Dengan deretan trofi yang tersimpan di dalam kabinet
kejuaraan Manchester United. kejayaan demi kejayaan yang dicapai mereka, pasti
juga banyak gol-gol menarik yang pernah dihasilkan lagenda-lagenda The Red Devils. Kali ini saya memilih
beberapa gol menarik yang dihasilkan menerusi tendangan voli dari Eric Cantona,
Wayne Rooney, Paul Scholes dan Mark Hughes. Gol-gol ini dipilih bukan sahaja
kerana ianya menarik tetapi juga memberi makna tersendiri, umpamanya gol Hughes
ketika menentang Oldham Athletic di peringkat separuh akhir Piala FA 1994 (baca
di bawah untuk mengetahui kisah lebih lanjut tentang gol ini). Gol-gol yang
dihasilkan menerusi sepakan voli ini juga sebenarnya memerlukan teknik,
kemahiran dan ketepatan yang hanya mampu dilakukan oleh pemain kelas dunia.
Berikut adalah pilihan lima gol terbaik yang pernah menghiasi sejarah panjang
kejayaan United, dihasilkan menerusi tendangan voli oleh oleh para lagenda dan
pemain terbaik The Red Devils.
#5 MARK
HUGHES, MAN UTD v OLDHAM ATHLETIC (1994)
Perlawanan peringkat separuh akhir Piala FA
edisi 1993-94 menemukan Manchester United dan Oldham Athletic yang diadakan di
Stadium Wembley pada 10 April 1994. Kedua-dua pasukan terpaksa bermain hingga
ke masa tambahan selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit permainan.
United pada mulanya ketinggalan 0-1 menerusi gol Andy Ritchie dan ketika
permainan masa tambahan berbaki seminit untuk ditamatkan, Mark Hughes muncul
penyelamat menerusi sepakan voli menarik untuk mengikat kedudukan sekaligus memaksa
perlawanan ulangan diadakan. Tiga hari selepas itu, United berjaya menewaskan
Oldham 4-1 pada perlawanan ulangan yang diadakan di Maine Road untuk melangkah
ke perlawanan akhir bertemu Chelsea. Malang buat Oldham kerana mereka bukan
saja gagal layak ke perlawanan akhir malah tersingkir dari kancah Liga Perdana
musim itu. Selepas 19 tahun tersingkir dari saingan elit Liga Perdana, Oldham
tidak pernah berjaya kembali semula dan mereka kini sekadar beraksi di League One. United berjaya menjulang kejuaraan
Piala FA musim itu selepas menewaskan Chelsea 4-0 di perlawanan akhir menerusi gol
sumbangan Eric Cantona (2 gol), Mark Hughes dan Brian McClair.
#4 ERIC
CANTONA, MAN UTD v LIVERPOOL (1996)
Selepas kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA
1994, Manchester United sekali lagi berjaya menjulang trofi itu dua tahun
kemudian. Perlawanan akhir penuh dramatik itu menemukan United dengan musuh
tradisi mereka, Liverpool. Ketika kedudukan masih terikat 0-0, Eric Cantona
muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan ketika masa sebenar permainan
berbaki 5 minit untuk ditamatkan. Sepakan voli Cantona dari luar petak penalti
gagal diselamatkan David James sekaligus menghadiahkan kejuaraan ke-9 Piala FA buat
United. Gol Cantona itu juga antara gol paling diingati penyokong-penyokong
United bukan sahaja kerana ia adalah gol kemenangan perlawanan akhir tetapi
lebih penting gol itu tercipta ke gawang musuh tradisi mereka, Liverpool. Gol
itu juga melengkapkan lagi status Cantona sebagai lagenda di Old Trafford.
#3 WAYNE
ROONEY, MAN UTD V NEWCASTLE (2005)
Wayne Rooney memang diakui sudah mencipta
banyak jaringan-jaringan menarik sejak tiba di Old Trafford pada 2004. Salah
satu `karya’ terbaiknya dihasilkan ketika menentang Newcastle pada 2005. Dari
luar petak penalti, Rooney menyambut bola yang melambung ke arahnya lalu
melepaskan sepakan voli menarik tepat ke penjuru kanan gawang The Magpies untuk menyamakan kedudukan
1-1. Wes Brown kemudiannya menjaringkan gol kemenangan United tetapi gol Rooney
menyebabkan seluruh Old Trafford bergemuruh. Gol itu memang cukup menarik
tetapi itu bukanlah gol terbaik dalam karier Rooney.
#2 PAUL
SCHOLES, ASTON VILLA v MAN UTD (2006)
Semua penyokong-penyokong Manchester United
tahu bahawa Paul Scholes memiliki kemampuan menjaringkan gol menerusi
rembatan-rembatan deras jarak jauh. Aston Villa antara pasukan yang pernah
menjadi mangsa ketepatan rembatan Scholes. Ketika United dianugerahkan sepakan
sudut, Scholes menunggu dari luar petak penalti persis pemangsa sedang
menghendap mangsanya. Bola sepakan sudut itu berjaya dikeluarkan pemain Villa
tetapi malangnya tepat menuju ke arah Scholes. Di situlah bermulanya mimpi
buruk Thomas Sorensen yang menyaksikan rembatan voli sensasi Scholes menuju
tepat ke penjuru kanan gawangnya hingga menyebabkan penyokong-penyokong tuan
rumah terdiam seketika. Reaksi rakan-rakan sepasukan di dalam dan luar padang
sudah cukup membuktikan betapa hebatnya jaringan Scholes itu.
#1 WAYNE
ROONEY, MAN UTD v MAN CITY (2011)
Siapa yang boleh melupakan gol sensasi ini,
baik penyokong-penyokong United mahupun penyokong-penyokong City sendiri.
Ketika pertembungan derby antara dua
musuh setempat itu, Rooney memilih waktu yang tepat untuk membuatkan detik ini diingati
selama-lamanya. Ketika keputusan perlawanan masih terikat 1-1, Rooney
melepaskan rembatan voli anti graviti atau bicycle
kick sensasi yang memastikan United meraih tiga mata penuh ke atas musuh
setempat mereka itu. Selepas perlawanan, Rooney mengatakan ini adalah gol
terbaik pernah dihasilkan sepanjang kariernya. Tambah sempurna dan manis apabila
gol sehebat ini menembusi pula gawang seteru setempat mereka. “Saya tidak ingat
apakah ada gol yang lebih sensasi dari gol ini di Old Trafford”, kata Sir Alex
bagi melahirkan kekagumannya selepas tamat perlawanan. Kata-kata Sir Alex itu adalah
sebab utama mengapa gol ini berada di tangga teratas. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan