Tidak lengkap sekiranya senarai
kapten hebat Manchester United tanpa menyebut nama Roger Byrne. Mungkin ramai
peminat-peminat generasi baru United lebih mengenali Bryan Robson, Eric Cantona
dan Roy Keane sebagai kapten terhebat kelab, tetapi Byrne adalah antara kapten
paling berpengaruh pernah mengetuai kesebelasan utama United. Dilahirkan
pada 8 Februari 1929, Byrne dianggap tokoh utama kesebelasan Matt Busby dengan
280 penampilan sepanjang tempoh tujuh tahun (1951-58) sebelum terbunuh dalam
nahas udara di Munich pada 6 Februari 1958. Byrne bukanlah dari kategori
pemain bolasepak yang mempunyai bakat luarbiasa, tetapi dia memiliki kecergasan
dan kepantasan dalam menangani ancaman di benteng pertahanan selain memiliki
kekuatan dalam perebutan bola diudara hingga menjadikan dia antara tonggak
pertahanan United paling berpengaruh ketika zamannya. Walaupun gemar naik ke
atas ketika pasukan menyerang, Byrne akan segera kembali berada di posisinya di
benteng pertahanan ketika diancam lawan, dan aset paling berharga miliknya
ialah keupayaannya memberi inspirasi kepada rakan sepasukan selain karisma
kepimpinan ditengah padang yang dimilikinya. Selain muncul tonggak United,
Byrne juga adalah anggota tetap skuad kebangsaan England dari tahun 1954 hingga
57 dengan 33 penampilan di peringkat antarabangsa. Sehingga ke hari ini, Byrne
dianggap antara kapten berpengaruh dalam sejarah kelab.
Byrne menjadi pilihan utama
memakai lilitan lengan kapten United selepas persaraan Johnny Carey pada tahun
1953. Walaupun baru berusia 24 tahun ketika itu, Busby melihat Byrne adalah
pemain yang paling layak mengambil alih tempat Carey sebagai kapten United
berdasarkan penampilan, komitmen dan kebolehannya sebagai pemimpin di tengah
padang. Ketika itu ramai juga yang agak sangsi dengan pilihan Busby
kerana Byrne hanya membuat penampilan sulung bersama United tiga tahun
sebelumnya ketika menentang Liverpool di Anfield. Byrne beralih posisi dari
bahagian pertahanan ke sebelah sayap kiri pada musim 1951/52 dan berjaya
menjaringkan tujuh gol dari enam perlawanan. Prestasi cemerlang Byrne telah
berjaya membantu United memenangi kejuaraan liga musim tersebut buat kali
pertama dalam tempoh 41 tahun. Byrne bagaimanapun tidak berpuashati dengan
posisi barunya dan minta ditukarkan kembali ke bahagian pertahanan. Busby
akhirnya mengizinkan permintaan Byrne dan meletakkan kembali pemain itu ke
posisi asalnya iaitu sebagai pertahanan sebelah kiri sepanjang kariernya
bersama United selepas itu. Byrne adalah contoh pemain pertahanan dengan gaya
tradisional (atau lebih dikenali sebagai sweeper dalam era bolasepak moden). Sepanjang kariernya bersama
United, Byrne berjaya memenangi pingat kejuaraan liga pada tahun 1952, 56 dan
57 selain berjaya memimpin United mara ke perlawanan akhir Piala FA 1957 tetapi
tewas 1-2 kepada Aston Villa. Byrne juga disebut-sebut bakal menggantikan
tempat Billy Wright sebagai kapten pasukan kebangsaan jika pemain Wolverhampton
Wanderers itu mengambil keputusan untuk bersara dari arena antarabangsa.
Musim 1955/56 menjadi musim
paling manis buat Byrne apabila dia berjaya menjulang kejuaraan liga sebagai
kapten pasukan. Kejuaraan ini juga adalah kali keempat dalam sejarah
kelab dan yang kedua buat Matt Busby dalam tempoh lima tahun. Bagaimanapun
hanya Byrne dan Johnny Berry pemain yang masih kekal dari skuad yang menjuarai
liga pada musim 1951/52. Skuad kali ini sebahagian besarnya dibarisi oleh
pemain-pemain muda dengan purata umur 22 tahun. Pada tahun 1957, United
mencatatkan kejayaan cemerlang dalam kempen mereka di peringkat domestik dan
Eropah. Mereka hampir mencipta sejarah treble musim tersebut selepas
berjaya mempertahankan kejuaraan liga, namun terkandas di peringkat separuh
akhir Piala Eropah dan tewas kepada Aston Villa di perlawanan akhir Piala FA.
Selepas tewas kepada Villa, Byrne memberitahu kepada penyokong-penyokong
agar jangan bimbang dan berjanji United akan kembali semula ke Wembley musim
hadapan. Memang benar kata-kata Byrne, kerana musim berikutnya United sekali
lagi mara ke perlawanan akhir Piala FA tetapi kali ini tewas 0-2 kepada Bolton
Wanderers. Sayangnya kepulangan semula United ke Wembley kali ini tanpa kelibat
Byrne yang terbunuh dalam nahas udara di Munich tiga bulan sebelumnya. Pada
usia 28 tahun dan sedang berada dikemuncak prestasi, Byrne adalah salah seorang
dari 23 penumpang yang terbunuh dalam nahas udara di Munich yang turut
mengorbankan tujuh lagi pemain United pada 6 Februari 1958.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan