Impian Sir Alex untuk membawa Manchester
United menjulang tiga trofi utama musim ini berkubur selepas tewas 2-3 menerusi
aggregat kepada Real Madrid di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Prestasi
benteng pertahanan United musim ini dipersoalkan ramai pihak apabila mereka
dibolosi sebanyak 31 kali dalam aksi liga, jumlah terbanyak berbanding empat
lagi pasukan yang menduduki tangga teratas liga (Man City, Tottenham, Chelsea
dan Arsenal). Chelsea mendedahkan kelemahan benteng pertahanan dan mereka
hampir saja meranapkan impian United meraih kejuaraan double buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun apabila bangkit dari
ketinggalan dua gol pada saingan suku akhir Piala FA untuk mengikat kedudukan
dan mengheret United ke perlawanan ulangan di Stamford Bridge. Nemanja Vidic,
Rio Ferdinand dan Patrice Evra perlu diakui semakin perlahan disebabkan faktor
usia walaupun mereka masih antara pemain pertahanan terbaik di England. Sir
Alex memiliki pemain-pemain muda berkualiti dalam skuadnya seperti Phil Jones,
Chris Smalling, Jonny Evans dan Rafael da Silva tetapi beliau masih perlu menandatangani pemain pertahanan baru musim panas ini untuk mengukuhkan lagi
bahagian belakang pasukannya. Kini sudah tiba masanya untuk Sir Alex
mendapatkan pemain pertahanan baru dan mengulangi keputusan bijaknya ketika
menandatangani Jaap Stam (dari PSV Eindhoven) pada 1998, Rio Ferdinand (dari
Leeds United) pada 2002 serta Nemanja Vidic (dari Spartak Moscow) dan Patrice Evra (dari AS Monaco) pada 2006. Berdasarkan spekulasi-spekulasi yang
ditiupkan media, berikut adalah lima pemain pertahanan yang mungkin menjadi
sasaran Sir Alex ketika pasaran perpindahan pemain dibuka musim panas nanti.
EZEQUIEL
GARAY
Pemain pertahanan Benfica ini muncul antara
pemain pertahanan tengah terbaik Eropah selepas berpindah dari Real Madrid pada
2011. Benfica hanya berbelanja sekitar 4.75 juta Pound ketika membawa keluar
Garay dari Santiago Bernabeu 18 bulan lalu tetapi penampilan hebatnya bersama
kelab Portugal itu di pentas domestik dan Eropah pasti menjadikan harganya berlipat
kali ganda. Sejak Januari lalu, media di England sudah meniupkan spekulasi
tentang perpindahan Garay ke Old Trafford sebagai pengganti jangka panjang Rio
Ferdinand. Walau bagaimanapun ada pihak kurang yakin dengan kemampuan Garay
menangani tekanan beraksi dengan kelab besar seperti United selepas
kegagalannya menyerlah bersama Real Madrid. Seperti Ferdinand, Garay juga
memiliki kelebihan membaca permainan dengan baik di samping gemar naik hingga
ke bahagian tengah padang untuk melancarkan serangan. Naluri menyerangnya
dibuktikan ketika masih bersama Racing Santander apabila Garay bejaya
menjaringkan sembilan gol dari 31 penampilan.
ELIAQUIM
MANGALA
Pertahanan berasal dari Perancis ini baru
berusia 22 tahun dan berkembang dengan baik sejak menyertai FC Porto dari
Standard Liege musim panas lalu. Menyedari bakat yang dimiliki pemain muda ini,
Porto tidak teragak-agak untuk membelanjakan sekitar 6 juta Pound bagi
membawanya ke Estadio do Dragao. Harga Mangala di pasaran ketika ini dinilai
sekitar 15 juta pound dan jika ada mana-mana kelab yang sanggup mengeluarkan
dana sebanyak itu, Porto sudah tentu akan melepaskannya. Mangala juga sebelum
ini sudah mengatakan secara terbuka tentang minatnya bermain di Liga Perdana
England. Jika Sir Alex berminat mendapatkan khidmat pemain ini, beliau
nampaknya terpaksa bersaing dengan Tottenham Hotspurs, Manchester City dan
kelab-kelab besar Eropah lain yang turut memburu tandatangan pemain muda
berbakat besar ini. Sebagai pemain pertahanan, Mangala memiliki kekuatan, pantas
dan cukup agresif ketika menangani penyerang lawan. Corak permainannya
dikatakan mirip kepada Nemanja Vidic. Mungkin ramai yang kurang mengenali Mangala, tetapi jika mengambilkira kecenderungan Sir Alex mendapatkan bintang muda, remaja dari Perancis ini adalah pilihan yang tepat.
MATS
HUMMELS
Pada usia 21 tahun, Hummels disenaraikan
dalam skuad Jerman di pusingan akhir Piala Dunia 2010 dan dua tahun kemudian
mengemudi benteng pertahanan Die Maanschaft
di Kejohanan Euro 2012. Di peringkat kelab, Hummels membentuk gandingan mantap
bersama Neven Subotic hingga menyaksikan Borussia Dortmund mencipta rekod baru
Bundesliga pada musim 2010-11 sebagai pasukan yang paling kurang dibolosi. Gaya
permainan Hummels sering dibandingkan dengan lagenda Jerman sendiri, Franz
Beckenbauer di mana dia gemar memulakan serangan dari bawah, memiliki kekuatan
dan kemahiran membaca permainan. Oktober lalu Hummels tidak menolak kemungkinan
untuk berhijrah dari Bundesliga dan United pantas dikaitkan dengan bintang
antarabangsa Jerman ini. Sir Alex sudah mempunyai pengalaman berurusniaga
dengan Dortmund ketika mendapatkan Shinji Kagawa musim panas lalu dan jika
beliau benar-benar mahu membawa Hummels ke Old Trafford, masanya sudah semakin
hampir.
JAN
VERTONGHEN
Musim panas lalu, Sir Alex Ferguson
melepaskan peluang mendapatkan pemain pertahanan antarabangsa Belgium ini dari
Ajax Amsterdam. Walaupun pada mulanya United dikaitkan dengan minat mendapatkan
khidmat Vertonghen, Tottenham Hotspurs sebaliknya berjaya menyambar pemain
serba boleh ini. Penampilan Vertonghen bersama Spurs menarik minat Sir Alex terutamanya
selepas dia menjaringkan satu gol ketika United tewas kepada skuad London itu 3-2
di Old Trafford September lalu. Selain peranan utamanya sebagai pertahanan
tengah, Vertonghen juga boleh bermain di posisi bek kiri jika diperlukan.
Berada di bahagian belakang sebenarnya tidak menghalang Vertonghen untuk naik
ke atas ketika pasukan melancarkan serangan. Naluri menyerangnya sudah
dibuktikan apabila dia menjaringkan 10 gol dari 37 penampilan pada musim
terakhirnya di Belanda dan dianugerahkan Pemain Terbaik Tahunan Eredivisie
musim lalu. Jika Tottenham gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara
musim hadapan, United mungkin boleh mengambil kesempatan ini untuk membawa
Vertognhen bergerak ke utara.
MARCEL
SCHMELZER
Schmelzer adalah pilihan utama di posisi bek
kiri Borussia Dortmund sejak musim 2010-11 di mana dia bermain semua perlawanan
musim tersebut. Persembahan mempersonakan Schmelzer bersama Dortmund hingga
berjaya membantu kelab itu menang kejuaraan Bundesliga dua musim berturut-turut
(2010-11 & 2011-12) menarik perhatian ramai pakar-pakar pertahanan seluruh
dunia. Pada usia 25 tahun, Schmelzer sudah melakukan lebih 120 penampilan untuk
skuad kendalian Jurgen Klopp dan mengumpul 19 caps untuk skuad kebangsaan
Jerman. Memiliki corak permainan pantas, agresif dan kuat, Schmelzer dilihat
pengganti sesuai buat Patrice Evra. Pada usia 25 tahun, Schmelzer juga
mempunyai banyak masa untuk berkembang menjadi pemain pertahanan kiri terbaik
di dunia satu hari nanti.
Dari lima pertahanan yang disenaraikan di atas, siapakah paling berkemungkinan melangkah ke Old Trafford musim panas ini? Jika musim lalu Sir Alex serius memperkuatkan barisan hadapannya dengan menandatangani Robin Van Persie, musim hadapan sudah pasti benteng pertahanan pula bakal menjadi fokus utama Sir Alex. Pastinya ketika ini Sir Alex sudah mempunyai senarai pertahanan mana yang bakal ditandatanganinya musim panas nanti...penyokong mungkin mempunyai pilihan lain tetapi keputusan mutlak ada di tangan Sir Alex. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan