Penyandang juara, Chelsea bangkit dari
ketinggalan dua gol di saingan suku akhir Piala FA sekaligus berjaya memaksa
Manchester United bermain perlawanan ulangan di Stamford Bridge. Ketika United
sudah mula memasang impian mara ke peringkat separuh akhir di Wembley hasil
jaringan Javier Hernandez diminit ke-6 dan diminit ke-11 menerusi sepakan
percuma, Wayne Rooney, skuad kendalian Rafa Benitez itu mengejar dari belakang
dengan persembahan bersemangat di babak kedua. Hernandez sekali lagi membuktikan
ketajamannya setiap kali berdepan Chelsea apabila mudah menanduk masuk hantaran
cantik Michael Carrick. Ini merupakan gol keenam Hernandez dari tujuh pertemuan
terakhir menentang Chelsea yang juga merupakan kelab paling berjaya dalam
saingan Piala FA. Untuk rekod, Chelsea sudah menjulang trofi kejohanan kalah
mati itu sebanyak empat kali dalam tempoh enam musim terakhir. United
menggandakan kelebihan lima minit selepas itu apabila sepakan percuma Rooney
dari sebelah kanan kawasan lawan berjaya mengelirukan Petr Cech dan terus
menerjah gawang. Chelsea yang tewas kepada Steaua Bucharest dalam perlawanan
pertama pusingan kalah mati Liga Europa minggu lalu dilihat bergelut dengan
prestasi mereka terutamanya di awal babak pertama perlawanan. Tetapi situasi
segera berubah apabila Benitez melakukan rombakan di babak kedua dengan membawa
masuk Eden Hazard dan John Obi-Mikel. Langkah Benitez itu mula menampakkan
hasil apabila Hazard berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan lencong
menarik diminit ke-59. Selepas gol itu, pelawat tambah bersemangat untuk
mencari gol penyamaan dan memberikan tekanan hebat kepada benteng pertahanan
United.
Cjelsea akhirnya berjaya mengikat kedudukan
menerusi gol penyamaan pemain tengah mereka, Ramires diminit ke-68. Segala-galanya
tampak bakal menjadi milik Chelsea selepas itu apabila mereka jelas menguasai
perlawanan manakala United pula memberikan ancaman menerusi serang balas
pantas. United hampir saja tersingkir dari kejohanan ini namun peluang terbaik
Chelsea di penghujung perlawanan menerusi Juan Mata berjaya dinafikan kecemerlangan
David de Gea. Ketika Mata seolah-olah bakal memberikan kemenangan kepada pelawat,
De Gea bertindak cemerlang menghulurkan kakinya dengan menampan percubaan jarak
dekat rakan senegaranya itu. Selepas tamat perlawanan, pemain-pemain Chelsea
merayakan kejayaan mengikat United, sekaligus menggambarkan keyakinan mereka
menjelang pertemuan ulangan di Stamford Bridge nanti meskipun Benitez mengakui
masih terlalu awal untuk memikirkan pertemuan menentang Manchester City di
separuh akhir. Bagi Sir Alex pula, beliau menyifatkan United beruntung kerana masih
kekal dalam saingan Piala FA sambil meletakkan Chelsea sebagai pasukan lebih
baik dalam perlawanan ini terutamanaya di babak kedua. Kekalahan kepada Real
Madrid dilihat Sir Alex masih membelenggu mental sebahagian besar pemain-pemain
United hingga menjejaskan keseluruhan permainan pasukannya disamping faktor keletihan.
“Kami bernasib baik kerana masih berada dalam saingan ini (Piala FA). Saya
tidak boleh meletakkan kesalahan ke atas pemain kerana mereka jelas keletihan
selepas berdepan perlawanan getir Selasa lalu. Kekalahan kepada Madridd juga masih
menjejaskan mental sebahagian pemain-pemain kami. Perlawanan getir menentang
pasukan luarbiasa seperti Madrid mempengaruhi penampilan kami malam ini”, kata
Sir Alex. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan