02 Mac 2013

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn NORWICH CITY



Robin Van Persie disahkan berada dalam senarai pemain yang akan berdepan Norwich City malam ini selepas pulih dari kecederaan belakang tetapi Phil Jones dan Paul Scholes akan terus diketepikan kerana masih berdepan masalah kecederaan lutut. Dengan pertembungan lebih penting menentang Real Madrid pada 6 Mac ini, Sir Alex Ferguson tidak akan memperjudikan kecederaan yang dialami penjaring terbanyaknya itu dan dijangka meletakkan Van Persie di bangku simpanan. Selain Van Persie, Sir Alex akan melakukan beberapa rombakan dalam skuadnya malam ini memandangkan beliau memerlukan barisan terkuat yang cukup cergas ketika berdepan Madrid nanti. Bagi pelawat pula, mereka akan turun tanpa kelibat Alex Tettey yang mengalami kecederaan manakala pemain yang baru ditandatangani secara pinjaman, Kei Kamara mungkin bermula dalam kesebelasan utama selepas menjaringkan gol pada penampilan pertama menentang Everton minggu lalu. Memburu tiga mata tetapi tidak menggunakan tenaga pemain-pemain utamanya secara maksima selain berusaha mengelakkan kecederaan tampak bakal menjadi strategi utama Sir Alex dalam perlawanan ini. Walau bagaimanapun itu bukanlah bermakna Sir Alex memperlekehkan ancaman yang bakal diberikan skuad kendalian Chris Houghton itu kerana mereka adalah pasukan terakhir yang berjaya mengalahkan United dalam saingan liga musim ini. Untuk rekod, United tewas 0-1 kepada The Canaries pada perlawanan liga di Carrow Road, 17 November lalu melalui jaringan tunggal perlawanan dari bekas pelatih United sendiri, Anthony Pilkington. Selepas kekalahan tersebut, United bangkit mengharungi 15 perlawanan liga tanpa kalah hingga menyaksikan mereka berjaya menerajui takhta liga dengan kelebihan 12 mata. Meskipun berdepan United di Old Trafford, gelanggang di mana The Canaries tidak pernah menang sejak 1989 Houghton tetap berharap anak-anak buahnya mampu mempamerkan aksi sama ketika mereka menang secara dramatik ke atas Everton minggu lalu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Kali terakhir Norwich menewaskan United di Old Trafford ialah pada Ogos 1989 dengan keputusan 2-0.

- Dalam lima kunjungan terakhir Norwich ke Old Trafford mereka mencatat keputusan seri sekali dan tewas empat kali.

- United tidak pernah tewas dalam aksi liga sejak kali terakhir tewas kepada Norwich di Carrow Road, 17 November lalu.

- United sudah memungut 68 mata dari 27 perlawanan liga setakat ini. Bagaimanapun mereka berada di tangga kedua di belakang Chelsea (yang berjaya memungut 69 mata dari 27 perlawanan pada musim 2005-06).

- Kei Kamara muncul pemain pertama dari Sierra Leone yang berjaya menjaringkan gol di Liga Perdana. Kamara melakukannya ketika menentang Everton minggu lalu.

Barisan Kemungkinan United:

David De Gea, Rafael da Silva, Chris Smalling, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Nani, Anderson, Michael Carrick, Ashley Young, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Barisan Kemungkinan Norwich:

Mark Bunn, Russel Martin, Sebastian Bassong, Michael Turner, Javier Garrido, Bradley Johnson, Jonny Howson, Robert Snodgrass, Wes Hoolahan, Anthony Pilkington & Grant Holt

Tiada ulasan:

Catat Ulasan