Manchester United kini terpaksa menerima kenyataan bahawa nasib mereka dalam perebutan kejuaraan liga musim ini berada di tangan musuh setempat, Manchester City. United terpaksa akur, kedudukan mereka di tangga teratas liga kini diambil alih jiran mereka itu selepas tewas 0-1 hasil jaringan tunggal Vincent Kompany di penghujung babak pertama. Selepas pada satu ketika begitu selesa dengan kelebihan 8 mata di hadapan City, kesilapan dalam beberapa perlawanan terakhir termasuk sekadar seri 4-4 dengan Everton minggu lalu menyaksikan United berdepan kemungkinan mengakhiri musim ini tanpa sebarang kejuaraan. Perlawanan awal pagi tadi menyaksikan United sukar menembusi benteng pertahanan City apabila mereka hanya meletakkan Wayne Rooney berseorangan di hadapan. Langkah Ferguson menurunkan Park Ji-Sung dalam perlawanan penting seperti ini turut dipersoalkan kebanyakan penganalisis bolasepak selepas bekas pemain antarabangsa Korea Selatan itu sering menghabiskan masanya musim ini di bangku simpanan. Selepas permainan di babak pertama seakan-akan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, tandukan Kompany hasil sepakan sudut David Silva memberikan kelebihan buat tuan rumah. Biarpun diasak hebat pada penghujung permainan, City akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan itu sekaligus memastikan mereka memungut tiga mata penuh dan merampas kedudukan pendahulu dari United. City kini hanya perlu memastikan mereka menang pada baki 2 perlawanan terakhir untuk menafikan hajat United meraih kejuaraan liga ke-20 mereka.
Punca kekalahan United awal pagi tadi adalah disebabkan taktik negatif yang diamalkan berdasarkan formasi 4-5-1 yang digunakan Ferguson. Misi United dalam perlawanan ini memang sudah dijangka sejak awal lagi iaitu sekadar mahu berkongsi mata bagi memastikan mereka terus berada di puncak liga. Berharap dengan keputusan seri di Etihad, mereka akan mampu menamatkan cabaran City dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga namun strategi itu akhirnya memakan diri sendiri. Inilah faktor utama mengapa United gagal di Stadium Etihad dan mereka harus mengakui, City adalah lawan yang lebih bagus sepanjang 90 minit. City memerlukan 3 mata penuh dan mereka bermain untuk menang dengan menguasai hampir keseluruhan permainan biarpun persembahan mereka agak longgar pada 15 minit pertama. Tindakan Ferguson memasukkan Danny Welbeck, Ashley Young dan Antonio Valencia di penghujung babak kedua sudah terlewat selepas City mula memperlahankan rentak permainan dan bemain secara bertahan dengan sesekali melakukan serang balas pantas. Dua baki perlawanan terakhir kini menjadi fokus buat kedua-dua pasukan selepas mereka hanya dibezakan dengan kelebihan jaringan. United dan City berkongsi 83 mata tetapi kelab Eastlands itu menduduki puncak liga dengan kelebihan 8 gol di hadapan United. United akan berdepan Swansea City di Old Trafford hujung minggu ini sebelum berkunjung ke Stadium of Light untuk menghadapi perlawanan terakhir menentang Sunderland manakala City pula akan menentang Newcastle United di gelanggang lawan dan menanti kunjungan Queens Park Rangers di gelanggang sendiri pada perlawanan terakhir mereka. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan