27 Oktober 2012

PERTEMBUNGAN TORRES & VAN PERSIE



Robin Van Persie dan Fernando Torres memang diakui antara penyerang terbaik yang pernah beraksi di Liga Perdana ketika ini. Esok, kedua-dua penyerang ini akan berdepan antara satu sama lain bagi membantu kelab masing-masing mencari kemenangan pada perlawanan utama Liga Perdana untuk minggu kesembilan. Kedua-dua penyerang ini bakal menjadi sandaran kelab masing-masing dalam usaha memburu gol dan barisan pertahanan kedua-dua pasukan pastinya akan memberikan tumpuan untuk mengawal dua penggempur ini. Van Persie berjaya meneruskan kecemerlangan yang pernah dikecapi bersama Arsenal untuk kelab barunya, Manchester United, manakala Torres pula masih berjuang membuktikan dirinya mampu menggantikan Didier Drogba sebagai penggempur utama Chelsea. Berikut adalah analisis sumbangan yang telah diberikan kedua-dua penggempur ini untuk kelab masing-masing sepanjang karier mereka di Liga Perdana:

Jaringan Gol:

Kedua-dua kelab sanggup menghabiskan jumlah wang yang besar untuk mendapatkan Van Persie dan Torres dengan hanya satu tujuan, iaitu mendapatkan gol. Van Persie sudah mengumpul 19 gol dalam saingan liga sepanjang tahun 2012 (Januari hingga Oktober) manakala Torres pula sudah menjaringkan lapan gol.

Kerjasama Sepasukan:

Van Persie adalah pemain yang lebih lengkap jika diambil kira sumbangannya untuk pasukan, baik ketika masih bersama Arsenal mahupun United. Penyerang Belanda itu sudah menyumbangkan tujuh umpanan (assist) berbanding Torres (dua umpanan). Dari segi mencipta peluang buat rakan sepasukan pula, Van Persie juga jauh meninggalkan Torres apabila dia sudah mencipta 65 peluang buat rakan-rakan sepasukan berbanding 36 untuk Torres.

Perebutan Bola:

Meskipun bukan penyerang yang kuat, Torres nampaknya lebih efektif berbanding Van Persie dalam statistik perebutan bola. Torres memenangi 43% perebutan bola manakala Van Persie pula mencatat 37%.

Percubaan Tepat:

Van Persie melepaskan 50 percubaan tepat ke sasaran jika dibandingkan 19 oleh Torres, tetapi kedua-duanya hampir setaraf dalam menyempurnakan peluang menjaringkan gol. Torres berjaya menyempurnakan 19% setiap peluang yang diperolehinya dengan jaringan manakala Van Persie pula unggul sedikit dengan 22%.

Hantaran Silang:

Kedua-dua pemain ini adalah penyerang tengah tetapi itu tidak bermakna mereka hanya menunggu bola dihantar pemain sayap untuk disudahkan. Sebagai penyerang moden, mereka juga kerap bergerak dari sebelah tepi ataupun melakukan hantaran-hantaran silang kepada rakan sepasukan. Dalam hal ini Van Persie lebih efektif apabila sudah mencipta 132 hantaran silang jika dibandingkan dengan Torres yang hanya mencipta 38 hantaran silang. Bagaimanapun dari segi ketepatan, Torres mendahului Van Persie apabila 26% hantaran silangnya menemui sasaran jika dibandingkan dengan 22% milik Van Persie.

GLORY-GLORY MANCHESTER UNITED!!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan