Musim Liga Perdana Inggeris kini semakin berada di penghujung namun perlumbaan merebut kejuaraan liga semakin panas selepas kedudukan Manchester United di tangga teratas liga berjaya dipintas seteru setempat mereka Manchester City. Gol tunggal hasil jaringan Vincent Kompany memastikan City kembali ke kedudukan tangga teratas dengan perbezaan jaringan gol walaupun terikat 83 mata bersama United. Skuad bimbingan Roberto Mancini itu menjaringkan 88 gol dan bolos 27 manakala United pula menjaringkan 86 gol dan bolos 33. Perlumbaan merebut kejuaraan musim ini dianggap paling sengit sejak persaingan Arsenal dan Liverpool pada tahun 1989 yang menyaksikan skuad The Gunners menang trofi liga dengan kelebihan jaringan (37 gol) meskipun mereka berkongsi 76 mata bersama skuad The Reds. Ketika itu, Arsenal yang ketinggalan tiga mata di belakang Liverpool terpaksa berkunjung ke Anfield pada perlawanan terakhir liga. Arsenal akhirnya muncul sebagai juara apabila jaringan Alan Smith dan Michael Thomas membolehkan mereka menyamakan kedudukan mata tetapi memiliki perbezaan jaringan gol yang besar berbanding skuad bimbingan Kenny Dalglish. Kini selepas 23 tahun, United dan City mengulangi kembali persaingan sengit yang pernah dicetuskan Arsenal dan Liverpool dalam perlumbaan merebut trofi liga.
Satu lagi musim yang menyaksikan saingan sengit berlaku ialah pada tahun 1965 membabitkan persaingan antara Manchester United dan Leeds United. Walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 61 mata, United akhirnya keluar sebagai juara musim tersebut selepas mereka memiliki kelebihan 19 gol berbanding Leeds. Di atas kertas, Manchester City kini mempunyai kelebihan untuk mengatasi United berdasarkan kelebihan jaringan yang mereka miliki. Bagaimanapun pengurus City, Roberto Mancini sebaliknya menegaskan United tetap pasukan pilihan menjulang trofi liga biarpun selepas menyaksikan pasukannya menang ke atas United awal pagi kelmarin. Penilaian Mancini mungkin dibuat berdasarkan situasi pasukannya yang akan berdepan tugas sukar menentang kelab di tangga keempat, Newcastle United di Sports Direct Arena hujung minggu ini manakala United pula melayan kunjungan Swansea City di Old Trafford. Usaha Newcastle United memburu slot kesaingan Liga Juara-Juara musim hadapan sedikit terganggu selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan 0-4 kepada Wigan Athletic dan pastinya tidak akan mengulangi kesilapan yang sama apabila melayan kunjungan City nanti. Persaingan merebut kejuaraan masih lagi terbuka antara United dan City, dan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah tidak melakukan sebarang kesilapan pada baki dua perlawanan terakhir. Seperti komen Gary Neville selepas tamat perlawanan City/United kelmarin, "Hilang kejuaraan atas perbezaan jaringan gol adalah satu mimpi ngeri buat Sir Alex Ferguson". Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan