Musim 2011/12 bolehlah dirumuskan sebagai musim yang mengecewakan buat penyokong-penyokong Manchester United. United bermula dengan langkah kanan pada permulaan musim apabila mengenepikan Manchester City 3-2 dalam perlawanan merebut trofi Perisai Komuniti dan meneruskan rentak cemerlang mereka selepas itu apabila meraih kemenangan ke atas pasukan-pasukan pencabar kejuaraan seperti Arsenal, Chelsea dan Tottenham Hotspurs. Nasib United tiba-tiba berubah selepas itu apabila mereka dimalukan dengan kekalahan 1-6 kepada City di Old Trafford, tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara apabila sekadar menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan di belakang Benfica dan FC Basel, tersingkir dari saingan Piala FA kepada Crystal Palace dan nasib malang mereka di pentas Eropah berterusan apabila tersingkir di peringkat suku akhir kepada Athletic Bilbao dalam saingan Liga Europa. Lebih parah, kejuaraan Liga Perdana yang beberapa minggu lalu kelihatan bakal menuju ke Theatre of Dreams bakal bertukar haluan ke Stadium Etihad. Apa yang perlu dilakukan Ferguson selepas ini ialah memperbaiki kelemahan di beberapa bahagian, terutamanya di bahagian tengah dan pertahanan pasukannya dengan membawa masuk beberapa pemain baru bagi menghadapi musim hadapan yang lebih mencabar.
1. Bahagian Tengah:
Nicolas Gaitan |
Bermula di bahagian tengah yang memang menjadi kelemahan ketara United musim ini, sesuatu perlu dilakukan Ferguson bagi menguatkan kawasan tengah pasukannya. Meskipun Michael Carrick dan Paul Scholes dianggap gandingan yang ideal buat United, namun kadangkala kedua-duanya kurang kreativiti ditambah pula dengan usia Scholes yang sudah mencecah 37 tahun, kudrat bekas pemain tengah England itu nyata semakin terbatas. Anderson, Tom Cleverley dan Darren Fletcher pula menghabiskan hampir keseluruhan musim mereka di bilik rawatan dan jikapun Fletcher berjaya kembali beraksi semula musim hadapan, dia bakal menambahkan lagi senarai pemain-pemain berusia di bahagian tengah United. Selain Fletcher, Ryan Giggs, Paul Scholes dan Michael Carrick, United mempunyai seorang lain pemain yang bolehlah dianggap veteran di bahagian tengah iaitu Park Ji-Sung. Ji-Sung kurang menyerlah musim ini serta kerap memanaskan bangku simpanan United dan dia dijangka menjadi salah seorang pemain yang akan melangkah keluar dari Old Trafford musim panas ini. Dengan usia 30 tahun dan jarang mengalami kecederaan, Carrick mungkin satu-satunya pemain tengah United yang boleh diletakkan harapan untuk beraksi dalam tempoh beberapa tahun lagi dan Red Devils perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pemain tengah musim panas ini untuk bersaing dengan kelab-kelab seperti Manchester City, Bayern Munich, Real Madrid dan Barcelona di pentas Eropah. Ferguson perlu mendapatkan seorang pemain tengah menyerang (attacking midfielder) bagi menambah kreativiti pasukannya ketika melancarkan serangan dan pemain tengah bertahan (defensive midfielder) yang mampu memberikan lebih perlindungan kepada benteng pertahanan ketika bertahan selain berkebolehan merencana serangan dari bawah.
Javi Martinez |
Untuk peranan pemain tengah menyerang, Nicolas Gaitan dilihat pemain yang boleh dijangkau dan paling sesuai buat United. Menurut laporan-laporan media, urusan perpindahan pemain berusia 24 tahun itu dari Benfica hampir selesai. Jika benar laporan-laporan media tersebut, kehadiran Gaitan akan menambahkan lagi variasi dan kreativiti di bahagian tengah United. Pemain-pemain lain yang turut dikaitkan dengan United sejak kebelakangan ini ialah Luka Modric, Clint Dempsey dan Kristen Eriksen. Bagaimanapun tanda harga tinggi yang diletakkan ke atas Modric, faktor usia Dempsey serta keinginan Eriksen untuk terus kekal di Ajax menjadikan tiga sasaran ini tidak realistik buat United. Untuk peranan pemain tengah bertahan pula, Javi Martinez dari Athletic Bilbao merupakan pilihan terbaik. Anak muda dari Sepanyol itu adalah tonggak utama Bilbao di bahagian tengah musim ini dan kerap dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak Februari lalu. Kemampuan Martinez mengatur serangan dari bahagian bawah bakal menjadikan dia sebagai aset yang berharga buat skuad Ferguson namun Bilbao agak keberatan melepaskan tonggak mereka itu musim panas ini. Ini bermakna United terpaksa mengeluarkan dana sebesar 34 juta Pound bagi membeli klausa milik Martinez agar dia boleh meninggalkan kelab dari Basque itu.
Nicolai Boilesen |
Hampir pasti bahawa United akan mendapatkan pemain baru di bahagian ini pada musim panas nanti. Patrice Evra adalah penghuni tetap di bahagian kiri pertahanan United sejak beberapa musim lalu dan tempatnya dilihat tidak akan tergugat dalam tempoh 2 atau 3 tahun lagi. Walau bagaimanapun Ferguson perlu mencari pelapis kepada Evra selepas prestasi pemain antarabangsa Perancis itu dikatakan sedikit menurun musim ini. Fabio da Silva bakal dipinjamkan ke kelab-kelab Eropah lain bagi menimba pengalaman manakala Ezekiel Fryers pula masih kurang pengalaman untuk mengisi posisi di bahagian kiri pertahanan jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas Evra. Leighton Baines adalah nama baru yang dikaitkan dengan The Red Devils dan pemain Everton berusia 27 tahun itu sedang meniti puncak kariernya. Kehadiran Baines akan memberikan lebih kestabilan kepada benteng pertahanan United di samping dia juga mempunyai kebolehan ketika menyerang. Baines cukup dikenali sebagai pemain yang mempunyai kepakaran ketika mengambil sepakan percuma dan kelibatnya mengingatkan penyokong kepada bekas pemain United sendiri iaitu Denis Irwin. Dengan tanda harga sekitar 5 juta Pound, Baines yang berusia 27 tahun dilihat sebagai pengganti paling ideal buat Evra. Alternatif lain ialah pemain muda Ajax Amsterdam berusia 20 tahun, Nicolai Boilesen. Pemain antarabangsa Denmark itu muncul antara tonggak utama Ajax musim ini dan kehadirannya di Old Trafford bakal memberikan saingan kepada dua lagi bintang muda United iaitu Fryers dan Fabio sebagai pengganti jangka panjang Evra.
3. Penyerang:
Klaas Jan Huntelaar |
Sir Alex Ferguson telah mengumumkan bahawa Dimitar Berbatov akan meninggalkan kelab musim panas nanti manakala Michael Owen pula sering dibelenggu kecederaan dan sudah melepasi puncak prestasi. Situasi Owen menyebabkan ramai penyokong United mempersoalkan mengapa bekas penyerang Liverpool dan Real Madrid itu masih bertahan di Old Trafford. Federico Macheda yang menjaringkan gol kemenangan penting ke atas Aston Villa pada 2009 pula masih belum menunjukkan tanda-tanda bahawa dia adalah penyerang yang bakal menjadi sandaran United pada masa hadapan. Meskipun United merupakan antara kelab yang memiliki barisan penyerang terbaik di England, mereka tetap memerlukan seorang pemain baru di posisi tersebut bagi menghadapi saingan musim hadapan. Seorang penyerang baru diperlukan bagi memberikan ruang buat Danny Welbeck, Javier Hernandez dan Wayne Rooney mendapatkan rehat secukupnya ketika berdepan jadual perlawanan yang padat. Terdapat beberapa penyerang yang dilihat begitu produktif musim ini dan antaranya ialah Klaas Jan Huntelaar. Bekas penyerang Real Madrid itu menjaringkan 44 gol untuk Schalke musim ini dalam semua kejohanan. Tiada alasan buat Ferguson untuk tidak mengemukakan tawaran bagi khidmat Huntelaar, seorang penyerang yang mempunyai fizikal tegap, lasak dan pakar dalam perebutan bola tinggi. Huntelaar adalah seorang pemain yang mempunyai ciri-ciri yang diperlukan oleh seorang penyerang bagi menangani asakan keras pemain-pemain pertahanan di England. Lebih penting, Huntelaar adalah pemain yang mempunyai tanda harga lebih murah berbanding jika Ferguson cuba membawa masuk Edinson Cavani atau Iker Munian. Kehadiran Huntelaar dijangka memberikan Rooney lebih ruang ketika melakukan serangan seperti apa yang ditunjukkannya ketika bergandingan dengan Raul Gonzalez di Schalke musim ini. Kesimpulannya, penyokong-penyokong United tentunya berharap kelab akan membelanjakan banyak wang ketika pasaran perpindahan dibuka musim panas ini bagi membawa masuk beberapa pemain kelas dunia. Musim panas ini bakal membuatkan David Gill individu paling sibuk di Old Trafford dan jika pemain-pemain yang disebutkan di atas menyertai United, percayalah The Red Devils bakal muncul pasukan yang digeruni di peringkat domestik dan juga di pentas Eropah. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan