22 April 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: 15 JUTA POUND UNTUK ALBA


Bintang pertahanan Valencia dan Sepanyol, Jordi Alba yang menarik minat Barcelona musim ini, kini turut menjadi sasaran Sir Alex Ferguson sebagai pengganti jangka panjang Patrice Evra.  Alba menjadi perhatian United selepas aksi cemerlangnya untuk Valencia sehingga berjaya menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Sepanyol sejak September lalu.  Alba dikatakan berada dalam radar Ferguson selepas bos United itu gembira dengan laporan positif yang diterima dari pasukan peninjaunya.  Januari lalu, Alba turut menjadi sasaran Manchester City yang berhasrat mencari pengganti kepada Alexandar Kolarov namun skuad The Citizen itu kini dikhabarkan beralih arah kepada bintang remaja Lille, Lucas Digne.  Alba adalah produk daripada Akademi La Masia, Barcelona tetapi menyertai Valencia pada usia 16 tahun dah terus berkembang di sana.  Alba dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada pusingan kelayakan Euro 2012 menentang Scotland dan Republik Czech selain turut disenaraikan ketika Sepanyol tewas 0-1 kepada England dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Wembley, November lalu.  Masalah kewangan meruncing yang melanda Los Che bermakna kelab Sepanyol itu mungkin bersedia mendengar tawaran dari mana-mana pasukan untuk Alba biarpun dia adalah aset pasukan ketika ini.  Sumber dari pihak pengurusan United percaya, mereka boleh memperolehi khidmat Alba musim panas ini dengan nilai sekitar 15 juta Pound.  Meskipun prestasi Evra masih berada di kemuncak apabila dia pernah bermain 33 perlawanan liga berturut-turut selain 11 perlawanan di peringkat Eropah, usia bek kiri Perancis itu yang akan menjangkau 31 tahun bulan hadapan menyebabkan United mempertimbangkan alternatif jangka panjang di posisi tersebut.  Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan