Ryan Giggs berada di landasan tepat untuk mengumpul kejuaraan liga ke-13 bersama Manchester United sekaligus menjadi hadiah paling bernilai sempena ulang tahun ke-22 kariernya dalam saingan bolasepak England. Dengan kelebihan lima mata milik United ke atas pencabar terdekat, Manchester City, peluang Giggs untuk mengumpul koleksi pingat kejuaraan ke-13 kini semakin hampir. Warga Wales itu mengatasi rekod 8 kejuaraan liga milik lagenda Liverpool, Alan Hansen dan Phil Neal selepas membantu United muncul juara pada 2008 dan bekas kapten United, Gary Neville menegaskan tiada sesiapa selepas ini yang mampu mengatasi pencapaian Giggs. "Kita akan melihat perkara ini lagi (pencapaian Giggs)? Tentunya tidak", kata Neville. "Ryan Giggs adalah pemain bolasepak paling berjaya di Britain dan saya tidak dapat melihat sesiapa yang akan berjaya mengatasi pencapaiannya selepas ini. Dia di ambang kejuaraan liga ke-13. Semasa anda masih muda, anda sering mendengar pencapaian menakjubkan Alan Hansen menang lapan kejuaraan liga bersama Liverpool, tetapi apa yang kita saksikan pada hari ini adalah keajaiban di hadapan mata kita".
Neville melihat bekas rakan sepasukannya itu sebagai pemain yang sangat unik, kerana biarpun sudah mengatasi semua rekod dari segi pencapaian domestik namun masih mempunyai semangat dan keinginan tinggi untuk terus menang. Giggs, 38 tahun, baru-baru ini telah menandatangani perjanjian lanjutan kontrak selama setahun sekaligus bakal menyaksikan dia mengharungi musim ke-22 bersama United musim depan. Neville percaya, Giggs masih mampu bermain sehingga mencapai usia 42 tahun berdasarkan kecergasan fizikal, mental dan kualiti milik lagenda hidup United itu. "Pemain terbaik dalam sejarah Liga Perdana Inggeris? Tentunya milik Ryan Giggs, tiada keraguan tentang itu", kata Neville lagi. Neville juga mendedahkan faktor Giggs mampu bertahan ialah kebolehannya menyesuaikan diri dengan peredaran zaman selain Giggs sendiri adalah pemain yang versatile. Selain lebih dikenali sebagai pemain sayap, Giggs juga boleh mengemudi bahagian tengah dan adakalanya diletakkan di belakang penyerang utama dalam misi menggempur pertahanan lawan. "Ryan mempunyai bakat istimewa anugerah Tuhan. Ketika mula-mula bermain bersamanya ialah ketika usia saya 14 tahun. Dia pemain terbaik yang pernah saya lihat. Bola seolah-olah terikat pada kakinya dan dia mampu melakukan apa saja ketika di atas padang".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan