23 Februari 2013

PREVIEW: QPR lwn MANCHESTER UNITED



Pertembungan Queens Park Rangers dan Manchester United hari ini bakal menjadi pertembungan yang mesti dimenangi kedua-dua pasukan atas dua sebab berbeza. Rangers sangat-sangat memerlukan kemenangan bagi membawa mereka keluar dari zon penyingkiran, manakala bagi barisan The Red Devils pula, mereka mahukan tiga mata penuh di Loftus Road untuk terus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga tatkala pencabar terdekat, Manchester City berdepan tugas getir apabila bakal melayani kunjungan Chelsea esok. Perlawanan Rangers dan United di Loftus Road malam ini juga bolehlah dianggap sebagai pertembungan antara dua darjat di mana United selesa memiliki kelebihan 12 mata di tangga teratas liga sedangkan skuad bimbingan Harry Redknapp terperosok di tangga terbawah apabila sekadar mengumpul 17 mata dari 26 perlawanan setakat ini. Kejayaan mengejutkan ke atas Chelsea di Stamford Bridge 3 Januari lalu pastinya akan cuba diulangi Rangers untuk mendapatkan mata berharga dalam perlawanan ini, bahkan formula ketika pasukannya berjaya memaksa dua pencabar kejuaraan musim ini, Manchester City dan Tottenham Hotspurs berkongsi mata bakal sekali lagi digunakan Redknapp dalam menghadapi United. Redknapp bagaiamanpun berdepan tugas sukar merencana misi mengutip mata di gelanggang sendiri selepas menyaksikan United kini berada pada tahap terbaik mereka selepas menang lima dari enam perlawanan terakhir. Kejayaan mencatat keputusan seri di Santiago Bernabeu dan kemudiannya menyingkirkan Reading di pusingan kelima Piala FA pastinya menyemarakkan lagi semangat anak-anak buah Sir Alex Ferguson biarpun mereka turun tanpa kelibat Wayne Rooney (virus), Paul Scholes (lutut) dan Phil Jones (buku lali) manakala Darren Fletcher pula berdepan masalah usus.

Redknapp menerima khabar gembira berikutan kembalinya Junior Hoilett yang pulih dari masalah hamstring manakala Samba Diakite pula pulang dari tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Mali di kejohanan Piala Negara-Negara Afrika. Bagaimanapun Jose Bosingwa dan Andrew Johnson kekal dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan manakala nasib Loic Remy belum dapat dipastikan berikutan masalah kecederaan pangkal paha. Di bahagian hadapan United, Sir Alex tampak sudah bersedia kehilangan kelibat Rooney dan Javier Hernandez yang menjaringkan gol kedua United ketika berdepan Reading dalam saingan Piala FA mungkin digandingkan bersama Robin Van Persie. Di bahagian tengah padang, pertembungan menarik antara Adel Taarabt dan Michael Carrick bakal berlaku. Taarabt adalah nadi utama Rangers di bahagian tengah apabila setakat ini sudah mencipta 42% peluang skuad tuan rumah untuk menghasilkan gol. Pemain Maghribi itu sudah menghasilkan empat assist dan statistik menunjukkan dia mencipta peluang setiap 29 minit, fakta yang cukup menarik buat pasukan bergelut seperti Rangers. Malam ini dia adalah pemain yang perlu diawasi barisan United dan Rangers memang memerlukan sentuhannya untuk menghidupkan peluang terus kekal dalam saingan Liga Perdana musim depan. Di pihak United, Carrick adalah pemain utama yang menggerakkan jentera tengah The Red Devils. Hanya Mikel Arteta satu-satunya pemain yang berjaya mengatasi Carrick dalam statistik melakukan hantaran apabila pemain tengah Arsenal itu mengumpul 1918 hantaran berbanding Carrick (1909 hantaran). Keupayaan Carrick mencari dan membuka ruang menjadikan dirinya penyumbang utama kepada hantaran-hantaran untuk barisan hadapan United musim ini. Apakah Taarabt mampu membantu Rangers keluar dari zon penyingkiran menerusi sentuhan `ajaib’nya atau Carrick terus berkuasa di bahagian tengah dan membawa United terus melebarkan lagi penguasaan mereka di tangga teratas liga? Jadi cukup menarik untuk menyaksikan pertempuran Taarabt-Carrick dalam perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Fakta Perlawanan:

- QPR tidak pernah menewaskan United sejak 1992. Kali terakhir mereka menewaskan United ialah pada Januari 1992, di mana mereka menang 4-1 pada pertemuan liga di Old Trafford.

- Sejak tahun baru, Rangers hanya menang sekali dan mencatat keputusan seri sebanyak empat kali.

- Musim ini, Rangers hanya menang dua kali (ketika menentang Chelsea dan Fulham). Catatan ini menyaksikan mereka megatasi rekod buruk sepanjang sejarah liga yang dilakukan Derby County pada musim 2007/08.

- United tidak tewas dalam 14 perlawanan liga dan 16 perlawanan dalam semua kejohanan. Kekalahan terakhir mereka dalam saingan liga ialah pada pertengahan November kepada Norwich City di Carrow Road.

- Gandingan Robin Van Persie, Wayne Rooney dan Javier Hernandez sudah menghasilkan 51 gol dalam semua kejohanan setakat ini.

- United mencatat keputusan baik ketika beraksi di gelanggang lawan musim ini apabila mereka menang sembilan perlawanan, dua kali kalah dan dua kali seri.

Barisan Kemungkinan QPR:

Julio Cesar, Fabio da Silva, Clint Hill, Samba Diakite, Armand Traore, Shaun Derry, Stephane M’Bia, Junior Hoilett, Adel Taarabt, Shaun Wright-Phillips & Jamie Mackie

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Nemanja Vidic, Chris Smalling, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael Carrick, Tom Cleverley, Ashley Young, Javier Hernandez & Robin Van Persie 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan