12 Mei 2012

PREVIEW: SUNDERLAND lwn MANCHESTER UTD



Manchester United akan berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana mereka pada perlawanan terakhir musim ini, tetapi kemenangan ke atas Sunderland di Stadium of Light tidak bermakna jika Manchester City turut meraih tiga mata penuh ketika berdepan Queens Park Rangers.  United akan bertandang ke Stadium of Light esok dengan rekod tanpa kalah sepanjang 22 perlawanan terakhir mereka menentang skuad The Black Cats itu sejak 23 November 1984.  Musim lalu, Sunderland tewas 1-2 kepada United di gelanggang sendiri hasil jaringan Paul Scholes dan Federico Macheda, manakala gol mereka pula djaringkan oleh Kenwayne Jones. Perhitungan kedua-dua pasukan esok jauh lebih penting berbanding sejarah 111 pertemuan mereka sebelum ini terutama sekali bagi United, kerana pertemuan kali ini bakal menentukan nasib mereka dalam saingan merebut kejuaraan liga. Oleh itu, United harus menumpukan sepenuh perhatian mereka untuk mencapai kemenangan esok sambil berharap Rangers yang memerlukan satu mata untuk terus kekal bersaing di Liga Perdana mampu mengecewakan City.  Kekalahan skuad Martin O'Niell kepada Fulham minggu lalu meneruskan rentetan tanpa kemenangan mereka dalam tujuh perlawanan terakhir, dan mereka tentunya berharap mampu meraih tiga mata penuh ke atas United sebagai penutup kempen musim ini.  

O'Niell menerima khabar gembira menjelang pertemuan ini apabila Wes Brown sudahpun menjalani latihan dan dijangka kembali memperkuatkan pasukan selepas berehat panjang sejak Januari lalu kerana masalah kecederaan lutut. Titus Bramble yang diletakkan di bangku simpanan pada pertemuan dengan Fulham mungkin diberi peluang dalam kesebelasan utama manakala Kieran Richardson dan Sebastian Larsson akan terlepas aksi ini kerana pembedahan hernia. Kecederaan pangkal paha yang dialami Chris Smalling pula menjadikan pilihan di benteng pertahanan United kian terhad buat Ferguson, selepas Jonny Evans yang terlepas aksi menentang Swansea minggu lalu akan sekali lagi diketepikan pada aksi esok. Kecederaan yang melanda Smalling dan Evans menjadikan Phil Jones sebagai pilihan tunggal Ferguson untuk diletakkan bersebelahan Rio Ferdinand di benteng tengah United. Selain masalah di bahagian pertahanan, Ferguson juga menghadapi masalah serupa di bahagian hadapan apabila turut kehilangan Danny Welbeck kerana kecederaan pergelangan kaki. Ketiadaan penyerang England itu bakal menyaksikan Javier Hernandez sekali lagi diberi kesempatan beraksi bersama Wayne Rooney selaku penggempur. Segala-galanya akan ditentukan esok dan sebagai penyokong United kita semua tentu berharap agar Queens Park Rangers  mampu melakar kejutan di Etihad, sekaligus menafikan hajat besar City meraih gelaran liga mereka dalam tempoh 44 tahun.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Phil Jones, Rio Ferdinand, Rafael da Silva, Antonio Valencia, Nani, Michael Carrick, Paul Scholes, Javier hernandez & Wayne Rooney

Tiada ulasan:

Catat Ulasan