31 Oktober 2012

PREVIEW PIALA CAPITAL ONE: CHELSEA lwn MANCHESTER UTD


Skuad The Blues yang terdesak mengembalikan semula maruah mereka akan sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Manchester United awal pagi esok. United kembali semula ke Stamford Bridge dalam tempoh tiga hari selepas meleburkan rekod tanpa kalah Chelsea musim ini bagi meneruskan perseteruan antara dua kelab itu, tetapi kali ini dalam saingan Piala Capital One pula. Selepas berjaya menamatkan kemarau 10 tahun tanpa kemenangan di Stamford Bridge dalam saingan liga, Ahad lalu, barisan The Red Devils berharap mereka mampu sekali lagi menambah luka buat skuad bimbingan Roberto de Matteo itu. De Matteo tidak dapat menurunkan skuad terkuatnya dalam perlawanan ini selepas Branislav Ivanovic dan Fernando Torres menjalani penggantungan automatik atas layangan kad merah yang diterima mereka Ahad lalu, manakala John Terry pula akan sekali lagi menyaksikan perlawanan ini dari tempat duduk penonton kerana masih menjalani hukuman gantung 4 perlawanan. Kecergasan Frank Lampard pula masih menjadi tandatanya, walaupun ada berita mengatakan pemain tengah berpengalaman itu siap diturunkan pada perlawanan ini. Chelsea tewas dua perlawanan terakhir mereka selepas dikejutkan Shaktar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara dan United pula dalam saingan liga. Walaupun ramai yang mendakwa United menang kerana kesilapan pengadil perlawanan, Chelsea sebaliknya berdepan tekanan dalam perlawanan ini bagi mengelak dari terus tewas buat kali ketiga dalam tempoh seminggu. Juan Mata yang menjaringkan gol pertama ketika menentang United akan menjadi sandaran utama De Matteo. Pemain tengah Sepanyol itu kekal menjadi tumpuan biarpun ketibaan beberapa nama besar dalam skuad Chelsea musim ini selepas Eden Hazard dan Oscar gagal memberikan sumbangan secara konsisten setakat ini. Trio Mata, Oscar dan Hazard akan menjadi sandaran De Matteo namun mereka kehilangan sesuatu di barisan hadapan dengan ketiadaan Torres. Tanpa kelibata John Terry bermakna Gary Cahill dan David Luiz akan sekali lagi menjadi tunjang di benteng pertahanan mereka. Cesar Azpilicueta dan Ryan Bertrand pula dijangka berpeluang membarisi kesebelasan utama manakala Ramires yang menjaringkan gol kedua Chelsea, Ahad lalu akan digandingkan dengan John Obi-Mikel atau Oriol Romeu.

Barisan The Red Devils hadir dalam perlawanan ini dengan keyakinan tinggi selepas mencatat lima kemenangan pada lima perlawanan terakhir mereka. Bermula dengan kemenangan ke atas CFR Cluj pada 2 Oktober lalu, United meneruskan rentak cemerlang mereka lima hari selepas itu dengan menyingkirkan Newcastle United dari kejohanan ini (Piala Capital One). United kemudiannya mengutip tiga mata ketika berdepan Stoke City sebelum kembali semula ke pentas Eropah pada 23 Oktober dengan mencatat kemenangan ke atas SC Braga. Meskipun ramai pihak meramalkan rekod buruk United di Stamford Bridge dalam saingan liga akan berterusan, barisan The Red Devils sebaliknya membawa pulang tiga mata penuh pada pertemuan liga Ahad lalu. Sir Alex Ferguson boleh menggunakan perlawanan ini untuk memberi peluang beraksi kepada pemain-pemain mudanya. David de Gea yang cemerlang menafikan beberapa percubaan bahaya Chelsea, Ahad lalu dijangka akan direhatkan dan tugas sebagai pejaga gawang akan diberikan kepada Anders Lindegaard. Memandangkan ada perlawanan penting berdepan Arsenal dalam saingan liga, hujung minggu ini, Ferguson akan merehatkan beberapa tonggak utama dan beralih kepada barisan muda milik mereka. Alexander Buttner dan Scott Wootton dijangka diberikan peluang sekali lagi tampil dalam kejohanan ini untuk membarisi benteng pertahanan United. Darren Fletcher yang tidak diturunkan ketika berdepan Chelsea tiga hari lalu akan mengisi bahagian tengah bersama Anderson yang menjaringkan gol pembukaan ketika berdepan Newcastle United dalam pusingan sebelumnya. Ferguson bakal meletakkan tenaga muda di kedua-dua sayap manakala Ryan Giggs pula dibelakang dua penyerang utama. Javier Hernandez yang menemui sentuhan gol pada dua perlawanan terakhir boleh memulakan perlawanan dalam kesebelasan utama bersama-sama Danny Welbeck bagi mengambilalih tempat Robin Van Persie dan Wayne Rooney. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan Chelsea:

Petr Cech, Cesar Azpilicueta, David Luiz, Gary Cahill, Ryan Bertrand, John Obi Mikel, Ramires, Eden Hazard, Oscar, Juan Mata & Daniel Sturridge

Barisan Kemungkinan United

Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Jonny Evans, Scott Wootton, Alexander Buttner, Darren Fletcher, Anderson, Tom Cleverley, Ryan Giggs, Danny Welbeck & Javier Hernandez

30 Oktober 2012

FERGIE UCAP SELAMAT BUAT LEE MASON


Selepas mutu pengadilan Mark Clattenburg dikritik banyak pihak, kini tiba giliran Lee Mason pula menjadi perhatian ramai selepas dia dilantik mengadili perlawanan pusingan ketiga Piala Capital One antara Chelsea dan Manchester United. Perlawanan di Stamford Bridge pada awal pagi 1 November nanti dijangka panas selepas kekalahan tuan rumah kepada United dalam saingan liga, Ahad lalu. Sebaik mengetahui Mason akan mengadili perlawanan tersebut, Sir Alex Ferguson secara berseloroh mengucapkan selamat kepada pengadil berkepala botak itu. Meskipun turun tanpa kelibat Branislav Ivanovic dan Fernando Torres yang digantung kerana layangan kad merah, Chelsea diyakini akan mengerahkan seluruh kekuatan mereka bagi membalas dendam kekalahan 2-3 mereka di tangan United tempohari. Ferguson pernah berdepan pengalaman buruk ketika Mason mengadili perlawanan pasukannya dengan Birmingham City pada Disember 2010. Mason ketika itu mengesahkan gol jaringan Lee Bowyer biarpun pemain itu jelas berada dalam posisi offside, manakala Nikola Zigic yang melakukan umpanan kepada Bowyer pula sempat menyentuh bola dengan tangan terlebih dahulu. Begitupun, kesilapan Mason juga pernah memberi keuntungan kepada United apabila dia menghadiahkan sepakan penalti ketika pertemuan menentang Queens Park Rangers April lalu, biarpun Ashley Young dilihat sengaja merebahkan badan. Bukan itu saja, Mason turut melayangkan kad merah kepada Shaun Derry yang terbabit dengan pelanggaran tersebut. Di pihak Chelsea pula, Mason juga pernah melakukan kesilapan yang sama apabila dia mengesahkan jaringan Fernando Torres ketika menentang Reading walaupun penyerang Chelsea itu sudah berada di posisi offside ketika menerima bola. Hasilnya, Chelsea berjaya menewaskan Reading 4-2 dalam perlawanan itu. Perlawanan awal pagi lusa nanti bakal menjadi perlawanan ketujuh di bawah pengadilan Mason musim ini. Setakat ini masih belum ada lagi pemain yang diperintah keluar padang oleh Mason, namun pengadil itu sudah melayangkan 26 kad kuning. Glory Glory Manchester United!!!

10 KEPUTUSAN BESAR SIR ALEX FERGUSON


Sir Alex Ferguson memang dikenali sebagai seorang pengurus yang cukup tegas, bukan saja ketika berdepan para pemainnya tetapi juga ketika membuat keputusan. Keberaniannya bermain dengan risiko menjadi salah satu faktor utama kejayaannya memimpin Manchester United mencapai kejayaan selain menjadikan dirinya sendiri sebagai lagenda di Old Trafford. Jika dilihat kejayaan yang diraihnya bersama United, jelas memperlihatkan bahawa dia banyak dibantu dengan keputusan-keputusan tepat yang diambilnya. Berikut adalah sepuluh keputusan besar pernah diambil Ferguson sepanjang kerjaya pengurusnya di Old Trafford:

1. Pembelian Eric Cantona


Pada 1992, United mengalami masalah dalam saingan Liga Perdana yang baru dijenamakan semula pada tahun itu (sebelumnya Liga Perdana dikenali dengan Liga Divisyen 1). Ferguson membuat keputusan besar dengan membeli Eric Cantona dari Leeds United dan pembelian itu menjadi tajuk hangat di media-media cetak dan elektronik. Cantona memang dikenali sebagai pemain yang berbakat namun `kepala angin’nya sering memberikan masalah buat mana-mana kelab yang disertainya. Cantona terus dengan karakter `kepala angin’nya ketika bersama United, namun dalam masa yang sama dia turut memberikan sumbangan besar terhadap pasukan. The King mula menghujani gawang lawan dengan gol-golnya dan menghadiahkan kejuaraan liga pertama buat United dalam tempoh 26 tahun.

2. Pembelian Roy Keane


Pada musim panas 1993, Ferguson berdepan dilema tentang pemain mana yang harus dibelinya bagi menggantikan Bryan Robson. Pilihan Ferguson akhirnya terarah kepada seorang pemuda yang berperwatakan kasar, keras dalam permainan dan bersemangat tinggi bernama Roy Keane. Keano dibeli dari Nottingham Forest dengan harga 3.75 juta Pound. Ferguson membuktikan pelaburannya ke atas Keano berhasil apabila pemain Ireland itu muncul watak penting di barisan tengah United selama 12 tahun selain berjaya memikul tanggungjawab mengemudi bahagian tengah selepas Eric Cantona bersara.

3. Penjualan Jaap Stam


Ferguson menjual Jaap Stam kepada Lazio pada 2001 kerana berbalah dengan pemain pertahanan Belanda itu selepas penerbitan autobiografinya tidak disenangi Ferguson. Pada mulanya Ferguson menyangka beliau dapat menggantikan Stam dengan pemain pertahanan berpengalaman Perancis, Laurent Blanc atau pemain-pemain muda dari Akademi Manchester United sendiri. Akhirnya Ferguson mengakui tindakannya menjual Stam sebagai satu kesilapan yang besar. “Saya mendapat tawaran 16.5 juta Pound dari Lazio untuk Stam dan sukar menolaknya. Stam pada ketika itu sudahpun berusia 30 tahun dan saya fikir boleh menggantikannya dengan Blanc untuk tempoh semusim atau dua sementara menunggu pemain muda seperti Wes Brown dan John O’Shea matang. Penjualan ini (Stam) akhirnya menjerat diri saya”, kata Ferguson.

4. Memberi Peluang Buat Pemain Muda


“Kamu tidak akan memenangi kejuaraan dengan pemain muda”, itulah kata-kata `nasihat’ yang pernah diberikan oleh lagenda Liverpool, Alan Hansen kepada Ferguson. Tetapi Ferguson kemudiannya menjawab “Kami mampu melakukannya”. Pada musim 1995/96, United memenangi kejuaraan liga dengan limpahan pemain-pemain muda yang diketengahkan Ferguson. Rangkaian pemain muda seperti Gary Neville, Phil Neville, David Beckham, Paul Scholes dan Nicky Butt dari Class of 92 bergabung dengan Ryan Giggs menjadikan mereka lebih dikenali sebagai Super Six. Barisan pemain muda inilah yang menjadi tonggak utama United dalam tempoh beberapa musim berikutnya.

5. Menggunakan Super Sub


Sebagai seorang jurulatih/pengurus, Ferguson juga perlu pantas membuat sebarang keputusan penting ketika perlawanan. Dalam hal ini, Ferguson juga dikenali sebagai seorang yang hebat dalam membuat keputusan segera. Salah satu keputusan penting yang dilakukan Ferguson ialah ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara 1999. Ketika itu, United ketinggalan 0-1 kepada Bayern Munich dengan tempoh permainan semakin hampir untuk ditamatkan. Ketika pemain-pemain lawan seolah-olah sudah merayakan kejayaan mereka, Ferguson membawa masuk Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer di penghujung permainan. Hasilnya dua super sub itu masing-masing menyumbangkan satu gol di masa kecederaan untuk memberikan trofi Eropah kedua United selepas kejayaan mereka pada tahun 1968. United menang kejuaraan treble musim itu dan Ferguson dianugerahkan gelaran Sir oleh Ratu Elizabeth.

6. Membatalkan Hasrat Bersara


Pada musim 2001/02, prestasi United menurun dan Ferguson mengambil keputusan untuk bersara di penghujung musim. Walau bagaimanapun entah apa sebabnya,  Ferguson kemudiannya membatalkan hasrat untuk bersara dan berjaya mengemudi United menang kejuaraan liga musim berikutnya. Kejayaan itu bagaimanapun berdepan laluan getir apabila United terpaksa mengejar Arsenal yang berada di tangga teratas serta memiliki kelebihan lapan mata dengan baki tujuh perlawanan untuk ditamatkan.

7. Yakin Kepada Ruud Van Nistelrooy


Keinginan Ferguson untuk mendapatkan Nistelrooy pada tahun 2000 mencetuskan banyak persoalan selepas melihat pemain itu mempunyai rekod kecederaan yang buruk. Sebelum dibeli, Nistelrooy sudahpun mengalami kecederaan lutut jangka panjang, namun itu tidak langsung menghalang minat Ferguson untuk mendapatkannya dari PSV Eindhoven. Pada tahun 2001, Ferguson akhirnya mendapatkan Nistelrooy dengan nilai 18 juta Pound sekaligus rekod pembelian termahal Liga Perdana ketika itu. Keputusan berani Ferguson membuahkan hasil apabila Nistelrooy meledak 150 gol dalam tempoh lima musimnya di Old Trafford.

8. Penjualan David Beckham


Hubungan Ferguson dan Beckham mula panas selepas pemain itu berkahwin dengan bintang pop terkenal dari kumpulan Spice Girls, Victoria atau Posh Spice. Kehidupan bak selebriti hiburan yang melanda Beckham selepas perkahwinannya itu tambah memburukkan lagi hubungannya dengan Ferguson. Kemuncaknya apabila Ferguson melepaskan kemarahan dengan menendang but hingga terkena kening Beckham di dalam bilik persalinan. Bagi mengelak perpecahan lebih besar melanda pasukan akibat hubungan dinginnya dengan Beckham, Ferguson bertindak menjual bintang kesayangan di Old Trafford itu kepada Real Madrid dengan harga 25 juta Pound. Biarpun tanpa Beckham, Ferguson tetap berjaya membawa United menang berbagai kejuaraan selepas itu. Berbeza dengan nasib Beckham di Sepanyol, pemain itu hanya mampu meraih satu kejuaraan La Liga dan satu trofi Supercopa sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat dengan menyertai LA Galaxy.

9. Membeli dan Menjual Cristiano Ronaldo


Kemampuan Ferguson mengesan bakat muda memang tidak boleh dipertikaikan. Pada tahun 2003, atas desakan dari pemain-pemainnya sendiri, Ferguson menandatangani Ronaldo dari Sporting Lisbon. Pemain-pemain United kagum dengan kebolehan Ronaldo ketika mereka mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab Portugal itu. Ketika di dalam perjalanan pulang ke Manchester, pemain-pemain United tidak henti-henti bercakap tentang bakat milik Ronaldo. Menyedari bakat dimiliki Ronaldo yang baru berusia 18 tahun ketika itu, Ferguson akhirnya memutuskan untuk membeli pemain itu dari Sporting Lisbon. Pembelian Ronaldo juga bagi menggantikan tempat David Beckham yang dijual kepada Real Madrid. Pada tahun 2009, Ronaldo mengikut jejak Beckham dengan berhijrah ke Real Madrid dan Ferguson membuat keuntungan besar apabila penjualan pemain itu mencatat rekod dunia yang belum dipecahkan hingga sekarang.

10. Memilih Manchester United



Manchester United bukanlah kelab tunggal yang cuba mendapatkan khidmat Ferguson ketika dia masih bersama Aberdeen. Di Liga Scotland, Ferguson diiktiraf sebagai lagenda apabila berjaya mengemudi Aberdeen meraih berbagai kejuaraan meskipun usianya masih muda ketika itu. Ferguson berjaya membawa Aberdeen menjulang Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) mengatasi kelab hebat seperti Real Madrid di perlawanan akhir. Kejayaan itu mengundang banyak tawaran dari kelab-kelab di England antaranya Tottenham Hotspurs yang mahu Ferguson menggantikan Peter Shreeves dan Arsenal pula mahu Ferguson mengambil alih tempat Don Howe. Ferguson akhir memilih United pada November 1986 bagi menggantikan tempat Ron Atkinson yang dipecat dengan misi mahu menamatkan dominasi Liverpool ketika itu.

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

29 Oktober 2012

FERDINAND SINDIR PENYOKONG CHELSEA


Rio Ferdinand muncul pemain paling dibenci penyokong-penyokong Chelsea, jadi tidak hairanlah setiap kali pertahanan Manchester United itu mendapat bola dia diejek penyokong-penyokong lawan di Stamford Bridge pagi tadi. Ferdinand mendapat `layanan istimewa' penyokong-penyokong tuan rumah sepanjang perlawanan namun fokus pemain berpengalaman itu tidak goyah sepanjang 90 minit. Ferdinand sebaliknya tenang mengemudi benteng pertahanan United biarpun diasak hebat barisan tuan rumah terutamanya di penghujung babak pertama perlawanan selepas lawan ketinggalan 0-2. Memang boleh difahami mengapa penyokong-penyokong tuan rumah menjadikan Ferdinand sebagai tumpuan utama mereka dalam perlawanan itu selepas isu perkauman membabitkan adiknya (Anton) dengan kapten Chelsea, John Terry musim lalu. Ferdinand satu-satunya pemain United paling lantang dalam memperkatakan insiden yang membabitkan adiknya dengan kapten Chelsea itu hingga turut mengundang perang siber antara dirinya dengan seorang lagi pemain The Blues, Ashley Cole. Selepas menerima cemuhan sepanjang 90 minit perlawanan dari penyokong lawan, Ferdinand melepaskan geramnya dalam akaun Twitter miliknya. "Boooooooooooo", itulah ayat yang ditulis Ferdinand di Twitter dan ramai pihak boleh menjangkakan kepada siapa ayat itu ditujukan oleh pemain pertahanan berpengalaman itu. Glory Glory Manchester United!!!

PERTEMBUNGAN CHELSEA/UNITED DIPENUHI INSIDEN


Pertembungan Chelsea dan Manchester United di Stamford Bridge bukan sahaja dramatik dan hangat di tengah padang bahkan diwarnai beberapa insiden diluar padang dan di tempat duduk penonton. Keputusan perlawanan sudahpun diketahui biarpun terdapat beberapa pertikaian tentang keputusan Mark Clattenburg melayangkan dua kad merah kepada pemain tuan rumah. Insiden diluar padang tidak kurang hebatnya apabila seorang petugas keselamatan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana cedera di lutut dalam usahanya mengawal penonton tuan rumah sebaik Javier Hernandez menjaringkan gol kemenangan United. Insiden kedua pula ialah apabila penyokong tuan rumah bertindak melempar kerusi ke padang ketika pemain-pemain United merayakan gol kemenangan Hernandez. Kerusi itu melayang di atas kepala Patrice Evra dan tindakan penyokong tuan rumah mungkin mengundang masalah buat pihak pengurusan Chelsea. FA England masih menunggu laporan dari pengadil perlawanan sebelum menjalankan siasatan dan akan meneliti rakaman insiden tersebut. Selepas tamat perlawanan, tuan rumah juga nampaknya terus mengeluh dan menyalahkan keputusan pengadil perlawanan, Mark Clattenburg melayangkan dua kad merah kepada pemain mereka (Branislav Ivanovic dan Fernando Torres). Ivanovic diperintah keluar padang selepas mengasari Ashley Young ketika pemain sayap United itu dalam situasi menjaringkan gol manakala Torres pula mengutip kad kuning kedua kerana didakwa sengaja merebahkan badan. Selain itu Chelsea juga mendakwa, Hernandez berada dalam posisi offside ketika menjaringkan gol kemenangan United.

Kekecewaan di dalam padang nampaknya terbawa-bawa hingga ke luar padang apabila Chelsea juga akan menghantar bantahan rasmi kepada pihak FA England terhadap pengadil perlawanan yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain mereka. Sebaik tamat perlawanan, John Obi-Mikel dikatakan segera menuju ke bilik pegawai perlawanan bagi memprotes mutu pengadilan pengadil perlawanan itu, namun Clattenburg sebaliknya di dakwa melemparkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain tengah Chelsea itu. Menurut pengawas perlawanan, mereka sudahpun menerima bantahan Chelsea dan memandang serius apa yang berlaku dan akan menyiasat insiden tersebut. Menurut jurucakap mereka, Clattenburg akan bekerjasama sepenuhnya dan mereka sendiri akan meneliti laporan dari pengadil perlawanan sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Pengendali Chelsea, Roberto de Matteo turut mengecam tindakan pengadil yang melayangkan dua kad merah kepada pemainnya. Matteo tidak menyangka dia akan kehilangan dua pemain pada perlawanan itu dan begitu kecewa dengan tindakan Clattenburg melayangkan kad merah kepada Torres. Menurut Matteo, Torres dikasari Jonny Evans terlebih dahulu sebelum terjatuh dan mendakwa pengadil sepatutnya menghadiahkan sepakan percuma buat pasukannya, bukannya layangan kad merah. Selepas menyaksikan insiden tesebut berulang kali, memang jelas Torres sengaja merebahkan badan dan tindakan pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kedua buat pemain itu adalah tepat. Walau bagaimanapun ada juga pihak yang berpendapat terdapat sedikit sentuhan dari Evans terhadap Torres sebelum bekas penyerang Liverpool itu merebahkan badannya. Glory Glory Manchester United!!! 

REVIEW: MENANG DI STAMFORD BRIDGE, UNITED HAMPIRI KEDUDUKAN CHELSEA


Manchester United menamatkan kemarau kemenangan mereka di Stamford Bridge dalam saingan liga apabila menundukkan skuad The Blues itu 3-2 awal pagi tadi. Kali terakhir United menang di Stamford Bridge pada perlawanan liga ialah pada April 2002 dan kemenangan pagi tadi menyaksikan United berjaya mengurangkan jurang pendahuluan mata daripada pendahulu liga itu kepada hanya satu mata. United menguasai babak awal perlawanan dan hanya memerlukan 4 minit sebaik sepak mula untuk mendahului tuan rumah melalui gol sendiri pertahanan mereka, David Luiz. Umpanan dari sebelah kanan oleh Wayne Rooney menemui Robin Van Persie, namun percubaan penyerang itu yang singgah ke tiang gol melantun dan terkena Luiz lalu menerjah gawang sendiri. Sembilan minit selepas itu, Van Persie sekali lagi menjadi duri dalam daging bagi pertahanan tuan rumah apabila berjaya menyudahkan hantaran Antonio Valencia dari sebelah kanan untuk meletakkan United selesa mendahului 2-0. Tuan rumah yang ketinggalan meningkatkan tekanan dan mereka hampir merapatkan kedudukan diminit ke-25 hasil sepakan percuma Luiz namun berjaya diselamatkan David de Gea. Strategi bertahan yang diterapkan United terutamanya pada penghujung babak pertama hampir mengundang padah apabila tuan rumah sekali lagi mencipta peluang terbaik untuk mendapatkan gol. Bagaimanapun percubaan John Obi-Mikel diminit ke-35 yang ditampan Jonny Evans sekadar mengenai tiang gol. Seminit selepas itu, De Gea sekali lagi bertindak cemerlang menafikan peluang tuan rumah apabila menyelamatkan tandukan Gary Cahill biarpun bola seakan-akan tampak hampir menerjah gawang. De Gea bagaimanapun akhirnya tertewas juga apabila tuan rumah berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan percuma Juan Mata di minit ke-44 selepas Wayne Rooney melakukan kekasaran ke atas Eden Hazard di luar petak penalti.

Bersambung di babak kedua, tuan rumah memerlukan hanya tujuh minit untuk menyamakan kedudukan melalui Ramirez yang berjaya menanduk masuk bola hantaran Juan Mata. Dua minit selepas itu Hazard hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya berjaya diselamatkan De Gea. Menyedari kesilapan mereka dengan membiarkan Chelsea menguasai permainan, United cuba kembali menguasai permainan dan tempo semakin rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Kesilapan pertahanan tuan rumah, Branislav Ivanovic mengasari Ashley Young dalam situasi pemain sayap United itu berpeluang menjaringkan gol mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah diminit ke-62. Nasib tuan rumah bertambah parah apabila giliran Fernando Torres pula dilayang kad merah enam minit kemudian selepas mengutip kad kuning kedua. Tindakan pemain itu yang sengaja merebahkan badan berjaya dikesan pengadil perlawanan, dan Mark Clattenburg tidak teragak-agak menunjukkan jalan keluar buat bekas penyerang Liverpool itu. Kekurangan dua pemain menyukar misi tuan rumah untuk mempertahankan rekod tanpa kalah mereka setakat ini dan pemain gantian, Javier Hernandez menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga United diminit ke-75. Seperti gol-gol yang dihasilkan penyerang Mexico itu sebelum ini, Hernandez bijak menyusup masuk ke dalam kawasan penalti lawan untuk mudah menolak masuk bola hantaran Rafael da Silva bagi memberikan gol kemenangan buat The Red Devils. Selepas gol tersebut, pemain-pemain United bermain secara selamat dengan saling bertukar hantaran semasa sendiri bagi mengekalkan kedudukan mereka sekaligus mengutip tiga mata berharga di gelanggang keramat lawan. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan:

Tendangan Sudut: 8 - 6
Percubaan Tepat: 11 - 7
Percubaan Tersasar: 3 - 8
Kekasaran: 13 - 11
Offside: 1 - 4
Penguasaan Bola: 51% - 49%
Kad Kuning: 2 - 2
Kad Merah: 2 - 0
Gol: 2 - 3

28 Oktober 2012

PREVIEW: CHELSEA lwn MANCHESTER UNITED



Manchester United mengintai peluang mengurangkan jurang empat mata milik Chelsea sebagai pendahulu liga ketika kunjungan mereka ke Stamford Bridge, hari ini. Juara Eropah itu berpotensi menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas kepada tujuh mata jika berjaya mengatasi United, apatah lagi mereka sendiri dilihat begitu kebal ketika beraksi di gelanggang sendiri. Apa yang perlu diberi perhatian serius oleh Sir Alex Ferguson ialah tentang bagaimana mahu memperkemaskan benteng pertahanan pasukannya ketika berdepan tugas getir di Stamford Bridge nanti. Rabu lalu, Ferguson melihat bagaimana United nyaris dihukum akibat kerapuhan benteng pertahanan pasukannya memberikan gol pendahuluan mudah buat SC Braga dalam saingan Liga Juara-Juara. Dua gol dari kapten Braga, Alan pada perlawanan itu menyaksikan United memberikan pasukan lawan gol pendahuluan buat kali kelapan (dalam semua kejohanan) musim ini. Kesilapan sama ketika menentang Braga tidak patut diulangi di Stamford Bridge nanti jika United berhasrat mahu mencantas jurang mata milik skuad bimbingan Roberto de Matteo itu. Satu-satunya kegembiraan buat Ferguson ialah apabila menyaksikan pasukannya mampu bangkit kembali biarpun ketinggalan kepada lawan sepertimana yang ditunjukkan mereka ketika menewaskan Braga. Namun begitu, Ferguson juga tentunya sedar bahawa pasukannya tidak boleh terus-terusan membiarkan lawan menjaringkan gol pendahuluan sambil mengharapkan kebangkitan selepas itu. Jika lawan yang lebih berpengalaman seperti Chelsea berjaya melakukannya (menjaringkan gol pendahuluan), barisan pemain-pemain United pasti tertekan dan mendapati perlawanan akan menjadi sukar buat mereka. Februari lalu, United memerlukan kebangkitan menakjubkan untuk mengikat Chelsea selepas mereka ketinggalan 0-3 di gelanggang sama, tetapi Ferguson sendiri tentunya sedar keajaiban dan tuah seperti itu tidak akan selalu mengiringi pasukannya. Chelsea memulakan kempen domestik mereka musim ini dengan prestasi yang cukup baik biarpun kurang konsisten pada saingan Liga Juara-Juara yang menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Shaktar Donetsk, Rabu lalu. 

De Matteo memiliki pasukan yang berbakat dengan beberapa perubahan pada barisan pemain mereka. Oscar dan Eden Hazard memberikan nafas baru kepada pasukan selepas penghijrahan beberapa pemain utama seperti Michael Essein dan Jose Bosingwa. Juan Mata bermain dengan baik manakala Fernando Torres pula menggantikan tempat Didier Drogba sebagai penyerang utama. Chelsea memiliki pemain-pemain berpengalaman di benteng pertahanan dan tengah mereka tetapi akan kehilangan khidmat Frank Lampard yang dibelenggu kecederaan manakala John Terry pula masih menjalani hukuman gantung empat perlawanan kerana isu perkauman yang membabitkannya dengan pemain QPR, Anton Ferdinand musim lalu. Bagi United pula, mereka masih kekal tanpa khidmat Phil Jones dan Nemanja Vidic dalam perlawanan ini kerana masalah kecederaan, manakala Shinji Kagawa muncul dalam senarai terbaru pemain yang berada di bilik rawatan. Pemain tengah itu disahkan akan terlepas aksi sekurang-kurangnya selama sebulan kerana kecederaan lutut ketika berdepan Braga. Ashley Young dan Chris Smalling memberikan khabar gembira buat Ferguson selepas kedua-duanya disahkan cergas dan sudah menjalani latihan. Di benteng pertahanan, Rio Ferdinand dan Patrice Evra akan menguatkan semula bahagian belakang United selepas direhatkan pada pertemuan menentang Braga dan ini bermakna, Michael Carrick akan kembali ke posisi asalnya sebagai pemain tengah bertahan selepas mengambilalih tempat Ferdinand Rabu lalu. Ferguson dijangka meneruskan formasi berlian yang menjadi titik kebangkitan United sejak kebelakangan ini pada perlawanan di Stamford Bridge nanti sambil mengharapkan kombinasi Wayne Rooney dan Robin Van Persie terus mempamerkan sentuhan tajam mereka di depan gawang. Glory Glory Manchester United!!!

Rekod Pertemuan:

- Ini adalah pertemuan ke-146 antara kedua-dua pasukan di mana United menang 62 kali, seri 40 dan tewas sebanyak 43 kali.

- Dari 74 perlawanan yang diadakan di Stamford Bridge, United menang sebanyak 32 kali, seri 18 kali dan kalah 24 kali.

- Kali terakhir United menang di Stamford Bridge ialah pada 7 April 2011 dalam saingan Liga Juara-Juara. Pada perlawanan suku akhir pertama yang diadakan di Stamford Bridge itu, United menang hasil jaringan tunggal Wayne Rooney.

- Kali terakhir United menewaskan Chelsea di gelanggang lawan pada saingan liga ialah pada 20 April 2002. United menewaskan Chelsea 3-0 dalam perlawanan itu.

Barisan Kemungkinan Chelsea:

Petr Cech, Branislav Ivanovic, Gary Cahill, David Luiz, Ashley Cole, John Mikel Obi, Ramirez, Juan Mata, Eden Hazard, Oscar, Fernando Torres

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Tom Cleverley, Michael Carrick, Paul Scholes, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Robin Van Persie 

27 Oktober 2012

PERTEMBUNGAN TORRES & VAN PERSIE



Robin Van Persie dan Fernando Torres memang diakui antara penyerang terbaik yang pernah beraksi di Liga Perdana ketika ini. Esok, kedua-dua penyerang ini akan berdepan antara satu sama lain bagi membantu kelab masing-masing mencari kemenangan pada perlawanan utama Liga Perdana untuk minggu kesembilan. Kedua-dua penyerang ini bakal menjadi sandaran kelab masing-masing dalam usaha memburu gol dan barisan pertahanan kedua-dua pasukan pastinya akan memberikan tumpuan untuk mengawal dua penggempur ini. Van Persie berjaya meneruskan kecemerlangan yang pernah dikecapi bersama Arsenal untuk kelab barunya, Manchester United, manakala Torres pula masih berjuang membuktikan dirinya mampu menggantikan Didier Drogba sebagai penggempur utama Chelsea. Berikut adalah analisis sumbangan yang telah diberikan kedua-dua penggempur ini untuk kelab masing-masing sepanjang karier mereka di Liga Perdana:

Jaringan Gol:

Kedua-dua kelab sanggup menghabiskan jumlah wang yang besar untuk mendapatkan Van Persie dan Torres dengan hanya satu tujuan, iaitu mendapatkan gol. Van Persie sudah mengumpul 19 gol dalam saingan liga sepanjang tahun 2012 (Januari hingga Oktober) manakala Torres pula sudah menjaringkan lapan gol.

Kerjasama Sepasukan:

Van Persie adalah pemain yang lebih lengkap jika diambil kira sumbangannya untuk pasukan, baik ketika masih bersama Arsenal mahupun United. Penyerang Belanda itu sudah menyumbangkan tujuh umpanan (assist) berbanding Torres (dua umpanan). Dari segi mencipta peluang buat rakan sepasukan pula, Van Persie juga jauh meninggalkan Torres apabila dia sudah mencipta 65 peluang buat rakan-rakan sepasukan berbanding 36 untuk Torres.

Perebutan Bola:

Meskipun bukan penyerang yang kuat, Torres nampaknya lebih efektif berbanding Van Persie dalam statistik perebutan bola. Torres memenangi 43% perebutan bola manakala Van Persie pula mencatat 37%.

Percubaan Tepat:

Van Persie melepaskan 50 percubaan tepat ke sasaran jika dibandingkan 19 oleh Torres, tetapi kedua-duanya hampir setaraf dalam menyempurnakan peluang menjaringkan gol. Torres berjaya menyempurnakan 19% setiap peluang yang diperolehinya dengan jaringan manakala Van Persie pula unggul sedikit dengan 22%.

Hantaran Silang:

Kedua-dua pemain ini adalah penyerang tengah tetapi itu tidak bermakna mereka hanya menunggu bola dihantar pemain sayap untuk disudahkan. Sebagai penyerang moden, mereka juga kerap bergerak dari sebelah tepi ataupun melakukan hantaran-hantaran silang kepada rakan sepasukan. Dalam hal ini Van Persie lebih efektif apabila sudah mencipta 132 hantaran silang jika dibandingkan dengan Torres yang hanya mencipta 38 hantaran silang. Bagaimanapun dari segi ketepatan, Torres mendahului Van Persie apabila 26% hantaran silangnya menemui sasaran jika dibandingkan dengan 22% milik Van Persie.

GLORY-GLORY MANCHESTER UNITED!!!!!

SPEKULASI PERPINDAHAN: THE HAMMERS INTAI FERDINAND


Pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand diberitakan akan pulang ke `kampung halaman’ dengan menyertai kembali kelab lamanya, West Ham United, Januari ini. Kontrak bekas pemain Leeds United itu akan berakhir musim panas tahun hadapan, namun sehingga kini masih belum ada sebarang perbincangan tentang lanjutan kontrak baru diadakan antara kedua-dua pihak (Ferdinand dan United). Status ejen bebas Ferdinand pada bulan Julai tahun hadapan menarik minat skuad The Hammers untuk membawa kembali pertahanan berpengalaman itu ke Boleyn Ground. Selain West Ham, kelibat Ferdinand turut diintai dua kelab yang beraksi di Major League Soccer iaitu Chicago Fire dan New York Red Bulls yang sebelumnya berjaya memancing bekas pemain Arsenal, Thierry Henry. Berita tentang minat yang ditunjukkan West Ham terhadap pemain pertahanan berusia 33 tahun itu turut disahkan sendiri pengurus mereka, Sam Allardyce. Big Sam sebenarnya sudah memasang impian untuk membawa beberapa pemain yang pernah dilahirkan dari Akademi Bolasepak West Ham untuk kembali menabur bakti bersama pasukan itu. Menurut pandangan Allarduce, dengan kembalinya semula Ferdinand ke Boleyn Ground, bakal mencetuskan kepulangan beberapa lagi bintang yang pernah dilahirkan oleh akademi kelab tersebut untuk memperkuatkan pasukan dari London itu. “Jika Rio ingin kembali ke West Ham, hal ini tentunya akan mengundang beberapa lagi bintang yang pernah dilahirkan oleh akademi ini seperti John Terry dan Frank Lampard untuk menghabiskan sisa karier mereka di sini. Situasi ini tentunya amat menguntungkan kami”, kata Allardyce. Berita tentang masa depan Ferdinand di Old Trafford mencetuskan tandatanya selepas tindakan pemain itu memboikot kempen Anti Perkauman Dalam Bolasepak yang dianjurkan FA England. Ferdinand bertindak dengan tidak memakai t-shirt kempen anti perkauman semasa sesi memanaskan badan perlawanan liga menentang Stoke City minggu lalu. Tindakan Ferdinand itu mengundang kemarahan Sir Alex Ferguson kerana pada sidang akhbar sebelum perlawanan, pengendali United itu mengatakan semua pemainnya akan memberi sokongan penuh terhadap kempen tersebut. Apapun kemungkinan untuk Ferdinand meninggalkan Old Trafford tetap ada tetapi mungkin bukan pada Januari ini. Dengan masalah kecederaan jangka panjang yang dialami Nemanja Vidic, sukar untuk Ferguson kehilangan seorang lagi pemain pertahanan berpengalaman seperti Ferdinand. Ferguson boleh saja melepaskan Ferdinand pergi, tetapi dengan syarat beliau perlu mendapatkan seorang pertahanan tengah baru yang mempunyai pengalaman dan keupayaan setanding bekas pemain Leeds United itu sebagai pengganti. Glory Glory Manchester United!!!

24 Oktober 2012

FERGUSON PUJI BARISAN PENYERANG UNITED NAMUN TIADA JAWAPAN KEPADA PERSEMBAHAN HAMBAR BARISAN PERTAHANANNYA


Sir Alex Ferguson memuji persembahan barisan penyerangnya ketika menyaksikan Manchester United bangkit memungut tiga mata penuh selepas ketinggalan dua gol kepada SC Braga dalam saingan Kumpulan H, Liga Juara-Juara awal pagi tadi. Bagaimanapun prestasi benteng pertahanan United terus menimbulkan persoalan apabila mereka sudah melepaskan tujuh gol dari tiga perlawanan terakhir di gelanggang sendiri. Ferguson menyaksikan sendiri bagaimana rapuhnya benteng pertahanan pasukannya selepas Alan meletakkan Braga dalam kedudukan selesa melalui dua golnya dalam tempoh 20 minit pertama pertemuan di Old Trafford itu. Bagaimanapun persembahan hambar benteng pertahanan United diselamatkan dengan ketajaman barisan penyerang mereka terutamanya melalui persembahan cemerlang Javier Hernandez yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini. Satu lagi gol United disumbangkan pemain pertahanan mereka, Jonny Evans. Persembahan cemerlang Hernandez pada perlawanan ini pastinya memeningkan kepala Ferguson dalam memilih gandingan penyerangnya untuk perlawanan-perlawanan akan datang. "Javier Hernandez berkembang dengan pesat dan dia cukup luar biasa ketika sesi latihan. Dia menunjukkan kesungguhan yang tinggi. Saya mempunyai dia, Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Danny Welbeck. Saya tidak tahu apa yang saya harus lakukan dengan mereka", kata Ferguson. 

Apa yang perlu diatasi Ferguson ketika ini ialah mengelakkan benteng pasukannya dibolosi lawan terlebih dahulu, situasi yang sering dialami United musim ini. Untuk rekod, ini adalah kali kelapan dari 12 perlawanan (dalam semua kejohanan) United dibolosi lawan terlebih dahulu dan ketika ditanya pemberita, bos United itu tiada jawapan tentang situasi yang dialami benteng pertahanannya ketika ini. Nasib bagaimanapun masih menyebelahi United dalam perlawanan ini, biarpun ketinggalam dua gol kepada pelawat, mereka masih mampu bangkit selepas itu dengan menjaringkan tiga gol sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan H dengan sembilan mata maksimum. Sementara itu pengendali Braga, Jose Peseiro nyata kecewa dengan keputusan yang diraih pasukannya selepas selesa mendahului 2-0. Peseiro sempat memasang impian untuk membawa pulang tiga mata penuh ke Portugal sebelum menanti kunjungan United pada perlawanan pusingan kedua di Estadio AXA 7, November nanti. Walau bagaimanapun Peseiro tetap berpuashati dengan persembahan keseluruhan pasukannya dan berharap mereka mampu layak kepusingan kedua nanti. Peluang buat tiga lagi kelab dalam Kumpulan H (Braga, Galatasaray dan Cluj) layak ke pusingan kedua masih seimbang dengan masing-masing hanya dibezakan dengan jurang mata yang kecil. Setakat ini United unggul di tangga teratas dengan sembilan mata, Cluj  di tangga kedua (4 mata), Braga di tangga ketiga (3 mata) dan Galatasaray pula di tangga keempat (1 mata). Glory Glory Manchester United!!!

REVIEW: CHICHARITO WIRA DI SEBALIK KEBANGKITAN UNITED


Javier Hernandez muncul wira Manchester United selepas meledak dua gol ke gawang SC Braga dalam saingan Kumpulan H, Liga Juara-Juara awal pagi tadi. Selepas ketinggalan 2-0, United akhirnya bangkit menjaringkan tiga gol, hasil sumbangan Hernandez dan Jonny Evans untuk menafikan wakil dari Portugal itu dari meraih sesuatu di Old Trafford. Meskipun bermain di gelanggang sendiri, United ketinggalan kepada pelawat seawal minit kedua permainan melalui  kapten lawan, Alan yang berjaya mengatasi cabaran Michael Carrick di udara untuk mudah menanduk masuk menewaskan David de Gea. Alan kemudiannya sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan United apabila menjaringkan gol kedua Braga diminit ke-20. Selepas ketinggalan dua gol, United meningkatkan asakan dan akhirnya lima minit kemudian, Hernandez berjaya menanduk masuk bola hantaran Shinji Kagawa untuk merapatkan kedudukan. Kepantasan nyata menjadi aset buat penyerang antarabangsa Mexico itu apabila dia meluru pantas dan bijak membaca hantaran Kagawa untuk menewaskan Beto di gawang pelawat. Pelawat bermain secara defensif selepas itu dengan sekali sekala melancarkan serang balas pantas dalam usaha mereka mengekalkan kedudukan sehingga separuh masa pertama berakhir.

Bersambung di babak kedua, pelawat meneruskan taktik bertahan mereka dengan meletakkan hampir kesemua pemain di kawasan sendiri setiap kali United melancarkan serangan. Usaha berterusan The Red Devils melancarkan serangan bagi mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila Jonny Evans menjaringkan gol kedua United diminit ke-62. Pemain pertahanan itu mudah menolak masuk bola di depan pintu gol lawan sekaligus memadam defisit satu gol yang dimiliki barisan Jose Peseiro. Gol penyamaan itu menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain United dalam usaha mereka memungut mata penuh di gelanggang sendiri apabila mereka terus melancarkan gerakan-gerakan bahaya ke kubu lawan. Diminit ke-75, Hernandez akhirnya memadam hasrat lawan membawa sekurang-kurangnya satu mata apabila bijak memanfaatkan hantaran lambung Tom Cleverley dari sebelah kanan untuk menanduk masuk gol kemenangan. Kesilapan David de Gea di penghujung permainan ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan penalti hampir mendatangkan padah dan keputusan perlawanan akhirnya kekal milik United sebaik pengadil meniup wisel penamat. Kekalahan ini menyaksikan Braga meneruskan rekod buruk enam perlawanan tanpa kemenangan mereka ketika berdepan kelab-kelab England. Perlawanan seterusnya bagi pusingan kedua  kumpulan H ialah pada 7 November ini di mana United akan berkunjung ke Estadio AXA, Braga. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan:

Penguasaan Bola: 54% - 46%
Percubaan: 12 - 9
Percubaan Tepat: 9 - 4
Percubaan Tersasar: 3 - 5
Tendangan Sudut: 7- 5
Kad Kuning: 0 - 2
Kad Merah: 0 - 0
Gol: 3 - 2

23 Oktober 2012

PREVIEW LIGA JUARA-JUARA: MANCHESTER UNITED lwn SC BRAGA


Manchester United menyambung kempen Liga Juara-Juara Eropah dengan harapan kesilapan musim lalu tidak berulang lagi. United memulakan kempen Eropah mereka musim ini dengan mencatat dua kemenangan berturut-turut sekaligus muncul peneraju bagi Kumpulan H. Awal pagi esok, United akan menerima kunjungan wakil Portugal, SC Braga yang melakukan kebangkitan pada perlawanan kedua dengan membenam Galatasaray di Turki selepas tewas kepada CFR Cluj di gelanggang sendiri pada perlawanan pembukaan. Wakil Portugal itu tewas kesemua lima perlawanan mereka ketika menentang kelab-kelab England dan rekod buruk itu tampak bakal berterusan jika diambilkira prestasi semasa United terutamanya selepas Wayne Rooney kembali menemui sentuhan tajamnya. Pencapaian di pentas Eropah musim ini jelas berbeza dengan permulaan lembab musim lalu apabila United hanya mencatat keputusan seri pada perlawanan pembukaan yang kemudiannya menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan. Sir Alex Ferguson perlu memperkemaskan semula benteng pertahanan pasukannya menjelang pertemuan ini selepas menyaksikan mereka melepaskan lima gol dalam dua perlawanan terakhir di Old Trafford. United melepas tiga gol ketika tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspurs, dan meskipun mencatat kemenangan ke atas Stoke City hujung minggu lalu, benteng pertahanan United membenarkan lawan membolosi gawang mereka sebanyak dua kali. Berbeza dengan prestasi rakan-rakan di benteng pertahanan, barisan serangan United jelas mempunyai kelas tersendiri apabila merakamkan 26 gol dalam semua kejohanan setakat ini. Penyerang Belanda, Robin Van Persie sudah menjaringkan lima gol dari lima perlawanan terakhirnya di pentas Liga Juara-Juara (termasuk ketika bersama Arsenal) selain turut menemui sasaran ketika berdepan Stoke City, Sabtu lalu. Selain Van Persie, Rooney turut mempamerkan peningkatan sejak akhir-akhir ini apabila berjaya memecah kebuntuan jaringan di saingan liga domestik dengan dua gol yang dihasilkannya ketika berdepan Stoke kelmarin. Di pentas antarabangsa pula, Rooney sudah menjaringkan lima gol dari tiga perlawanan terakhir untuk England. Melihatkan kepada prestasi terkini kedua-dua penggempur United itu, jurulatih Braga, Jose Peseiro perlu memikirkan cara terbaik yang harus digunakan benteng pertahanannya untuk menyekat kombinasi Rooney dan Van Persie dari melakukan sesuatu di kawasan penalti pasukannya. Kelab dari Utara Portugal itu yang tewas kepada seteru senegara, FC Porto pada perlawanan akhir Liga Europa 2011 muncul antara pencabar serius dalam saingan liga domestik apabila menduduki tangga ketiga di belakang Porto dan Benfica ketika ini. Pengalaman yang diraih pasukannya di pentas Eropah menyebabkan Peseiro yakin tiada apa yang perlu ditakutkan barisan pemainnya ketika berdepan United di Old Trafford nanti. Keputusan baik di Old Trafford nanti pastinya mencerahkan peluang Braga untuk lolos ke pusingan kedua. Selepas dipaksa bermain hingga kemasa tambahan sebelum menang 3-0 ke atas Leixoes dalam saingan Piala Portugal, Jumaat lalu, Peseiro mungkin mendapati barisan pemainnya berdepan faktor keletihan menjelang pertemuan ini. Peseiro bergantung penuh kepada pengalaman milik barisan pemain tengahnya yang dibarisi Hugo Viana, Ruben Micael dan Alan selain mempertaruhkan ketajaman Eder di barisan hadapan untuk mengejutkan United. Glory Glory Manchester United!!!


Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Chris Smaling, Jonny Evans, Alexander Buttner, Anderson, Tom Cleverley, Darren Fletcher, Wayne Rooney, Danny Welbeck & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan SC Braga:

Beto, Leandro Salino, Douglao, Nuno Andre Coelho, Paulo Vinicius, Ismaily, Custodio, Ruben Micael, Hugo Viana, Alan & Eder
 Micael, Alan, Hugo Viana, Eder

MASA DEPAN FERDINAND DALAM BAHAYA?


Pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand meletakkan kariernya bersama The Red Devils dalam bahaya selepas bertindak memboikot kempen Anti Perkauman yang dilancarkan FA England. Kelmarin, Sir Alex Ferguson menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan Ferdinand melakukan protes apabila tidak memakai baju kempen Anti Perkauman sebelum sepak mula menentang Stoke City, Sabtu lalu. Ferdinand dan adiknya Anton serta beberapa pemain kulit hitam memboikot kempen tersebut kerana merasakan FA England tidak mengambil tindakan lebih serius bagi mencegah isu perkauman terhadap pemain kulit hitam dalam bolasepak. Tindakan Ferdinand pada pandangan bos United itu merupakan satu penghinaan `berprofil tinggi’ terhadapnya, kerana Ferguson sebelum perlawanan menentang Stoke sudah memberi jaminan bahawa kesemua pemain United akan menyokong kempen itu dengan memakai baju Anti Perkauman sebelum sepak mula. Denda mungkin dikenakan Ferguson ke atas Ferdinand walaupun pihak pengurusan United terus membisu tentang hukuman yang bakal dikenakan ke atas pemain pertahanan berpengalaman itu. Ferdinand menandatangani kontrak baru selama lima tahun pada 2008 dan akan berakhir pada musim panas tahun hadapan. Pada usia yang sudah mencecah 30an, Ferdinand akan hanya ditawarkan sambungan kontrak selama 12 bulan selepas ini (jika United mahu menyambung kontraknya) sebagai memenuhi polisi yang ditetapkan oleh kelab. Meskipun kontraknya berbaki kurang setahun, kedua-dua pihak masih belum mengadakan perbincangan tentang kontrak baru, dan episod ini  nampaknya bakal menjejaskan masa depan pertahanan itu di Old Trafford. Buat masa ini, United amat bergantung harap kepada kelibat Ferdinand selepas Nemanja Vidic terkeluar kerana kecederaan jangka panjang manakala Chris Smalling dan Phil Jones akan hanya kembali ke pangkuan skuad dalam masa terdekat selepas diketepikan sejak Mei lepas. Walau bagaimanapun jika ketiga-tiganya (Vidic, Smalling & Jones) kembali cergas dan dapat memberikan prestasi terbaik mereka, Ferdinand mungkin mendapati dirinya bakal berstatus ejen bebas musim panas depan. Meskipun adik Ferdinand, Anton menjadi mangsa kepada isu perkauman dengan John Terry, Ferguson semasa pra perlawanan liga hujung minggu lalu menegaskan skuadnya akan bersatu menyokong kempen yang dijalankan FA England. Jadi tidak hairanlah jika pengendali United itu begitu kecewa dengan tindakan yang dilakukan Ferdinand hingga secara terang-terangan mengatakan protes yang dilakukan Ferdinand itu sebagai sangat memalukan. Walau bagaimanapun tindakan Ferdinand itu disokong Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional (PFA), salah satu badan yang terlibat menganjurkan kempen Anti Perkauman Dalam Bolasepak. Menurut jurucakap PFA, pemain berhak untuk mengambil pendirian berhubung perkara ini dan mempertahankan tindakan Ferdinand. Pengerusi PFA, Carlisle Clarke mengatakan, “Kami pasti akan memantau keadaan ini dan sebagai manusia biasa, Rio Ferdinand berhak membuat keputusan. Setiap individu mempunyai hak kebebasan bersuara, dan anda tidak boleh memaksa sesiapa untuk berjabat tangan dengan anda. Begitulah juga anda tidak boleh memaksa seseorang memakai t-shirt itu (Anti Perkauman) walaupun kami percaya kempen ini adalah cara terbaik dalam memerangi isu perkauman dalam bolasepak”. Glory Glory Manchester United!!!

22 Oktober 2012

KOMBINASI ROONEY/VAN PERSIE SEMAKIN DIGERUNI


Gandingan Robin Van Persie dan Wayne Rooney semakin menunjukkan keserasian, selepas pasangan penggempur Manchester United itu menjadikan Stoke City sebagai mangsa terbaru mereka. Wayne Rooney menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu manakala Van Persie pula menyumbangkan satu gol sekaligus menyaksikan bekas kapten Arsenal itu muncul penjaring terbanyak Liga Perdana dengan tujuh gol setakat ini. Duet Rooney/Van Persie semakin digeruni dan mula menunjukkan belang mereka pada kempen Liga Juara-Juara Eropah menentang CFR Cluj, 4 Oktober lalu. Meskipun tidak menjaringkan sebarang gol, gerakan Rooney membolehkan Van Persie menghasilkan dua gol sekaligus memberikan United kemenangan berharga selepas mereka ketinggalan 0-1 seawal minit ke-14 kepada wakil Romania itu. Rooney sekali lagi memainkan peranan penting dalam gerakan-gerakan gol United ketika berdepan Stoke City kelmarin apabila umpanannya memboleh Van Persie menjaringkan gol kedua dan Danny Welbeck pula menjaringkan gol ketiga United. Kemenangan bergaya 4-2 ke atas Stoke City ini sekurang-kurangnya berjaya menebus kembali kekalahan yang dialami United kepada Tottenham Hotspurs di Old Trafford hujung bulan lalu. The Potters pada awalnya dijangka memberikan masalah buat barisan United jika diambilkira keupayaan mereka sebelum ini yang berjaya mengikat Manchester City dan Liverpool, selain memberikan tentangan sengit kepada Chelsea sebelum tewas 0-1 di Stamford Bridge. United dilihat berada dalam situasi sukar selepas jaringan sendiri Rooney yang menyaksikan mereka ketinggalan buat kali ketujuh dari sebelas perlawanan (dalam semua kejohanan) musim ini. Bagaimanapun selepas jaringan penyamaan Rooney hasil hantaran lintang Van Persie, segala-galanya tampak berjalan lancar buat United selepas itu dan gandingan ini terus bermaharajalela. 

Rooney merakamkan sejarah tersendiri dalam perlawanan ini apabila dua gol yang dihasilkannya menyaksikan dia sudahpun mengumpul koleksi 200 gol dalam saingan Liga Perdana. Selain itu Rooney turut muncul pemain kedua United di belakang David Beckham yang menghasilkan dua gol selepas menjaringkan gol sendiri. Beckham melakukannya ketika menentang Blackburn Rovers pada tahun 2001. Kombinasi Rooney dan Van Persie pastinya akan terus menjadi taruhan utama United pada perlawanan-perlawanan akan datang dengan kedua-duanya dilihat memiliki persamaan ketika melakukan gerakan, selain mampu bertindak mencipta peluang buat rakan-rakan yang lain. Ketika bersama Arsenal, Van Persie turut memainkan peranan sama di mana dia bukan saja berfungsi sebagai penjaring gol utama, malah sering bertindak sebagai pengumpan buat Theo Walcott dan Gervinho. Apakah benar bahawa gandingan  Rooney dan Van Persie semakin menunjukkan tanda-tanda menuju kesempurnaan? Mungkin persoalan ini sepatutnya ditanyakan kepada pertahanan kental Stoke City, Ryan Shawcross yang baru berdepan gandingan ini. Shawcross dan rakan-rakannya di benteng pertahanan Stoke City mendapati mereka tidak mempunyai jawapan tentang bagaimana caranya untuk menghentikan kemaraan Rooney dan Van Persie. Kedua-dua pemain ini (Rooney dan Van Persie) semakin memahami kehendak masing-masing ketika berada di atas padang dan mereka kelihatan mampu mencipta gol dalam mana-mana situasi dan sudut sekalipun. Situasi ini merupakan petanda baik buat United dan gandingan ini mampu menjadi senjata utama buat Sir Alex Ferguson membawa pasukannya mengharungi kempen di peringkat domestik dan juga Eropah. Jadi tidak hairanlah jika pada Ogos lalu mengapa pengurus Manchester City, Roberto Mancini begitu bimbang ketika menerima perkhabaran bahawa Van Persie sudah menandatangani kontrak secara rasmi bersama United. Mancini ketika itu sebenarnya sedar bahawa gandingan Rooney/Van Persie cukup berpotensi untuk muncul sebagai ancaman utama dalam misi kelabnya mempertahankan kejuaraan liga musim ini. Maka tidak hairanlah juga mengapa Mancini berang dan pantas menyalahkan pihak pengurusan City kerana kegagalan mereka membawa Van Persie ke Eastlands. Glory Glory Manchester United!!!

21 Oktober 2012

REVIEW: UNITED TERUSKAN TEKANAN KE ATAS CHELSEA


Manchester United meraih kemenangan keenam mereka selepas berjaya  menundukkan Stoke City 4-2 di Old Trafford semalam. Sir Alex Ferguson memilih untuk menurunkan tiga dari empat pemain yang baru selesai tugasan antarabangsa mereka bersama skuad kebangsaan England (Wayne Rooney, Danny Welbeck, Michael Carrick) dalam perlawanan ini, dengan hanya Tom Cleverley sahaja yang tidak tersenarai dalam skuad. Rooney, Welbeck dan Carrick tetap mempamerkan aksi bertenaga biarpun keletihan selepas mengharungi aksi sengit menentang Poland di Warsaw tempohari. Rooney dan Welbeck terutamanya berjaya membawa sentuhan tajam mereka ketika bersama skuad kebangsaan ke saingan domestik apabila masing-masing menyumbang tiga gol buat United dalam perlawanan ini. Seperti tiga perlawanan terakhir mereka sebelum ini, Ferguson mengekalkan formasi berlian (4-2-3-1) dengan sedikit perubahan apabila Paul Scholes mengambil alih posisi Cleverley di sebelah Carrick. Walau bagaimanapun United sempat dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat diminit ke-11 selepas Wayne Rooney tertanduk bola ke gawang sendiri. Rooney bagaimanapun menebus semula kesilapannya apabila menanduk masuk dari sebelah kiri bola hantaran Robin Van Persie diminit ke-27 untuk mengikat kedudukan 1-1. Di penghujung babak pertama, giliran Van Persie pula merakamkan nama sebagai pejaring gol dalam perlawanan ini apabila bijak menyudahkan hantaran rendah Antonio Valencia dari sebelah kanan untuk menewaskan Asmir Begovic sekaligus meletakkan United mendahului 2-1. Bersambung di babak kedua, United hanya memerlukan seminit selepas sepak mula untuk selesa mendahului 3-1 menerusi gol Danny Welbeck. Welbeck bijak menyusup masuk kedalam kawasan penalti lawan untuk menanduk masuk dari jarak dekat bola hantaran lintang Wayne Rooney dari sebelah kanan. Pelawat yang sebelum ini berjaya memaksa Manchester City dan Liverpool berkongsi mata bagaimanapun enggan menyerah kalah apabila mereka merapatkan kedudukan hasil jaringan menarik Michael Kightly diminit ke-59. Gerakan individu pemain tengah itu dari tengah padang berjaya memperdayakan beberapa pemain pertahanan United sebelum melepaskan rembatan rendah yang gagal diselamatkan David de Gea. Ketika The Potters mula mengintai untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Old Trafford, Rooney melenyapkan kebangkitan lawan menerusi gol keduanya dalam perlawanan ini enam minit kemudian. Rooney mudah menolak bola masuk dari jarak dekat ketika berlaku bergelutan di depan pintu gol lawan sekaligus meletakkan United selesa mendahului 4-2. Kedudukan ini kekal hingga penghujung permainan dan kemenangan ini menyaksikan United mengumpul 18 mata untuk terus memberikan tekanan buat pendahulu Chelsea yang mempunyai kelebihan empat mata di tangga teratas selepas mereka menang, juga dengan keputusan 4-2 di White Hart Lane. Glory Glory Manchester United!!!!

Statistik Perlawanan:

Tendangan Sudut: 3 - 3
Percubaan Tepat: 8 - 6
Percubaan Tersasar: 5 - 2
Kekasaran: 9 - 10
Offside: 3 - 0
Penguasaan Bola: 59% - 41%
Gol: 4 - 2
Kad Kuning: 1 - 1
Kad Merah: 0 - 0

19 Oktober 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn STOKE CITY



Saingan Liga Perdana Inggeris kembali bersambung selepas berehat kerana memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014. Seperti dijadualkan, Manchester United akan menanti kunjungan pasukan `liat' Stoke City di Old Trafford esok. The Potters hadir dengan misi mahu memburu kemenangan pertama mereka ke atas United  dalam tempoh 28 tahun, namun Tony Pulis perlu mencari jalan penyelesaian ketumpulan jentera serangan mereka jika mahu melakukan kejutan ke atas United. Peter Crouch kekal menjadi sandaran utama Pulis yang menyaksikan bekas penyerang Liverpool itu menyumbangkan empat dari enam gol mereka setakat ini. Sembilan pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan United menang lapan kali dan menjaringkan 24 gol ke gawang Stoke. Keputusan terbaik yang diraih pelawat ialah ketika mereka berjaya mengikat United 1-1 di gelanggang sendiri pada September 2011 melalui jaringan penyamaan Crouch selepas Nani meletakkan United di hadapan. Kejayaan mereka mengikat Liverpool (di Anfield) dan Manchester City (di Britannia) selain berjaya memaksa Chelsea berhempas pulas sebelum tewas 0-1 hasil jaringan lewat Ashley Cole di Stamford Bridge harus membuat barisan Sir Alex Ferguson lebih berwaspada. Pemain tengah The Potters, Steven N'Zonzi yang membantu bekas kelabnya Blackburn Rovers melakar kemenangan sensasi 3-2 ke atas United musim lalu yakin kelab barunya itu mampu melakukan perkara yang sama di Old Trafford. Stoke hanya tewas sekali (kepada Chelsea) dari tujuh perlawanan setakat ini namun mencatat terlalu banyak keputusan seri (5 kali) hingga menyaksikan mereka sekadar berada di tangga ke-12 liga. Bekas pemain United, Ryan Shawcross kekal menjadi watak penting dalam pasukan tetapi mereka tetap mengharapkan Crouch bermain lebih dari prestasi biasanya jika mahu melakar kejutan dalam perlawanan ini. Bintang baru United, Robin Van Persie memiliki statistik yang cukup bagus ketika berdepan Stoke. 

Ketika masih bersama Arsenal, Van Persie menjaringkan enam gol dari lima perlawanan menentang Stoke, manakala Javier Hernandez pula berjaya menembusi gawang skuad Tony Pulis sebanyak empat kali. Selepas tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspurs di Old Trafford hujung bulan lalu, ini adalah perlawanan pertama United di gelanggang sendiri dan tentunya barisan The Red Devils mahu menggunakan peluang ini untuk menebus semula kesilapan ketika tewas kepada Spurs. Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2012 membabitkan England dan Poland yang ditunda sehari mungkin sedikit menganggu persiapan United menjelang perlawanan ini. Ini bermakna empat pemain United (Wayne Rooney, Michael Carrick, Danny Welbeck dan Tom Cleverley) yang terlibat bersama skuad kebangsaan England akan hanya kembali menyertai sesi latihan di Carrington hari ini. Faktor keletihan empat pemain ini juga boleh mencetuskan kebimbangan utama buat Ferguson apabila Carrick, Cleverley, Welbeck dan Rooney diturunkan ketika England mencatat keputusan seri dengan Poland di Warsaw. Ferguson bagaimanapun masih mempunyai pilihan jika keempat-empat pemain ini dibelenggu keletihan dengan kemungkinan menggandingkan Van Persie bersama Hernandez ataupun beliau masih boleh menggunakan Welbeck yang hanya bermain selama 23 minit di Warsaw kelmarin. Di bahagian tengah, Ferguson mempunyai limpahan pemain untuk mengisi posisi tersebut. Ferguson boleh memilih sama ada Ryan Giggs, Paul Scholes, Shinji Kagawa, Nani, Anderson atau Antonio Valencia untuk mengisi slot di bahagian tengah. Selain itu, Ashley Young juga dijangka kembali menyertai pasukan selepas pulih dari masalah kecederaan, manakala Chris Smalling mungkin mengisi salah satu dari empat slot di benteng pertahanan. Kepulangan semula Smalling memang di nanti selepas kecederaan jangka panjang yang dialami Nemanja Vidic dan Phil Jones pula dijangka akan hanya kembali minggu hadapan. Glory Glory Manchester United!!!

Rekod Pertemuan:

- Perlawanan esok adalah pertemuan ke-67 membabitkan antara kedua-dua pasukan. Rekod pertemuan sebelum ini menyaksikan United menang 30, seri 21 dan kalah 15 kali.

- Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Old Trafford ialah pada 1 Februari 2012 di mana United menang 2-0 hasil jaringan Javier Hernandez dan Dimitar Berbatov.

- The Potters tidak pernah menang di Old Trafford dalam tempoh 40 tahun di mana kali terakhir mereka menewaskan United ialah pada 9 Disember 1972.

- Kali terakhir United tewas kepada Stoke ialah pada 26 Disember 1984, iaitu kira-kira 28 tahun yang lalu.

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling, Paul Scholes, Ryan Giggs, Shinji Kagawa, Nani, Robin Van Persie & Danny Welbeck

Barisan Kemungkinan Stoke:

Asmir Begovic, Marc Wilson, Robert Huth, Ryan Shawcross, Geoff Cameroon, Steven N'Zonzi, Michael Kightly, Rory Delap, Charlie Adam, Jonathan Walters & Peter Crouch