Dalam dunia bolasepak, jersi nombor 10
melambang prestijnya yang tersendiri dan sering digunakan para lagenda dari
dulu hinggalah sekarang. Dari zaman Pele, Diego Maradona, Gheorghe Hagi, Ronaldinho
hinggalah ke Lionel Messi, mereka adalah contoh pemain hebat yang menggunakan
nombor 10 pada jersi mereka. Kita di Malaysia tidak terkecuali kerana turut
mempunyai lagenda nombor 10 kita sendiri yang tiada pengganti hingga kini,
siapa lagi kalau bukan Allahyarham Mokhtar Dahari atau Supermokh. Di Manchester
United terdapat beberapa pemain terbaik yang pernah menyarung jersi nombor 10
terutamanya sejak era Busby Babes, Class
of 92 hinggalah yang terkini apabila nombor itu (10) digunakan pula Wayne
Rooney. Dennis Viollet antara pemain yang pernah menggunakan jersi nombor 10,
sama seperti Sir Bobby Charlton, Viollet juga antara mangsa yang terselamat
dalam nahas udara Munich 1958. Viollet menjaringkan 32 gol dari 36 penampilan
musim 1959/60 dan meneruskan rentak jaringannya hingga berjaya menghasilkan 159
gol dari 293 penampilan bersama United sebelum dijual kepada Stoke City.
Seorang pemain yang pernah menggunakan nombor 10 tetapi kurang dikenali
kebanyakkan peminat-peminat United ialah Stan Pearson. Pearson merupakan pemain
tengah tetapi dia menjaringkan lebih banyak gol berbanding penyerang-penyerang
yang ada ketika itu. Stan menjaringkan 148 gol dari 343 penampilan hingga
menyaksikan dia berada di kedudukan ke-12 dalam senarai penjaring gol sepanjang
masa United, hanya kurang dua gol di belakang Ruud Van Nistelrooy. Berikut
adalah 10 pemain terbaik Manchester United yang pernah menggunakan jersi nombor
10, tetapi beberapa nama yang disenaraikan di bawah mungkin sedikit mengejutkan
anda.
BOBBY
CHARLTON
Bobby Charlton lebih terkenal dengan jersi
nombor 9. Ini adalah disebabkan imejnya dengan jersi nombor 9 lebih dikenali
terutama ketika era kegemilangnya membentuk gandingan mantap bersama Dennis Law
di barisan hadapan United. Ketika Charlton membantu United menjulang kejuaraan
Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) tahun 1968 dia menggunakan nombor 9
yang cukup terkenal itu. Jadi tidak hairanlah hingga ke hari ini
peminat-peminat United lebih mengenali Charlton dengan jersi nombor 9
berbanding nombor-nombor lain yang pernah digunakannya. Untuk sebahagian besar
kariernya, Charlton merupakan pemain tengah yang bergerak lebih kedalam, atau
dalam istilah bolasepak moden peranan ini lebih dikenali sebagai attacking midfielder. Selepas Charlton
tidak lagi menggunakan nombor 10, United terpaksa menanti lebih dari 50 tahun untuk
mencari pengganti sehebat Charlton bagi menyarung jersi (nombor 10) tersebut
sehinggalah kemunculan Wayne Rooney.
DENIS
LAW
Denis Law memang dilahirkan untuk
menjaringkan gol dan dengan bakat yang ada pada dirinya, dia mampu bermain
merentasi mana-mana zaman sekalipun. Bersama United dari tahun 1962 hingga
1973, Law menjaringkan 237 gol dari 404 penampilan dalam semua kejohanan
manakala di peringkat liga pula, Lawman
menjaringkan 171 gol dari 309 penampilan. Sepanjang kerjayanya pula, Law
menjaringkan 332 gol dari 652 penampilan sama ada di peringkat kelab mahupun
ketika mewakili pasukan kebangsaan Scotland. Dalam senarai penjaring sepanjang
masa United, Law berada di tangga kedua, di belakang Sir Bobby Charlton. Law
adalah lagenda untuk United dan Scotland bukan sahaja kerana statistik jaringannya
yang hebat dan medal-medal kejuaraan yang sudah dimenanginya tetapi dia juga
merupakan satu-satunya pemain dari Scotland yang pernah memenangi anugerah
Pemain Terbaik Eropah (Balon d’Or) 1964. Jika tidak kerana masalah kecederaan
lutut yang memaksanya bersara pada usia 33 tahun, mungkin lebih banyak kejayaan
yang mampu dicapai Law dalam kariernya. Ketika United menjulang kejuaraan Piala
Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) buat pertama kali pada tahun 1968, Law tidak
diturunkan kerana mengalami kecederaan dan itu merupakan kekecewaan paling
besar yang dialami sepanjang kariernya. Meskipun Law menamatkan kerjayanya
bersama musuh setempat United, Manchester City dan jaringannya ke gawang United
pada aksi terakhir liga musim 1973/74 menyebabkan The Red Devils tersingkir ke Divisyen 2, Lawman tetap diiktiraf sebagai lagenda Manchester United dan kini
memainkan peranan selaku duta kelab.
GEORGE
BEST
Pasti ramai yang terkejut mengapa Best berada
dalam senarai ini. Best biasanya dikaitkan dengan jersi nombor 7 yang dianggap
nombor ikonik bagi peminat-peminat Manchester United. Sebelum menggunakan
nombor 7, Best sebenarnya sudah menggunakan beberapa nombor pada jersinya,
antaranya 8, 10 dan 11. Ketika itu nombor yang digunakan pemain menggambarkan
posisi atau peranan yang dimainkan mereka ketika di atas padang. Jadi tidak
hairanlah jika seseorang pemain pada zaman itu menggunakan nombor yang
berbeza-beza tidak seperti sekarang. Inilah buktinya bahawa Best merupakan
pemain yang cukup versatile dan boleh diletakkan dimana-mana posisi. Best
menggunakan nombor 10 pada tahun 1972, tempoh di mana kariernya bersama United
berada di penghujung. Best akhirnya meninggalkan Old Trafford pada usia 27
tahun selepas pihak pengurusan tidak mampu menangani gaya hidupnya yang
bermasalah.
LOU
MACARI
Jika pemain-pemain yang disenaraikan di atas menggunakan
lebih dari satu nombor, Lou Macari pula lain ceritanya. Macari mungkin pemain
United yang paling terkenal dengan jersi nombor 10. Macari diangkat sebagai
wira penyokong-penyokong United selepas menolak tawaran Liverpool dan menyertai
The Red Devils dari Glasgow Celtic
pada tahun 1973. Macari menjaringkan gol penyamaan ketika menentang West Ham
pada penampilan pertamanya sekaligus memaksa The Hammers berkongsi mata dengan United. Meskipun bermula dengan
langkah kanan pada penampilan pertamanya, Macari hanya menjaringkan 97 gol dari
404 penampilan buat The Red Devils.
Macari digemari penyokong-penyokong United berikutan sikap happy go lucky yang ditunjukkannya di tengah padang serta gemar
melayan kerenah peminat-peminatnya. Macari dibawa ke Old Trafford oleh Tommy
Docherty (pengurus United ketika itu) dan kekal bersama kelab selama 12 musim
sebelum menyertai Swindon Town pada usia 35 tahun. Selepas bersara sebagai
pemain, Macari menceburi bidang kejurulatihan dan sekarang dia merupakan
pengulas untuk MUTV.
NORMAN
WHITESIDE
Pada 24 April 1982, sebelum ulang tahunnya
yang ke-17, Norman Whiteside muncul pemain termuda melakukan debut untuk
Manchester United sejak Duncan Edwards. Dari beberapa segi, Whiteside
sebenarnya mirip kepada Edwards. Whiteside merupakan pemain muda berbakat besar
di posisi sayap kanan ketika itu dan sumbangannya yang paling diingati ialah
gol kemenangan yang dihasilkan ketika menewaskan Everton 1-0 pada perlawanan
akhir Piala FA tahun 1985. Tdak seperti sekarang, Everton adalah pasukan
pilihan ketika itu dengan barisan pemain-pemain hebat yang dimiliki mereka
seperti Andy Gray, Neville Southall, Graeme Sharp, Peter Reid, Pat Van den
Hauwe dan Kevin Ratcliffe. Walau bagaimanapun Whiteside membenam ego The Toffees dalam perlawanan itu
menerusi rembatan melencong cukup menarik dengan kaki kirinya diminit ke-110 yang
gagal diselamatkan Southall. Empat tahun kemudian Whiteside meninggalkan Old
Trafford dan menyertai Everton selepas melakukan 206 penampilan dan
menjaringkan 47 gol untuk kelab. Whiteside terpaksa menamatkan kariernya pada
usia muda (26 tahun) selepas berdepan masalah kecederaan lutut yang dialaminya
sejak berusia 15 tahun. Whiteside hingga kini sentiasa diingati menerusi gol kemenangannya
di perlawanan akhir Piala FA 1985, saat dia bergerak di sebelah sayap kanan dan
mengenakan jersi nombor 4. Sebenarnya sebelum menggunakan jersi nombor 4,
Whiteside terlebih dahulu menggunakan nombor 10 ketika di awal kemunculannya.
MARK
HUGHES
Sekarang tibalah waktu untuk lagenda nombor
10 sebenar. Secara total, Hughes memiliki dua fasa dalam kariernya bersama
United selepas ditandatangani pada usia 14 tahun. Hughes diberi peluang tampil
buat pertama kali ketika berusia 19 tahun, dan selepas itu dia berjaya memecah
penguasaan Norman Whiteside dan Frank Stapleton dalam skuad utama. Sparky akhirnya berjaya mengambil alih
penguasaan nombor 10 dari Stapleton. Fasa pertama dia bermain untuk United dari
tahun 1982 hingga 1986 sebelum meninggalkan kelab untuk menyertai Barcelona.
Hughes tidak kekal lama di Nou Camp, di mana dia tampil sebanyak 28 perlawanan
dan menjaringkan 4 gol sebelum menyertai Bayern Munich selama semusim sebagai
pemain pinjaman. Sparky kemudiannya
pulang semula ke pangkuan United pada tahun 1988 dan kekal di Old Trafford
hingga tahun 1995. Secara keseluruhannya, Sparky
menjaringkan 163 gol dari 467 penampilan dalam dua fasa di Old Trafford.
Dia merupakan penjaring gol unggul ketika zaman kemuncaknya, jadi tidak
hairanlah mengapa Barca sedia membawanya beraksi di Sepanyol. Sparky tetap diiktiraf sebagai lagenda
meskipun dia kemudiannya mengendalikan seteru setempat United, Manchester City
selama semusim (2008-2009).
DAVID
BECKHAM
Selepas George Best nampaknya ada lagi satu
kejutan…Beckham #10? Ya memang betul, Beckham cukup terkenal dan lebih dikenali
dengan nombor 7 di belakang jersinya tetapi ramai yang tidak tahu bahawa di
awal kemunculannya bersama United, Becks bermula dengan nombor 10. Becks
melakukan penampilan pertama untuk United ketika menentang Wimbledon di mana
dia mewarisi jersi nombor 10 daripada Mark Hughes. Ramai juga yang mungkin
tidak tahu bahawa ketika di awal kemunculannya bersama skuad utama United,
Becks sebenarnya bermula sebagai pemain tengah sebelum Sir Alex meletakannya di
posisi sayap kanan. Bukan sahaja berjaya dengan peranan baru yang dimainkannya,
malah Becks turut diberikan nombor ikonik 7 pada jersinya sekaligus mewarisi
dari lagenda sebelumnya iaitu George Best, Bryan Robson dan Eric Cantona.
TEDDY
SHERINGHAM
Seperti Robin Van Persie, Michael Carrick,
Rio Ferdinand, Henrik Larsson, Dimitar Berbatov dan Ryan Giggs, Teddy
Sheringham dianggap sebagai salah seorang pemain paling pintar yang pernah
menyarung jersi Manchester United. Sheringham tidak memiliki kepantasan tetapi
seperti Denis Bergkamp untuk Arsenal, dia memiliki visi yang cukup besar dalam
permainan dan seorang penyerang yang oportunis. Contoh terbaik ialah ketika
United berdepan Bayern Munich di perlawanan akhir Liga Juara-Juara 1999.
Sheringham ditandatangani Sir Alex ketika dia sudahpun berusia 31 tahun, umur
yang dianggap agak tua dalam dunia bolasepak. Jika melihat aksinya di hadapan
gawang lawan, anda boleh lupakan usianya kerana Sheringham memiliki nafsu yang
cukup tinggi untuk menjaringkan gol melebihi pemain-pemain muda ketika itu.
Empat tahun di Old Trafford, Sheringham akhirnya meninggalkan United pada usia
35 tahun dan pulang semula ke White Hart Lane menyertai Tottenham Hotspurs.
Sheringham masih bermain di peringkat tertinggi sehingga berusia 41 tahun,
melangkaui apa yang Ryan Giggs lakukan ketika ini dan kemudiannya beralih ke divisyen
lebih rendah dengan menyertai Colchester United (yang bermain di Liga
Kejuaraan) pada tahun 2007 di usia 42 tahun.
RUUD
VAN NISTELROOY
Dengan nombor 10 yang tertera di belakangnya,
Ruud Van Nistelrooy adalah penyerang serba lengkap. The Flying Dutchman diiktiraf sebagai salah seorang penggempur
terbaik pernah beraksi untuk United di mana dia menjaringkan 150 gol dari 210
penampilan. Nistelrooy merupakan pemburu gol sejati, sering menipu
`pengawalnya’ dengan larian-larian yang cukup mengelirukan dan peluang buat
penjaga gol lawan mengutip bola di gawang sendiri cukup besar bila Nistelrooy
berada dalam petak penalti mereka dengan bola dikakinya. Jadi tidak hairanlah Nistelrooy
menjaringkan hampir kesemua golnya dari dalam petak penalti. Sir Alex cuba
menandatangani Nistelrooy pada tahun 2000 tetapi terpaksa membatalkan hasratnya
berikutan kecergasan pemain itu yang meragukan. Ketika Nistelrooy sedang dalam
tempoh pemulihan berikutan masalah kecederaan lututnya, Sir Alex akhirnya nekad
membawanya ke Old Trafford pada 2001. Musim pertamanya bersama United
(2001-02), Nistelrooy menjaringkan 36 gol dari 49 penampilan, memecahkan rekod
dengan menjaringkan gol lapan perlawanan berturut-turut dan muncul penjaring
terbanyak Liga Juara-Juara dengan 10 gol. Kejayaan Nistelrooy bertambah lengkap
apabila dia dianugerahkan Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana England musim
tersebut. Biarpun diiktiraf selaku penggempur hebat, karier Nistelrooy di Old
Trafford boleh dikatakan agak singkat. Dia bermain selama lima musim dan hanya
memenangi empat trofi utama termasuk satu kejuaraan Liga Perdana musim 2002-03.
Pergeseran dengan Cristiano Ronaldo ataupun tawaran 24 juta Pound dari Real
Madrid yang sukar ditolak Sir Alex menyebabkan karier Nistelrooy di Old
Trafford berakhir dan dia berhijrah ke Santiago Bernabeu pada musim panas 2006.
WAYNE
ROONEY
Disebabkan tindakan Sir Alex meletakkan Wayne
Rooney di bangku simpanan ketika pertemuan menentang Real Madrid dalam saingan
Liga Juara-Juara 6 Mac lalu, penyerang England itu sekali lagi menjadi sasaran
spekulasi media berhubung masa depannya di Old Trafford. Situasi sama pernah
tercetus pada Oktober 2010, selepas Rooney mempertikaikan kekuatan United untuk
bersaing di peringkat domestik dan Eropah berikutan kegagalan pihak pengurusan
kelab membawa masuk pemain bertaraf bintang terutamanya selepas penghijrahan
Cristiano Ronaldo. Bagaimanapun Rooney memadamkan keraguan ramai pihak dengan
menyambung kontrak baru dan terus kekal sebagai pemain paling bernilai dalam
pasukan. Lupakan semua kontroversi yang menyelubungi penyerang antarabangsa England
itu kerana ketika ini Wazza sedang menikamati musim ke-9 nya bersama United. Di
awal kemunculannya bersama United selepas berhijrah dari Everton, Rooney
menggunakan nombor 8 tetapi kemudiannya mewarisi jersi nombor 10 dari Ruud Van
Nistelrooy selepas pemain Belanda itu menyertai Real Madrid. Selama sembilan
musim di Old Trafford, Rooney sudahpun menjaringkan 214 gol dari 472 penampilan
untuk United dalam semua kejohanan, dan dengan umur yang baru mencecah 27
tahun, peluang Rooney memadam rekod 199 gol dalam saingan liga milik Sir Bobby
Charlton cukup cerah. Setakat ini Rooney berada di tangga keempat senarai
pejaring gol sepanjang masa United dengan 141 gol dari 272 penampilan (liga). Banyak
penghormatan yang ingin diburu Rooney bersama United kerana selain misi mahu
memadam rekod jaringan Charlton, Rooney juga memasang impian mengambil alih lilitan
ketua pasukan dari Nemanja Vidic satu hari nanti.
Kesimpulannya: Bagi kebanyakkan kelab atau
skuad kebangsaan, nombor 10 memang dikhaskan untuk pemain-pemain terbaik atau
lagenda mereka, tetapi di Manchester United, nombor 7 adalah ikon. George Best
boleh dianggap sebagai pencetus kepada kegemilangan nombor 7 di jersi merah
United tetapi dia juga antara pemain hebat yang pernah menyarung jersi nombor
10. Nombor 7 adalah ikonik tetapi nombor 10 juga tetap istimewa bagi
penyokong-penyokong United. Dari pemain yang disenaraikan di atas, jelaslah
bukan sedikit permain-pemain terbaik United yang pernah menggunakan nombor 10
di belakang jersi mereka, dari era Sir Bobby Charlton hinggalah ke era Wayne
Rooney. Glory Glory Manchester United!!! – A.J