04 Mei 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn SWANSEA CITY



Selepas kehilangan kedudukan sebagai pendahulu liga kepada Manchester City 1 Mei lalu, United kini tiada pilihan lain selain meraih tiga mata penuh ketika berdepan Swansea City di gelanggang sendiri Ahad ini.  United  berpeluang merampas semula kedudukan teratas liga dari City apabila skuad Roberto Mancini itu akan berdepan perlawanan sukar di Sport Direct Arena menentang Newcastle United yang sedang menikmati prestasi cemerlang mereka musim ini.  Kelmarin, The Magpies mengejutkan finalis Liga Juara-Juara, Chelsea di Stamford Bridge hasil dua jaringan dari penyerang antarabangsa Senegal, Pappis Demba Cisse sekaligus meningkatkan peluang mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.  Jika menang ke atas Swansea City dan City pula gagal mengutip mata penuh di Sports Direct Arena, The Red Devils akan merampas semula kedudukan tangga teratas dan mendapati peluang mereka mempertahankan kejuaraan liga kian cerah dengan baki satu perlawanan selepas itu. Ini merupakan perlawanan keenam dalam sejarah pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak 1981.  United mendominasi rekod pertemuan mereka ke atas Swansea apabila mencatat tiga kemenangan, seri sekali dan kalah sekali. Satu-satunya kemenangan yang dicatat kelab dari Wales itu ke atas United ialah kira-kira 20 tahun dulu di mana mereka menang 2-0 di  gelanggang sendiri. Kali terakhir Swansea bertandang ke Old Trafford ialah pada 6 Mei 1983 yang menyaksikan mereka tewas dengan jaringan 2-1 manakala pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan ialah pada perlawanan liga 19 November lalu di mana United menang 1-0 hasil jaringan Javier Hernandez.

Wayne Rooney tentunya pemain yang akan menjadi tumpuan dalam perlawanan ini selepas dia gagal membantu United meraih sekurang-kurangnya satu mata di Etihad pada Selasa lalu. Rooney patut mengambil kesempatan untuk menambah koleksi jaringannya musim ini atas persembahan buruk barisan pertahanan Swansea ketika mereka terikat 4-4 dengan kelab tangga tercorot, Wolverhampton Wanderers di gelanggang sendiri hujung minggu lalu.  Ferguson dijangkan menurunkan semula Javier Hernandez bersama Rooney di bahagian hadapan selepas Danny Welbeck terlepas baki perlawanan musim ini akibat terjahan keras Nigel de Jong, Selasa lalu. Di barisan pertahanan United, Jonny Evans disahkan terlepas perlawanan ini kerana masalah kecederaan pergelangan kaki dan ketiadaannya akan menyaksikan Chris Smalling atau Phil Jones bakal diletakkan bersebelahan Rio Ferdinand. Swansea pula akan turun tanpa kelibat Angel Rangel di bahagian belakang mereka kerana masalah hamstring. United perlu berwaspada apabila berdepan situasi bola mati kerana Swansea memiliki kepakaran Gylfi Thor Sigurdsson ketika mengambil sepakan percuma. Pemain tengah antarabangsa Iceland itu sudah menjaringkan 7 gol musim ini dan empat darinya adalah dari sepakan percuma.  Javier Hernandez pula perlu menggunakan kesempatan  ini (dengan ketiadaan Welbeck) untuk membuktikan kepada penyokong-penyokong United bahawa dia masih lagi penyerang berwibawa hingga menyaksikan dia berjaya menjaringkan 20 gol pada penampilan pertamanya musim lalu.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan kemungkinan United:

Daved de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Phil Jones, Nani, Michael Carrick, Paul Scholes, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Tiada ulasan:

Catat Ulasan