17 Mei 2012

RIO: SELAMAT TINGGAL THREE LIONS


Bintang pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mengakui kerjaya antarabangsanya bersama skuad kebangsaan England berakhir sebaik mendapati namanya tidak disenaraikan ke pusingan akhir Euro 2012.  Bos England yang baru, Roy Hodgson memberikan alasan kecergasan Ferdinand menjadi faktor utama mengapa dia tidak membawa pertahanan United itu ke Poland dan Ukraine nanti, tetapi ramai percaya hubungan dingin antara Ferdinand dan John Terry sejak insiden perkauman melibatkan adiknya (Anton) dengan kapten Chelsea itu menjadi penyebab dia digugurkan dari skuad The Three Lions ke Euro 2012. Semalam, Hodgson melakukan keputusan yang dianggap kontroversi apabila dia mengugurkan nama Ferdinand yang sudah bermain dalam empat pusingan akhir Piala Dunia dari senarai 23 pemain ke kejohanan Eropah bulan depan. Hodgson sebaliknya memilih John Terry yang bakal berdepan tuduhan mahkamah kerana melemparkan kata-kata berbaur perkauman ke atas pertahanan QPR, Anton Ferdinand pada 9 Julai ini untuk digandingkan dengan seorang lagi pertahanan Chelsea, Gary Cahill di benteng England. Hodgson mendakwa tindakannya itu dibuat kerana mendapati pemain berusia 33 tahun itu tidak berada pada tahap terbaik bagi melaksanakan misi di peringkat antarabangsa, satu keputusan yang cukup mengecewakan buat Ferdinand yang mempunyai 81 caps untuk England. Ferdinand pantas meluahkan kekecewaannya melalui Twitter apabila berkata dia cukup kecewa selepas digugurkan dan berkemungkinan besar tidak akan bermain lagi untuk England di masa hadapan.  

Semasa sidang akhbar mengumumkan senarai pemain England ke Euro 2012, Hodgson kelihatan berang dan cuba mengelak apabila wartawan mengajukan soalan apakah tindakannya mengugurkan Ferdinand disebabkan hubungan yang retak antara pemain itu dengan Terry. Tindakan Hodgson mengugurkan Ferdinand dari skuad kebangsaan turut diselar bekas pemain antarabangsa England, Sol Campbell. Campbell yang pernah berpasangan dengan Ferdinand di benteng pertahanan England mengakui, dia sukar mempercayai tindakan Hodgson mengenepikan pertahanan United itu dari skuad ke Euro 2012.  Hodgson telahpun memberikan alasan mengapa dia mengugurkan Ferdinand, tetapi keputusannya menyenaraikan Terry yang bakal berdepan tindakan mahkamah kerana isu perkauman menjadi perdebatan hangat pemerhati dan peminat bolasepak di England. Campbell agak sangsi mengapa Ferdinand digugurkan sedangkan prestasinya bersama United dalam tempoh tiga bulan terakhir begitu cemerlang dan bekas pemain antarabangsa England itu yakin Hodgson telah melakukan tindakan yang salah. Bagi Campbell, tindakan yang dibuat Hodgson benar-benar mengejutkan memandangkan Ferdinand adalah seorang pemain pertahanan yang cukup berpengalaman dan telah melakukan tugasnya dengan baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa selama ini. Selepas beraksi dengan cukup cemerlang bersama United sejak kebelakangan ini dan bebas dari sebarang masalah kecederaan, tindakan Hodgson mengugurkan Ferdinand dari senarai ke Euro 2012 sukar diterima Campbell.  Sementara itu seorang lagi pemain United, Michael Carrick turut mengumumkan persaraannya dari mewakili England. Pemain tengah itu telah mengatakan kepada FA bahawa dia tidak akan menyertai England sekiranya hanya diletakkan di bangku simpanan dan menyertai Ben Foster, Paul Robinson, Emile Heskey, Luke Young dan Paul Scholes yang mengumumkan persaraan dari tugasan antarabangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan