Dua kemenangan, sekali seri dan tiga
kekalahan dari enam perlawanan setakat ini meletakkan Manchester United di
tangga ke-12 liga. Bagi peminat-peminat yang menyokong United bermula di era
90an, mereka mungkin tidak pernah melihat kelab terperosok di kedudukan bawahan
liga, tetapi itulah realiti yang berlaku sekarang. Kekalahan 0-1 kepada
Liverpool memang melukakan, 1-4 kepada City cukup mengaibkan dan 1-2 kepada
West Bromwich di gelanggang sendiri tidak keterlaluan jika saya anggap sebagai
malapetaka. Moyes mengatakan anak-anak buahnya bermain buruk jadi The Baggies memang layak meraih kemenangan
pertama mereka ke atas United dalam sejarah pertemuan kedua-dua kelab di Liga
Perdana. Meletakkan kesalahan di bahu pemain-pemain adalah lumrah buat
mana-mana pengendali setiap kali pasukan mereka mengalami kekalahan, tetapi
sebagai penyokong kita berharap Moyes lebih peka dalam hal memilih pemain dan taktikal
yang diterapkannya dalam perlawanan-perlawanan selepas ini. Sejak perlawanan
pertama menentang Swansea City lagi pemilihan pemain yang dilakukan Moyes
dikritik ramai pihak, tetapi mujurlah United menang di Stadium Liberty hingga menyebabkan
suara-suara pengkritiknya tenggelam. Semalam ketika berdepan West Brom
pemilihan kesebelasan utama yang dilakukan Moyes sekali lagi menjadi perhatian dan
keputusannya meletakkan Shinji Kagawa di sebelah kiri menjadi tumpuan
penganalisa bolasepak. Selepas tamat perlawanan, Moyes mengatakan bahawa posisi
terbaik Kagawa ialah bermain di belakang penyerang dan bukannya di sebelah
kiri, jadi timbul persoalan mengapa beliau masih lagi meletakkan Kagawa di
'tempat yang salah'?
Anderson gagal memainkan peranan dengan berkesan
sebagai penjana di bahagian tengah hingga menyebabkan Wayne Rooney terpaksa
turun jauh ke bawah bagi menggerakan permainan. Kegagalan Anderson memaksa
Rooney bekerja keras hingga meletakkan dirinya bermain di hampir semua posisi.
Dari tugas sebagai penyerang, perancang hinggalah kepada perampas bola (ball winner), Rooney sepanjang permainan
berada di seluruh bahagian padang sekaligus menimbulkan persoalan apa fungsi
yang dimainkan Anderson selama 67 minit aksinya semalam sebelum digantikan
Marouane Fellaini. Stephane Sessegnon antara pemain lawan yang menyerlah dalam
perlawanan ini, tetapi kelibat Morgan Amalfitano tidak kurang hebatnya terutama
apabila melihat gol pertama perlawanan hasil gerakan solonya diminit ke-54.
Pemain yang dipinjamkan dari Olympique Marseille itu mudah melepasi kawalan Rio
Ferdinand, berlari ke arah David de Gea dan kemudiannya dengan tenang
meletakkan bola ke gawang United. Meskipun Gol pendahuluan pelawat berjaya dipadamkan
Rooney hanya tiga minit selepas itu menerusi satu sepakan percuma, nama pemain muda
The Baggies, Saido Berahino pastinya
akan diingati penyokong-penyokong United selepas ini apabila dia menjaringkan
gol kemenangan pelawat diminit ke-67. Keputusan Moyes mengeluarkan Anderson dan
memasukkan Fellaini tidak mampu mengubah keadaan biarpun beberapa peluang
terbuka berjaya dihasilkan terutamanya di penghujung permainan. Sebelum
perlawanan United dijangka tidak berdepan masalah untuk kembali mengutip tiga
mata selepas kekalahan kepada Manchester City minggu lalu, tetapi West Brom
memberikan Moyes dan anak-anak buahnya pengajaran yang cukup berguna sebaik
wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.
Kini timbul pertanyaan apakah rancangan yang
akan dilakukan Moyes selepas ini terutamanya apabila melihat bahagian tengah United
gagal berfungsi dengan baik dalam dua perlawanan terakhir (menentang City dan
West Brom)? Adakah Moyes masih berharap Anderson mampu menjelmakan semula
keajaiban yang pernah menjulang namanya ketika bersama FC Porto dulu, atau
adakah beliau berani merombak formasi United dengan meletakkan Kagawa di posisi
sepatutnya iaitu di belakang penyerang? Kita tidak tahu apa rancangan Moyes selepas
ini tetapi kekalahan dua perlawanan liga berturut-turut bukanlah petanda bagus untuk
kelab walaupun ada yang mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk menilai
kemampuan sebenar Moyes selaku pengendali. Satu-satunya perkara yang boleh
mengubat sedikit kekecewaan saya semalam ialah apabila menyaksikan prestasi Adnan
Januzaj selepas dia dibawa masuk di separuh masa kedua dan peranan yang
dimainkan Nani sepanjang perlawanan. Januzaj memaksa bek berpengalaman pelawat,
Liam Ridgewell bekerja keras ketika dia bertukar tempat ke sebelah kanan
manakala Nani pula saya anggap pemain
terbaik United selepas Rooney. Gerakan-gerakan yang dihasilkan Nani dari
sebelah kiri dan kanan serta hantaran-hantaran pendek dan tepatnya seringkali memberikan
masalah kepada benteng lawan. Kekalahan semalam menyebabkan saya teruja menanti
perlawanan seterusnya, kerana saya ingin melihat akan adakah perubahan yang
bakal dilakukan Moyes dalam formasi dan taktikal permainannya terutama di
benteng pertahanan dan tengah, atau beliau mahu kita percaya bahawa anak-anak
buahnya hanya memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak
dan gaya yang dibawanya. Tunggu dan lihat. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Statistik Perlawanan United-WBA:
Percubaan: 14-12
Percubaan Tepat: 6-4
Penguasaan Bola: 59%-41%
Kekasaran: 10-14
Sepakan Sudut: 5-8
Offside: 4-1
Kad Kuning: 3-2
Kad Merah: 0-0
Gol: 1-2