalkan Old Trafford, bahkan agen pemain itu, Emil Danchev mengesahkan bahawa kliennya itu sudahpun menandatangani kontrak dengan kelab yang namanya masih lagi dirahsiakan. Menurut laporan media di England, kelab yang dimaksudkan Danchev ialah Galatasaray dan jurulatih mereka, Fatih Terim dikatakan sudah tidak sabar lagi menunggu kedatangan Berbatov. Terim berharap Berbatov akan menjadi pemain penting dalam kempen Liga Juara-Juara kelab dari Istanbul itu musim depan.
Langgan:
Catatan (Atom)