Cuneyt Cekir tiba-tiba menjadi perhatian
dunia bolasepak selepas keputusan kontroversinya melayangkan kad merah kepada
Nani pada pertemuan kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara antara
Manchester United dan Real Madrid. Keputusan pengadil dari Turki itu mengundang
perhatian kerana mengubah keseluruhan perlawanan biarpun pada awalnya United
mendahului pelawat menerusi jaringan sendiri Sergio Ramos. Madrid kemudiannya berjaya
mengambil kesempatan selepas Nani diusir keluar padang untuk menjaringkan dua
gol dalam tempoh tiga minit menerusi Luka Modric dan Cristiano Ronaldo. Cuneyt
memang dikenali antara pengadil muda Eropah yang memiliki masa depan cerah. Dia
kerap diberikan tanggungjawab mengadili perlawanan-perlawanan panas di Turki
membabitkan kelab seperti Galatasaray, Fenerbahce dan Beskitas. Bagaimanapun
Cuneyt juga kurang disenangi peminat-peminat bolasepak di negaranya kerana keputusan-keputusan
kontroversinya. Cuneyt juga sebenarnya memiliki catatan-catatan unik ketika
mengadili perlawanan membabitkan kelab-kelab England dan Nani bukanlah `korban’
pertamanya. Cuneyt melakukan penampilan pertamanya di kejohanan peringkat
Eropah pada Piala UEFA 2008/09 (sekarang Liga Europa) membabitkan pertemuan
antara FC Twente dan Schalke 04. Dia kemudiannya dinaikkan taraf mengadili
perlawanan Liga Juara-Juara pula pada 2010 antara Rubin Kazan dan Barcelona.
Pada 2011, Cuneyt terlibat dengan kontroversi ketika mengadili perlawanan Liga
Europa antara Manchester City dan Dynamo Kiev. Dalam perlawanan itu dia
melayangkan lapan kad kuning dan mengeluarkan kad merah dari sakunya buat
pertama kali kepada kelab England. Mangsanya ketika itu tidak lain dan tidak
bukan, ialah Mario Balotelli. Cuneyt terus sukses dalam kariernya sebagai pengadil
apabila dipilih mengadili perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu
antara Barcelona dan Chelsea. Seorang lagi pemain dari kelab England menjadi
mangsanya dan kali ini giliran John Terry pula.
Pada usia 36 tahun, Cuneyt dipilih untuk
mengadili perlawanan Euro 2012 membabitkan pertemuan antara Portugal dan
Sepanyol di mana kali ini dia melayangkan sembilan kad kuning kepada pemain
kedua-dua pasukan. September tahun lalu, Cuneyt terus mengukuhkan reputasinya
sebagai pengadil yang tegas apabila mengusir Steven Gerrard ketika England
berdepan Ukraine dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014. Pertahanan
Chelsea, Gary Cahill menjadi mangsa layangan kad merah seterusnya Cuneyt ketika
The Blues beraksi dalam Kejohanan Antara Kelab-kelab Dunia. Pemain terakhir yang menjadi
mangsa Cuneyt tentu saja Nani hingga menyebabkan United tersingkir dari kempen
Eropah musim ini selepas tewas 2-3 menerusi aggregat kepada Real Madrid. Di
luar padang, Cuneyt cukup aktif dalam laman sosial dan memiliki akaun Twitter
di mana dia menjadi follower kepada
banyak kelab-kelab Turki. Perkara itu tentunya tidak menghairankan kerana dia
berasal dari Turki tetapi apa yang lebih menariknya ialah Cuneyt juga adalah follower kepada dua kelab Sepanyol iaitu
Real Madrid dan Barcelona serta dua pemain terbaik dunia ketika ini, Cristiano
Ronaldo dan Lionel Messi. Perkara ini tentunya menimbulkan sedikit tandatanya
terutamanya apabila mengingatkan kontroversi yang timbul ketika dia mengadili
perlawanan membabitkan Barcelona dan Chelsea (2012) serta Manchester United dan
Real Madrid awal pagi semalam. Bagaimanapun posting
terakhirnya di laman Twitter pada 28 Februari lalu, Cuneyt memberitahu bahawa
dia ingin menutup akaun Twitter miliknya selepas teruk `diserang’ peminat-peminat
bolasepak Turki yang berang dengan keputusan-keputusan kontroversinya di atas
padang. “Sekarang saya ingin berundur dari Twitter. Saya tidak layak untuk
menerima penghinaan seperti ini”, begitulah posting
terakhir Cuneyt di Twitter. Serangan siber yang dilancarkan peminat-peminat
bolasepak Turki ke atasnya dipercayai berpunca dari keputusan Cuneyt
melayangkan kad merah kepada pemain Bursaspor, Maurice Edu semasa perlawanan
menentang Gaziantepspor pada 22 Februari lalu. Glory Glory Manchester United!!!
– A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan