Perlawanan 'besar' minggu kelima Liga Perdana
akan berlangsung malam ini di Stadium Etihad menemukan Manchester City dan
Manchester United, dua jiran tetangga yang berseteru sejak sekian lama. Pertembungan
di Stadium Etihad ini juga bakal menyaksikan penampilan pertama David Moyes dan
Manuel Pellegrini dalam derby
Manchester selepas masing-masing dilantik sebagai pengurus baru bagi
menggantikan Sir Alex Ferguson (bersara) dan Roberto Mancini (dipecat).
Menjelang pertembungan malam nanti, kedua-dua kelab sebenarnya berada pada
kondisi dan tahap keyakinan yang bagus berikutan kemenangan yang dicapai mereka
dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu. United sepertimana yang
anda tahu menang bergaya ketika menewaskan kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen di
Old Trafford manakala City pula menang ke atas Voktoria Plzen di gelanggang
lawan. Tuan rumah menerima suntikan moral tambahan apabila kapten mereka,
Vincent Kompany diberitakan sudah cergas sepenuhnya untuk kembali menerajui
benteng pertahanan manakala nasib David Silva pula masih belum diketahui.
Bagaimanapun Pellegrini dikatakan terdesak menagih khidmat perancang tengah itu
dan mungkin meletakkan nama Silva dalam kesebelasan utama biarpun mengetahui
pemain antarabangsa Sepanyol itu masih belum cergas sepenuhnya. Pertahanan
baharu City, Martin Demichelis masih belum pulih dari kecederaan sejak awal
bulan lalu tetapi Pellegrini masih memiliki Matija Nastasic sebagai pengganti. Bagi
United pula, saya jangkakan Moyes akan menggunakan kesebelasan permulaan yang
sama ketika berdepan Leverkusen dengan Rooney yang sedang on fire bakal menjadi ancaman utama kepada benteng pertahanan City
selain kelibat Robin Van Persie. Jumlah 200 gol yang sudah dihasilkannya tentu menjadikan
Wazza semakin bernafsu dan lebih bermotivasi menjelang derby Manchester kali ini. Nani yag tidak diturunkan dalam saingan
Liga Juara-Juara kerana pengantungan bakal diletakkan dalam senarai skuad,
manakala Shinji Kagawa yang beraksi dengan cukup baik Rabu lalu menambahkan
lagi kualiti barisan pimpinan Moyes.
Selain bahagian tengah yang bakal menyaksikan
pertembungan antara duet Michael Carrick/Marouane Fellaini dan Yaya Toure/David
Silva, kita juga bakal melihat gandingan penggempur mana lebih tajam dalam
perlawanan ini. Pellegrini dijangka meletakkan gandingan Sergio Aguero/Edin
Dzeko bagi menggempur benteng United yang saya jangka bakal diterajui Nemanja
Vidic dan Rio Ferdinand, manakala Moyes pula sudah pasti mengharapkan kombinasi
Rooney/Van Persie terus menghasilkan gol buat United. Bagaimanapun saya lihat
United memiliki sedikit kelebihan di bahagian hadapan dengan pulihnya Danny
Welbeck dari kecederaan sekaligus menambahkan lagi variasi serangan selain kita
turut memiliki Javier Hernandez di bangku simpanan. Derby Manchester memang sentiasa penuh dengan aksi-aksi dramatik dan
kontroversi, jadi pemilihan Howard Webb sebagai pengadil perlawanan malam ini saya
kira menambahkan lagi bahang pertembungan dua jiran yang saling bermusuhan itu.
Dari backheel Denis Law hinggalah
kepada balingan syiling ke kepala Rio Ferdinand, derby Manchester memang sentiasa menarik, panas dan perlu dimenangi.
Pellegrini yang bakal merasai atmosphere
derby Manchester buat pertama kali
mengakui betapa penting tiga mata dalam perlawanan ini. “Saya tidak perlu hadir
di sini untuk mengetahui betapa besar dan pentingnya derby ini. Perlawanan menentang Manchester United di gelanggang
sendiri adalah perlawanan yang perlu kami menangi”, kata Pellegrini dalam satu sidang
akhbar semalam. Perlawanan malam nanti bukan saja penting kerana maruah selaku
penguasa kota Manchester bakal menjadi taruhan, tetapi tiga mata yang amat
diperlukan kedua-dua kelab. Yang tewas bakal tercicir lima atau enam mata dari
pendahulu liga dan pada pendapat saya jarak itu agak jauh biarpun mungkin ada
yang mengatakan saingan liga masih lagi diperingkat awal. Musim lalu gol
kemenangan Van Persie di Stadium Etihad membolehkan United menjarakkan
kedudukan selaku pendahulu dengan kelebihan enam mata berbanding City, malam ini
pula saya berharap United mampu menang sekali lagi untuk melonjak ke kelompok
teratas liga. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta Perlawanan:
- Perlawanan malam ini adalah pertemuan derby ke-165 dua kelab Manchester itu
dan ke-13 dilangsungkan di Eastlands.
- Dari 164 pertemuan sebelum ini, United
menang 70 kali, seri 49 kali dan tewas 45 kali.
- Perlawanan pertama kedua-dua pasukan berlangsung
pada 12 November 1881.
- 57 tahun lalu pada tarikh yang sama (22
September), United menewaskan City 2-0 di Old Trafford.
- United sudah membolosi gawang City sebanyak
244 kali manakala City pula berjaya membolosi gawang United sebanyak 224 kali.
- Rekod kemenangan terbesar United ke atas
City ialah 5-0 yang dicatatkan mereka pada 10 November 1994 di Old Trafford,
sementara rekod kemenangan terbesar City ke atas United pula ialah 6-1yang
dicatatkan mereka pada Oktober 2011, juga di Old Trafford.
- Ryan Giggs muncul pemain paling banyak
tampil dalam derby Manchester apabila
bermain sebanyak 36 perlawanan.
- Peter Schmeichel pernah bermain untuk
kedua-dua kelab dan memiliki rekod bersih apabila tidak pernah tewas dalam derby Manchester.
- Penjaring terbanyak bagi United dalam derby Manchester ialah Wayne Rooney (10
gol) sekaligus menyamai pencapaian Joe Hayes dan Francis Lee untuk City.
Barisan Kemungkinan City: Joe Hart, Pablo
Zabaleta, Matija Nastasic, Vincent Kompany, Alexander Kolarov, Fernandinho, Yaya
Toure, David Silva, Sergio Aguero & Edin Dzeko
Barisan Kemungkinan United: David de Gea,
Chris Smalling, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Michael Carrick,
Marouane Fellaini, Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Wayne Rooney & Robin
Van Persie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan