Bergantung kepada pilihan dan definisi anda
tentang siapa peledak terbaik Manchester United dalam era Sir Alex Ferguson
sebagai pengurus sejak 1986. Di sini disenaraikan 13 peledak terbaik yang
pernah bermain di bawah kendalian Sir Alex sepanjang 27 tahun karier pengendali
itu di Old Trafford. Selain dari 13 nama yang disenaraikan di bawah, sebenarnya
terdapat beberapa lagi peledak berbakat yang tidak tersenarai disebabkan
beberapa faktor seperti Frank Stapleton, Peter Davenport dan Danny Welbeck. Stapleton
umpamanya bersama United selama 6 tahun (1981-1987) dengan 223 penampilan serta
menjaringkan 60 gol. Sama seperti Robin Van Persie, Stapleton menyertai United
dari Arsenal tetapi itu tidak cukup untuk membuatkan beliau tersenarai dalam 13
penyerang terbaik di bawah era Sir Alex. Davenport pula menyertai United dari
Nottingham Forest (1986-1988), tetapi kariernya di Old Trafford cukup pendek
meskipun beliau dilabel sebagai antara penyerang berbakat di England ketika
itu. Hari bagi Welbeck akan datang jua, tetapi sumbangan penyerang muda itu
setakat ini masih belum cukup kuat untuk membuatkan namanya tersenarai dalam 13
terbaik. Jadi siapakah yang anda fikirkan ada dalam senarai ini?
13. Brian
McClair: Brian McClair dalam beberapa keadaan sama seperti Wayne Rooney di
mana beliau akan melakukan apa saja untuk pasukan dan bermain di mana-mana
posisi yang dimahukan Sir Alex. McClair tiba dari Celtic dan menjaringkan 24
gol pada musim pertamanya di Old Trafford, satu rekod jaringan bagi seorang
penyerang dalam tempoh 20 tahun. Walau bagaimanapun selepas ketibaan Eric
Cantona, peranan McClair berubah di mana beliau kemudiannya diletakkan di
bahagian tengah sebelum akhirnya digantikan Roy Keane. McClair merupakan pemain
yang bijak dan bekerja keras walaupun beliau hanya menjaringkan 126 gol dalam
11 musimnya bersama United. 468 penampilan adalah bukti bagaimana pentingnya peranan yang dimainkan oleh McClair buat United ketika itu.
12. Teddy
Sheringham: Sheringham bukanlah seorang penjaring prolifik dan biasanya
beliau hanya diletakkan sebagai pemain simpanan (ketika bersama United). Tetapi
Sir Alex tahu ciri-ciri seorang penyerang yang bagus jadi atas sebab itulah
beliau menandatangani Sheringham dari Tottenham Hotspurs. Siapa pemain yang
masuk sebagai pemain gantian di Nou Camp dan kemudiannya menjaringkan gol
penyamaan dengan sentuhan pertama di final Liga Juara-Juara Eropah (edisi 1999).
Solskjaer menerima pujian dan sanjungan kerana gol kemenangan ke atas Bayern
Munich tetapi Sheringham adalah pemain yang mengubah permainan. Dia masih mampu
bermain dengan baik di peringkat tertinggi (Liga Perdana) pada usia 30an,
menjaringkan 355 gol dari 898 penampilan sepanjang kariernya. Bersama United,
Sheringham bermain sebanyak 104 perlawanan dan menjaringkan 31 gol dari 1997
hingga 2001 sebelum pulang semula ke White Hart Lane.
11. Javier
Hernandez: Hernandez a.k.a Chicharito masih muda ketika tiba di Old
Trafford pada 2010 tetapi sudah mampu menjaringkan 13 gol pada musim pertamanya
di Liga Perdana England. Tidak syak lagi, jika Chicharito kekal untuk tempoh
yang lama di Old Trafford, beliau bakal muncul lagenda United satu hari nanti.
Meskipun sejak akhir-akhir ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Real
Madrid, Sir Alex tentunya tidak akan sekali-kali membiarkan supersub itu pergi. Chicharito dikenali
sebagai pemain yang cukup berdisiplin dan rajin memperbaiki permainannya ketika
sesi latihan. Apa yang perlu dilakukannya ialah terus menajamkan sentuhan
pertamanya, meningkatkan lagi kemahiran menggelecek dan cuba mengelak dari
terlalu kerap terjebak dalam perangkap offside
lawan. Corak permainan Hernandez sebenarnya lebih mirip kepada Jimmy
Greaves atau Robbie Fowler tetapi ramai juga yang mengatakan dia lebih
menghampiri cara Fillipo Inzaghi bermain. Ketika ini, Chicharito adalah
penyumbang gol kedua terbanyak United di belakang Robin Van Persie walaupun
sering bermula di bangku simpanan. Sama seperti Van Persie, Chicharito juga
sering menjaringkan gol-gol penting buat United musim ini. Rekod jaringannya 47
gol dari 107 penampilan, cukup banyak buat seorang supersub.
10. Dimitar
Berbatov: Sir Alex suka pemain yang licik, maka dengan sebab itulah beliau
menandatangani Berbatov dari Tottenham Hotspurs lima tahun yang lalu. Berbatov
adalah tunjang buat Spurs sepanjang dua tahun kariernya di White Hart Lane di
mana beliau menjaringkan 27 gol dari 70 penampilan bersama Spurs. Jika Berba
bermain untuk United di era 80an atau 90an, beliau pastinya akan bermain dalam
setiap perlawanan berdasarkan kemahiran individu yang dimilikinya. Semua orang
mengagumi sepakan gunting Wayne Rooney ke gawang Manchester City tetapi hatrik
Berba ke gawang Liverpool sepatutnya lebih diingati. Agak malang apabila Berba
kurang diberikan pengiktirafan sewajarnya meskipun menjaringkan 48 gol dari 108
penampilan untuk United. Berba mungkin tidak bernasib baik kerana dia muncul
pada era di mana United memerlukan seorang penyerang yang pantas, bukannya
seorang penyerang yang kadangkala dilihat `malas’ ketika di tengah padang.
9. Dwight
Yorke: Dwight Yorke dan Andy Cole, Wayne Rooney dan Robin Van Persie. Yang
mana merupakan kombinasi penggempur paling baik pernah dimiliki Sir Alex?
Mereka berempat mempunyai satu persamaan iaitu bukan sekadar penjaring gol
tetapi juga penyerang yang pintar. Ketika Sir Alex menandatangani Yorke dari
Aston Villa dengan nilai 12.6 juta Pound pada 1998 ramai yang mempertikaikan
tindakan beliau kerana mengeluarkan dana sebanyak itu untuk khidmat seorang
pemain dari Trinidad & Tobago. Nilai 12.6 juta Pound sebenarnya cukup besar
ketika itu tetapi Yorke membuktikan langkah Sir Alex membawanya ke Old Trafford
dengan nilai sebanyak itu adalah tepat apabila beliau membentuk kombinasi
paling digeruni bersama Andy Cole pernah disaksikan dalam saingan bolasepak
Inggeris. Yorke hanya menghabiskan tempoh empat tahun di Old Trafford tetapi 65
gol dari 147 penampilan, tiga trofi Liga Perdana selain kejuaraan treble pada 1999 sudah cukup untuk
meletakkan nama beliau dalam lipatan sejarah dan senarai peledak terbaik pernah
beraksi di bawah era Sir Alex.
8. Ole
Gunnar Solskjaer: Solskjaer antara pemain yang cukup disayangi
peminat-peminat Manchester United disebabkan sumbangannya selama 12 tahun di
Old Trafford. Mana-mana penyokong United tidak akan melupakan jaringan
kemenangannya ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich
di Nou Camp pada tahun 1999. Solskjaer mempunyai persamaan dengan bintang masa
kini United, Javier Hernandez, bukan saja kerana mempunyai wajah keanak-anakkan
tetapi juga kerana ketajaman mereka di hadapan pintul gol lawan sebagai supersub. Solskjaer menjaringkan 126 gol
dari 366 penampilan untuk United dan beliau diiktiraf sebagai lagenda atas
pencapaiannya bersama The Red Devils
sepanjang 12 tahun kariernya menyarung jersi merah keramat United.
7. Mark
Hughes: Agak malang apabila memikirkan kerjaya Hughes sebagai pemain begitu
gemilang bersama United tetapi gagal sebagai pengurus. Paling terbaru apabila Sparky (gelaran Hughes) dipecat selepas
gagal memberikan sebarang kemenangan kepada QPR hingga menyebabkan kelab itu
terperosok di tangga terbawah liga. Hughes adalah pemain yang sezaman dengan
Brian McClair tetapi bintangnya lebih menyerlah berbanding pemain Scotland itu
hingga pernah menarik minat Barcelona untuk memancing beliau beraksi di Sepanyol
(1986-1988) sebelum pulang semula ke Old Trafford. Hughes adalah penyerang yang
berani dengan corak permainan yang keras sama ada ketika bermain untuk United
mahupun Wales. Bagi yang pertama kali menyaksikan Hughes bermain ketika itu,
mereka pastinya menyangka bahawa beliau adalah pemain pertahanan berdasarkan
corak permainan kerasnya. Hughes menjaringkan 130 gol dari 345 penampilan untuk
United tetapi apa yang lebih diingati tentang penyerang ini ialah kerja keras
yang diberikannya untuk United setiap kali beliau diturunkan. Bagaimana anda
melihat Wayne Rooney bermain ketika ini, begitulah juga Hughes beraksi ketika
zaman kemuncaknya bersama United di era 80an dan 90an. - A.J
GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!







Tiada ulasan:
Catat Ulasan