Hanya tiga mata penuh menjadi sasaran Sir Alex Ferguson menjelang pertembungan dengan pasukan di tangga ketujuh, Everton di Old Trafford esok. Kemenangan akan menyaksikan United mengekalkan kelebihan lima mata mereka berbanding pencabar terdekat, Manchester City (itupun jika City menang ke atas Wolves) sebelum berlangsung pertembungan antara kedua-dua kelab berjiran itu di Stadium Etihad minggu hadapan. United harus berhati-hati dengan ancaman di udara kerana Everton memiliki ramai pemain yang mampu menghukum pertahanan lawan terutamanya melalui gerakan set pieces. Untuk itu, Phil Jones dijangka diturunkan esok menggantikan Rafael da Silva selepas dia direhatkan minggu lalu bagi memberikan bantuan tambahan kepada Rio Ferdinand dan Jonny Evans menangani ancaman Maruone Fellaini, Tim Cahill dan Nikica Jelavic dalam situasi perebutan bola tinggi. Tugas Luis Antonio Valencia mungkin sedikit mudah selepas Leighton Baines disahkan terlepas perlawanan esok kerana masalah hamstring dan sesiapun yang menggantikan tempatnya bakal berdepan tugas rumit mengekang kelincahan sayap United itu. Gerakan dari bahagian sayap bakal menjadi kunci utama pada serangan United, apabila Valencia, Young atau Nani yang mempunyai keupayaan menewaskan lawan dalam situasi satu lawan satu bakal membuka pertahanan ketat Everton. Keberkesanan Patrice Evra membantu pasukan ketika menyerang juga bakal memberikan masalah tambahan kepada Tony Hibbert disebelah kanan pertahanan. Di barisan hadapan, Ferguson dijangka terus menggunakan Danny Welbeck bergandingan dengan Wayne Rooney selepas prestasi tidak menentu yang dipamerkan Javier Hernandez musim ini. Gandingan Rooney/Welbeck diharap mampu merobohkan pertahanan kental Everton yang mempunyai rekod ketiga terbaik dalam liga selepas City dan United.
Everton dijangka menghadirkan masalah buat barisan United selepas mereka mula mempamerkan prestasi cemerlang di penghujung musim. The Toffees berjaya mengutip 10 mata dari empat perlawanan terakhir sekaligus menyaksikan mereka memintas jiran Merseyside, Liverpool dan menduduki tangga ketujuh liga. Namun persoalan kini timbul, apakah mereka mampu meneruskan rentak cemerlang mereka dalam empat perlawanan terakhir tanpa kelibat Leighton Baines. Sebelum direhatkan ketika menentang Sunderland, Baines sudah bermain sebanyak 99 perlawanan liga berturut-turut untuk Everton. Baines merupakan kunci utama ketika mereka melakukan serangan selain mampu mencipta peluang jaringan melalui situasi bola mati. Pertahanan Everton dilihat agak goyah dan ketiadaan Baines bakal memburukan lagi keadaan. Luis Suarez mendedahkan kelemahan benteng Everton apabila dia berjaya memanfaatkan kesilapan mudah yang dilakukan Sylvain Distin untuk menyamakan kedudukan ketika pertembungan separuh akhir Piala FA minggu lalu. Phil Neville dijangka mengisi kekosongan Baines di sebelah kiri pertahanan, tetapi mampukah bekas pemain United itu memikul tanggungjawab yang ditinggalkan Baines? Everton sebenarnya sangat bergantung kepada gerakan-gerakan dari sebelah tepi ketika menyerang apabila 75% dari serangan mereka bermula dari bahagian tersebut, lebih dari mana-mana pasukan dalam Liga Perdana. Apakah mereka mampu meneruskan statistik itu tanpa Baines? Selepas kecewa gagal layak ke perlawanan akhir Piala FA apabila tewas kepada Liverpool 1-2, ramai yang menganggap kunjungan ke Old Trafford bukanlah waktu yang tepat buat skuad kendalian David Moyes, namun dengan kedudukan di tangga ketujuh liga, Everton bukanlah pasukan sebarangan dan mampu menghadirkan ancaman kepada mana-mana pasukan. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Phil Jones, Antonio Valencia, Michael Carrick, Paul Scholes, Nani, Danny Welbeck & Wayne Rooney
Tiada ulasan:
Catat Ulasan