Bukan Luka Modric dan bukan juga Cristiano
Ronaldo, tetapi Cuneyt Tekir muncul `wira’ Real Madrid apabila membawa gergasi Sepanyol
itu ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara. Selepas mendahului pelawat
menerusi gol sendiri Sergio Ramos di minit ke-48, dua gol dalam tempoh tiga
minit meranapkan harapan United untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Eropah
mereka musim ini. Babak pertama perlawanan memang diakui Madrid lebih banyak
menguasai bola berbanding United, tetapi barisan The Red Devils mencipta peluang jaringan lebih baik berbanding
pelawat. Tandukan Nemanja Vidic yang singgah di tiang gol dan tolakan Danny
Welbeck dalam situasi satu sama satu yang berjaya dinafikan Diego Lopez seolah-olah
memberi gambaran awal bahawa keputusan perlawanan bakal milik United. Bagaimanapun
selepas tamat 45 minit pertama perlawanan, kedua-dua pasukan terikat dengan
keputusan 0-0. Sergio Ramos memberikan United kelebihan selepas tertolak bola
ke gawang sendiri namun kegembiraan penyokong-penyokong United hanya bertahan
selama lapan minit apabila Nani diperintah keluar padang oleh pengadil
perlawanan. Pertembungan membabitkan Nani dan Alvaro Arbeloa itu dinilai ramai
pihak tidak sepatautnya membabitkan layangan kad merah dan tindakan melulu Cuneyt
itu ternyata membunuh keseluruhan perlawanan. United yang terpaksa beraksi
dengan sepuluh pemain cuba bertahan sedaya mungkin namun Luka Modric yang masuk
menggantikan Arbeloa berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-66 menerusi
rembatan cantik dari luar kotak penalti. Gol kedua Madrid jaringan Cristiano
Ronaldo tiga minit selepas itu bolehlah dianggap menutup terus peluang United
untuk sekurang-kurangnya mengheret permainan ke masa tambahan.
Selepas ketinggalan, United tiba-tiba bangkit
memberikan tekanan kepada barisan pelawat sepanjang 20 minit terakhir perlawanan.
Dereten peluang-peluang terbaik United hadir menerusi Nemanja Vidic, Robin Van
Persie, Danny Welbeck dan Wayne Rooney namun Diego Lopez berada pada prestasi
terbaiknya untuk menafikan tuan rumah dari mencipta jaringan. Keputusan Sir
Alex memasukkan Ashley Young, Wayne Rooney dan Antonio Valencia di penghujung
perlawanan bagi meningkatkan lagi daya serangan United turut tidak berhasil
apabila barisan pelawat terus cekal bertahan. Slot ke pusingan suku akhir milik
mutlak Madrid sebaik Cuneyt meniup wisel penamat. Perlawanan awal pagi tadi
memang penuh dengan drama bukan sahaja membabitkan layangan kad merah Cuneyt ke
atas Nani tetapi juga keputusan Sir Alex memilih Ryan Giggs untuk melakukan
penampilan ke-1000nya berbanding meletakkan Rooney dalam kesebelasan utama. Hakikat
bahawa Manchester United tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara musim ini
harus diterima biarpun pahit. Penghargaan patut diberikan kepada barisan The Red Devils yang bermain dengan
berani terutamanya sepanjang 20 minit terakhir perlawanan selepas ketinggalan
1-2 kepada lawan. Pujian juga patut diberikan kepada Lopez yang beraksi dengan
cukup cemerlang menafikan peluang-peluang terbaik United sepanjang perlawanan. Kekecewaan
adalah sebahagian dari dunia bolasepak dan kelab besar seperti United turut tidak terkecuali, Cuma diharapkan The Red Devils akan segera melupakan kekalahan ini dan bangkit
membawa pulang Piala FA dan trofi Liga Perdana kembali semula ke Old Trafford.
Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan