14 Mei 2012

MUSIM TANPA TROFI UTAMA


Hanya dua minit memisahkan Manchester United dari mempertahankan kejuaraan Liga Perdana mereka, namun dua gol di masa kecederaan dari Edin Dzeko dan Sergio Aguero meranapkan impian skuad Sir Alex Ferguson dari menjulang kejuaraan liga ke-20. Kemenangan 1-0 ke atas Sunderland hasil jaringan diminit ke-20 Wayne Rooney tidak memberikan apa-apa makna selepas City turut mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Queens Park Rangers di gelanggang sendiri. Gagal mempertahankan kejuaraan dalam situasi seperti ini memang kejam dan sungguh mengecewakan namun penghargaan juga seharusnya diberikan kepada The Red Devils yang berjaya memaksa skuad berbelanja besar seperti City berjuang hingga ketiupan wisel terakhir sebelum berjaya menamatkan kemarau kejuaraan liga mereka selama 44 tahun.  Keputusan seri 4-4 yang dicatatkan semasa menentang Everton pada 22 April lalu, menjadi detik penentu kepada kegagalan misi United mempertahankan kejuaraan liga musim ini walau mereka begitu selesa mendahului City dengan kelebihan lapan mata pada bulan Mac. Prestasi United dalam liga domestik musim ini sebenarnya tidaklah begitu mengecewakan jika diambilkira dengan pungutan 89 mata yang berjaya mereka raih. Pada kebiasaannya, dengan mata sebanyak itu, United akan keluar sebagai juara di akhir saingan namun itu tidak berlaku musim ini.  Mengambilkira faktor krisis kecederaan yang melanda pasukan sejak September lalu, kedudukan di tangga kedua (dan tewas dengan hanya perbezaan jaringan) bukanlah sesuatu yang terlalu buruk dan perlu diratapi.

Musim ini juga memang diakui cukup sengit buat United apatah lagi dengan kemunculan kelab seperti Tottenham Hotspurs dan Newcastle United yang tanpa disangka berjaya mengatasi pencabar-pencabar tradisi lain seperti Chelsea dan Liverpool dari segi pungutan mata keseluruhan, selain ancaman dari Arsenal dan City sendiri. Kegagalan ini diharap akan menjadikan barisan bintang muda United seperti Phil Jones, Chris Smalling, David de Gea, Javier Hernandez, Jonny Evans, Danny Welbeck, Rafael dan Fabio da Silva pemain yang lebih baik, matang serta kuat di masa hadapan. Ketika seluruh Eastlands berpesta meraikan kejuaraan yang diraih City, `warga' Manchester United tidak seharusnya berduka dan meratapi kegagalan mereka meraih sebarang trofi musim ini. Persiapan untuk memperkuatkan skuad bagi menghadapi saingan musim hadapan sudah boleh dilakukan mulai sekarang. Diharapkan akan ada beberapa bintang bertaraf dunia yang bejaya di pancing Ferguson musim panas ini.  City sudahpun dinobatkan sebagai juara Liga Perdana England musim ini, namun dari segi tradisi dan sejarah, mereka masih jauh ketinggalan berbanding United. Ferguson sudah tentu tidak akan membiarkan City sekali lagi mengatasi United pada saingan musim hadapan serta membiarkan `jiran yang bising' itu mengatakan bahawa mereka adalah kelab nombor 1 di bandaraya Manchester. Sepertimana kata-kata Ferguson selepas tamat perlawanan semalam, "City memerlukan 100 tahun lagi untuk menyamai pencapaian kami", mungkin juga kata-kata itu berupa amaran buat City bahawa United akan bangkit kembali musim hadapan. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan