23 Oktober 2012

MASA DEPAN FERDINAND DALAM BAHAYA?


Pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand meletakkan kariernya bersama The Red Devils dalam bahaya selepas bertindak memboikot kempen Anti Perkauman yang dilancarkan FA England. Kelmarin, Sir Alex Ferguson menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan Ferdinand melakukan protes apabila tidak memakai baju kempen Anti Perkauman sebelum sepak mula menentang Stoke City, Sabtu lalu. Ferdinand dan adiknya Anton serta beberapa pemain kulit hitam memboikot kempen tersebut kerana merasakan FA England tidak mengambil tindakan lebih serius bagi mencegah isu perkauman terhadap pemain kulit hitam dalam bolasepak. Tindakan Ferdinand pada pandangan bos United itu merupakan satu penghinaan `berprofil tinggi’ terhadapnya, kerana Ferguson sebelum perlawanan menentang Stoke sudah memberi jaminan bahawa kesemua pemain United akan menyokong kempen itu dengan memakai baju Anti Perkauman sebelum sepak mula. Denda mungkin dikenakan Ferguson ke atas Ferdinand walaupun pihak pengurusan United terus membisu tentang hukuman yang bakal dikenakan ke atas pemain pertahanan berpengalaman itu. Ferdinand menandatangani kontrak baru selama lima tahun pada 2008 dan akan berakhir pada musim panas tahun hadapan. Pada usia yang sudah mencecah 30an, Ferdinand akan hanya ditawarkan sambungan kontrak selama 12 bulan selepas ini (jika United mahu menyambung kontraknya) sebagai memenuhi polisi yang ditetapkan oleh kelab. Meskipun kontraknya berbaki kurang setahun, kedua-dua pihak masih belum mengadakan perbincangan tentang kontrak baru, dan episod ini  nampaknya bakal menjejaskan masa depan pertahanan itu di Old Trafford. Buat masa ini, United amat bergantung harap kepada kelibat Ferdinand selepas Nemanja Vidic terkeluar kerana kecederaan jangka panjang manakala Chris Smalling dan Phil Jones akan hanya kembali ke pangkuan skuad dalam masa terdekat selepas diketepikan sejak Mei lepas. Walau bagaimanapun jika ketiga-tiganya (Vidic, Smalling & Jones) kembali cergas dan dapat memberikan prestasi terbaik mereka, Ferdinand mungkin mendapati dirinya bakal berstatus ejen bebas musim panas depan. Meskipun adik Ferdinand, Anton menjadi mangsa kepada isu perkauman dengan John Terry, Ferguson semasa pra perlawanan liga hujung minggu lalu menegaskan skuadnya akan bersatu menyokong kempen yang dijalankan FA England. Jadi tidak hairanlah jika pengendali United itu begitu kecewa dengan tindakan yang dilakukan Ferdinand hingga secara terang-terangan mengatakan protes yang dilakukan Ferdinand itu sebagai sangat memalukan. Walau bagaimanapun tindakan Ferdinand itu disokong Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional (PFA), salah satu badan yang terlibat menganjurkan kempen Anti Perkauman Dalam Bolasepak. Menurut jurucakap PFA, pemain berhak untuk mengambil pendirian berhubung perkara ini dan mempertahankan tindakan Ferdinand. Pengerusi PFA, Carlisle Clarke mengatakan, “Kami pasti akan memantau keadaan ini dan sebagai manusia biasa, Rio Ferdinand berhak membuat keputusan. Setiap individu mempunyai hak kebebasan bersuara, dan anda tidak boleh memaksa sesiapa untuk berjabat tangan dengan anda. Begitulah juga anda tidak boleh memaksa seseorang memakai t-shirt itu (Anti Perkauman) walaupun kami percaya kempen ini adalah cara terbaik dalam memerangi isu perkauman dalam bolasepak”. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan