16 Mei 2012

AGEN SAHKAN PERBINCANGAN PERPINDAHAN KAGAWA


Shinji Kagawa diberitakan telah terbang ke England untuk mengadakan perbincangan dengan pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson semalam.  Pemain tengah Borussia Dortmund dari Jepun berusia 23 tahun itu dijangka meninggalkan juara Bundesliga dan DFB Pokal musim panas ini dan Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc turut mendedahkan bahawa Kagawa telah menolak tawaran kontrak baru.  Zorc turut mendedahkan bahawa Dortmund sedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk perancang itu dengan nilai sebanyak 15 juta Euro. Selepas laporan muncul semalam mengatakan bahawa Kagawa telah diterbangkan ke Manchester, agen pemain itu, Thomas Kroth turut mengesahkan bahawa rundingan dengan Ferguson telah dilbuat. Menurut Kroth, kedua-dua pihak (Kagawa dan United) berusaha merealisasikan perpindahan ini dan mendedahkan bahawa hasil perbincangan adalah positif.  Setakat ini tiada kelab Liga Perdana lain yang dikaitkan dengan Kagawa dan pemain antarabangsa Jepun itu memang sudah lama menyuarakan hasratnya untuk beraksi dalam saingan bolasepak di England.  Spekulasi tentang perpindahan Kagawa ke Old Trafford bertiup kencang sejak beberapa hari lalu apabila Ferguson dikatakan memantau aksi Kagawa ketika beraksi diperlawanan akhir DFB Pokal menentang Bayern Munich, Sabtu lalu. Kagawa adalah antara tonggak utama Dortmund sejak dua musim kebelakangan ini sehingga menyaksikan kelab itu berjaya mempertahankan kejuaraan Bundesliga musim ini selain berjaya menyingkirkan finalis Liga Juara-Juara, Bayern Munich di perlawanan akhir DFB Pokal.  Sebagai perancang tengah, Kagawa telah menjaringkan 17 gol dan melakukan 13 assist  dari 42 perlawanan untuk Dortmund sepanjang musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan