14 Oktober 2012

ROONEY KAPTEN MASA DEPAN ENGLAND


Pengurus England, Roy Hodgson mengesahkan Wayne Rooney adalah bakal kapten masa depan skuad The Three Lions. Rooney memakai lilitan lengan kapten ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2014 menentang San Marino kelmarin yang berkesudahan dengan England menang 5-0 di Wembley. Ketika Steven Gerrard digantung dan Frank Lampard pula mengalami kecederaan, Rooney mengetuai skuad kebangsaan menang bergaya di hadapan penyokong mereka sendiri selain menyumbang dua gol dalam perlawanan itu. Dua jaringan sumbangan Rooney itu adalah koleksi gol ke-31 untuk skuad kebangsaan sekaligus menyaksikan dia kini berada di tangga kelima senarai penjaring terbanyak sepanjang masa England mengatasi Alan Shearer, Tom Finney dan Nat Lofthouse yang berkongsi kedudukan di tangga keenam. Rooney bagaimanapun masih berada di belakang Sir Bobby Charlton (49 gol), Gary Lineker (48 gol), Jimmy Greaves (44 gol) dan Michael Owen (40 gol). Perlawanan itu (menentang San Marino) merupakan sesuatu yang cukup istimewa buat Rooney, bukan hanya kerana memakai lilitan lengan kapten pasukan, menjaringkan dua gol malah mengatasi pencapaian Shearer, Finney dan Lofthouse. Rooney juga sudah mula memasang impian untuk terus mengetuai skuad kebangsaan sepenuh masa pada masa akan datang. Adalah sesuatu yang hebat buat Rooney berada di tangga kelima senarai penjaring terbanyak skuad kebangsaan England pada usia 26 tahun dan tidak mustahil baginya mengatasi pencapaian Charlton, Greaves, Lineker dan Owen satu hari nanti jika diambilkira faktor usianya. Ketika ditanya pemberita apakah Rooney akan dilantik sebagai kapten masa depan untuk skuad England, Hodgson menjawab "Ya". Walaupun Fabio Capello memberikan tanggungjawab  sebagai ketua pasukan ketika perlawanan persahabatan menentang Brazil di Doha pada 2009, pengendali Itali itu bagaimanapun berpendapat Rooney ketika itu masih belum cukup matang dan bersedia untuk diberikan tanggungjawab besar sebagai kapten pasukan sepenuh masa. Apa yang diharapkan Hodgson ketika ini ialah Rooney kekal pada tahap terbaiknya dan terus melakukan apa yang dia lakukan bersama Manchester United. Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan