24 Februari 2013

REVIEW: DUA GOL DARI DUA GENERASI BERBEZA


Perlawanan yang bukanlah boleh dikategorikan sebagai menarik tetapi kemenangan 2-0 yang diraih Manchester United ke atas Queens Park Rangers di Loftus Road sudah memadai buat mereka mengekalkan kedudukan selesa di tangga teratas liga. Dua gol dari dua generasi pemain berbeza  menghadiahkan United tiga mata berharga di gelanggang lawan sekaligus menyaksikan mereka unggul menerajui tangga teratas liga dengan kelebihan 15 mata. Jurang 15 mata milik United ini mampu bertahan sekurang-kurangnya selama 24 jam sebelum pertembungan pencabar terdekat mereka, Manchester City yang akan menerima kunjungan Chelsea malam ini. Seperti yang dijangka, Sir Alex Ferguson meletakkan Wayne Rooney di bangku simpanan berikutan masalah virus yang melanda penyerang itu dengan Javier Hernandez diberikan kepercayaan menggantikan tempatnya selaku penggempur bersama Robin Van Persie. Bintang veteran, Ryan Giggs pula digandingkan bersama Michael Carrick bagi menjana jentera tengah United, manakala Nani dan Ashley Young pula bergerak di sebelah sayap kiri dan kanan. 15 minit pertama perlawanan berlangsung sedikit hambar dengan gerakan-gerakan yang dilakukan kedua-dua pasukan sering tersekat di bahagian tengah padang. Perlawanan mula hangat apabila United mencipta peluang terbaik mereka menerusi tandukan ke belakang Hernandez diminit ke-16 namun berjaya ditepis keluar Julio Cesar. Selang tujuh minit selepas itu,Rafael da Silva memecah kebuntuan perlawanan apabila voli cantiknya dari jarak 25 meter menerjah gawang lawan. Gol berpunca dari percubaan jarak dekat Van Persie yang berjaya ditepis Cesar namun bola lantunan itu pantas disambar Rafael untuk meletakkan United mendahului di hadapan.

Van Persie terlepas peluang terbaik menambah jaringan diminit ke-33 apabila dia yang menerima hantaran jauh Rafael sekadar melihat tolakannya berjaya diselamatkan Cesar. Van Persie terpaksa dikeluarkan di penghujung babak pertama kerana mengalami kecederaan belakang dan United berjaya mengekalkan kelebihan satu gol milik mereka sebaik wisel penamat babak pertama ditiupkan pengadil perlawanan. Tempo permainan kedua-dua pasukan tidak banyak berubah di separuh masa kedua tetapi United jelas pasukan lebih unggul menerusi peluang-peluang yang mereka hasilkan. Ryan Giggs akhirnya memadam terus impian lawan untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata apabila menjaringkan gol kedua United diminit ke-80. Giggs membuktikan pengalaman dan kualiti penyudahnya apabila dengan tenang menyempurnakan hantaran yang dilakukan Nani. Bintang veteran itu yang berjaya melepasi perangkap offside lawan, mengambil sedikit masa dengan melihat pergerakan Cesar terlebih dahulu sebelum melepaskan rembatan kaki kiri ke sebelah kiri pintu gol lawan. Gol itu adalah koleksi kedua Giggs dalam saingan liga musim ini selepas berjaya memecah kebuntuan ketika menentang Everton minggu lalu. Dengan baki 11 perlawanan yang perlu diharungi musim ini, kemenangan di Loftus Road ini cukup penting buat United yang pada awalnya dijangka bakal diberikan tentangan sengit skuad tangga terbawah liga itu berdasarkan keputusan baik yang dilakar mereka ketika menentang Chelsea, Tottenham Hotspurs dan Manchester City sebelum ini. Kini peluang meraih kejuaraan liga ke-20 terbuka luas buat United dan tekanan kembali terarah kepada City yang akan turun beraksi malam ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan QPR – United:

Gol: 0 – 2
Tendangan Sudut: 2 – 4
Percubaan Tepat: 5 – 8
Percubaan Tersasar: 7 – 5
Kekasaran: 10 – 6
Offside: 1 – 2
Penguasaan Bola: 46% - 54%

Tiada ulasan:

Catat Ulasan