Sir
Alex Ferguson memang dikenali sebagai seorang pengurus yang cukup tegas, bukan
saja ketika berdepan para pemainnya tetapi juga ketika membuat keputusan.
Keberaniannya bermain dengan risiko menjadi salah satu faktor utama kejayaannya
memimpin Manchester United mencapai kejayaan selain menjadikan dirinya sendiri
sebagai lagenda di Old Trafford. Jika dilihat kejayaan yang diraihnya bersama
United, jelas memperlihatkan bahawa dia banyak dibantu dengan
keputusan-keputusan tepat yang diambilnya. Berikut adalah sepuluh keputusan
besar pernah diambil Ferguson sepanjang kerjaya pengurusnya di Old Trafford:
1.
Pembelian Eric Cantona
Pada
1992, United mengalami masalah dalam saingan Liga Perdana yang baru dijenamakan
semula pada tahun itu (sebelumnya Liga Perdana dikenali dengan Liga Divisyen 1).
Ferguson membuat keputusan besar dengan membeli Eric Cantona dari Leeds United
dan pembelian itu menjadi tajuk hangat di media-media cetak dan elektronik. Cantona
memang dikenali sebagai pemain yang berbakat namun `kepala angin’nya sering memberikan
masalah buat mana-mana kelab yang disertainya. Cantona terus dengan karakter
`kepala angin’nya ketika bersama United, namun dalam masa yang sama dia turut
memberikan sumbangan besar terhadap pasukan. The King mula menghujani gawang
lawan dengan gol-golnya dan menghadiahkan kejuaraan liga pertama buat United
dalam tempoh 26 tahun.
2.
Pembelian Roy Keane
Pada
musim panas 1993, Ferguson berdepan dilema tentang pemain mana yang harus
dibelinya bagi menggantikan Bryan Robson. Pilihan Ferguson akhirnya terarah
kepada seorang pemuda yang berperwatakan kasar, keras dalam permainan dan
bersemangat tinggi bernama Roy Keane. Keano dibeli dari Nottingham Forest dengan
harga 3.75 juta Pound. Ferguson membuktikan pelaburannya ke atas Keano berhasil
apabila pemain Ireland itu muncul watak penting di barisan tengah United selama
12 tahun selain berjaya memikul tanggungjawab mengemudi bahagian tengah selepas
Eric Cantona bersara.
3.
Penjualan Jaap Stam
Ferguson
menjual Jaap Stam kepada Lazio pada 2001 kerana berbalah dengan pemain
pertahanan Belanda itu selepas penerbitan autobiografinya tidak disenangi
Ferguson. Pada mulanya Ferguson menyangka beliau dapat menggantikan Stam dengan
pemain pertahanan berpengalaman Perancis, Laurent Blanc atau pemain-pemain muda
dari Akademi Manchester United sendiri. Akhirnya Ferguson mengakui tindakannya
menjual Stam sebagai satu kesilapan yang besar. “Saya mendapat tawaran 16.5
juta Pound dari Lazio untuk Stam dan sukar menolaknya. Stam pada ketika itu
sudahpun berusia 30 tahun dan saya fikir boleh menggantikannya dengan Blanc
untuk tempoh semusim atau dua sementara menunggu pemain muda seperti Wes Brown
dan John O’Shea matang. Penjualan ini (Stam) akhirnya menjerat diri saya”, kata
Ferguson.
4.
Memberi Peluang Buat Pemain Muda
“Kamu
tidak akan memenangi kejuaraan dengan pemain muda”, itulah kata-kata `nasihat’
yang pernah diberikan oleh lagenda Liverpool, Alan Hansen kepada Ferguson.
Tetapi Ferguson kemudiannya menjawab “Kami mampu melakukannya”. Pada musim
1995/96, United memenangi kejuaraan liga dengan limpahan pemain-pemain muda
yang diketengahkan Ferguson. Rangkaian pemain muda seperti Gary Neville, Phil
Neville, David Beckham, Paul Scholes dan Nicky Butt dari Class of 92 bergabung
dengan Ryan Giggs menjadikan mereka lebih dikenali sebagai Super Six. Barisan
pemain muda inilah yang menjadi tonggak utama United dalam tempoh beberapa musim
berikutnya.
5.
Menggunakan Super Sub
Sebagai
seorang jurulatih/pengurus, Ferguson juga perlu pantas membuat sebarang keputusan
penting ketika perlawanan. Dalam hal ini, Ferguson juga dikenali sebagai
seorang yang hebat dalam membuat keputusan segera. Salah satu keputusan penting
yang dilakukan Ferguson ialah ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara 1999.
Ketika itu, United ketinggalan 0-1 kepada Bayern Munich dengan tempoh permainan
semakin hampir untuk ditamatkan. Ketika pemain-pemain lawan seolah-olah sudah
merayakan kejayaan mereka, Ferguson membawa masuk Teddy Sheringham dan Ole
Gunnar Solskjaer di penghujung permainan. Hasilnya dua super sub itu
masing-masing menyumbangkan satu gol di masa kecederaan untuk memberikan trofi
Eropah kedua United selepas kejayaan mereka pada tahun 1968. United menang
kejuaraan treble musim itu dan Ferguson dianugerahkan gelaran Sir oleh Ratu
Elizabeth.
6.
Membatalkan Hasrat Bersara
Pada
musim 2001/02, prestasi United menurun dan Ferguson mengambil keputusan untuk
bersara di penghujung musim. Walau bagaimanapun entah apa sebabnya, Ferguson kemudiannya membatalkan hasrat untuk
bersara dan berjaya mengemudi United menang kejuaraan liga musim berikutnya.
Kejayaan itu bagaimanapun berdepan laluan getir apabila United terpaksa
mengejar Arsenal yang berada di tangga teratas serta memiliki kelebihan lapan
mata dengan baki tujuh perlawanan untuk ditamatkan.
7. Yakin Kepada Ruud Van Nistelrooy
Keinginan
Ferguson untuk mendapatkan Nistelrooy pada tahun 2000 mencetuskan banyak
persoalan selepas melihat pemain itu mempunyai rekod kecederaan yang buruk.
Sebelum dibeli, Nistelrooy sudahpun mengalami kecederaan lutut jangka panjang, namun
itu tidak langsung menghalang minat Ferguson untuk mendapatkannya dari PSV
Eindhoven. Pada tahun 2001, Ferguson akhirnya mendapatkan Nistelrooy dengan nilai
18 juta Pound sekaligus rekod pembelian termahal Liga Perdana ketika itu.
Keputusan berani Ferguson membuahkan hasil apabila Nistelrooy meledak 150 gol
dalam tempoh lima musimnya di Old Trafford.
8.
Penjualan David Beckham
Hubungan
Ferguson dan Beckham mula panas selepas pemain itu berkahwin dengan bintang pop
terkenal dari kumpulan Spice Girls, Victoria atau Posh Spice. Kehidupan bak selebriti hiburan yang
melanda Beckham selepas perkahwinannya itu tambah memburukkan lagi hubungannya
dengan Ferguson. Kemuncaknya apabila Ferguson melepaskan kemarahan dengan
menendang but hingga terkena kening Beckham di dalam bilik persalinan. Bagi
mengelak perpecahan lebih besar melanda pasukan akibat hubungan dinginnya
dengan Beckham, Ferguson bertindak menjual bintang kesayangan di Old Trafford
itu kepada Real Madrid dengan harga 25 juta Pound. Biarpun tanpa Beckham,
Ferguson tetap berjaya membawa United menang berbagai kejuaraan selepas itu.
Berbeza dengan nasib Beckham di Sepanyol, pemain itu hanya mampu meraih satu
kejuaraan La Liga dan satu trofi Supercopa sepanjang kariernya di Santiago
Bernabeu sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat dengan menyertai LA Galaxy.
9.
Membeli dan Menjual Cristiano Ronaldo
Kemampuan
Ferguson mengesan bakat muda memang tidak boleh dipertikaikan. Pada tahun 2003,
atas desakan dari pemain-pemainnya sendiri, Ferguson menandatangani Ronaldo
dari Sporting Lisbon. Pemain-pemain United kagum dengan kebolehan Ronaldo
ketika mereka mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab Portugal itu.
Ketika di dalam perjalanan pulang ke Manchester, pemain-pemain United tidak
henti-henti bercakap tentang bakat milik Ronaldo. Menyedari bakat dimiliki Ronaldo
yang baru berusia 18 tahun ketika itu, Ferguson akhirnya memutuskan untuk
membeli pemain itu dari Sporting Lisbon. Pembelian Ronaldo juga bagi
menggantikan tempat David Beckham yang dijual kepada Real Madrid. Pada tahun 2009,
Ronaldo mengikut jejak Beckham dengan berhijrah ke Real Madrid dan Ferguson
membuat keuntungan besar apabila penjualan pemain itu mencatat rekod dunia yang
belum dipecahkan hingga sekarang.
10.
Memilih Manchester United
Manchester
United bukanlah kelab tunggal yang cuba mendapatkan khidmat Ferguson ketika dia
masih bersama Aberdeen. Di Liga Scotland, Ferguson diiktiraf sebagai lagenda
apabila berjaya mengemudi Aberdeen meraih berbagai kejuaraan meskipun usianya
masih muda ketika itu. Ferguson berjaya membawa Aberdeen menjulang Piala
Pemenang Piala (Cup Winners Cup) mengatasi kelab hebat seperti Real Madrid di
perlawanan akhir. Kejayaan itu mengundang banyak tawaran dari kelab-kelab di
England antaranya Tottenham Hotspurs yang mahu Ferguson menggantikan Peter
Shreeves dan Arsenal pula mahu Ferguson mengambil alih tempat Don Howe.
Ferguson akhir memilih United pada November 1986 bagi menggantikan tempat Ron
Atkinson yang dipecat dengan misi mahu menamatkan dominasi Liverpool ketika
itu.
GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan