05 Mac 2013

PREVIEW LIGA JUARA-JUARA: MANCHESTER UTD lwn REAL MADRID



Awal pagi esok, perhatian peminat-peminat bolasepak akan tertumpu di Old Trafford untuk menyaksikan pertembungan Manchester United – Real Madrid bagi merebut slot ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Selepas terikat 1-1 pada pertemuan pertama di Santiago Bernabeu, United dilihat memiliki peluang lebih cerah untuk layak ke peringkat suku akhir apabila jaringan Danny Welbeck memberikan mereka kelebihan gol di tempat lawan. Skuad The Red Devils berada dalam prestasi dan kondisi terbaik menjelang pertemuan ini. Kemenangan besar 4-0 yang diraih United ke atas Norwich City Sabtu lalu bakal memberikan suntikan motivasi tambahan buat barisan Sir Alex Ferguson itu menjelang aksi di peringkat Eropah. Perlawanan akhir di `tanah sendiri’ (Wembley) adalah insentif terbaik untuk The Red Devils menyingkirkan Los Blancos awal pagi esok tetapi kemenangan ke atas Madrid bukanlah sesuatu yang mudah. Apa yang pasti peminat-peminat bolasepak sama ada dari kalangan penyokong-penyokong United atau tidak pastinya akan tertunggu-tunggu dengan kemunculan semula Cristiano Ronaldo di Old Trafford. Juga jangan lupakan kemungkinan lagenda hidup United, Ryan Giggs bermain buat kali ke-1000 dalam kariernya jika diturunkan dalam perlawanan ini. Agak malang apabila pemain yang sentiasa membayangi Ronaldo ketika pertemuan pertama di Bernabeu, Phil Jones diragukan untuk tampil dalam pertembungan ini kerana mengalami kecederaan lutut. Robin Van Persie yang dikeluarkan di separuh masa kedua ketika menentang Norwich akan menjadi sandaran Sir Alex untuk memburu gol manakala Wayne Rooney yang bermain dengan cemerlang Sabtu lalu bakal menjadi perhatian benteng pertahanan Madrid. Prestasi terkini yang dipamerkan Shinji Kagawa juga bakal memberikan masalah buat Sir Alex untuk memilih kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan ini. Pertahanan berpengalaman, Rio Ferdinand dijangka kembali dalam kesebelasan utama selepas direhatkan pada aksi liga bagi membentuk kombinasi di benteng pertahanan bersama Nemanja Vidic, Patrice Evra dan Rafael da Silva. Selepas mempamerkan aksi menakjubkan pada pertemuan pertama di Bernabeu, posisi sebagai penjaga gol pastinya milik David de Gea selain berpengalaman menentang Los Blancos ketika masih bersama-sama Atletico Madrid.

Di pihak lawan pula, Madrid hadir di Old Trafford berbekalkan keyakinan tinggi selepas kejayaan menewaskan musuh tradisi mereka, Barcelona sebanyak dua kali dalam tempoh empat hari di saingan Copa del Rey dan La Liga. Perlawanan awal pagi esok juga sangat penting bagi masa depan Jose Mourinho sebagai pengendali di Bernabeu. Jika gagal membawa Madrid memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-10, besar kemungkinan jodoh The Special One bersama gergasi Sepanyol itu akan berakhir penghujung musim ini. Usaha Madrid untuk mempertahankan kejuaraan liga dilihat agak mustahil selepas ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Barcelona. Jadi misi mereka dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini dilihat sangat penting kerana jika menang Copa del Rey sekalipun itu tidak cukup untuk menutup kegagalan mempertahankan takhta liga dan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-10. Cristiano Ronaldo yang direhatkan ketika pertemuan El Clasico menentang Barca hujung minggu lalu akan menjadi tumpuan peminat-peminat bukan saja kerana faktor dia kembali semula ke gelanggang yang pernah menjulang namanya, tetapi juga disebabkan dia adalah pemain penting dalam percaturan Mourinho. Sami Khedira dan Mesut Ozil juga bakal kembali memperkuatkan bahagian tengah selepas hanya diletakkan di bangku simpanan ketika pertemuan menentang Barca manakala Gonzalo Higuain mungkin menjadi pilihan utama di barisan hadapan berbanding Karim Benzema. Selain tumpuan menyeluruh yang diberikan terhadap pertembungan dua gergasi Eropah ini, pengadil perlawanan dari Turki, Takir Cunyet adalah individu penting bagi memastikan perlawanan ini berjalan dengan lancar. Meskipun usia Cunyet sebaya dengan Ryan Giggs, tetapi dia cukup berpengalaman dalam mengendalikan perlawanan-perlawanan besar. Cunyet pernah diberikan tanggungjawab untuk mengadili perlawanan kedua (peringkat separuh akhir) Liga Juara-Juara antara Barcelona dan Chelsea musim lalu dan juga perlawanan-perlawanan antarabangsa di peringkat Eropah yang lain. Komentar yang diberikan oleh pengendali kedua-dua pasukan juga menarik menjelang pertemuan ini apabila Sir Alex mengatakan bahawa ini adalah perlawanan yang besar untuk dua kelab yang mempunyai tradisi dan sejarah yang besar. Manakala Mourinho pula mengatakan bahawa esok dunia akan `terhenti’ buat seketika untuk menyaksikan perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Kali terakhir Madrid menang di Old Trafford ialah pada 19 April 2000 dimana mereka berjaya menewaskan United dengan keputusan 3-1.

- Dalam empat pertemuan menentang United di pusingan kalah mati, Madrid berjaya mara kepusingan seterusnya sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2000 dan 2003.

- Rekod Jose Mourinho ketika menentang Sir Alex Ferguson ialah menang enam perlawanan, seri tujuh kali dan kalah dua kali.

- Rekod Mourinho ketika bertandang ke Old Trafford ialah menang dua perlawanan, seri dua kali dan kalah dua kali.

- United mencatat 19 keputusan seri pada perlawanan pertama pusingan kalah mati dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Juara-Juara dan berjaya mara ke pusingan suku akhir sebanyak 17 kali.

- Rekod United ketika berdepan kelab-kelab Sepanyol ialah menang lapan perlawanan, sembilan kali seri dan tiga kali kalah.

- United menang sembilan dari 12 perlawanan timbal balik di peringkat Eropah selepas mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan pertama di gelanggang lawan.

- David de Gea sudah berdepan Madrid sebanyak lima kali ketika menyarung jersi Atletico. Dari lima pertemuan derby Madrid itu, De Gea dibolosi sebanyak 11 kali.

- Rekod Madrid ketika berdepan kelab-kelab Inggeris ialah menang empat perlawanan, seri tiga kali dan kalah lima kali.

- Kaka pernah menjadi mimpi buruk buat United ketika masih menyarung jersi AC Milan. Pada tahun 2007, Kaka membantu Milan layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan United dengan aggregat 5-3. Kaka menjaringkan dua gol pada perlawanan pertama yang menyaksikan Milan tewas 2-3 di Old Trafford.

- Musim 2004-05 juga menyaksikan Kaka berada dalam skuad Milan yang menyingkirkan United di pusingan kalah mati (16 pasukan).

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael dan Silva, Michael Carrick, Tom Cleverley, Luis Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Wayne Rooney dan Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Madrid:

Diego Lopez, Sergio Ramos, Pepe, Rapahael Varane, Fabio Coentrao, Xabi Alonso, Sami Khedira, Angel di Maria, Mesut Ozil, Cristiano Ronaldo & Gonzalo Higuain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan