10 Mac 2013

PREVIEW PIALA FA: MANCHESTER UNITED lwn CHELSEA



Sir Alex Ferguson yakin pasukannya akan bangkit semula dari kekecewaan gagal mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara dengan menjadikan pertembungan menentang Chelsea di Old Trafford awal pagi esok sebagai medan kebangkitan semula anak-anak buahnya. Sir Alex yang masih belum dapat menerima cara pasukannya disingkirkan dari saingan Eropah musim ini tentunya tahu bahawa perlawanan ini cukup penting buat United selepas berdepan kekecewaan di pentas Eropah. Meskipun ini adalah pertemuan besar dan penting buat kedua-dua pasukan dan menemukan kembali Sir Alex dengan musuh lamanya Rafa Benitez, bos United itu sebaliknya mengambil sikap lebih lembut kali ini. Kedua-dua pengurus itu sebenarnya memiliki sejarah perseteruan ketika Benitez mengendalikan Liverpool sebelum warga Sepanyol itu meninggalkan Anfield pada 2010. Menyedari seterunya berdepan tekanan hebat ketika ini dan dijangka meninggalkan Stamford Bridge penghujung musim nanti, Sir Alex memilih untuk tidak memberikan sebarang komen tentang pasukan lawan. “Saya tidak akan menendang seseorang itu ketika dia dalam keadaan tidak berdaya kerana itu bukanlah gaya saya. Saya hanya ingin menumpukan tugas saya sebagai pengurus Manchester United dan apa yang berlaku di Chelsea tidak akan mempengaruhi saya”, kata Sir Alex. Seperti United, Chelsea juga berdepan minggu suram dalam kempen Eropah mereka apabila tewas mengejut 0-1 kepada Steaua Bucharest di perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Europa. Pertemuan suku akhir saingan Piala FA antara United dan Chelsea ini bakal menjadi tumpuan ramai pihak untuk melihat sejauh mana kedua-dua gergasi Liga Perdana itu mampu bangkit dari kekecewaan. Tewas 1-2 kepada Real Madrid menyebabkan impian United mahu mengulangi kejuaraan treble yang pernah dilakukan mereka 14 tahun lalu berkecai. Kini barisan pemain-pemain United perlu segera melupakan kegagalan mereka di pentas Eropah untuk kembali memberi tumpuan pada saingan domestik yang mana mereka masih berpeluang menjulang dua kejuaraan yang ditawarkan (kejuaraan liga dan Piala FA). Berdepan The Blues, Sir Alex sudah pasti akan meletakkan kembali Wayne Rooney dan Shinji Kagawa dalam kesebelasan utama selepas tersisih ketika pertemuan menentang Madrid Rabu lalu. Persoalan kini timbul sama ada Sir Alex akan terus menggunakan Robin Van Persie sebagai penggempur utama dalam perlawanan ini memandangkan tenaga bekas kapten Arsenal itu sudah dikerah selama 90 minit ketika berdepan Madrid. Jika Sir Alex mengambil keputusan merehatkan Van Persie dengan meletakkannya di bangku simpanan, sumbangan Javier Hernandez boleh diharapkan untuk menggempur benteng pertahanan Chelsea.

Hernandez bukan saja penjaring terbanyak United dalam saingan Piala FA musim ini tetapi penyerang itu juga mempunyai rekod jaringan yang baik setiap kali berdepan Chelsea. Entah apa sebabnya, Hernandez cukup menyerlah setiap kali berdepan Chelsea dan setakat ini penyerang antarabangsa Mexico itu sudah membolosi gawang Petr Cech sebanyak enam kali. United juga memiliki rekod yang agak unik ke atas Chelsea di mana mereka tidak pernah tewas kepada The Blues dalam tempoh 90 minit permainan jika Hernandez menjaringkan gol. Tentu saja pertemuan antara kedua-dua pasukan di Stamford Bridge dalam saingan liga, Oktober lalu boleh menjadi rujukan terbaik. Bintang veteran, Ryan Giggs yang mempamerkan aksi luar biasa ketika berdepan Madrid pasti akan direhatkan dengan kemungkinan sama ada Ashley Young atau Antonio Valencia mengambil alih tempatnya manakala Phil Jones dan Paul Scholes masih berada dalam senarai kecederaan. Bagi Rafa Benitez pula, beliau mungkin merehatkan Fernando Torres dan John Terry yang diturunkan ketika berdepan Bucharest tempohari dan kembali menyenaraikan Demba Ba, Victor Moses dan Ramirez yang tidak dibawa ketika kunjungan ke Romania. Frank Lampard akan terus memainkan peranannya sebagai perancang di bahagian tengah manakala Eden Hazard pula bergerak di sebelah kiri. Bagi bek kanan mereka, Branislav Ivanovic pula, dia sedar misi di Old Trafford bertambah sukar selepas kegagalan United di Liga Juara-Juara. Bintang antarabangsa Serbia itu pantas mengingatkan rakan-rakan sepasukannya tentang bahaya yang bakal menanti mereka di Old Trafford nanti. Kegagalan United itu sebenarnya lebih menggusarkan Ivanovic yang menjangkakan The Red Devils akan menjadikan pertemuan ini sebagai detik yang tepat untuk melepaskan kekecewaan mereka. Dengan situasi Rafa Benitez yang berdepan kesukaran akibat tekanan demi tekanan diberikan penyokong-penyokong Chelsea sendiri, apakah pengendali itu mampu menyemarakkan kembali semangat barisan pemainnya bangkit dari kekalahan mengejut kepada Steaua Bucharest. Dalam situasi yang dihadapi Benitez sekarang, ramai pihak menjangkakan beliau akan berdepan kesukaran mengulangi pencapaian Roberto De Matteo yang berjaya membawa Chelsea memenangi kejuaraan Piala FA musim lalu. Apapun kemampuan skuad seperti Chelsea tidak boleh dipandang ringan kerana mereka mempunyai pemain-pemain hebat seperti Demba Ba, Ramires, Hazard, Mata, Oscar dan Torres yang mampu memberikan masalah kepada mana-mana lawan mereka sambil dibantu pengalaman luas milik Lampard, Cole, Ivanovic dan Cahill. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Nemanja Vidic, Jonny Evans, Patrice Evra, Rafael da Silva, Michael Carrick, Tom Cleverley, Shinji Kagawa, Ashley Young, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Barisan Kemungkinan Chelsea:

Petr Cech, Branislav Ivanovic, Cesar Azpilicueta, Ashley Cole, David Luiz, John Obi-Mikel, Ramires, Frank Lampard, Eden Hazard, Juan Mata & Demba Ba

Fakta Perlawanan:

- Chelsea hanya menang sekali dari enam pertemuan terakhir menentang United, tewas empat perlawanan dan seri sekali.

- United menang tiga pertemuan terakhir menentang Chelsea di Old Trafford.

- Dalam saingan Piala FA, Chelsea sudah bertandang di Old Trafford sebanyak lima kali. Bagaimanapun mereka tidak pernah menang dan hanya berjaya menjaringkan satu gol.

- Javier Hernandez menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan terakhir menentang Chelsea.

- Chelsea tidak tewas dalam 11 perlawanan terakhir mereka pada saingan Piala FA di mana The Blues menang sembilan kali dan seri dua kali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan