22 Februari 2012

DUA PEMAIN MUDA AJAX JADI SASARAN UNITED


Christian Eriksen
Sir Alex Ferguson sedang memerhati secara serius potensi besar milik dua pemain muda Ajax Amsterdam ketika ini.  Ferguson dikatakan sudah mempertimbangkan langkah untuk membawa perancang Ajax yang juga pemain antarabangsa Denmark, Christian Eriksen dengan nilai 15 juta Pound musim panas nanti.  Bukan saja Eriksen, malah pemain yang kini berada di akademi Ajax, Viktor Fisher (17 tahun) turut menarik minat Ferguson dalam usaha `meremajakan' skuadnya musim hadapan. Fisher yang bermain di bahagian tengah, ditandatangani Ajax pada April tahun lalu, kini bermain untuk FC Midtjylland secara pinjaman.  Walaupun dikaitkan dengan beberapa nama besar sebelum ini seperti Wesley Sneijder, Luka Modric dan Nicholas Gaitan, Ferguson nampaknya lebih berminat menggunakan peruntukan perpindahan musim panas nanti dengan membeli pemain muda bagi pembangunan jangka panjang United.  Berumur 20 tahun, Eriksen dianggap salah satu prospek masa depan bolasepak Eropah, telah bermain lebih seratus perlawanan untuk kelab selain berjaya membantu Ajax menang kejuaraan Eredivisie pertama mereka dalam tempoh enam tahun musim lepas.  Eriksen juga adalah pemain regular dalam skuad kebangsaan Denmark, dan telah mengumpul 20 caps setakat ini.  Selepas mendapatkan Chris Smalling dan Javier Hernandez pada 2010, manakala Phil Jones dan David de Gea pula musim ini, usaha Ferguson membawa masuk pemain-pemain muda berpotensi nampaknya tidak akan berhenti setakat ini apabila Eriksen dan Fisher pula menjadi sasaran terbaru warga Scotland itu.  Selepas kehilangan khidmat Edwin Van der Sar, Gary Neville dan Paul Scholes (Scholes kembali dari persaraan Januari lalu) yang mengumumkan persaraan mereka, manakala Ryan Giggs dan Rio Ferdinand pula semakin menghampiri penghujung kerjaya, Ferguson kini nampaknya mula melakukan perancangan rapi membina pasukan berteraskan bakat-bakat muda.  Selain itu, Ferguson juga tidak melupakan graduan dari akademi United sendiri seperti Danny Welbeck dan Tom Cleverley yang mula menonjol ketika ini dan dilihat bakal menjadi teras utama skuad masa hadapan Ferguson.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

RIO MAHU MENANG DUA TROFI

Tonggak pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand berazam membantu pasukannya memenangi dua trofi musim ini.  Selepas tersingkir dari saingan elit Liga Juara-Juara, United beraksi dalam saingan Liga Europa dan berpeluang melangkah ke pusingan 16 pasukan selepas berjaya menewaskan Ajax Amsterdam 2-0 pada perlawanan pertama di gelanggang lawan minggu lalu.  Ramai yang sangsi dengan fokus United pada saingan Liga Europa ini, tetapi menurut Ferdinand, Liga Europa kini menjadi keutamaan pasukannya di samping misi mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

KUSZCZAK DIPINJAMKAN KE WATFORD

Penjaga gol Manchester United yang semakin dipinggirkan, Tomasz Kuszczak menyertai kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan, Watford secara pinjaman sehingga penghujung musim ini.  Pemain antarabangsa Poland itu gagal mendapatkan tempat dalam skuad utama United sejak kehadiran David de Gea musim ini, selain terpaksa bersaing dengan Anders Lindegaard untuk posisi penjaga gol kedua United.  Menyedari tempatnya dalam skuad utama tidak terjamin, Kuszczak  meminta agar dia dibenarkan berpindah sebaik jendela perpindahan di buka Januari lalu. Kuszczak dikaitkan akan kembali semula menyertai kelab lamanya, West Bromwich Albion, tetapi penjaga gol berusia 29 tahun itu akhirnya kekal di Old Trafford hingga jendela perpindahan ditutup.  Biarpun hanya beraksi di Liga Kejuaraan, Kuszczak berpeluang beraksi bersama skuad utama Watford, sesuatu yang tidak mungkin diperolehinya bersama United.  Kuszczak menyertai United dari West Bromwich Albion pada 2006 secara pinjaman dan kemudiannya ditawarkan kontrak tetap setahun kemudian.

ERA SAYA SEBAGAI `HAIR DRYER' TELAH BERLALU

Kerana ketegasan dan kelantangannya ketika berada di padang latihan dan  bilik persalinan, Sir Alex Ferguson digelar `hair dryer' oleh pemain-pemainnya sendiri. Ferguson kini mengakui, beliau tidak lagi menggunakan cara tersebut kepada generasi baru pemain United.  Pengurus berusia 70 tahun itu mengakui, pengalaman dan usia membuatkan dia kini lebih tenang mengawal situasi di bilik persalinan mahupun ketika di padang latihan.  "Sekarang saya tidak lagi terbabit dengan konfrontasi bersama pemain.  Ketika saya muda, perkara itu selalu berlaku.  Jika ada mana-mana pemain yang membalas kata-kata saya, saya akan menegakkan kepala di hadapan mereka.  Saya tidak akan membenarkan pemain mengalahkan saya ketika bertengkar dengan mereka", kata Ferguson.  "Kini usia saya semakin meningkat dan lebih berpengalaman.  Ditambah pula dengan tempoh saya berada di kelab ini membuat pemain lebih menghormati saya".  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan