Manchester United maju selangkah lagi dalam
usaha mereka memenangi kejuaraan Liga Perdana England buat kali ke-20 selepas
menang 2-0 di Loftus Road, Sabtu lalu. Bagaimanapun kemenangan itu terpaksa
dibayar dengan harga yang mahal berikutan kecederaan yang dialami penggempur
berbisa mereka, Robin Van Persie hingga menyebabkan dia terpaksa dikeluarkan di
penghujung babak pertama perlawanan. Van Persie terlibat dengan gol pertama
United dan hampir menjaringkan gol kedua The
Red Devils tetapi terpaksa digantikan Danny Welbeck selepas berlanggar
dengan kamera di tepi padang hingga menyebabkannya mengalami kecederaan
belakang. United bakal berdepan Norwich City, Sabtu ini dengan kelebihan 12
mata di tangga teratas liga, mungkin beraksi tanpa Van Persie yang mempunyai
masa selama sembilan hari untuk pulih sebelum kunjungan Real Madrid. Madrid
tidak menikmati musim terbaik mereka namun Los
Merengues tetap kekal sebagai ancaman besar yang boleh menyekat harapan Sir
Alex Ferguson dari mengulangi kejuaraan treble
yang pernah diraih mereka pada musim 1998/99. Untuk berdepan Madrid, Sir Alex
memerlukan khidmat penggempur kelas dunia seperti Van Persie dan jika bekas
penyerang Arsenal itu tidak sempat pulih sebelum 6 Mac ini, ia akan menjadi
tamparan besar buat United menjelang perlawanan besar itu. Perlawanan liga
menentang Norwich hujung minggu ini mungkin menyaksikan Sir Alex merehatkan
beberapa pemain tonggak utamanya bagi memberi tumpuan pada pertembungan
menentang Madrid. Meskipun jika Van Persie cergas sepenuhnya, Sir Alex tidak
akan berjudi dengan menurunkan penggempur berbisa itu ketika berdepan Norwich.
Kelebihan 12 mata milik United di tangga teratas liga memberikan peluang buat
Sir Alex melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama yang bakal diturunkannya
hujung minggu ini. Selain Van Persie, Wayne Rooney, Rio Ferdinand dan mungkin
Michael Carrick akan `disimpan’ Sir Alex sebagai persediaan menghadapi Madrid
sambil mengharapkan pengganti yang akan diturunkan nanti boleh memikul
tanggungjawab mengekalkan jurang 12 mata selepas tamat 90 minit perlawanan
menentang Norwich.
Perlawanan menentang Real Madrid dengan
format kalah mati merupakan situasi yang berbeza sama sekali. Memang diakui
Danny Welbeck mempamerkan aksi yang cukup berkesan ketika di Santiago Bernabeu
selain menjaringkan gol pembukaan perlawanan manakala Van Persie pula terlepas
dua peluang terbaik di penghujung pemainan untuk memberikan United kelebihan
lebih selesa menjelang perlawanan kedua di Old Trafford nanti. Walau
bagaimanapun Van Persie adalah pemain United yang paling banyak memberikan
ancaman kepada benteng Madrid sepanjang perlawanan pusingan pertama itu apabila
menyumbangkan 20% dari percubaan-percubaan ke arah gawang lawan. United kini
mempunyai peluang baik untuk melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara
dengan hanya memerlukan keputusan seri 0-0 ke atas Madrid nanti tetapi
kemenangan mutlak adalah keputusan yang lebih selamat. Untuk mendapatkan
kemenangan, United perlukan gol dan untuk mendapatkan gol, United amat memerlukan
ketajaman Van Persie di bahagian hadapan. Bukan mahu menidakkan keupayaan
Welbeck ataupun Javier Hernandez sebagai pengganti (jika Van Persie tidak
sempat pulih) tetapi untuk perlawanan besar dan genting seperti ini, pengalaman
dan ketajaman penyudah Van Persie amat-amat diperlukan United. Sir Alex sudah
tentu tidak akan mengamalkan corak permainan sama sepertimana perlawanan
pertama di Bernabeu dengan jangkaan permainan yag lebih terbuka dan menarik. Madrid
dengan Cristiano Ronaldo juga sentiasa mencari jalan untuk menang dan tidak
akan bermain dengan corak permainan bertahan sepertimana yang dibuktikan mereka
ketika menentang jiran United, Manchester City pada saingan peringkat kumpulan
di Stadium Etihad. Jika mereka berjaya menjaringkan gol di Old Trafford nanti,
maka United juga perlu menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan, bukan
sekadar mahu mencari keputusan seri. Dalam senario seperti ini, Van Persie
diharapkan sempat pulih tepat pada masanya dan namanya tersenarai dalam
kesebelasan utama United pada 6 Mac nanti. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan