17 Oktober 2012

2013, TAHUN REVOLUSI UNITED?


Thomas Ince
Thomas Ince (Blackpool), Victor Wanyama (Celtics), Kevin Strootman (Eindhoven) dan Robert Lewandowski (Dortmund) antara pemain yang diberitakan sedang diperhatikan Sir Alex Ferguson. Sejak Ferguson membawa Paul Ince ke Old Trafford 23 tahun yang lalu, pengendali itu nampaknya sedia menyenaraikan semula `Ince' ke dalam skuadnya sekali lagi. Paul Ince sudahpun bersara dari arena bolasepak dan tidak mungkin dia akan memperkuatkan semula jentera tengah United, tetapi Ince yang menjadi sasaran Ferguson kali ini ialah Thomas Ince (anak kepada Paul). Apakah akan ada sekali lagi nama Ince dalam senarai skuad Manchester United pada tahun hadapan? Ini mungkin bakal berlaku selepas prestasi pemain remaja Blackpool itu mula menarik minat Ferguson. Kali terakhir Paul Ince bermain untuk United ialah pada final Piala FA 1995, yang menyaksikan skuad The Red Devils tewas kepada Everton. Beliau kemundiannya meninggalkan Old Trafford dengan berhijrah ke Itali bersama Inter Milan sebelum kembali semula ke England menyertai musuh tradisi United, Liverpool dua tahun kemudian. Berbeza dengan ayahnya yang beraksi sebagai pemain tengah, Thomas sebaliknya lebih selesa bergerak di sebelah sayap kiri. Pemain berusia 20 tahun itu adalah inspirasi Blackpool dalam usaha mereka kembali semula kesaingan elit Liga Perdana dan merupakan penjaring terbanyak skuad Ian Holloway dengan enam gol. Ferguson sudahpun menunjukkan minat untuk menambah pemain muda kelahiran Stockport itu dalam skuadnya selepas menandatangani Nick Powell dari Crewe musim ini. Walau bagaimanapun usaha mendapatkan Thomas bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan Holloway akan hanya melepaskan bintang mudanya jika ada kelab sanggup mengeluarkan belanja yang besar. Selain Ferguson, Thomas juga menjadi sasaran Arsene Wenger yang mahu merealisasikan impiannya menggandingkan Thomas, Theo Walcott dan Alex Oxlade Chamberlain dalam skuadnya. Thomas adalah pemain yang memenuhi kriteria Ferguson jika diambil kira trend bos United itu yang mensasarkan pemain serba boleh dalam setiap pembelian barunya. 

Victor Wanyama
Selain Thomas Ince, dua lagi pemain vesatil yang mungkin boleh dipertimbangkan Ferguson ialah Victor Wanyama dan bintang PSV Eindhoven, Kevin Strootman. Kedua-duanya juga masih muda dengan masing-masing berusia 21 dan 22 tahun. Wanyama pemain antarabangsa Kenya tampil cemerlang bersama gergasi Scotland, Glasgow Cletic. Dia merupakan pemain tengah yang kuat, boleh beraksi sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder) dan juga boleh berfungsi sebagai pertahanan tengah (centre back). Ferguson harus memikirkan tentang masalah kecederaan yang tidak sudah-sudah melanda benteng pertahanannya. Meskipun Chris Smalling dijangka kembali ke dalam skuad hujung minggu ini, manakala Phil Jones pula akan di bawa ke Stamford Bridge minggu hadapan, ketiadaan kapten pasukan Nemanja Vidic untuk jangkamasa panjang tetap dirasai. Jonny Evans pula baru pulih dari kecederaan buku lali dan pertahanan Ireland itu sebenarnya dalam tempoh `berjaga-jaga' untuk memastikan kecederaannya tidak berulang semula. Rio Ferdinand memang diakui berjaya memainkan peranan penting di barisan belakang, namun pertahanan veteran itu juga turut mempunyai masalah kecederaan belakang dan paha yang kerap berulang. Jadi, Wanyama tentunya menjadi calon berpotensi untuk dibawa masuk bagi mengukuhkan pertahanan yang goyah akibat siri krisis kecederaan berterusan. Strootman pula dikatakan sudah menjadi perhatian Ferguson sejak 12 bulan yang lalu selepas melakukan impak bersama Eindhoven. Beliau juga antara tonggak skuad kebangsaan Belanda dan sudah mengumpul 11 caps setakat ini. Visinya menjana bahagian tengah Eindhoven menarik minat banyak kelab-kelab utama Eropah dan agen pemain itu (Chiel Dekker), telahpun memberikan isyarat bahawa Strootman boleh menjadi milik mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya Januari ini. Strootman melalui tempoh yang cemerlang bersama Eindhoven tetapi pemain itu memutuskan mahu membuktikan kemampuan dirinya dalam liga yang lebih besar dan mencabar.

Robert Lewandowski
Ketika ini United sudahpun mempunyai kuartet penyerang yang dicemburui lawan. Nama-nama seperti Robin Van Persie, Wayne Rooney, Danny Welbeck dan Javier Hernandez sudah cukup menimbulkan rasa gerun kepada lawan, namun kebimbangan kini mula timbul dengan prestasi terkini Hernandez selepas melakukan impak pada kemunculan sulungnya dalam saingan Liga Perdana dua tahun lalu. Minat Ferguson ke atas Robert Lewandowski terus menjadi tajuk-tajuk utama akhbar biarpun penyerang antarabangsa Poland itu menegaskan dia gembira dan ingin kekal beraksi di Westfalenstadion. Aksi pemain yang dinilai United berharga dalam lingkungan 25 juta Pound itu bersama Poland dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang England di Warsaw, tentunya akan terus diperhatikan Ferguson. Walau pun menjadi sasaran United dan beberapa kelab ternama yang lain musim panas lalu, juara Bundesliga itu berjaya mengekalkan Lewandowski untuk terus beraksi di Jerman. Selepas kehilangan playmaker mereka (Shinji Kagawa) kepada United Julai lalu, apakah Jurgen Klopp (pengurus Dortmund) sudah bersedia untuk berdepan kemungkinan dan sanggup melepaskan seorang lagi bintang handalannya kepada The Red Devils? Lewandowski sendiri sudah memberikan isyarat bahawa dia tidak akan selamanya kekal bersama Dortmund apabila berkata, saingan bolasepak di England cukup menarik dan dia akan bermain di Liga Perdana satu hari nanti. Ferguson hadir menyaksikan kelibat penyerang itu bersama Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Stadium Etihad. Walaupun pada artikel sebelumnya (semalam) sudah disebut bahawa Ferguson kurang aktif dalam pasaran perpindahan pemain musim sejuk (bulan Januari), tapi siapa tahu Ferguson akan bertindak di luar jangkaan dengan menjadikan Ketua Eksekutif Manchester United, David Gill sebagai individu paling sibuk sepanjang Januari ini. Ini semua dilakukan Ferguson demi merevolusikan skuad The Red Devils tahun hadapan. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan