08 Mei 2012

PELUANG MASIH ADA


Saingan Liga Perdana England 2011/12 menuju ke minggu terakhir dengan Manchester United berdepan kemungkinan menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi.  Ahad ini, semua 20 pasukan akan mengharungi perlawanan terakhir masing-masing dan hanya keajaiban sahaja mampu membantu United menafikan hajat jiran mereka, Manchester City dari menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun.  Kejayaan City mengutip 3 mata penuh di Sports Direct Arena kelmarin menyaksikan skuad bimbingan Roberto Mancini itu semakin menghampiri gelaran liga ketiga mereka selepas memenanginya pada musim 1936/37 dan 1967/68. Kini biarpun tampak mustahil, seluruh penyokong United pastinya menaruh harapan kepada kelab yang berada di zon penyingkiran, Queens Parks Rangers untuk melakukan kejutan `besar' ke atas City di Etihad pada perlawanan terakhir liga Ahad nanti.  Kegagalan United memenangi sebarang trofi mungkin menyebabkan ramai pemerhati bolasepak menganggap era kegemilangan The Red Devils sebagai kuasa bolasepak England bakal berakhir. Kegagalan memenangi sebarang trofi tetap dianggap sebagai satu bencana buat kelab seperti Manchester United, namun berada di tempat kedua dan hanya tewas dengan perbezaan gol kepada kelab berbelanja besar seperti City bukanlah sesuatu yang terlalu buruk. Musim ini United dibelenggu dengan krisis kecederaan pemain terutamanya di bahagian tengah yang membabitkan Darren Fletcher, Tom Cleverley dan Anderson hingga memaksa Sir Alex Ferguson memujuk Paul Scholes keluar dari persaraan.  Cleverley misalnya terlepas aksi hampir lima bulan kerana kecederaan buku lali  dan hanya kembali kedalam skuad pada Februari lalu, manakala Fletcher dan Anderson pula terlepas hampir keseluruhan aksi musim ini.  Benteng pertahanan United juga tidak terkecuali apabila Chris Smalling, Phil Jones, Rio Ferdinand, Fabio da Silva silih berganti keluar dan masuk ke bilik rawatan pasukan. Disember lalu, giliran ketua pasukan, Nemanja Vidic pula terpaksa melupakan baki saingan musim ini selepas dia mengalami kecederaan lutut serius pada saingan Liga Juara-Juara menentang FC Basel. Hanya Patrice Evra sahaja pemain di barisan belakang yang secara konsisten berada dalam kesebelasan utama United  musim ini, dan bek antarabangsa Perancis itu hanya direhatkan Ferguson selepas insiden perkauman dengan Luis Suarez menuju kekemuncaknya pada pertembungan United/Liverpool di Old Trafford Februari lalu. 

Dengan segala masalah kecederaan yang melanda pasukan,  adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa era kegemilangan The Red Devils turut bakal berakhir jika mereka gagal memenangi sebarang trofi musim ini.  Perlu juga diingatkan, United hanya membawa masuk tiga pemain musim panas lalu dengan dua daripadanya adalah pemain muda. Ashley Young satu-satunya pemain berpengalaman yang di bawa masuk oleh Ferguson musim ini, manakala David de Gea dan Phil Jones pula masing-masing baru berusia 21 dan 20 tahun.  Jaringan Paul Scholes dan Ashley Young ke atas Swansea City di Old Trafford kelmarin memastikan perlumbaan merebut kejuaraan liga akan ditentukan hingga keperlawanan terakhir.  Selepas City menang ke atas Newcastle United pada perlawanan sebelumnya, tiga mata yang dikutip di gelanggang sendiri menyaksikan United dan City berkongsi 86 mata.  The Citizen bagaimanapun memiliki kelebihan lapan gol berbanding United yang berada di tangga kedua dan harapan untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu semakin pudar ketika saingan liga menuju keperlawanan terakhir.  Ketika City muncul pasukan pilihan untuk menjulang kejuaraan liga musim ini, Ferguson tetap menaruh harapan agar Queens Park Rangers dapat melakukan kejutan ke atas skuad jiran mereka itu di Etihad.  Rangers yang dibimbing bekas pemain United dan juga bekas pengurus City, Mark Hughes kini berada di tangga ke-17 liga dan hanya dipisahkan 2 mata dari Bolton Wanderers yang berada di zon penyingkiran (tangga ke-18). Hughes perlu memastikan pasukannya memungut sekurang-kurangnya satu mata di Etihad nanti jika tidak ingin melihat pasukannya menerima nasib yang sama seperti Wolverhampton Wanderers dan Blackburn Rovers yang akan beraksi di Liga Kejuaraan musim hadapan.  Atas faktor itulah, Ferguson menaruh keyakinan peluang masih ada buat United mempertahankan kejuaraan liga mereka sambil berharap Rangers berjaya mengekang City dari mengutip mata penuh.  Tambahan pula faktor Hughes sendiri yang pernah dipecat pihak pengurusan City tanpa sebarang alasan yang jelas membuatkan Ferguson bertambah yakin, bekas anak didiknya itu (Hughes) akan memastikan City bakal berputih mata di gelanggang sendiri.  Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan