Nampaknya isu tentang penyingkiran Manchester
United menerusi `jalan belakang’ dari saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini
masih belum reda diperkatakan ramai pihak. Begitu juga dengan tindakan Sir Alex
Ferguson meletakkan Wayne Rooney di bangku simpanan ketika pertemuan menentang
Real Madrid kelmarin menimbulkan tanda tanya ramai pihak. Sebelum perlawanan
(menentang Madrid) penyokong-penyokong United dan penganalisis bolasepak
menjangkakan Rooney yang bermain dengan cukup cemerlang pada pertemuan liga
menentang Norwich City akan dipasangkan bersama-sama Robin Van Persie di
barisan hadapan. Bagaimanapun akhirnya ramai yang terkejut apabila mendapati
nama penyerang antarabangsa England itu tiada dalam kesebelasan utama,
sebaliknya Sir Alex memilih Ryan Giggs dan Nani untuk memperkuatkan bahagian
tengah United manakala Van Persie dan Danny Welbeck bertindak sebagai penggempur.
Persoalan yang ditimbulkan ramai pihak sekarang ialah mengapa pemain dengan
kualiti sehebat Rooney terpinggir dari perlawanan yang besar dan penting seperti
itu sehingga media mula meniupkan spekulasi berhubung masa depan penyerang itu
di Old Trafford. Sebenarnya ada beberapa perkara yang patut diperhalusi tentang
mengapa Rooney tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika pertemuan menentang
Madrid kelmarin. Melihat pada persembahan United sepanjang babak pertama
perlawanan, barisan yang diturunkan Sir Alex bermain dengan baik di mana mereka
mampu menghalang lawan dari mencipta gerakan-gerakan bahaya. Tidak seperti
pertemuan pertama di Bernabeu, United sebaliknya hampir sahaja mendahului lawan
sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol di babak pertama namun tandukan
Nemanja Vidic sekadar singgah di tiang gol manakala percubaan Welbeck ketika
dia berada pada posisi satu lawan satu dinafikan oleh kecemerlangan Diego
Lopez. Secara keseluruhannya United memang bermain dengan cukup baik sepanjang
babak pertama tanpa kelibat Rooney. Jika diimbas kembali, ini bukanlah pertama
kali Rooney diletakkan di bangku simpanan musim ini dalam keadaan dia cergas
sepenuhnya. Kehadiran Van Persie musim panas lalu sebenarnya memberikan kesan
yang bukan sedikit kepada permainan dan peranan Rooney bersama pasukan. Ketika
menentang Madrid, Rooney hanya diturunkan ketika perlawanan berbaki 17 minit
untuk ditamatkan, dan dalam tempoh sesingkat ini tiada apa yang mampu dilakukan
Rooney untuk menyelamatkan United dari tersingkir pada kempen Eropah mereka
musim ini biarpun dia memiliki satu peluang terbaik di penghujung permainan.
Pengurus Madrid, Jose Mourinho selepas perlawanan mengatakan strategi Sir Alex
menggunakan Nani dan meletakkan Rooney di bangku simpanan adalah tindakan bijak.
Memang tidak dinafikan bahawa Nani bermain baik bahkan hantaran silangnya di
awal babak kedua menyebabkan Sergio Ramos melakukan kesilapan menolak bola
masuk ke gawang sendiri. Nani yang jarang diturunkan musim ini kerana
kecederaan dan prestasi tidak menentu memberikan aksi terbaiknya ketika
menentang Madrid. Pemain sayap Portugal itu bukan saja berjaya memberikan
tekanan kepada benteng pertahanan Madrid malah rajin turun ke bawah membantu
pertahanan ketika lawan melakukan asakan. Nani sebenarnya adalah satu kejutan
yang bagus untuk Madrid, cuma layangan kad merah ke atasnya merosakkan
keseluruhan perancangan Sir Alex dalam perlawanan ini. Nani memang bersalah
kerana mengangkat kaki tinggi tetapi layangan kad merah yang diberikan Cuneyt
Cekir itu terlalu keras dan masih diperdebatkan hingga sekarang. Jadi tidak
hairanlah jika pengadil dari Turki itu dilabel sebagai perosak perlawanan bukan
saja oleh peminat-peminat malahan juga dari kalangan bintang-bintang dan
penganalisis bolasepak. Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku tentang
hubungan antara Rooney dan Sir Alex. Hubungan antara kedua-dua individu itu
memang diketahui sedikit keruh sejak Oktober 2010 selepas Rooney meminta dijual
kerana merasa kurang yakin dengan kekuatan United.
Meskipun keadaan kembali normal selepas
Rooney menarik balik kenyataannya 24 jam selepas itu dan menandatangani kontrak
baru, ramai pihak masih sangsi dan mengatakan hubungan Rooney – Sir Alex sudah
tidak seperti dulu. Musim ini, Sir Alex memperkuatkan pasukannya dengan membawa
masuk Van Persie, bintang besar dari Arsenal dan juga penjaring terbanyak musim
lalu. Situasi kini berputar 360 darjah selepas kehadiran Van Persie di mana
Rooney mula kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama. Tidak seperti
musim-musim sebelumnya di mana United banyak bergantung kepada Rooney dalam
memburu gol, kini peranan itu diambilalih pula oleh Van Persie. Dalam ertikata
yang lain United banyak bergantung kepada ketajaman Van Persie dan mulai belajar
hidup tanpa Rooney. Ada laporan-laporan dari media di England yang menyebut
bahawa United sudah bersedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk
Rooney. Menurut spekulasi terbaru pula, United sanggup menerima tawaran
serendah 20 juta Pound bagi perpindahan Rooney. Ramai pihak melihat bahawa Sir
Alex sudah mempunyai rancangan lain jika Rooney benar-benar meninggalkan Old
Trafford dan salah satunya ialah membawa pulang Cristiano Ronaldo ke Old
Trafford. Selain Ronaldo, ada beberapa penyerang muda yang dilihat berpotensi mengisi
tempat Rooney jika memang benar bekas pemain Everton itu akan dijual. Seperti
yang pernah dilakukan Sir Alex sebelum ini, beliau akan mendapatkan pemain muda
dan kemudian mengasah bakat mereka hingga muncul bintang besar di masa hadapan.
Mungkin juga ramai penyokong-penyokong United tidak bersetuju dan mempertikaikan
tindakan Sir Alex (jika beliau melepaskan Rooney kepada kelab lain). Melihat
kepada taktik, yang digunakan Sir Alex pada pertemuan menentang Madrid dengan
meletakkan Rooney di bangku simpanan, ia sebenarnya adalah satu keputusan yang
tepat apabila United berjaya menekan lawan dan membatasi gerakan-gerakan Los Blancos. Cuma United kurang bernasib
baik apabila keputusan kontroversi Cuneyt (melayangkan kad merah kepada Nani)
menyebabkan slot ke suku akhir dirampas Madrid. Kerana terlampau melayani kemarahannya
terhadap Cuneyt, Sir Alex lambat mengatur strategi baru bagi mempertahankan
kelebihan satu gol manakala Mourinho pula bertindak pantas memasukkan Luka
Modric. Kini ramai pihak di England yakin bahawa Rooney akan meninggalkan Old
Trafford musim panas ini dan PSG disebut-sebut kelab paling berpotensi disertai
penyerang itu. Bagi Sir Alex pula, beliau dikatakan sedang menyiapkan rancangan
untuk membawa masuk seorang penyerang kelas dunia bagi menggantikan Rooney.
Walau apapun situasi dan alasan sekalipun, diharapkan biarlah Rooney terus
kekal bersama United. Sumbangan yang diberikan Rooney kepada United sejak
berhijrah dari Goodison Park pada 2004 cukup besar dan dia kini adalah pemain
bertaraf lagenda di Old Trafford. Bagaimanapun jika penghijrahan Rooney
benar-benar berlaku nanti, kita tidak perlu terbawa-bawa dengan sentimen
terhadapnya dan memori yang diberikannya selama 9 tahun menyarung jersi The Red Devils akan tetap dikenang.
Perpindahan dalam dunia bolasepak adalah lumrah, dan memang sukar untuk melihat
seorang pemain itu kekal bersama sesebuah pasukan untuk tempoh yang lama terutamanya
dalam era bolasepak moden. Cuma beberapa pemain yang mampu melakukannya dan contoh
terbaik ada di Old Trafford. Pemain yang dimaksudkan tentu saja dua bintang
veteran United iaitu, Ryan Giggs dan Paul Scholes. Giggs dan Scholes kekal di
Old Trafford selama puluhan tahun selepas menabur bakti sejak usia remaja
mereka. Giggs dipastikan akan beraksi untuk musim ke-23 bersama United selepas
menandatangani kontrak selama setahun lagi manakala Scholes pula sudah beraksi
selama 20 musim di Old Trafford. Biar kemanapun destinasi yang dipilih Rooney
selepas ini, Wazza sudah diiktriraf sebagai salah seorang lagenda Manchester
United. Jika Wazza benar-benar meninggalkan Old Trafford seperti yang
digembar-gemburkan media maka kita terpaksa menerima hakikat bahawa lagenda United
tidak semestinya kekal dan menamatkan karier mereka di sini (Old Trafford). Contoh
terbaik dalam situasi ini siapa lagi kalau bukan David Beckham. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan