11 Mei 2012

TUGAS LEBIH BESAR BUAT FERGUSON


Jika Manchester City memenangi kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 44 tahun Ahad ini, Sir Alex Ferguson sepatutnya sudah bersiap sedia merangka strategi dan persiapan bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Kemungkinan juga persiapan bagi menghadapi musim hadapan adalah antara yang terbesar pernah dilakukan Ferguson sepanjang tempoh 25 tahun beliau berada di Old Trafford. Kegagalan meningkatkan tahap skuad yang ada sekarang (dengan membawa masuk beberapa pemain kelas dunia) bakal menyaksikan City yang mempunyai sokongan kewangan tidak terhad mengambilalih dominasi United, bukan hanya di bandaraya Manchester tetapi juga di England. Walaupun diiktiraf sebagai kelab terkaya di dunia dengan rekod keuntungan sebanyak 331 juta Pound, separuh daripadanya terpaksa dibelanjakan untuk membayar balik pinjaman yang dibuat keluarga Glazer sebanyak 526 juta Pound semasa pengambilalihan kelab pada tahun 2005. Musim panas lalu, Glazer memberikan peruntukkan sebanyak 50 juta Pound kepada Ferguson bagi membawa masuk 3 pemain baru (Phil Jones, David de Gea dan Ashley Young), tetapi bos United itu nampaknya akan memohon lebih banyak peruntukkan kewangan sebaik musim ini berakhir. United berdepan kemungkinan menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun jika City berjaya memungut mata penuh ketika berdepan Queens Park Rangers di gelanggang sendiri Ahad ini, dan `tragedi' seperti ini tentunya akan mendorong Ferguson melakukan sesuatu yang lebih drastik ketika jendela perpindahan dibuka berbanding musim panas lalu. Franck Ribery, Luka Modric, Bastian Schweinsteiger, Wesley Sneijder dan Gareth Bale adalah antara nama-nama yang pastinya menjadi rebutan mana-mana pengurus atau jurulatih, dan Ferguson tentunya tidak terkecuali. Bagaimanapun Ferguson sekali lagi terpaksa menoleh kepada kekuatan kewangan milik jiran mereka, City yang mampu `mencuri' mana-mana pemain yang beliau inginkan sepertimana berlaku ke atas Samir Nasri musim panas lalu. Situasi hampir sama nampaknya mungkin berlaku lagi musim panas ini selepas media melaporkan Edin Hazard, pemain yang sebelumnya dikatakan begitu diminati Ferguson nampaknya lebih cenderung memilih City berbanding United selepas dia tertarik dengan tawaran gaji 200,000 Pound seminggu. Pasaran perpindahan kini menjadi semakin gila sebaik City diambilalih Abu Dhabi United Group hingga menyaksikan mereka sudah membelanjakan lebih 300 juta Pound sejak tiga tahun lalu dengan membawa masuk ramai pemain bertaraf bintang. Bukan sahaja terpaksa berhadapan cabaran City di tengah padang, Ferguson kini  perlu juga bijak menangani cabaran jiran mereka itu dalam pasaran perpindahan pemain. Menghadapi persaingan musim hadapan yang dijangka lebih sengit, Ferguson nampaknya terpaksa bertindak sedikit kejam dengan menyingkirkan beberapa pemain veteran yang dilihat gagal memberikan sumbangan kepada pasukan sepanjang musim ini.  Dimitar Berbatov, Michael Owen dan Park J-Sung mungkin sudah boleh berkira-kira mencari majikan baru musim hadapan selepas mereka lebih banyak memanaskan bangku simpanan berbanding beraksi di tengah padang. Seorang lagi pemain yang berkemungkinan besar akan menuju pintu keluar ialah Anderson, selepas pemain tengah Brazil itu bergelut dengan masalah kecederaan sepanjang musim ini.  Musim panas lalu, Ferguson hampir berjaya mendapatkan khidmat perancang Inter Milan dari Belanda, namun tuntutan gaji yang tinggi menyaksikan perbincangan kontrak antara kedua-dua pihak berakhir di pertengahan jalan.  Kini terdapat khabar angin mengatakan United dan Sneijder telah kembali semula ke meja rundingan bagi merealisasikan harapan menyaksikan perancang berpengaruh itu menyarung jersi merah musim hadapan.  Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan