Manchester United berjaya melangkah ke pusingan 16 pasukan Liga Europa biarpun mereka tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam di Old Trafford awal pagi tadi. Kemenangan 2-0 yang dicatatkan United pada perlawanan pertama minggu lalu di gelanggang lawan membantu mereka layak ke pusingan seterusnya dan gagal dipadamkan juara Eredivisie itu. United membuka tirai jaringan diminit ke-6, sekaligus melebarkan jurang aggregat kepada 3-0 apabila Javier Hernandez yang menerima hantaran Dimitar Berbatov mudah menewaskan Keneth Vermeer. Selepas gol itu, United menguasai permainan dengan beberapa percubaan bahaya ke gawang lawan, namun Ajax berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan cantik Aras Ozbiliz diminit ke-37. Meskipun berjaya memperolehi gol semangat, Ajax gagal memberi tekanan tetapi sebaliknya membiarkan United terus menguasai perlawanan. Kedudukan bagaimanapun kekal terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Tempo permainan di babak kedua sedikit perlahan dan satu-satunya aksi menarik ialah melalui percubaan Nani yang sedikit tersasar dari gawang lawan. Pelawat pula seolah-olah buntu memecah benteng pertahanan United yang di barisi Phil Jones, Chris Smalling, Rafael dan Fabio da Silva, sehinggalah kelekaan di penghujung permainan menghukum barisan tuan rumah. Toby Alderweireld akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila dia menjaringkan gol kemenangan diminit ke-87 hasil sepakan percuma Ozbiliz. Gol itu bagaimanapun belum cukup untuk menghalang United dari menempah tiket ke pusingan 16 pasukan dan bakal berdepan Athletic Bilbao. United akan menerima kunjungan Bilbao pada perlawanan pertama di Old Trafford yang akan diadakan pada 9 Mac, manakala perlawanan kedua pula pada 16 Mac di San Mames. Glory Glory Manchester United!!!
Berita-Berita Lain:
DUO MANCHESTER DOMINASI SENARAI SKUAD ENGLAND
Dua kelab Manchester mendominasi senarai pemain England yang akan beraksi dalam perlawanan antarabangsa menentang Belanda 29 Februari ini. Enam pemain Manchester United tersenarai dalam skuad kebangsaan England kali ini manakala City pula meyumbang lima dari 25 senarai yang diumumkan Stuart Pearce. Seperti yang dijanjikan Pearce, skuad kali ini dibarisi sebahagian besar pemain muda. Enam pemain United yang dipanggil menyertai skuad England ialah Tom Cleverley, Chris Smalling, Phil Jones, Ashley Young, Danny Welbeck dan Wayne Rooney. Bekas pemain United yang kini menyarung jersi Sunderland, Fraizer Campbell turut dipanggil buat pertama kali menyertai skuad The Three Lions itu.
WILKINS: AVB PERLU TIRU CARA SIR ALEX FERGUSON
Bekas penolong pengurus Chelsea, Ray Wilkins berpendapat, Andre Villas Boas perlu belajar cara mengendalikan pemain-pemain senior dari Sir Alex Ferguson. Wilkins mengkritik taktikal yang digunakan Boas ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Napoli dalam perlawanan Liga Juara-Juara Rabu lalu. Dalam perlawanan itu, Boas tidak menurunkan dua pemain senior, Frank Lampard, Michael Essein dan Ashley Cole hingga mengundang kritikan dari penyokong-penyokong Chelsea sendiri. "Anda lihat bagaimana Sir Alex Ferguson mengendalikan pemain-pemain seniornya seperti Paul Scholes, Rio Ferdinand dan Ryan Giggs dengan cara yang cukup luar biasa. Bukan hanya ketika bermain, tetapi juga sebagai manusia. Sangat penting bagi Boas berkomunikasi dengan lebih kerap ketika berhadapan dengan pemain senior", kata Wilkins.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan