James Rodriguez |
Laporan dari media-media di Portugal menyebut bahawa Manchester United sedang dalam proses menyiapkan tawaran untuk memdapatkan pemain sayap FC Porto, James Rodriguez. Minat United terhadap pemain berusia 21 tahun itu mula dihidu sejak Mei lalu apatah lagi selepas melihat peranan yang dimainkannya bersama Porto. Rodriguez merupakan pemain yang versatil, bermain diposisi sayap kiri, boleh bergerak sebagai penyerang tengah malah pernah digunakan Porto sebagai sayap kanan. Bagaimanapun dengan kontrak pemain itu bersama Porto yang akan hanya tamat pada 30 Jun 2016, harga yang bakal diletakkan ke atas pemain Colombia itu tentunya bukanlah murah. Ada pihak yang meletakkan tanda harga Rodriguez sekitar 16 juta Pound tetapi ada juga laporan mengatakan bahawa Porto memiliki klausa berjumlah 45 juta Euro ke atas pemain itu. Musim panas ini Porto sudahpun menjual Hulk kepada kelab Russia, Zenit St Petersburg dan mereka tentunya tidak mahu melepaskan seorang lagi bintang dalam skuad mereka dengan harga yang murah. Ada juga spekulasi `nakal' yang menyebut bahawa Javier Hernandez akan digunakan sebagai pertukaran bagi United mendapatkan Rodriguez. Hernandez yang cukup cemerlang pada penampilan pertamanya bersama United pada 2010 dilihat semakin terpinggir berikutan kehadiran Robin Van Persie. Hernandez kini sekadar menjadi pilihan keempat Sir Alex Ferguson selepas Wayne Rooney, Van Persie dan Danny Welbeck untuk mengisi slot penggempur United. Selain Hernandez, Nani juga dikatakan bakal menjadi korban pertukaran ini selepas pemain sayap Portugal itu dikritik kerana gagal mencapai potensi sebenar sejak menyertai United pada 2007. Nani yang diletakkan harapan sebagai pengganti Cristiano Ronaldo selepas bintang Portugal itu berhijrah ke Real Madrid dilihat semakin hilang arah dalam permainannya sejak kebelakangan ini. Kurang konsisten dan masalah terbaru yang ditimbulkan selepas terbabit dalam pergaduhan dengan David Petrucci ketika sesi latihan membuatkan ramai pihak menjangkakan Nani akan menjadi calon utama meninggalkan Old Trafford Januari ini. Kegagalan mencapai kata sepakat untuk menyambung kontraknya yang akan tamat pada 2014 turut menjadi faktor untuk Nani digunakan United sebagai sebahagian pertukaran bagi membiayai perpindahan Rodriguez dari Porto. Rodriguez sudah menjaringkan lima gol untuk Porto dalam semua kejohanan selain memainkan peranan besar ketika Porto menewaskan Paris St Germain pada saingan Liga Juara-Juara 4 Oktober lalu. Rodriguez juga bermain penuh 90 minit ketika Colombia menewaskan Paraguay 2-0 dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2014 Sabtu lalu.
Wesley Sneijder |
Persoalannya sekarang, apakah United begitu terdesak untuk menandatangani seorang lagi pemain baru? Apatah lagi jika diambil kira Ferguson memang jarang mendapatkan pemain baru pada pasaran perpindahan pemain musim sejuk (Januari). Jika Ferguson begitu teringin mahu mendapatkan khidmat Rodriguez, pengendali itu pastinya tidak akan tergesa-gesa kerana khidmat Rodriguez tidak boleh digunakan United pada saingan Liga Juara-Juara (kerana dia sudahpun bermain untuk Porto). Sejak 2005 Ferguson hanya menggunakan kesempatan semasa jendela perpindahan pemain dibuka pada bulan Januari sebanyak dua kali. Kali pertama, Ferguson membawa dua pemain serentak (Patrice Evra dan Nemanja Vidic) pada 2006 dan kali kedua membawa masuk Anders Lindegaard pada 2011. Selain faktor `bulan Januari', terdapat beberapa nama besar yang digembar-gemburkan media akan menyertai United sebelum ini tetapi berpaling pada pasukan lain atau mengambil keputusan kekal dengan pasukan asal masing-masing. Paling hangat ialah Wesley Sneijder yang dikatakan begitu hampir berpindah ke Old Trafford pada musim lalu, malah ada pihak yang mengatakan bahawa Sneijder ketika itu sudah memilih kediamannya di bandar Manchester semata-mata bertujuan menguatkan lagi spekulasi yang dimainkan mereka. Apa kurangnya juga dengan kes Lucas Moura awal musim ini yang dikatakan bakal menjadi bintang baru United dari Brazil selepas kembar Da Silva (Rafael dan Fabio) dan Anderson. Begitu juga dengan Eden Hazard yang akhirnya memilih Stamford Bridge atas alasan kerana Chelsea adalah penyandang kejuaraan Liga Juara-Juara. Persamaan ketiga-tiga pemain yang disebutkan di atas (Sneijder, Moura dan Hazard) ialah spekulasi perpindahan mereka ke Old Trafford dimainkan media dengan begitu hebat. Namun akhirnya Sneijder masih kekal di Itali, Moura pula mungkin terus beraksi di Brazil hingga 2014 dan Hazard pula menyertai seteru domestik United (Chelsea).
Robin Van Persie |
Berbeza pula dengan Van Persie, Phil Jones, Chris Smalling, Javier Hernandez dan David de Gea sebagai contoh. Mungkin tidak ramai penyokong United (kecuali die hard) yang menyangka Ferguson akan menandatangani Smalling pada 2010 atau Jones pada 2011. Hernandez pula diintip secara rahsia oleh skuad pemerhati United dan tidak banyak media dapat menghidu minat Ferguson terhadap bintang Mexico itu. Spekulasi tentang perpindahan De Gea dari Atletico Madrid pula tidak sehebat mana tetapi akhirnya penjaga gol muda itu berada di gawang yang dulunya dikawal lagenda seperti Peter Schmeichel dan Edwin Van der Sar. Bagi kes Van Persie pula, pada mulanya ramai yang menjangkakan Arsene Wenger akan menjual penyerang itu kepada Juventus atau Manchester City dan mereka tidak meletakkan harapan Van Persie akan menjejak kakinya ke Old Trafford sebagai pemain United. Tapi akhirnya, perkara yang ramai pihak tidak jangkakan itu berlaku apabila Van Persie sah menjadi milik United sekaligus tertunailah impian Ferguson untuk menyaksikan gandingan Van Persie/Rooney dalam skuadnya. Kali ini persamaan pemain yang disebutkan di atas (Smalling, Hernandez, Jones, De Gea dan Van Persie) ialah spekulasi perpindahan mereka tidak dimainkan media dengan begitu hebat, namun mereka kini adalah anggota skuad `Setan Merah'. Mendapatkan pemain baru ketika saingan liga domestik dan Eropah memasuki fasa kedua bukanlah langkah yang bijak. Pemain baru yang ditandatangani perlu menyesuaikan diri dengan pasukan baru, rakan-rakan sepasukan dan corak permainan yang diterapkan kelab baru mereka. Fernando Torres dibawa Chelsea dari Liverpool pada Januari 2011 dengan yuran perpindahan sebanyak 50 juta Pound sekaligus rekod baru England, Andy Carroll pula dibawa dari Newcastle ke Liverpool dengan nilai 35 juta Pound bagi menggantikan tempat Torres. Tapi apakah yang mereka berdua sumbangkan untuk kelab masing-masing ketika ini? Torres mungkin agak bernasib baik berbanding Carroll kerana dia sudahpun menjulang trofi Liga Juara-Juara dan Piala FA musim lalu walaupun sebelumnya mengalami kemarau gol yang panjang. Manakala Carroll pula semakin terpinggir dari Liverpool walaupun dibeli dengan harga yang mahal dan kini sekadar menjadi pemain pinjaman kepada West Ham. Manchester United mendapatkan Van Persie dengan harga 24 juta Pound musim panas ini dan penyerang itu pantas menyesuaikan diri dengan pasukan barunya apabila menjadi penyumbang utama kepada gol-gol United. Gandingannya bersama Rooney di barisan hadapan juga semakin serasi jika diambil contoh aksi kedua-dua pemain itu ketika berdepan CFR Cluj dalam saingan Liga Juara-Juara. Dua assist Rooney disudahkan dengan dua jaringan Van Persie di bumi Romania. Jadi apakah Manchester United perlu mendapatkan seorang lagi pemain baru di barisan hadapan atau menguatkan lagi benteng pertahanan mereka? Kita hanya mampu meramal siapa pemain baru seterusnya yang akan dibawa masuk Ferguson, jika tidak pun pada Januari 2013 tentunya pada musim panas akan datang. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan