Manchester
United mengintai peluang mengurangkan jurang empat mata milik Chelsea sebagai
pendahulu liga ketika kunjungan mereka ke Stamford Bridge, hari ini. Juara
Eropah itu berpotensi menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas kepada
tujuh mata jika berjaya mengatasi United, apatah lagi mereka sendiri dilihat
begitu kebal ketika beraksi di gelanggang sendiri. Apa yang perlu diberi
perhatian serius oleh Sir Alex Ferguson ialah tentang bagaimana mahu
memperkemaskan benteng pertahanan pasukannya ketika berdepan tugas getir di
Stamford Bridge nanti. Rabu lalu, Ferguson melihat bagaimana United nyaris
dihukum akibat kerapuhan benteng pertahanan pasukannya memberikan gol
pendahuluan mudah buat SC Braga dalam saingan Liga Juara-Juara. Dua gol dari
kapten Braga, Alan pada perlawanan itu menyaksikan United memberikan pasukan
lawan gol pendahuluan buat kali kelapan (dalam semua kejohanan) musim ini. Kesilapan
sama ketika menentang Braga tidak patut diulangi di Stamford Bridge nanti jika
United berhasrat mahu mencantas jurang mata milik skuad bimbingan Roberto de
Matteo itu. Satu-satunya kegembiraan buat Ferguson ialah apabila menyaksikan
pasukannya mampu bangkit kembali biarpun ketinggalan kepada lawan sepertimana
yang ditunjukkan mereka ketika menewaskan Braga. Namun begitu, Ferguson juga
tentunya sedar bahawa pasukannya tidak boleh terus-terusan membiarkan lawan
menjaringkan gol pendahuluan sambil mengharapkan kebangkitan selepas itu. Jika
lawan yang lebih berpengalaman seperti Chelsea berjaya melakukannya (menjaringkan
gol pendahuluan), barisan pemain-pemain United pasti tertekan dan mendapati
perlawanan akan menjadi sukar buat mereka. Februari lalu, United memerlukan
kebangkitan menakjubkan untuk mengikat Chelsea selepas mereka ketinggalan 0-3
di gelanggang sama, tetapi Ferguson sendiri tentunya sedar keajaiban dan tuah
seperti itu tidak akan selalu mengiringi pasukannya. Chelsea memulakan kempen domestik
mereka musim ini dengan prestasi yang cukup baik biarpun kurang konsisten pada
saingan Liga Juara-Juara yang menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Shaktar
Donetsk, Rabu lalu.
De Matteo memiliki pasukan yang berbakat dengan beberapa
perubahan pada barisan pemain mereka. Oscar dan Eden Hazard memberikan nafas
baru kepada pasukan selepas penghijrahan beberapa pemain utama seperti Michael
Essein dan Jose Bosingwa. Juan Mata bermain dengan baik manakala Fernando
Torres pula menggantikan tempat Didier Drogba sebagai penyerang utama. Chelsea
memiliki pemain-pemain berpengalaman di benteng pertahanan dan tengah mereka
tetapi akan kehilangan khidmat Frank Lampard yang dibelenggu kecederaan
manakala John Terry pula masih menjalani hukuman gantung empat perlawanan
kerana isu perkauman yang membabitkannya dengan pemain QPR, Anton Ferdinand
musim lalu. Bagi United pula, mereka masih kekal tanpa khidmat Phil Jones dan
Nemanja Vidic dalam perlawanan ini kerana masalah kecederaan, manakala Shinji
Kagawa muncul dalam senarai terbaru pemain yang berada di bilik rawatan. Pemain
tengah itu disahkan akan terlepas aksi sekurang-kurangnya selama sebulan kerana
kecederaan lutut ketika berdepan Braga. Ashley Young dan Chris Smalling memberikan
khabar gembira buat Ferguson selepas kedua-duanya disahkan cergas dan sudah
menjalani latihan. Di benteng pertahanan, Rio Ferdinand dan Patrice Evra akan menguatkan
semula bahagian belakang United selepas direhatkan pada pertemuan menentang Braga dan ini bermakna, Michael Carrick akan kembali ke posisi asalnya sebagai
pemain tengah bertahan selepas mengambilalih tempat Ferdinand Rabu lalu.
Ferguson dijangka meneruskan formasi berlian yang menjadi titik kebangkitan
United sejak kebelakangan ini pada perlawanan di Stamford Bridge nanti sambil
mengharapkan kombinasi Wayne Rooney dan Robin Van Persie terus mempamerkan
sentuhan tajam mereka di depan gawang. Glory Glory Manchester United!!!
Rekod
Pertemuan:
- Ini
adalah pertemuan ke-146 antara kedua-dua pasukan di mana United menang 62 kali,
seri 40 dan tewas sebanyak 43 kali.
- Dari
74 perlawanan yang diadakan di Stamford Bridge, United menang sebanyak 32 kali,
seri 18 kali dan kalah 24 kali.
- Kali
terakhir United menang di Stamford Bridge ialah pada 7 April 2011 dalam saingan
Liga Juara-Juara. Pada perlawanan suku akhir pertama yang diadakan di Stamford
Bridge itu, United menang hasil jaringan tunggal Wayne Rooney.
- Kali
terakhir United menewaskan Chelsea di gelanggang lawan pada saingan liga ialah
pada 20 April 2002. United menewaskan Chelsea 3-0 dalam perlawanan itu.
Barisan
Kemungkinan Chelsea:
Petr
Cech, Branislav Ivanovic, Gary Cahill, David Luiz, Ashley Cole, John Mikel Obi,
Ramirez, Juan Mata, Eden Hazard, Oscar, Fernando Torres
Barisan
Kemungkinan United:
David
de Gea, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Tom
Cleverley, Michael Carrick, Paul Scholes, Antonio Valencia, Wayne Rooney &
Robin Van Persie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan