Penyerang kontroversi Manchester City, Mario Balotelli sedia diturunkan pada pertembungan derby ke-139 Manchester awal pagi Selasa nanti selepas dia menamatkan penggantungan tiga perlawanan. Bagaimanapun Roberto Mancini mungkin menggunakan Carlos Tevez yang mempamerkan aksi cemerlang sejak ketiadaan penyerang Itali itu di bahagian hadapan bersama Sergio Aguero. City juga menerima khabar gembira berita kepulangan semula pertahanan mereka, Micah Richards yang pulih dari masalah hamstring selepas dia diketepikan pada perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers minggu lalu. Sementara itu, Sir Alex Ferguson pula harus memutuskan apakah dia akan melakukan sedikit rombakan di bahagian pertahanan selepas melihat kelalaian Rafael da Silva memberi ruang buat Steven Pienaar menjaringkan gol penyamaan Everton di Old Trafford. Phil Jones atau Chris Smalling besar kemungkinan mengambil alih tempat Rafael di sebelah kanan pertahanan selepas Ferguson secara terbuka mengakui dia agak kesal tidak mengeluarkan Rafael pada penghujung perlawanan United-Everton minggu lalu. Di bahagian tengah, Ferguson memiliki Ryan Giggs, Tom Cleverley dan Park Ji-Sung tetapi dijangka tetap mengekalkan gandingan Michael Carrick dan Paul Scholes manakala Luis Antonio Valencia dan Nani akan bergerak disebelah sayap kiri dan kanan. Nani membuktikan dia masih lagi pemain sayap yang digeruni walaupun berehat agak lama kerana masalah kecederaan apabila menjaringkan dua gol dari dua perlawanan dan bakal membuatkan Ashley Young terus berada di bangku simpanan United. Selepas menyaksikan dominasi City di gelanggang sendiri musim ini, timbul persoalan apakah United mampu melakukan sesuatu di Etihad nanti tambahan pula selepas mereka diaibkan jiran mereka itu dengan kekalahan 1-6 di Old Trafford, Oktober lalu. City menang 21 perlawanan mereka di gelanggang sendiri dan hanya Sunderland saja satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata di Etihad musim ini. Statistik mereka ketika bermain di gelanggang sendiri agak mengerunkan apabila rata-rata menjaringkan 3 gol dalam setiap perlawanan selain hanya bolos 10 gol setakat ini.
Meskipun tewas kepada Wigan Athletic di DW Stadium dan memerlukan dua jaringan lewat ketika menang ke atas Blackburn Rovers di Ewood Park, prestasi United di gelanggang lawan setakat ini cukup memuaskan. Statistik United ketika bertandang ke gelanggang lawan agak menyakinkan apabila mencatatkan purata jaringan 2.12 gol setiap perlawanan dan bolos 0.76 gol ketika beraksi di luar Old Trafford. United kekal tanpa khidmat Nemanja Vidic, Anderson, Darren Fletcher, Anders Lindegaard dan Michael Owen kerana masalah kecederaan jangka panjang manakala tiada sebarang pemain City yang berada dalam bilik rawatan pasukan. Sudah tentu City akan memulakan perlawanan nanti sebagai pasukan pilihan tetapi United di bawah bimbingan Ferguson adalah pasukan yang berpengalaman, faktor penting yang tidak dimiliki barisan Mancini. Sir Alex Ferguson terlibat dengan hampir semua perlumbaan merebut kejuaraan sepanjang kerjayanya bersama United dan beliau tahu apa yang perlu dilakukan setiap kali berdepan situasi getir seperti ini. Rekod United ketika bermain di luar Old Trafford juga tidak harus dipandang ringan apabila The Red Devils hanya tewas dua kali ketika bertandang ke gelanggang lawan. Jika United boleh memaksa City sekadar berkongsi mata dalam perlawanan ini, peluang buat skuad Ferguson untuk meraih kejuaraan liga ke-20 mereka semakin hampir. Beraksi di luar Old Trafford, United sebenarnya adalah sebuah pasukan yang cukup bagus ketika bertahan tetapi Ferguson tentunya tidak akan melakukan pendekatan dengan meletakkan `bas' di dalam kawasan penalti mereka. Kedua-dua pasukan dijangka tidak akan bermain secara terbuka bagi melindungi benteng pertahanan masing-masing tetapi dengan pengalaman dan kelas tersendiri yang dimiliki United, mereka mungkin akan pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata sekaligus meletakkan sebelah tangan mereka pada kejuaraan liga ke-20 mereka. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Chris Smalling, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Luis Antonio Valencia, Michael Carrick, Paul Scholes, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan