Salahkan diri sendiri, itu saja perkataan paling sesuai buat kegagalan Manchester United meraih tiga mata penuh ketika menentang Everton selepas selesa mendahului 4-2, sekaligus menyaksikan jurang sebagai pendahulu kini mengecil kepada tiga mata. Selepas ketinggalan kepada gol jaringan Nikica Jelavic diminit ke-33, United bangkit menyamakan kedudukan lapan minit kemudian melalui tandukan jarak dekat Wayne Rooney. United hanya memerlukan 12 minit sebaik babak kedua bersambung apabila Danny Welbeck menjaringkan gol menarik sekaligus meletakkan United di hadapan sebelum Nani mengukuhkan kedudukan kepada 3-1 empat minit kemudian. Selesa mendahului dengan kelebihan dua gol, kelalaian benteng pertahanan United dihukum Marouane Fellaini diminit ke-67, apabila pemain tengah itu yang tidak dikawal mudah melepaskan rembatan volli menarik untuk menghidupkan kembali harapan pelawat mencuri mata di Old Trafford. Bagaimanapun dua minit kemudian, Rooney sekali lagi mempamerkan sentuhan berbisa di hadapan gawang apabila gerakan menarik satu duanya bersama Welbeck meletakkan United kembali selesa di hadapan. United dilihat bakal menamatkan perlawanan dengan tiga mata penuh namun kelalaian benteng pertahanan sekali lagi dihukum pelawat apabila Jelavic menjaringkan gol peribadi keduanya diminit ke-83 untuk kembali merapatkan kedudukan. Dua minit kemudian impian United untuk meraih tiga mata penuh musnah apabila giliran Steven Pienaar pula menghukum kerapuhan benteng tuan rumah apabila mudah menolak bola masuk dari jarak dekat. Meskipun melakukan asakan bertali arus untuk mencari gol kemenangan, namun skuad bimbingan David Moyes itu cekal bertahan untuk memaksa United sekadar berpuashati berkongsi satu mata.
Sementara itu, Sir Alex Ferguson ternyata agak terkejut dengan keputusan seri yang diraih pasukannya selepas pada satu ketika selesa mendahului dengan kelebihan dua gol. "Keputusan ini adalah kerugian buat kami. Kami cuma perlu menghabiskan baki permainan untuk menang. Ini benar-benar melucukan. Kami bermain dengan fantastik dan kami juga menjaringkan gol-gol yang menarik. Bolos empat gol di Old Trafford dalam perlawanan yang penting seperti ini membuatkan saya seperti tidak percaya", kata Ferguson. Ferguson jelas berang dengan kelalaian benteng pertahanannya sehingga menyaksikan Everton berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit. "Kelalaian pertahanan merugikan kami. Pada perlawanan sebelumnya, kami bertahan dengan baik tetapi pertahanan kami sangat buruk tadi. Ini cukup bahaya buat kami kerana Everton terlalu mudah membolosi gawang kami". Ferguson memang sepatutnya kecewa kerana keputusan perlawanan semalam bukan sahaja tidak memihak kepada pasukannya malah memberi peluang buat pencabar di tangga kedua, Manchester City merapatkan jurang mata. United akan hanya membawa kelebihan 3 mata ketika mereka terpaksa berkunjung ke gelanggang City pada perlawanan yang disifatkan sebagai final Liga Perdana minggu hadapan. Menurut Ferguson, kegagalan pasukannya meraih tiga mata penuh ke atas Everton semalam telah membuka kembali laluan buat City bersaing merebut kejuaraan liga musim ini. "Kami sendiri telah membuka laluan buat Manchester City meraih kejuaraan dan itu tak perlu diragukan lagi. Perlawanan di Etihad nanti akan menjadi sangat penting". Glory Glory Manchester United!!
Statistik Perlawanan United/Everton:
Sepakan Sudut: 5/2
Percubaan Tepat: 11/10
Percubaan Tersasar: 9/7
Kekasaran: 8/11
Kad Kuning: 1/2
Kad Merah: -/-
Offside: 2/1
Penguasaan Bola: 51%/49%
Statistik Perlawanan United/Everton:
Sepakan Sudut: 5/2
Percubaan Tepat: 11/10
Percubaan Tersasar: 9/7
Kekasaran: 8/11
Kad Kuning: 1/2
Kad Merah: -/-
Offside: 2/1
Penguasaan Bola: 51%/49%
Tiada ulasan:
Catat Ulasan