15 Oktober 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: VIDIC AKAN KEMBALI KE RUSSIA?


Spekulasi perpindahan Nemanja Vidic memang sudah lama bertiup, malah sejak musim lalu lagi. Bukan sedikit kelab-kelab yang dikaitkan dengan kapten Manchester United itu malah turut membabitkan gergasi Sepanyol hinggalah ke Itali. Real Madrid, Barcelona, Juventus dan Inter Milan antara yang disebut-sebut sebelum ini menjadi destinasi baru Vidic, dan kini kelab kaya Russia, Anzhi Makhachkala pula dikaitkan dengan pertahanan berpengaruh United itu. Masa depan Vidic sentiasa menimbulkan tandatanya dan topik perbualan hangat kebelakangan ini dan kononnya, United sedia melepaskan kapten mereka itu jika ada kelab-kelab yang sedia meletakkan cek berjumlah 40 juta Euro di atas meja David Gill. Kenyataan bahawa usia Vidic yang bukan lagi muda dan kecederaan yang kerap membelenggu pemain antarabangsa Serbia itu sejak kebelakangan ini menguatkan lagi andaian sesetengah pihak bahawa United dan Vidic sedia untuk berpisah. Kecederaan lutut terbaru yang dialami Vidic buat kali kedua dalam tempoh 12 bulan menyakinkan ramai pihak bahawa The Red Devils akan menunjukkan pintu keluar kepada kapten mereka itu. Situasi ini menarik minat `Manchester City' Russia, Anzhi yang pada musim lalu menjadikan Samuel Eto'o muncul pemain bolasepak yang menerima gaji antara tertinggi di dunia. Bukan saja sanggup membayar 40 juta Euro bagi khidmat Vidic, malah Anzhi turut sedia memberikan gaji sebanyak 250 ribu Euro seminggu asalkan Vidic sanggup bermain di Liga Perdana Russia. Hal itu (bermain di Russia) tentunya tidak menjadi masalah buat Vidic memandangkan sebelum dia berpindah ke Old Trafford, Vidic adalah tonggak pertahanan Spartak Moscow selama dua tahun. Sejak menyertai United pada 2006, Vidic memang diakui menjadi kunci disebalik kejayaan United meraih gelaran di peringkat domestik dan juga Eropah. Gandingannya bersama Rio Ferdinand dibenteng  tengah United juga diiktiraf sebagai yang terbaik sejak era Gary Pallister dan Steve Bruce.

Ketiadaannya pertengahan musim lalu kerana masalah kecederaan ligamen lutut ketika kempen Liga Juara-Juara menentang Basel dikatakan menjadi faktor utama mengapa United terlepas kejuaraan liga kepada seteru setempat Manchester City. Vidic kembali semula musim ini tapi dilihat sukar menemui  prestasi terbaiknya dalam mengawal benteng pertahanan, dan kecederaan lutut kembali menghantuinya selepas kemenangan ke atas Liverpool bulan lalu. Vidic terpaksa dihantar ke meja pembedahan sekali lagi dan akan hanya  kembali semula ke padang Januari ini. Sir Alex Ferguson sendiri tidak berdiam diri dengan krisis kecederaan yang membelenggu benteng pertahanan pasukannya sejak beberapa musim lalu dengan membawa masuk Phil Jones dari Blackburn Rovers dan Chris Smalling dari Fulham dalam tempoh 18 bulan terakhir sebagai rancangan jangka panjang. Selain dua pemain muda itu, Ferguson turut memiliki Jonny Evans yang membuktikan dia semakin matang dan tidak kekok berpasangan dengan Ferdinand di benteng tengah United. Evans bermain baik ketika United menewaskan Newcastle United 3-0 di Sports Direct Arena minggu lalu dengan menyumbang satu gol selain berjaya mengunci pergerakan Pappis Cisse dan Demba Ba. Melihat simpanan pemain yang dimilikinya di benteng pertahanan, Ferguson tampak seakan-akan tidak mampu menolak tawaran besar yang diletakkan oleh Anzhi nanti, meskipun minggu lalu agen Vidic menafikan khabar angin penghijrahan kliennya itu. Sementara Vidic akan hanya kembali ketika pusingan kedua liga bermula Januari ini, Ferguson pula sudah sedia menyambut kepulangan semula Smalling dan Jones. Smalling dijangka disenaraikan dalam skuad utama yang akan berdepan Stoke City hujung minggu ini manakala Jones pula akan disenaraikan ketika United berdepan Chelsea minggu berikutnya. Glory Glory Manchester United!!!! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan